Friday, July 25, 2008

Sex And The City The Movie : Cinta Lahir Di Kota New York

Apabila sebuah cinta yang indah disatukan, magisnya, ia direncah dalam sebuah kota yang sesak dan sarat dengan segala macam cerita- dari label, fesyen dan rekaan para pereka ternama- lahirlah SEX AND THE CITY.

Carrie Bradshaw- ikon yang bagaikan hidup dalam pemikiran setiap pengikut setia siri ini, tidak terkecuali saya. Seorang penulis ruangan seks, cinta dan fesyen Majalah Vogue di Bandaraya New York. Berusia lewat 40-an (namun masih jelita).

Bermula musim pertama, Carrie mula menulis dan bercerita. Setiap apa yang diperkatakan, baik di cafe-cafe, party, percutian- semuanya menjadi bahan dan koleksi yang memperlengkapkan kolum dan ruang penulisannya.

Bergabung tenaga dengan tiga lagi nama dan tunjang utama siri paling popular dan glamor di saluran HBO ini, Kim Cattrall (Samantha Jones), Kristin Davis (Charlotte York) dan Cynthia Nixon (Miranda Hobbes), keempat-empat "gadis dewasa" ini melangkah dengan penuh bergaya di laluan runaway tahun ini dengan debut terbaru mereka, SEX AND THE CITY THE MOVIE.

Filem yang paling ditunggu-tunggu para peminat setia siri ini (khususnya), telah pun memulakan tayangan di Amerika (dan hampir seluruh dunia) pada Mei lalu, kini menjengah hamparan "karpet merah" di Malaysia dengan tayangan perdananya malam Khamis lalu.

Dengan dibantu barisan para pelakon asal lain seperti Chris Noth (Mr. Big), Jason Lewis (Jerry 'Smith' Jerrod), Willie Garson (Stanford Blatch) dan David Eigenberg (Steve Brady), kemunculan filem ini pasti menjadi buah tangan paling berharga buat para peminat Carrie dan rakan-rakannya.

Menarik lagi, filem ini turut diserikan dengan kemunculan khas Jennifer Hudson (Dreamgirls) yang memegang watak sebagai Louise, pembantu peribadi kepada Carrie selain beliau turut menyanyi salah satu lagu dari album runut bunyi, ''All Dressed In Love''.

Seorang yang kelakar, dinamik dan berpengetahuan, Louise bukan sahaja membantu Carrie malah mengajar wanita ini erti sebuah cinta sebenar. Louise yang berhijrah ke New York kerana desakan dan mahu mengubah hidup. Lebih lucu, Louise yang jujur gemar menyewa beg-beg rekaan pereka terkenal menerusi laman web 'bagborroworsteal.com'.

Untuk maklumat lanjut sila klik di sini. :)

"It's a rental. Like Netflix for purses." Antara tagline si Louise yang pasti diingati mereka yang menonton filem ini.

Kisah bermula sebaik Carrie dan Mr. Big kembali ke New York dari percutian mereka di Paris (ingat lagi musim ke-6, episod 93, An American Girl in Paris?).

Seperti wanita bujang yang lain, perkahwinan (sesuatu yang bukan-Carrie sebenarnya) merupakan faktor pengikat yang akhirnya menjadi plot utama hampir keseluruhan filem ini.

Dari persiapan ala-Vogue, jemputan yang menginjak dari 75 orang ke 201 orang dah akhirnya menjadi konflik awal pencetus ketegangan antara Carrie dan Mr. Big.

Mr. Big yang termakan dengan kata-kata Miranda, "You two are crazy to get married. Marriage ruins everything," pada latihan makan malam perkahwinannya, gagal untuk muncul di saat-saat akhir menyebabkan Carrie kecewa dan marah.

Saya tabik kepada Samantha kerana biarpun dia agak gila-gila dan sukar diramal kadangkala, namun adalah sesuatu yang bagus untuk menggantikan honeymoon Carrie-Big dengan percutian mereka berempat ke Mexico.

Tetap dengan label stereotype-nya, pantang ternampak lelaki kacak, namun untuk versi filem, Samantha digambarkan lebih sopan dan setia kepada cinta.

Tersentuh dengan kasih-sayang dan perhatian Smith yang menjaganya sewaktu rawatan kemo (tonton balik siri - musim ke 6), Samantha mula lupakan diet dan berat badannya bertambah gara-gara mahu menghilangkan perasaan ghairah terhadap jirannya sendiri!

Kisah jenguk pula apa kisah Miranda. Bersama anaknya, Brady (yang kini telah pun memasuki usia lima tahun- empat tahun selepas siri tv berakhir), konflik perkahwinannya bermula sebaik Steve membuat pengakuan telah meniduri seorang wanita- dan hanya sekali tetapi telah mengguriskan hati Miranda.

Mereka "berpisah" dan Miranda membawa Brady pindah ke apartment baru.

Kehadiran Steve yang muncul di majlis latihan makan malam tambah memanaskan hati Miranda. Punca kenapa dia melontarkan kata-kata kepada Mr. Big (penyebab Big kembali sangsi dengan keputusannya untuk mengahwini Carrie dan muncul di majlis perkahwinan mereka keesokkannya).

Charlotte York, satu lagi karakter penting yang diperankan dengan begitu baik sekali oleh Kristin Davis. Seorang yang agak konservatif namun bijak, mementingkan kesempurnaan dan peraturan. Paling penting- dia satu-satunya di kalangan mereka berempat yang begitu mempercayai ikatan perkahwinan.

Dianugerahkan perkahwinan yang bahagia dengan Harry Goldenblatt (Evan Handler), lelaki yang sama sekali berlawanan dengan ciri-ciri yang diimpikannya- Harry seorang yang botak, pendek, berpendidikan namun agak bodoh kadang-kala (Harry merupakan bekas peguam peribadi Charlotte sewaktu penceraiannya dengan Trey McDougal, lelaki sebelumnya) dan mempunyai masalah bau badan.

Jika di musim terakhir episod, pasangan ini telah mengambil seorang bayi angkat dari China, untuk versi filem, Charlotte telah disahkan mengandung dan selamat melahirkan seorang bayi comel dari benihnya sendiri.

Memang puas sebenarnya menonton filem ini. Pelbagai suka-duka seakan kita turut berada di dalam dunia mereka, jika anda benar-benar penggemar setia, anda faham maksud saya.

Sungguh durasi 2 jam 28 minit tidak terasa. Seakan menonton episod sepanjang musim pula!

Oh- dengar-dengar bahagian kedua filem ini bakal menyusul nanti. Apa jadi dengan pasangan pengantin baru, Carrie-Big? Mampukah Miranda kembali pertahankan perkahwinannya dan memafkan Steve? Bagaimanakah pula Samantha, yang kini kembali menjalani hidup sebagai "wanita bujang" di usia yang mencecah 50 tahun? Juga Charlotte, dengan kelahiran bayinya- sempurna!

Percaya atau tidak, saya keluar dari pawagam dengan perasaan paling bahagia. 5.5 bintang untuk mereka!

Teringat kata-kata Samantha Jones, "Is a relationship saying his name fifty times more a day than my own?".

Stabuxguy - Bravo Samantha!

5 comments:

Anonymous said...

Good review, bravo Kash. Even saya bukan seorang pengikut setia series Sex and The City, ia membuatkan saya ingin menonton di pawagam. Untuk menyaksiksan sendiri 5.5 bintang yang anda katakan. Saya pecaya ia pasti berbaloi.. Thanks for the great review..

stabuxguy said...

salam zul,

haks... janggal pulak membalas komen anda. ya, SATC amat bagus. mungkin bagi penggemar-penggemarnya, saya berani mengatakan YA!

cuba sendiri, tonton dan hayati karenah mereka di pawagam ya- saya pasti anda juga bisa khayal seperti saya. :)

K.

stabuxguy said...

hideney,

terima kasih! saya pasti anda adalah antara berjuta fans SATC di Malaysia.

saya juga suka samantha, namun mungkin kerana persamaan minat, saya senang memilih carrie.

p/s : lucu bila carrie sering mengerutkan muka- pasti ada sesuatu yang tak kena!

K.

Anonymous said...

label or love.. i pilih ZARA..


macam u..

xoxo
ai la ni

stabuxguy said...

label or love- duh, ai la ni... u pilih ZARA ya? hmmm hmmm...

me - tafakur 5 saat!

K.

Featured Post

Coronavirus - Saat Getir Malaysia dan Jenaka Cik Kiah Yang Trending!

Jumaat, 27hb Feb 2020 10.25 malam Assalamualaikum... Ralit dari pagi, banyak juga hal-hal di guesthouse yang perlu saya ...