Hampir dua jam memandu di lebuhraya. Mata saya masih segar (biarpun agak penat) dihidang pandangan sawah dan bukit-bukau yang menenangkan. Dalam hati asyik teringatkan Tok Su. Apa khabar nenek angkat saya itu agaknya?
Terbayang kudrat Tok Su yang masih kuat menyusun kayu-kayu di belakang rumah, sesekali mencantas anak pokok dan bercucuk-tanam di kebun kecil yang dibuatnya sendiri.
"Lapar?". Saya pandang Kak Sam di sebelah sebelum mengangguk.
"Kita singgah di Kuala la. Bungkus laksa dan makan kat rumah. Ok?".
Kami ke Kuala Perlis. Sempat ke kawasan pesisir membeli udang dan ikan sebelum ke gerai laksa dan rojak berdekatan.
"Cukup?". Hahaha! Ok la tu. Dah banyak sangat makanannya. Kang tak habis pula. Kalau ke Perlis tak sah rasanya kalau tak merasa dan makan macam-macam.
Hari dah hampir gelap bila kami tiba di rumah Tok Su. Dari jauh kelihatan Tok Su tersenyum sebaik ternampak kelibat saya. Kami bersalam dan berpelukan seketika. Rindu pada Tok Su terubat, sekurang-kurangnya.
Malam itu kami menikmati hidangan laksa Perlis di samping rojak udang dan pasembor yang dibeli tadi. Kenyang! Puas dapat borak-borak dan mendengar Tok Su bercerita. Satu slot yang wajib saya fokus bila berkunjung ke sini.
Tok Su gemar dan spontan bercerita. Dari kisah hidupnya hinggalah tentang politik dan isu semasa. Membuatkan saya bertambah kagum dan hormat pada ilmunya. Tak hairanlah jika Kak Sam dan adik-beradiknya yang lain juga mewarisi sikap dan keperibadian yang sama. Alangkah bagusnya jika saya juga dilahirkan di kalangan mereka.
"Takpe Wan*, Wan pun Tok Su dah angggap sebahagian dari keluarga. Rumah Tok Su ni, rumah Wan juga...". Terharu saya mendengar bila Tok Su berkata demikian. Saya pandang Kak Sam.
*Wan = panggilan Tok Su kepada saya
"Hai, nampaknya susahlah i pas ni asyik jadi warganegara dunia ketiga je. Tok Su dah mula sayang kat you nampaknya!". Seloroh Kak Sam membuatkan kami tertawa.
Esoknya, awal-awal lagi kami dah rancang untuk menikmati pulut ayam di Padang Besar. Pada yang tak tau macam mana rupa dan rasanya, hah kalau sesenang bebila dan singgah ke mari, boleh lah mencuba ya. Cuma pulut biasa yang di padankan dengan ayam goreng berempah. Enak lebih-lebih lagi jika dimakan panas! Salah satu dari hidangan kegemaran saya jika berkunjung ke mari.
Jarak rumah Tok Su ke Padang Besar takde la jauh sangat. Kira-kira empat puluh minit perjalanan. Itu pun tak rasa sebab ralit memandu dan menikmati penorama yang maha-awesome sepanjang jalan. Antara tempat-tempat menarik yang sempat kami singgah ialah Tasik Timah Tasoh (terletak berhampiran MRSM - sekolah lama saya!), Gua Kelam dan juga Wang Kelian.
Tasik Timah Tasoh
Tak banyak perubahan yang wujud di sini kecuali terdapat bangunan peniaga dan gerai yang dibiarkan kosong. Sayang. Jika dulu guru-guru sering mengadakan perjumpaan dan aktiviti homeroom di sini. Paling saya suka pemandangan tasik yang kehijauan dilatari deretan bukit-bukau di belakangnya. Kata guru saya dulu, bukit-bukau itu adalah merupakan sempadan Malaysia-Thai.
Gua Kelam
Dari Tasik Timah Tasoh, saya meneruskan perjalanan untuk ke Gua Kelam pula. Dah lama saya teringin untuk singgah ke mari sebenarnya. Tak sangka Kak Sam sanggup temankan saya.
Sebaik meletakkan kereta, kami berjalan kaki untuk ke pintu gua. Ramai juga pengunjung tempat ini rupanya. Merupakan kawasan jeram dan perkelahan popular, antara sinonim lain di Gua Kelam selain tarikan gua batu kapurnya yang unik.
Dengan bayaran serendah RM2 sahaja, anda bisa kembali merentas ke awal zaman 1900-an di mana gua ini digunakan sebagai tujuan perlombongan bijih timah. Disebabkan saya mempunyai masalah Batophobia*, hanya suku daripada isi gua yang bisa saya teroka. Biarpun ralat, namun saya terpaksa akur dengan perasaan sendiri. Memang saya gayat!
*Batophobia - Perasaan takut bila berhadapan dengan bangunan/struktur tinggi/besar.
Wang Kelian
Pelik juga sebenarnya kerana kebanyakkan tempat-tempat di negeri ini bermula dengan perkataan 'wang'. Puas saya bertanya situ-sini maksud di sebalik perkataan ini. Ada yang berkata ianya bermaksud 'gua' atau pintu di dalam bahasa Thai. Tapi menurut laman internet yang saya baca, wang mempunyai kaitan dengan tin atau timah yang dikeluarkan oleh pelombong-pelombong dahulu.
Mungkin ada antara anda yang tahu. Berminat mahu berkongsi ilmu dengan saya? E-mail ya!
Berbeza dengan Padang Besar, Wang Kelian lebih kecil, biarpun barangan yang dijual di sini hampir sama, namun apa yang menarik untuk ke sini, anda terpaksa meredah turun-naik bukit (yang agak curam). Oh, jangan lepaskan peluang untuk melihat pemandangan ladang tebu yang saujana mata memandang. Memang memukau!
Takjub saya seketika.
Padang Besar
Terlupa saya- Dari Wang Kelian, kami langsung ke destinasi dan agenda utama - beli pulut ayam di Padang Besar!
Hanya satu gerai yang saya tahu ada jual pulut ayam paling sedap di sini. Rasanya memang sedap dan merupakan antara hidangan popular penduduk di Perlis.
Tak sah kalau tak jalan-jalan dan membeli di Padang Besar. Teringat ibu dan nenek saya dulu-dulu, jika ke Rantau Panjang atau Wakaf Baru, mesti macam-macam yang dibeli mereka. Dari tudung saji, pinggan-mangkuk dan periuk (yang sebenarnya dah ada berkepuk-kepuk kat rumah) hinggalah ke toto (comforter) yang biasanya dijadikan tempat tidur.
Saya pun tak alah. Berpusing-pusing dari satu kedai ke satu kedai.
"Ada pjama untuk lelaki tak?". Soal saya selamba seraya menunjukkan ke arah Kak Sam. Dia pandang saya terkebil-kebil. Garu kepala penjual tu dibuatnya.
Kami balik hampir jam tiga. Kasihan tinggalkan Tok Su lama-lama di rumah. Dah ajak, tapi berkali-kali Tok Su tolak. Tak larat nak jalan-jalan katanya.
Petang saya tertidur. Dek penat barangkali. Lena sangat dapat lelap di kampung. Saya sedar sebaik jam hampir ke marghrib. Teringat yang Tok Su ada meminta tolong mengalihkan kayu pintu lama yang terletak di atas alang di sebelah rumah. Kata Tok Su, dah tiga puluh tahun kayu-kayu itu di situ (diletakkan oleh arwah suaminya) tanpa sesiapa pun datang mengusik.
"Takpe Wan. Kasihan kat kamu. Kayu-kayu tu berat. Mana larat kamu nak angkat sorang-sorang. Tok Su dah upah orang kampung datang buat nanti. Kamu rehat ya." Saya pandang Kak Sam. Ralat pula sebab tertidur.
"Takde apalah. Tok Su kasihankan kamu tu. Dah pegi mandi. Nanti kita minum petang!".
Malam itu kami makan beramai-ramai. Ada Mak Ngah dan Rina yang baru datang dari Alor Star. Mak Ngah ialah anak Tok Su, juga ibu saudara kepada Kak Sam. Rina, anak tunggal Mak Ngah seorang yang agak pendiam. Sesekali saya cuba mengusik dan bercerita macam-macam.
"Terima kasih...".
"Untuk apa?". Soal Rina.
"Pajeri nih. Sedap you masak!". Puji saya. Kak Sam buat-buat tidak peduli. Dia sibuk dok bersembang dengan Mak Ngah.
"Bukan i lah, Tok Su dan ibu yang buat. Rina tolong kacau je tadi." Ujarnya malu-malu.
Esoknya, hari terakhir di Perlis. Mak Ngah dan Rina telah pulang semalam. Saya dan Kak Sam akan hantar Tok Su ke Alor Star hari ni sebelum kami bersambung balik ke Pulau Pinang.
Saya puas biarpun sekejap di sini. Terkenang malam sebaik habis sesi makan-makan, saya, Kak Sam dan Tok Su, kami bertiga duduk di sofa di luar rumah, berbual-bual dan paling menarik, Tok Su banyak berkongsi kisah muda-mudanya. Ada yang buat saya senyum sendiri, tak kurang yang buat saya bersyukur yang saya hidup di zaman teknologi.
Saya tak pasti sampai bila saya akan terus bisa mendengar Tok Su bercerita. Baik Tok Su mahupun Kak Sam sendiri, mereka sudah bagaikan keluarga saya. Biarpun ada kisah-kisah kami yang tak dapat dicerita, ah, terlalu kompleks saya kira- namun, antara sedar dengan tidak, itulah sebenarnya nadi yang semakin menguatkan hubungan kami. Tarik nafas dan lepas perlahan-lahan. Sekali lagi, buat saya tersenyum sendiri.
Stabuxguy - Never ending story...
2 comments:
Wah..pengalaman yang best... ada hidangan yang best, kenangan lama, bertemu ngan teman bual yang akrab. Tak sangka Tok Su ni petah juga ya. Alangkah baiknya.. kalau Perlis dekat ngan Penang. Nak balik setiap minggu pun boleh..
O ya...dah lapar ni..terbayangkan Laksa Perlis, Pulut Ayam, dan hidangan dalam gambar.. Grrruugh..Bunyi perut..
Tahulah apa nak buat ya!
awak ni sedara mara ngan Odie ker?
Post a Comment