Twilight merupakan buku pertama dan merupakan permulaan kisah saga percintaan manusia-pontianak di mana ianya memperkenalkan kita kepada Isabella "Bella" Swan, gadis berusia tujuh belas tahun yang berasal dari Phoenix, Arizona.
Kisah bermula sebaik Bella berpindah ke Forks (salah satu daerah terpencil di Washington) dan mendapati hidupnya berada di dalam bahaya setelah dirinya jatuh cinta dengan Edward Cullen, salah seorang pelajar lelaki di sekolahnya (yang juga seorang pontianak kacak).
Perjalanan dan kisah cinta Bella-Edward ini boleh didapati dalam beberapa siri iaitu New Moon, Eclipse dan Breaking Dawn (yang berbeza-beza garapannya).
Namun bukan tentang novelnya yang saya ingin ulaskan di sini, kini anda boleh mengikuti kisah pengembaraan Bella dan kekasihnya, Edward menerusi filem terbaru yang sedang berputar di pawagam-pawagam berhampiran, Twilight (mengambil judul yang sama dari novel).
Sama seperti kisah asal yang ditulis Meyer di novelnya, Twilight membawa anda mengembara ke sebuah daerah pedalaman di Forks (pastikan anda benar-benar bersedia!).
Terlatar dengan landskap hebat sebuah daerah terpencil, bergunung-ganang dan gaya hidup ala Country di Amerika, filem ini mampu memukau saya lebih dari jalan ceritanya.
Paling saya kagum melihatkan senibina rumah di mana Edward dan keluarga pontianaknya tinggal, siapa sangka pontianak yang begitu sinonim dengan suasana gelap dan suram (serta tak lari dari imej rumah besar-besar dan menakutkan), mampu hidup dalam rekaan rumah yang serba moden, canggih dan lengkap.
Ada satu dialog menarik antara Bella dan Edward sewaktu menaiki tangga.
"Graduation caps?", tanya Bella seraya menunjuk ke arah himpunan topi graduasi yang tertampal di dinding.
"Private joke. We matriculate a lot." Jawab Edward dengan selamba, merujuk kepada hidup pontianak yang abadi dan terpaksa mengulang sekolah tinggi berkali-kali.
Permulaan Bella yang agak degil dan keras kepala (namun lembut hatinya) diperankan dengan begitu baik sekali oleh Kristen Stewart (Jumper, Panic Room) sementara heronya pula seorang pontianak lelaki (Edward Cullen) yang agak keliru mulanya, juga dibawakan dengan cemerlang oleh Robert Pattinson (masih ingat beliau pernah memegang karakter Cedric di dalam siri Harry Potter, Order of the Phoenix dan Goblet of Fire?).
Saya sukakan babak permulaan kisah cinta Bella-Edward yang (agak) tidak tipikal sebagaimana filem-filem Hollywood yang lain, di mana Edward awalnya agak keberatan dan sukar berterus-terang. Edward yang penuh misteri dan lebih senang "tidak ambil peduli" perasaan Bella, lebih-lebih lagi latar-belakangnya bukanlah dari golongan manusia.
Namun babak "Lois Lane-Superman" (Edward menyelamatkan Bella dari dilanggar van dengan menolak dan menahan kenderaan berkenaan dengan satu tangan) telah memecahkan identiti sebenar Edward dan membuka peluang kedua mereka untuk lebih mengenali diri masing-masing.
Ada lagi satu dialog antara Bella dan Edward (sewaktu lawatan sekolah) buat saya tersenyum sendiri.
"Are you going to tell me how you stopped the van?"
"Yeah. Um... I had an adrenaline rush. It's very common. You can Google it."
Menarik tentang watak yang dipegang Pattinson ini, Henry Cavill (Stardust, Count of Monte Cristo) adalah calon pilihan pertama yang di pilih penulis asal buku ini tetapi memandangkan sewaktu penggambaran bermula, beliau telah pun berusia 25 tahun dan sudah tidak mempunyai iras wajah remaja berusia 17. Walaupun bagaimanapun Henry Cavill tetap ditawarkan watak sebagai Carlisle Cullen namun terpaksa menolak disebabkan telah mempunyai komitmen lain.
Bagi anda yang gemarkan perjalanan filem yang agak 'drama' dan meleret-leret (maksud saya, untuk membina karakter dan perjalanan cerita), anda pasti tidak kisah terpaksa menunggu sedikit lama untuk mengetahui apa yang bakal berlaku seterusnya. Twilight jauh dari membosankan, menonton filem ini sama seperti anda membaca novelnya (boleh jadi) atau menonton siri drama bersiri Charmed, misalnya. Ia realistik bagi anda yang meminati filem berasaskan dunia magik atau kuasa-kuasa mistik.
Babak keluarga pontianak bermain baseball benar-benar buat saya teruja, melompat sana-sini dari pokok ke pokok, dan berlari dengan pantasnya, memukul bola dengan laju, seakan menonton siri X-Men pula. Ia dipaparkan dengan penuh bergaya lebih-lebih lagi sewaktu Ashley Greene (memegang watak sebagai Alice Cullen, salah seorang dari keluarga pontianak) melontarkan bola baseball. Saya sukakan karisma yang ada padanya. Yakin. Ala-ala bionic women pun ada.
Kemunculan tiga pontianak penghisap darah (tracker vampire) pula agak klise, benar-benar mengulangi plot babak "mahu gaduh" antara kuasa baik dan jahat.
Selain diiring lagu-lagu runut yang segar dan enak didengar (ada Linkin Park!), keseluruhannya filem ini ternyata tidak mengecewakan. Tidak seratus-peratus bersifat remaja (biarpun pelakon dan latarnya masih di sekolah tinggi). Bagi saya, Twilight ia adalah klasik. Ia umpama menonton Romeo and Juliet versi moden. Cinta yang penuh keindahan dan metafora yang tersendiri.
Mungkin juga gabungan Catherine Hardwicke dan Meyer, sang pengarah dan penulis novel, Twilight mampu menjadi sebuah tontonan yang bakal diingati dan bisa diulang berkali-kali.
Jangan tak percaya, untuk hari yang sama sahaja, saya menonton filem ini sebanyak dua kali- berturut-turut.
Oh, berapa bintang dari saya?
Untuk sebuah filem yang akan saya tonton berkali-kali lagi seperti ini? Empat buat Edward, si pontianak dan tiga buat Bella.
Anda, bagaimana?
Stabuxguy - Tak sabar menunggu sekuel Twilight seterusnya.
3 comments:
Salaam bro,
jom tonton CINTA JULIA
I nak pegi tgk lagi last-day 2/12 nnti ;-)
Kash, mmber opis i ni 8 kali g tgk.. i tgk baru sekali. tp btl2 enjoy la. sampai tbawa dlm mimpi.. kuikuikui
Terima kasih atas informasi menarik
Post a Comment