Saturday, November 29, 2008

Twilight : Saga Superhero Pontianak

Pernahkah anda membaca salah satu dari karya hebat yang ditulis oleh Stephenie Meyer ini?

Twilight merupakan buku pertama dan merupakan permulaan kisah saga percintaan manusia-pontianak di mana ianya memperkenalkan kita kepada Isabella "Bella" Swan, gadis berusia tujuh belas tahun yang berasal dari Phoenix, Arizona.

Kisah bermula sebaik Bella berpindah ke Forks (salah satu daerah terpencil di Washington) dan mendapati hidupnya berada di dalam bahaya setelah dirinya jatuh cinta dengan Edward Cullen, salah seorang pelajar lelaki di sekolahnya (yang juga seorang pontianak kacak).

Perjalanan dan kisah cinta Bella-Edward ini boleh didapati dalam beberapa siri iaitu New Moon, Eclipse dan Breaking Dawn (yang berbeza-beza garapannya).

Namun bukan tentang novelnya yang saya ingin ulaskan di sini, kini anda boleh mengikuti kisah pengembaraan Bella dan kekasihnya, Edward menerusi filem terbaru yang sedang berputar di pawagam-pawagam berhampiran, Twilight (mengambil judul yang sama dari novel).

Sama seperti kisah asal yang ditulis Meyer di novelnya, Twilight membawa anda mengembara ke sebuah daerah pedalaman di Forks (pastikan anda benar-benar bersedia!).

Terlatar dengan landskap hebat sebuah daerah terpencil, bergunung-ganang dan gaya hidup ala Country di Amerika, filem ini mampu memukau saya lebih dari jalan ceritanya.

Paling saya kagum melihatkan senibina rumah di mana Edward dan keluarga pontianaknya tinggal, siapa sangka pontianak yang begitu sinonim dengan suasana gelap dan suram (serta tak lari dari imej rumah besar-besar dan menakutkan), mampu hidup dalam rekaan rumah yang serba moden, canggih dan lengkap.

Ada satu dialog menarik antara Bella dan Edward sewaktu menaiki tangga.

"Graduation caps?", tanya Bella seraya menunjuk ke arah himpunan topi graduasi yang tertampal di dinding.

"Private joke. We matriculate a lot." Jawab Edward dengan selamba, merujuk kepada hidup pontianak yang abadi dan terpaksa mengulang sekolah tinggi berkali-kali.

Permulaan Bella yang agak degil dan keras kepala (namun lembut hatinya) diperankan dengan begitu baik sekali oleh Kristen Stewart (Jumper, Panic Room) sementara heronya pula seorang pontianak lelaki (Edward Cullen) yang agak keliru mulanya, juga dibawakan dengan cemerlang oleh Robert Pattinson (masih ingat beliau pernah memegang karakter Cedric di dalam siri Harry Potter, Order of the Phoenix dan Goblet of Fire?).

Saya sukakan babak permulaan kisah cinta Bella-Edward yang (agak) tidak tipikal sebagaimana filem-filem Hollywood yang lain, di mana Edward awalnya agak keberatan dan sukar berterus-terang. Edward yang penuh misteri dan lebih senang "tidak ambil peduli" perasaan Bella, lebih-lebih lagi latar-belakangnya bukanlah dari golongan manusia.

Namun babak "Lois Lane-Superman" (Edward menyelamatkan Bella dari dilanggar van dengan menolak dan menahan kenderaan berkenaan dengan satu tangan) telah memecahkan identiti sebenar Edward dan membuka peluang kedua mereka untuk lebih mengenali diri masing-masing.

Ada lagi satu dialog antara Bella dan Edward (sewaktu lawatan sekolah) buat saya tersenyum sendiri.

"Are you going to tell me how you stopped the van?"

"Yeah. Um... I had an adrenaline rush. It's very common. You can Google it."

Menarik tentang watak yang dipegang Pattinson ini, Henry Cavill (Stardust, Count of Monte Cristo) adalah calon pilihan pertama yang di pilih penulis asal buku ini tetapi memandangkan sewaktu penggambaran bermula, beliau telah pun berusia 25 tahun dan sudah tidak mempunyai iras wajah remaja berusia 17. Walaupun bagaimanapun Henry Cavill tetap ditawarkan watak sebagai Carlisle Cullen namun terpaksa menolak disebabkan telah mempunyai komitmen lain.

Bagi anda yang gemarkan perjalanan filem yang agak 'drama' dan meleret-leret (maksud saya, untuk membina karakter dan perjalanan cerita), anda pasti tidak kisah terpaksa menunggu sedikit lama untuk mengetahui apa yang bakal berlaku seterusnya. Twilight jauh dari membosankan, menonton filem ini sama seperti anda membaca novelnya (boleh jadi) atau menonton siri drama bersiri Charmed, misalnya. Ia realistik bagi anda yang meminati filem berasaskan dunia magik atau kuasa-kuasa mistik.

Babak keluarga pontianak bermain baseball benar-benar buat saya teruja, melompat sana-sini dari pokok ke pokok, dan berlari dengan pantasnya, memukul bola dengan laju, seakan menonton siri X-Men pula. Ia dipaparkan dengan penuh bergaya lebih-lebih lagi sewaktu Ashley Greene (memegang watak sebagai Alice Cullen, salah seorang dari keluarga pontianak) melontarkan bola baseball. Saya sukakan karisma yang ada padanya. Yakin. Ala-ala bionic women pun ada.

Kemunculan tiga pontianak penghisap darah (tracker vampire) pula agak klise, benar-benar mengulangi plot babak "mahu gaduh" antara kuasa baik dan jahat.

Selain diiring lagu-lagu runut yang segar dan enak didengar (ada Linkin Park!), keseluruhannya filem ini ternyata tidak mengecewakan. Tidak seratus-peratus bersifat remaja (biarpun pelakon dan latarnya masih di sekolah tinggi). Bagi saya, Twilight ia adalah klasik. Ia umpama menonton Romeo and Juliet versi moden. Cinta yang penuh keindahan dan metafora yang tersendiri.

Mungkin juga gabungan Catherine Hardwicke dan Meyer, sang pengarah dan penulis novel, Twilight mampu menjadi sebuah tontonan yang bakal diingati dan bisa diulang berkali-kali.

Jangan tak percaya, untuk hari yang sama sahaja, saya menonton filem ini sebanyak dua kali- berturut-turut.

Oh, berapa bintang dari saya?

Untuk sebuah filem yang akan saya tonton berkali-kali lagi seperti ini? Empat buat Edward, si pontianak dan tiga buat Bella.

Anda, bagaimana?

Stabuxguy - Tak sabar menunggu sekuel Twilight seterusnya.

Friday, November 28, 2008

Dari Lensa Stabux... Koleksi Snappy-Snappy

Dari kiri : Sharifah Shahrizad Syed Mustaffa, Ashraff Ahmad, Ed James dan Irwan Zulkefli (",)

Hmmm... saya suka salmon. Makan malam di Victoria Station, Bayan Baru

Antara koleksi buku paling saya sayang. Hadiah harijadi pemberian MB sewaktu ke Jogja-

Waahh... main bahasa insyarat la pula. Untuk siapa tu?

Satu-satunya foto yang bukan saya tangkap. Tiada kena mengena samada dengan yang hidup atau telah mati.. kui kui kui...

Rumah MB. Sudut paling menarik saya kira...

Magnet fridge kat umah MB pun jadi mangsa... hihihihi...

Mahu lihat lebih banyak lagi?

Layari :

+photoblog : http://www.photoblog.com/stabuxguy
+e-mail : kashatwork@gmail.com
+h/p : 014.6000.441

Wednesday, November 26, 2008

Dengar-Dengarnya... Album Baru Misha Omar

*Petikan Hiburan, Utusan Malaysia, Rabu, 26 November 2008
Album Misha muncul akhirnya

PAPA antara orang yang paling gembira apabila mendapat tahu tentang berita gembira ini.

Bukan sembarangan berita, tetapi, Papa percaya berita ini akan menjadi antara yang paling dinanti-nantikan oleh semua orang terutama sekali peminat setia penyanyi bersuara gemersik, Misha Omar.

Kalau semua nak tahu, album ketiga Misha akan mula berada di pasaran pada 3 Disember ini setelah memakan hampir empat tahun untuk disiapkan.

Ini bukanlah mimpi atau cakap-cakap kosong tetapi realitinya dan ia diberitahu sendiri oleh pengurus yang juga kakak kepada Misha iaitu Mimie Omar.

Papa juga tidak sabar untuk beli album Misha kali ini. Yalah, sebelum ini asyik lagu Nafas Cahaya, Sembunyi dan Jawapanmu. Teringin juga nak dengar lagu lain dalam album ini. Katanya, semua lagu sedap-sedap belaka.

Ini juga bermakna album Misha ini juga layak untuk dipertandingkan pada majlis Anugerah Industri Muzik (AIM) tahun depan.

Masakan tidak, empat tahun dalam pembikinan sudah tentu hasilnya setaraf dengan tempoh pembikinan yang lama itu. Papa dengar dari kawan Papa iaitu Bunga Cinta Pagi yang mengatakan ada sebuah lagu balada ciptaan Ajai teramatlah sedap juga dimuatkan dalam album Misha kali ini.

Adakah setanding dengan lagu Pulangkan atau Ku Seru? Ha, sama-sama kita nantikan. Oh ya, Papa musykil juga apabila lagu Jawapanmu yang dicipta oleh Cat Farish tidak tersenarai ke peringkat separuh akhir Muzik-Muzik kategori Pop Rock.

Nak kata lagu tu tak popular, memang mustahil sebab lagu Jawapanmu tu memang popular dan hampir setiap hari berkumandang di corong radio. Malah, bertahan lama juga dalam carta Muzik-Muzik.

Tak apa lah Misha. Tak ada rezeki kali ni. Insya-Allah, mana tahu rezeki awak tahun depan kan?

Stabuxguy - Soalan lazim kalau ke kedai cd/muzik,"Bila album Misha nak keluar?".

Tuesday, November 25, 2008

Kuala Lumpur, Buat Saya Tersenyum

Subang Skypark yang baru...

Tiba saja di lapangan terbang malam tadi, hati saya kembali terbeban dengan pelbagai persoalan. Untuk beberapa bulan lagi (sekurang-kurangnya), mampukah saya untuk bertahan?

Kamu! Ya, kamu... saya mahu kamu kembali...

Layanan baik dari para petugas Firefly di dalam pesawat setidak-tidaknya menghilangkan sedikit kerunsingan yang bersarang.

Sebaik menjejak landasan, saya terus menghidupkan telefon. Ada beberapa kiriman sms yang diterima. Salah satunya dari Toby, teman saya yang juga mahu pulang ke Kuala Lumpur pada malam yang sama.

Saya gegas menelefon. Moga-moga kami masih sempat bersua muka.

"Ya, ya- cuba lihat depan, i kat depan you je ni hah!". Saya lihat Toby tersenyum seraya berjalan mendapatkan saya. Tak sangka saya dapat berjumpa Toby di airport. Kebetulan dia juga bakal menaiki pesawat yang sama yang saya naiki tadi.

Toby, "pose i untuk peminat katanya...".

Hanya beberapa minit untuk kami berbual dan bertanya khabar. Saya terpaksa meninggalkan Toby memandangkan teksi yang ditempah sedang menunggu.

"Salam buat Abang Rudy ya!". Toby angguk sebelum saya hilang dari pandangannya.

Tiba di rumah, saya kembali melihat sekeliling. Perasaan yang sama seperti minggu lalu, melihat ruang bilik yang masih berkemas dan beberapa hari tidak berusik, saya genggam Bobo dan Fifi, erat, seakan tidak mahu melepaskan.

Fifi in da house...

Hujung minggu di Kuala Lumpur, banyak yang terjadi. Selain menjenguk sepupu yang telah pun berlepas ke luar negara, bertemu rakan-rakan, ada yang jarang saya jumpa selain menguruskan hal-hal berkaitan kerja.

Begitu singkat waktu terasa. Ada perkara gila-gila yang bisa buat saya tersenyum sendiri, dan ada juga momen indah yang buat saya terkenang sampai mati.

Sara & saya sewaktu minum-minum di Dome, Midvalley. Sempat pose sambil tunggu AM buat facial...

Makan pagi di Pantai Dalam, tengok wayang, jalan-jalan di Pavillion dan Bukit Bintang, lepak-lepak di Delicious (hingga ada yang terlanggar pintu semasa keluar).

Dan antara momen yang paling mengujakan saya, berdua, saya dan Karl, sahabat paling kanan saya- kami kembali melakukan 'apa yang pernah kami tinggalkan suatu masa dulu'.

"You gila!". Sepatah saya tuju kepada Karl.

"You lagi gila-".

"Kenapa?".

"Sebab you ikut plan i... hahaha!", dan kami sama-sama tergelak di dalam kereta. Itu yang paling saya suka tentang Karl- dia spontan dan jenis manusia yang tak banyak hal.

Malam Sabtu benar-benar menjadi milik kami. Untuk Karl, terima kasih kerana anda masih menjadi antara sahabat saya yang begitu memahami.

Saya kembali mengulit Fifi dan Bobo, dengan harapan Kuala Lumpur cepat-cepat menerjah ke mimpi saya.

"Ayo, Kash! Mahu ke Pavillion?".

Ya! Ya! Oh, saya mahu belek-belek buku di Times, tonton wayang di GSC, memesan ice chocolate kegemaran di Starbucks, dan err... bisa beli JCo untuk di bawa pulang?

Siapa sangka, mimpi saya bakal menjadi realiti, suatu hari nanti?

Saya tidur dengan senyum yang paling indah!

Thursday, November 20, 2008

Wishlist 2009 Bhg. 1

Jarang atau mungkin tidak pernah saya membuat senarai barang-barang idaman (wishlist) di sini. Samada saya memang tidak peduli atau mungkin juga selesa dengan apa yang telah saya ada sekarang.

Namun, ada beberapa barangan yang saya fikir menarik untuk dikongsi dan kini termasuk dalam senarai barangan-mesti-dapat-saya untuk 2009.

Nak tahu apa dia? Jom kita zoom satu-satu!

*Arep, Ted Baker sila baca dengan tarik nafas dalam-dalam ya-

1. Nissan Latio Sport

Jika anda mengenal saya sedari awal tahun 2000, antara model dan jenama kenderaan (kereta) yang paling awal saya minati ialah Lantis (Mazda), diikuti dengan Satria GTi.

Seterusnya, model Harrier dan RAV 4 (keduanya dari keluarga Toyota).

Sekian lama model-model ini bersarang di kepala, awal tahun 2005, saya mula meminati Gen-2 (dari keluarga Proton) sebelum bertukar kepada Mercedes A170 (seorang teman saya memilikinya sewaktu di Germany).

Cuma akhir-akhir ini sahaja minat saya terhadap kenderaan bertukar kepada model yang lebih logik (dan mampu milik) seperti Civic Hybrid (Honda).

Terbaru, dan paling hampir (berkemungkinan) menjadi milik saya (tak tahu bila.. hahaha!) adalah Latio Sport (Nissan).

Memiliki pengetahuan yang sifar dalam bab-bab kereta, pilihan saya hanyalah bergantung kepada rekabentuk semata-mata.

Pilihan warna?

Dari zaman Lantis, hinggalah ke Latio, putih masih menjadi warna pilihan utama saya.

2. Nokia N96


Pertama kali melihat iklan terbaru model Nokia ini di panggung wayang, saya terus berkata dalam hati, "saya harus dapatkannya satu!".

Err, suatu hari nanti, ya ya-

Tertarik, bukan sahaja disebabkan oleh iklannya yang unik (saya suka babak gadis comel yang kehilangan arah itu) malah apa yang ditawarkan oleh model ini bukanlah calang-calang.

Selain dari kuasa kamera 5 megapixel (sama seperti N95 terdahulu), model ini turut menawarkan ciri tambahan seperti fungsi live TV serta memori terbina dalam sebanyak 16GB (tambahan slot kad memori SD bagi yang inginkan lebih fleksibiliti).

Mengagumkan, bukan?

Harga pasaran bagi sebuah unit Zitron buat masa ini ialah RM2, 999.

Ada sesiapa bisa dapatkan harga yang lebih murah? Cepatt! Hubungi saya segera!

3. Calvin Klein MAN

Calvin Klein MAN mengandungi rosmeri, limau, buah pala, spearmint, kayu cypress, dan, oh serta juga ramuan biasa (mungkin berlebihan) seperti bauan haruman bergamot, violet leaf, guaiac wood, sandalwood, amberwood (yang cukup popular sepanjang tahun lalu) dan kasturi.

Apa pun itu sekadar info, apa yang menarik saya terhadap jenama ini (pertama kali saya benar-benar menyukai haruman keluaran CK) adalah rekaan botolnya. Ya, itu sahaja. Oh, selain faktor campuran bau-bauan yang saya nyatakan tadi.

Secara ringkasnya, ia kena dengan saya.

4. Sony Alpha A300

Nak cakap apa lagi, antara model dari siri Alpha yang memang berbaloi dimiliki terutama sekali bagi orang yang baru nak berjinak-jinak dalam dunia fotografi seperti saya.

Senang dan mudah di konfigurasi serta mempunyai beberapa ciri tarikan yang unik, antaranya- fungsi Live View, skrin LCD yang boleh ditarik keluar (sehingga 130°), Super Steady Shot, selain resolusi tinggi 10.2 megapixel.

Tanya beberapa teman, mengapa Alpha?

Saya senyum. Mengapa tidak?

Harga di pasaran (A300)- RM2, 599

5. Flipside 300 dari Lowepro



Beg kompak untuk ruang penyimpanan digital SLR. Sesuai untuk jurufoto kembara dan mereka yang sentiasa berkejar ke sana-sini dengan kelengkapan kit tambahan.

Padat, ringan- memberikan anda kelebihan untuk penyimpanan SLR digital tanpa perlu merosakkan kamera.

Ruang kapasiti :

1 Pro DSLR bersama 300mm f/2.8 lens
1–3 lens tambahan atau unit flash
1 tripod
kabel pelbagai guna
kad memori
manual/buku panduan
lain-lain aksesori digital

Harus saya ke Low Yat atau Sony Style di KLCC selepas ini.

Ada sesiapa yang tahu di mana saya bisa dapatkan beg ini?

6. Sony SAL85F14Z Planar T 85mm F1.4 ZA Lens

Jujurnya, jika anda menyoal saya beberapa bulan lalu, apakah ini? Fungsinya? Hahaha! Mati hidup balik saya hanya menjawab, ianya hanyalah sebuah lens- tak lebih dari itu.

Ok, ok- untuk kegunaan kamera, mungkin?

Tambah lagi jika dimasukkan pula "nama" aksesori ini, Sony SAL85F14Z Planar T 85mm F1.4 ZA Lens, bisa buat saya tergaru-garu tidak tahu.

Antara lens termahal dan keluaran terbaik dari keluarga Alpha. Sesuai untuk anda yang benar-benar mahu menghasilkan sebuah imej (foto) atau potret yang bagus.

Harganya? Telan liur seketika. Saya bisa membeli dua unit model N96 untuk satu lens ini.

7. Beatmix Bumblebee Speaker

Awal 90-an, saya antara berjuta kanak-kanak di dunia yang menjadi penggemar kepada siri kartun Transformers di TV. Antara watak kegemaran saya dalam siri ini ialah Soundwave (Perakam Mikro-kaset dari autobot Decepticon).

Namun, sepanjang mengikuti siri ini, ada satu lagi robot comel yang lebih menarik minat saya, iaitu Bumblebee. Baik hati, bijak- Bumblebee sekali lagi berjaya menawan hati saya menerusi filem Transformers (2007). Biarpun mengalami transformasi yang ketara dari segi fizikal dan wajah, ia masih menepati ciri-ciri sebuah autobot bernama Bumblebee yang saya minati.

Beatmix Bumblebee Speaker ini antara item atau barangan yang menarik perhatian saya sewaktu berkunjung ke gedung Toys "R" Us di Subang Parade bulan lalu.

Boleh disambungkan ke iPod mahupun pemain Mp3 yang lain, Beatmix Bumblebee Speaker ini akan menari dan mengikut rentak lagu yang dimainkan.

Hahaha! Comel bukan?

8. InterAction WALL-E

Popular dengan sebutan ejaan namanya sendiri, InterAction WALL-E ini juga saya temui di gedung Toys "R" Us. Tak banyak yang saya tahu tentang alat mainan ini, cuma saya tahu saya sukakan Wall-E dan keluaran ini adalah antara koleksi peribadi penggemar Wall-E yang harus dimiliki.

Yang penting, dia mampu sebut, "Waaalll-Eeeeii...".

Mahu saya senaraikan lagi? Hahaha. Cukup dulu ya- kita tunggu bahagian seterusnya. Nanti ada yang pening pula.

Selamat berhujung minggu.

Jumpa lagi!

Stabuxguy.

Tuesday, November 18, 2008

Hidup Mesti Terus?

Lena saya tidur. Tak sedar senja sudah meninggalkan saya. Oh, hampir larut malam sebenarnya.

Sesekali meraup muka yang kusam. Melihat ke ruang sekeliling, hati saya jadi sayu tiba-tiba. Terfikir, di mana saya untuk beberapa bulan akan datang? Bisakah saya menikmati suasana yang sama seperti yang saya lalui sekarang? Bangun pagi, cepat-cepat ke kamar mandi, berkejar ke sana-sini, pulang ke rumah, ke gym hari-hari- semua rutin yang saya lakukan sendiri.

Benar, biarpun sesekali saya bertemankan MB (dan kakak-kakak Diva yang baik hati), tapi naratifnya nanti tidak akan sama. Orang baru, suasana baru- pendek kata saya kembali menjengah apa yang telah hampir setahun saya tinggalkan.

Tengahari tadi saya memberitahu MB dua berita gembira. Saya tak pasti samada ianya benar-benar berita gembira (lebih-lebih buat MB), namun suka atau tidak, jauh di sudut hati, bohong jika dikatakan saya tidak teruja.

Ya, saya tahu. Selama beberapa lama saya di sini, beberapa bulan akan datang bakal merubah keseluruhan hidup saya. Mungkin drastiknya, tidak secara total, tapi cukup akan memberi impak kepada sesuatu apa yang saya cari-cari selama ini.

Kata MB, "Tuhan sentiasa permudah jalan orang yang sabar...".

Secara positifnya, saya cuma mahu melihat ianya suatu peningkatan dalam kemajuan hidup seseorang individu, mungkin bukan untuk saya sahaja, malahan sesiapa sahaja. Saya pasti MB juga mahu melihatnya secara begitu (lebih-lebih lagi ada orang sudah mahu kembali menjadi 'kaya' sebaik Januari tiba.. hahaha!).

Logiknya, hidup saya di sini, ada individu yang bisa saya beritahu (keseluruhannya) dan ada yang (saya fikir) lebih baik menjadi simpanan peribadi sahaja. Saya anggap itu normal. Setiap dari kita mempunyai perancangan dan pilihan masing-masing bukan? Biar saya laksanakan satu persatu (dengan tenang).

Pilihan adakalanya membuat saya keliru. Antara meninggalkan yang lama dan memulakan sesuatu yang baru (biar sezarah mana pun pilihan itu pernah mengecewakan saya), saya bukanlah individu yang kuat sebenarnya. Saya benci mengarang nostalgia. Kenangan hanya bakal membuat saya bertambah lemah.

"It's time for you to move back...". Saya petik sms teman A hari ini.

Teman B pula menulis, "Take you time and and get planning to move back. We here would be very very happy if you did. We miss you...".

Perenggan yang paling banyak buat saya berfikir.

Lama saya berteleku di katil, jujurnya, andai saat itu benar-benar datang nanti, dan saya ditakdirkan harus pergi dan merencanakan kehidupan sendiri, saya tak pasti yang saya betah melakukannya sepenuh hati (biarpun itu yang sering saya mahukan).

Hujan renyai-renyai. Saya bangun membasahkan diri.

Kehidupan perlu diteruskan.

Esok episod baru akan bermula...

Stabuxguy

Friday, November 14, 2008

Seram Ala Histeria... Bersediakah Anda?

Semalam saya menerima e-mail berganda, bukan satu-dua, malah lebih dari lima!

Kiriman Encik Ira (Ira Fazir), dari Tayangan Unggul- rakan lama, dan kami pernah beberapa kali berkerjasama sewaktu di Kuala Lumpur dulu- kata Ira, minta muatkan semua ya!

Duh, banyak nih- kok gi mana ya... hahaha!

Tak sangka selepas setahun, mereka (Tayangan Unggul) masih tak putus-putus menjemput dan menghantar e-mail-e-mail berkaitan filem baru keluaran syarikat mereka kepada saya.

Maaf jika sudah lama saya tidak membuat sebarang ulasan di sini, selain kekangan waktu, faktor jarak juga membataskan saya untuk menghadiri sidang media dan pelancaran filem-filem baru di ibukota.

Histeria

Bakal menjengah sinema Malaysia bulan depan (18 Disember)- tak silap saya, pernah melihat posternya di GSC Gurney Plaza beberapa minggu lalu. Fikir saya, ianya sebuah filem Indonesia (dek rekabentuk posternya yang agak lain dan nama-nama pelakonnya juga agak asing). Ternyata saya agak tersasar, sebaik menerima e-mail Ira, Histeria adalah seratus peratus produk tempatan.

Membaca sedikit profil pengarah ini, Histeria telah mendapat sentuhan kreatif James Lee, seorang pengarah "indie" yang kali pertama mengarah filem arus perdana. Oh, tidak hairanlah rekaan posternya amat bagus- James adalah seorang pereka grafik juga!

Agak sukar untuk saya memberi ulasan yang adil kepada beliau. Namun melihatkan hasil cemerlang filem The Red Kebaya sebelum ini, bisa saya katakan James seorang yang amat kreatif dan tahu menggunakan kemahiran sebagai seorang pengarah layar dengan sebaik mungkin.

Jalan cerita Histeria

Histeria mungkin sebuah lagi antara filem-filem seram yang kian membanjiri pasaran Malaysia, namun melihatkan trailer dan gambar-gambar yang dikirim Ira, Histeria ada menjanjikan sesuatu yang lain buat anda. Elemen seram dan ketakutan yang maksima (dan agak ekstrem) ada di mana-mana bahagian filem ini (berdasarkan trailer).

Duh, mendengar alunan lagu temanya sahaja (nyanyian Nadia AF6) juga sudah berdiri bulu roma-

"ke mana engkau pergi ku akan turut di diri kamu
setiap hembus nafasmu akan ada di sisi kamu
walau kau coba untuk sembunyi
kau takkan dapat terlepas..."

Menggunakan "hantu raya" sebagai subjek utama, filem ini berkisarkan gangguan yang diterima oleh enam orang pelajar perempuan di sebuah sekolah terpencil, ia seakan mencungkil sebuah kisah benar yang yang benar-benar wujud dalam masyarakat kita.

'Gangguan' yang awalnya cuma dibuat-buat (sebagai guraun mungkin) bertukar menjadi igauan ngeri keenam-enam mereka sebaik kehilangan salah seorang rakan karib dan diikuti pula dengan beberapa siri pembunuhan kejam di kawasan sekolah.

Melihatkan senarai pelakon utamanya agak membuatkan saya tergaru-garu seketika, masakan tidak, melainkan nama Linda Jasmay (Ira, bantu saya sebut nama gadis ini!) dan juga pendatang baru dari drama Awan Dania dan filem Antoo Fighter, Scha Alyahya (oh, saya suka dia!), semuanya agak asing bagi saya.

Agak mengejutkan nama pelakon-pelakon tersohor cuma memegang watak pembantu, misalnya Kazar (tukang kebun), Vanida Imran (ustazah?), Ramli Hassan (pakar psikiatri) dan Adlin Aman Ramlie (cikgu disiplin).

Sebahagian dari strategi pemasaran mungkin (atau sebagai mewarnai dan lebih tarikan filem).

Apakah yang sebenarnya berlaku? Siapakah yang membunuh mereka? Nantikan tayangan filem ‘Histeria’ di pawagam berhampiran anda. Mungkin anda adalah sasaran berikutnya...

Hahaha! Matilah tagline hujung tu buat saya senyum sendirian.

Baca ulasan lain filem Histeria di sini :

Budiey.com

p/s : Seram sejuk menonton trailer Histeria malam-malam. Kusss.. semangat!

Stabuxguy - Maaf kepada Encik Kodok kerana tak dapat join ke Majlis Tayangan Perdana "Los Dan Faun" petang tadi. Kata Ajami, "Very good! Kelakar bangett!". Rugi.. rugii...

Wednesday, November 12, 2008

Catatan Libur Di Kuala Lumpur Bhgn. 2

Dalam perjalanan...

Habis makan-makan, saya dan Ir gegas ke Temerloh pula. Memang saya agak teruja lebih-lebih lagi ibunya awal-awal lagi dah menyiapkan beberapa hidangan Pahang istimewa untuk saya. Kali kedua saya ke Temerloh sebenarnya. Biarpun ia hanyalah sebuah pekan kecil, Temerloh tetap tersendiri di hati saya.

Rumah Ir... cantik langsirnya. Saya suka... :)

Puas menikmati makan malam dengan hidangan ikan patin masak tempoyak dan laksa johor, selain melakukan rawatan muka siangnya, saya juga mengikut Irwan untuk melakukan reflexology di sana. Pertama kali mencuba, hasilnya boleh tahan juga.

Ting tong lepas habis facial... huhuhu...

Lucu bila saya asyik tergelak-gelak sebaik si tukang urut mengusap-ngusap kaki. Geli-

Besoknya, sebaik sarapan, kami kembali ke Kuala Lumpur. Aktiviti di Sunway Lagoon menunggu. Paling penting, saya tak sabar-sabar nak jumpa Alif, Helmi, Wardy, Ted, Siddiq dan rakan-rakan yang lain.

Basah bersama itik kuning...

Biarpun cuma separuh yang datang (yang tak dapat tu lain kali kita buat lagi kay!), namun tetap terasa kemeriahannya. Memang seronok dan kecoh dengan pelbagai gelagat sesama sendiri.

Macho la kunun... huhuhu...

Helmi paling awal tiba- diikuti saya, Irwan dan Ted (bersama Ash). Sorry ya Memey! Saya dan Ir menunggu Ted menaiki LRT di Bangsar (sempat pose-pose lagi kat bawah LRT).

Alif dan Siddiq kumpulan ketiga tiba diikuti dengan Wardy.

Mulut sapa paling luas menjerit?

Awalnya kami mahu mengambil pakej All-Park, tetapi akhirnya mengubah rancangan untuk memasuki Theme Park/Scream Park sahaja. Bimbang tak cukup masa.

Sesi 'mengenyangkan' diri.. blurrpp!

Karl dan kawan-kawan paling akhir tiba. Itupun kami jumpa dia dah hampir ke hujung-hujung. Meriah dan tetap dengan gaya 'bertopi'nya, Karl datang bersama Fadhil (berbaju kuning) dan Ein (tukang amik gambar).

Hampir ke jam enam petang, masing-masing bersurai. Saya dan Ir hantarkan Ted dan Ash ke LRT Kelana Jaya sebelum singgah mengambil Acai di Bandar Utama.

Biarpun sedikit penat, namun teringatkan penerbangan Aritha ke US malam ini, saya dan Ir gagahkan juga ke KLIA.

Atas tuntuan kerja, Aritha yang baru saya kenali kira-kira dua bulan lalu, bakal mengikuti suaminya ke Amerika Syarikat.

Bersama Aritha sebelum berlepas...

Sama seperti Acai, Zalina, Shasha- saya juga agak kurang mengenali Aritha. Hanya cerita-cerita Ir banyak mendekatkan saya dengan mereka.

Hahaha! Jangan risau- semua yang sampai ke telinga saya adalah yang baik-baik sahaja.

Dari kiri, Acai, Aritha, Ir dan Zalina

Saya kira, Ir bertuah punya sahabat seperti kalian- teman susah-senang.

Ahad, 9 November 2008.
10.30 pagi.

Saya menghantar Ir ke Hentian Pekeliling. Mahu pulang ke Temerloh, ada hal katanya.

"Kereta?".

"Tinggal di sini sahaja. Petang nanti Ir datang semula. Awak pandu la ke mana nak pergi. AM pun ke PD kan." Saya angguk.

Saya tunggu sehingga Ir menghilang.

Apa rancangan hari ni?

Saya pandu ke Pantai Dalam. Beli sedikit sayuran dan ikan segar- dalam hati berkira-kira meminta Sue, aunty saya memasakkan untuk lauk tengahari nanti.

"Shah, jangan lupa beli ikan tu. Jumpa di rumah Along tengahari nanti." Berkali-kali Sue, aunty saya memesan. Paling saya gemar ikan masak kicap dari air tangannya. Ringkas tapi harus kena dengan cara membuatnya. Baru selera!

Kazenku yang sporting...

Saya juga mengajak Zul, sepupu saya yang begitu meminati fotografi untuk turut serta makan tengahari di rumah kakaknya- boleh belajar-belajar ilmu fotografi.

Kasihan Zul, terhenjut-henjut dia dek luka kemalangan. Gara-gara jatuh motor, namun masih sanggup meluangkan masa untuk saya.

Sesi berborak selepas makan-makan...

Meriah juga sesi makan-makan keluarga kali ini. Awalnya, saya hanya sms kepada beberapa orang sahaja (mana yang dekat dan sempat), tak sangka hampir semua keluarga (sebelah ayah) di Kuala Lumpur datang. Untung juga semua dapat berkumpul macam ni. Bukan senang, tambah-tambah masing-masing sibuk dengan urusan kerja.

Pose ala hip hop dari Bil Bil...

Paling saya terhibur dengan gelagat si Nabil atau pun kami gelar Bil Bil. Anak sulung Kak Long saya ni (kakak Zul) memang petah dan lincah. Dari awal membuka pintu pagar dah sibuk memanggil, "Ayah Shah! Ayah Shah!". Hahaha, comel.

Memang penat hujung minggu saya. Macam-macam aktiviti, situ sini- namun bersama semuanya, baik rakan, teman-teman mahupun keluarga, buat saya gembira (tak terkira).

Penerbangan pulang kali ini mencatat senyuman paling manis buat saya. Masih terngiang kata-kata Ir, "tahun depan, kamu pulang ya!".

Itu saya semat ke hati yang paling dalam.

Kuala Lumpur, tunggu saya pulang!

Budak Kopi.

Featured Post

Coronavirus - Saat Getir Malaysia dan Jenaka Cik Kiah Yang Trending!

Jumaat, 27hb Feb 2020 10.25 malam Assalamualaikum... Ralit dari pagi, banyak juga hal-hal di guesthouse yang perlu saya ...