Salam Aidilfitri

Selamat menyambut lebaran kepada semua pembaca Darimejastabux!

KEDAI KASH : Khidmat Rekaan Grafik, Laman WEB dan Fotografi

BARU! Portal servis dan barangan online - GRAFIK, FOTOGRAFI, REKAAN LAMAN WEB. Klik untuk lebih lanjut!

Facebook Kash

Ingin tahu aktiviti harian saya, mana saya pergi, apa saya buat? Jadi kenalan saya di FB hari ini. :) Jumpa di sana!

Pages

Wednesday, January 20, 2010

Cerita Tahun Baru Yang Aman

Tahun baru, serba-serbi baru. Ada yang berazam, ada yang merangka-rangka rancangan- mahu lebih slim, tampil kacak bagi jejaka, oh dan lebih banyak simpanan juga ya? Ada yang mahu kahwin, jalan-jalan?

Hampir ke hujung bulan, ada yang sudah tertunai? Belum? Oh, injak ke bulan depan- Iya, iya. Ok.

Saya juga tidak terkecuali sebenarnya. Mula membuat kira-kira (cuba berjinak-jinak menggunakan planner yang baru dibeli), hampir sarat ke penghujung Mei agenda saya, buat saya tergaru-garu seketika. Dah separuh tahun tu. Duh, memang tak cukup waktu sebenarnya kita ni kan. Terasa sekejap sahaja masa berjalan.

Ke mana saya? Apa yang baru?

Bali dan Bangkok- dua destinasi utama saya untuk tahun ini. Mula merancang sedari tahun lalu, atas jemputan seorang kenalan, saya akan ke Bali Mei nanti bagi menghadiri perkahwinan beliau.

Entah kenapa sebenarnya, saya cukup sukakan Bali. Saban tahun ke sana, belum pernah sekalipun Bali menghampakan saya.

Bangkok pula antara destinasi yang belum pernah saya kunjungi. Dari bual kosong antara saya dan Sara, teman rapat saya beberapa minggu lalu, kami mula merancang percutian.

Sara yang saya kenali lebih setahun yang lalu melalui AM, kini menjadi antara mereka yang terapat dengan saya. Percutian ke Langkawi penghujung Disember lalu tambah mengikat lagi tali persahabatan kami.

Tahun baru juga tahun rezeki buat saya. Di samping kerja-kerja freelance yang berganda, tawaran kerja baru juga mencurah-curah. Bukan selektif, tetapi kesan dari beberapa peristiwa, saya cuba mencari yang terbaik.

Ada sesuatu yang saya ingin cuba. Sesuatu yang berkaitan dengan dunia belakang tabir sebuah industri. Nak tahu apa dia? Haha- nanti akan saya war-warkan kemudian.

Januari adalah permulaan yang baik untuk saya sebenarnya- memulakan tugas sebagai pereka grafik dan multimedia di salah sebuah firma kejuruteraan di Subang, saya anggap ini sebagai tanggungjawab baru untuk menjadi lebih serius dan mula memikirkan tentang komitmen-komitmen hidup. Antara cabaran yang perlu saya pikul- perlu lebih memikirkan soal diri sendiri. Sediakan payung sebelum hujan kata orang. Pengalaman benar-benar mengajar saya.

Hidup yang lebih tenang dan aman- tanpa gangguan atau perlu memikirkan kesesakkan, itu antara harapan saya untuk tahun baru. Saya berpegang pada prinsip, "Setiap orang bisa menggapai impian, cepat atau lambat- sabar. Itu kunci utama."

Itu kata-kata yang sering diucapkan kepada saya sewaktu kecewa. Saya biarkan mereka dengan kejayaan-kejayaan sendiri, terlalu suntuk untuk saya menoleh ke belakang.

Beberapa minggu kebelakangan ini adalah minggu-minggu yang begitu menyeronokkan. Masa yang terluang, setelah hampir dua tahun, saya cuba isikan dengan menghabiskan masa bersama teman-teman.

Pelbagai agenda, menonton wayang misalnya, buat saya lebih menghargai mereka. Saya tidak seharusnya menjadi seorang yang begitu pesimis seperti sebelumnya. Keluar dari kepompong yang saya sendiri tanam sejak bertahun-tahun.

Saya kira, itu adalah antara kesilapan kecil yang tidak saya sedari selama ini. Teman-teman adalah nadi saya. Kenapa agak lama saya memecilkan mereka?

Saya biarkan soalan itu bermain di fikiran.

Hidup yang mudah, pertambahan umur menjadikan saya (kian) matang. Saya cuba menari di laluan sendiri- pada yg sudi menerima, sayalah SAHABAT anda.

Mungkin ada yg membenci- Ah, saya tak mampu untuk penuhi kehendak semua orang. Tepuk dada, tanya selera. Saya bukan sempurna.

Kita masing-masih punya cerita bukan?

Nah, tahun baru yang aman- saya genggam dengan penuh harapan!

Stabuxguy.

Tuesday, January 5, 2010

CTKD : Canda, Tangis, Ketawa & Duka 2 Diva

Hampir sekian lama ternanti-nanti.

“Album ini bukanlah bertujuan untuk menonjolkan vokal siapa yang lebih hebat atau sebaliknya. Tetapi duet ini adalah sekadar melengkapi antara satu sama lain," - Siti Nurhaliza

Jika ada yang masih ingat tulisan saya minggu lalu- secebis tentang album terbaru duet dua diva tersohor, Dato' Siti Nurhaliza-Kris Dayanti, album masih panas di tangan, saya bawa ke dalam pemain mp3 ke Langkawi. Baik di dalam penerbangan, ke pantai, mahupun hanya bersantai di balkoni apartment Marina, saya ralit mendengar trek demi trek.

Mengambil tema ungu- suatu warna yang garang dan penuh kewanitaan, CTKD hadir dengan pakej yang hampir lengkap. Biarpun hanya mengandungi enam lagu duet (terbaru), namun diselitkan juga empat minus one, 'Tanpamu", "Amarah", "Hanya Dia" serta "Dalam Diamku" buat mereka yang gemar bernyanyi ataupun mahu melayan muzik instrunmental.

Mendengarkan keseluruhan album ini, ada yang meruntun, ada yang bisa buat hati saya berlagu, lebih-lebih gemersik paduan suara keduanya begitu buat saya melekat dan leka untuk terus mendengar bait-bait seterusnya.

Bukan bias, tapi album ini saya kira tepat pada masanya. Pada yang ditinggalkan cinta di tahun baru, nah, album ini untuk anda!

Saya mulakan dengan trek paling awal- Jika Kau Tak Datang.

Lagu : Audi Mok
Lirik : Krisdayanti & Riznadianka

Awas! Trek yang garang dan rancak. Buat saya jadi teruja sebaik cd terpasang. Mendengar bisikan Siti-Kris menyebut nama satu sama lain- seolah tanda amaran dan bersedia untuk trek-trek seterusnya.

Lirik yang ringkas namun catchy (jika didengar berkali-kali)- sesuatu yang jelas menangkap halwa saya di sini perkataan "gejolak" yang agak kerap disebut.

Menyala-nyala, berkobar-kobar di mana berkait dengan rasa atau perasaan yang membara keduanya.

Berikan masa- "Jika Kau Tak Datang" pasti menjadi siulan sebagaimana "Drama" dan juga "Ku Mahu", (keduanya ciptaan Audi Mok) sedikit masa lagi.

Oh, dan saya telahpun menetapkan "Jika Kau Tak Datang" sebagai nada dering terbaru di telefon bimbit!

Penilaian : 4/5

Sebagai Teman

Lagu : Sharon Paul
Lirik : Lew Mable

Anda percaya lirik yang bercakap?

Sebuah duet balada yang hebat (Siti sudah lama tidak mempunyai balada yang benar-benar bagus seperti ini)- dengarkan "Sebagai Teman". Ia seolah-olah perbualan dua sahabat, Siti dan Kris- luahan dan curahan emosi yang dicurahkan di dalam "Sebagai Teman" cukup meruntun. Kita seolah dapat menyelami isi hati KD dan juga Siti yang turut merasai 'kesengsaraan' sahabatnya.

"Sejak hari itu hatiku terluka
Namun ku sembunyi
Ku juga mengerti
Walaupun terselindung
Kau teman...
Aku fahami..."

Antara bait-bait yang dikarang Lew Mable (Siti Sound) ini ternyata begitu menyentuh. Jujur dan luhur. "Sebagai Teman" turut menjadi 'lagu kekuatan' saya saat ini.

"Oh Tuhan...
Tunjukkanlah jalanMu
Padaku untuk bahagia
Selamanya... oh..."

Penilaian : 4/5

Tanpamu

Lagu : Charly ST12
Lirik : Charly ST12

Sebuah lagi gubahan hebat hasil ciptaan Charly ST12, komposer dan juga vokalis kumpulan dari Indonesia. Merupakan satu-satunya karya luar tunggal di dalam album ini, "Tanpamu" mempunyai sedikit lenggok kemelayuan. Seakan menjadi trademark Charly, "Tanpamu" hadir sebagai antara duet terbaik di dalam album ini.

Menampilkan sekali lagi luahan hati Kris terhadap kisah kehancuran rumahtangganya, mungkin kebetulan, tapi dengar-dengarnya Charly sendiri menangis tatkala mendengar kedua pelantun hebat ini mengalunkan "Tanpamu" di studio. Gesekan biola oleh Hendri Lamiri menambahkan lagi emosi pada lagu ini.

"Sayang kuingatkan dirimu
Bahwaku tak bisa hidup tanpamu..."

Penilaian : 5/5

Amarah

Lagu : Audi Mok
Lirik : Dato' Siti Nurhaliza

Irama yang sedikit mengelirukan pada mulanya, seperti berlumba-lumba dan agak kelam-kabut namun lama-kelamaan sebaik anda mula menyelami bait-bait liriknya, anda pasti dapat mengikuti 'feel' lagu ini.

"Amarah" pada saya sebuah trek yang unik. Diperkuatkan dengan bunyi live strings dan rentak ala "Drama" memperkukuhkan lagi "Amarah" sebagai sebuah trek rancak yang mencabar vokal Siti-Kris.

Pesan saya, perlu dengar berkali-kali untuk dapatkan mood lagi ini.

Penilaian : 3/5

Hanya Dia

Lagu : Aubrey Suwito
Lirik : Pacha Andrian @ Fasha Osman

Sudah tiga orang teman saya menggemari lagu ini.

"Kalian dilamun cinta ya?", usik saya.

Satu-satunya trek jiwang untuk mereka yang asyik-masyuk bercinta. Permulaan yang bisa buat anda cepat-cepat menukar mood sambil tersenyum sendiri.

"Kuakui aku menggilainya
Kuakui aku menyintainya
Kisahku kisah dia
Cerita yang sama
Setiap detik hanya... dia..."

Balada yang seakan-akan lagu "Cintamu" dari album Hadiah Daripada Hati Siti ini, juga sebuah gubahan yang indah, lebih-lebih lagi jika anda dengar versi minus onenya, Oh- pada mereka yang perasan, "Hanya Dia" (versi minus one) telahpun saya jadikan lagu latar untuk blog ini sedari minggu lalu.

Penilaian : 3/5

Dalam Diamku

Lagu : Audi Mok
Lirik : Krisdayanti & Riznadianka

Awalan lagu (intro) yang dipetik dari "Für Elise", hasil gubahan Beethoven, komposer hebat dan tersohor dari German, menjadikan "Dalam Diamku" agak unik dan lari dari kebiasaan lagu Siti. Seingat saya, petikan sebegini pernah dimasukkan di dalam lagu Whitney Houston - Same Script, Different Cast (Duet with Deborah Cox) beberapa tahun dulu. Google dan cari nanti ya.

"Dalam Diamku" lebih bersifat 'melepaskan' berbanding "Tanpamu" dan "Sebagai Teman" lebih menjurus ke arah emosi yang menyesali ataupun kecewa.

"Telah ku pilih jalan ini
Meski kini ku sendiri
Renungi erti sepi
Tak lagi ada satu kata
Satu jiwa dalam cinta
Yang ada hanya hampa..."

Ia alunan mereka yang pasrah dengan keadaan dan bersedia untuk bergerak ke hadapan. Mungkin saya perlu lebih mendengar lagu ini bagi merawat perasaan sendiri berbanding 'Tanpamu".

Biarpun saya turut menyukai "Dalam Diamku", namun masih perlu masa untuk sama-sama merasai melodi dan 'rasa'nya. Mungkin jiwa saya lebih gemar melayan "Tanpamu" buat masa ini. Mungkin juga saya belum benar-benar bersedia untuk melepaskan?

"Yang hilang biarlah menjadi kenangan
Biarkanlah... lepaskanlah..."

Saya berikan CTKD 4.8/5 bintang. Jangan lupa dapatkan yang original di kedai-kedai muzik berhampiran anda ya!

Baca lain-lain ulasan (klik link) :

Anuar Kamaruddin
Fairuz Selamat
Pangeranz's
Chaq Zulfazli
Juayu

Terima kasih!

Stabuxguy