Tuesday, December 6, 2011

30 Hari Menanti Terakhir (Saya Bebas)


"Yang, you sure?". Tini sugul. Ada riak sedih di wajahnya sebaik saya menghulur surat. 
Saya renung wajahnya dalam-dalam sebelum mengangguk perlahan. "I pasti...".
"You jangan lupakan I tau…". Ah, Tini masakan. Saya cuba tersenyum sebelum melangkah keluar dari bilik Pengarah. Tini, gadis kecil molek setiausaha pejabat antara yang rapat dengan saya.
Ya, 30 hari dari sekarang, saya bakal menjadi seorang yang bebas. Sementara menanti untuk memulakan pekerjaan baru, Bali menunggu saya. Peluang yang akan saya gunakan untuk berehat sepuasnya.
Saya pandang ke luar. Di padang yang luas, ada basah di situ. Saya kesat airmata. Berat juga mahu meninggalkan kampus dan ruang pejabat yang telah banyak mengajar saya menjadi dewasa, mengenalkan saya akan erti hidup sebenar.
Di sini saya mampu melompat, berlari dan berkelana- mencipta daerah sendiri, dari sepi ke penuh warna-warni.
Teringat kali pertama tiga tahun lalu sewaktu Abang Rudy menawarkan saya untuk berkerja di sini, saya pantas bersetuju. Saya tak lupa jasa Abang Rudy yang telah membantu saya. Saat saya terkapar-kapar mencari haluan waktu itu, Abang Rudy hulurkan kemudi, saya kayuh hingga ke tahap ini- biar bersimpang-siur laluannya, namun sekurang-kurangnya saya belajar, belajar dan terus belajar menjadi seorang manusia yang matang.
Hidup saya, terlalu banyak mereka yang hadir dan membantu. Saya mungkin  dikira bertuah kerana begitu disayangi dan ditatang sepanjang masa, hingga kadang saya terlupa, tak selalu hidup kita didatangi pertolongan.
Saya pernah jatuh, tersungkur, ditinggalkan dan disingkir- itu saya anggap pengajaran yang paling berharga. Buat saya lebih tabah dan berhati-hati.
Apa pun terima kasih, terima kasih buat mereka yang pernah singgah di hati. Hidup kita tak selalunya cerah dan indah bukan? Itu saya jadikan pegangan.
Bakal memulakan penghidupan di tempat baru, perasaan saya berbaur. Pelbagai persoalan bergaul- itu ini, begitu, begini? Saya usap hati- "Ya, bisa-". Saya tahu saya mampu.
Ke Langkawi, menghabiskan masa bersama Marina, teman saya dan keluarga, bertemu rakan-rakan dan kenalan baru buat saya yakin dan gembira. Saya tidak gusar jika tersilap membuat pilihan kerana inilah pilihan dan impian yang saya cari. 
Sekian lama bermimpi untuk ke sana, akhirnya Tuhan makbulkan doa saya. Dari hanya kata-kata, nah sekarang saya sudah bisa mengarang satu cerita. Tidak sia-sia sabar dan penantian saya.  
Terima kasih buat Marina dan Sara, dua sahabat saya- kalian antara yang percaya, saya bukanlah hanya berangan kosong.
Terkenang wajah Ereen, satu-satunya teman saya yang paling rapat saya di sini- hati saya terusik. Ereen istimewa. Dia teman susah dan senang saya.  Selama beberapa tahun di sini, Ereen yang paling memahami. Saya tidak tahu (jujurnya, sukar untuk saya bayangkan) bagaimana hari-hari saya selepas ini tanpanya.
"Ereen, sahabat saya, saya harap awak tidak akan lupakan saya. Ingat janji kita- awak akan dapatkan gred 48, nanti senang bila saya kembali dan mahu minta kerja di sini lagi ya?". Teringat yang saya pernah bergurau dengannya.
Jangan sedih. Saya percaya ini yang terbaik. Setiap dari kita sudah ditentukan haluan dan hakikat hidup masing-masing.
Biar sukar, pergi dan meninggalkan adalah saat-saat yang paling payah untuk saya harungi. Teman, sahabat dan kenangan di sini adalah harta yang sukar saya cari ganti. Memori- itu antara yang akan saya bawa hingga ke mati. 
Buat teman-teman yang mengenali, doa saya agar sejahtera di sana. Saya tunggu anda jika ke Langkawi ya. Jangan lupa untuk mengutus berita. Teruskan membaca kemaskini saya di sini. InsyaAllah.
Salam,
Stabuxguy.

Featured Post

Coronavirus - Saat Getir Malaysia dan Jenaka Cik Kiah Yang Trending!

Jumaat, 27hb Feb 2020 10.25 malam Assalamualaikum... Ralit dari pagi, banyak juga hal-hal di guesthouse yang perlu saya ...