Wednesday, April 29, 2009

Edisi Bedah Gigi- Selamat Tinggal Kesakitan!

Tengah tahan sakit waktu ni, dalam keta masa dah balik dari hospital...

Lebih seminggu dari hari saya menjalani GA di Hospital Putrajaya, hanya duduk di rumah dan bergantung terhadap ubat sepenuhnya.

Alhamdulillah, hampir baik kata doktor. Namun entah kenapa rasa sakit yang merenggut di kedua-dua belah bahagian rahang gigi saya masih belum pulih.

Pose dengan RD malam sebelum hari pembedahan...

Kali terakhir saya melakukan pemeriksaan ialah pada 27 haribulan lalu di mana jahitan pada bahagian berkenaan di keluarkan. Perit. Jika diminta untuk GA kali kedua, sungguh saya tidak sanggup. Bukan kerana GA itu sendiri sementelah anda tidak akan sedar apa-apa, tetapi kesan selepas rawatan GA dijalankan.

21hb April 2009
7 pagi

Pose waktu dalam bilik persalinan... memang dah nervous sangat waktu ni...

Saya tiba di kaunter pendaftaran wad Day-Care di Hospital Putrajaya untuk pendaftaran masuk. Dari situ saya diarah untuk terus naik ke wad Day-Care yang terletak di tingkat 1 dan diberikan sepasang baju persalinan khas (biasa dipakai pesakit ke dewan bedah).

Selesai bersalin pakaian, saya masuk ke wad Day-Care dan diminta tunggu untuk diberi penerangan oleh beberapa orang doktor terlibat. Tidak ramai pesakit pada hari berkenaan, mungkin disebabkan waktu yang masih terlalu awal.

Tengah tunggu doktor untuk diberi penerangan. Berdebar jangan cakap la...

Beberapa ketika kemudian saya didatangi oleh dua orang doktor, seorang doktor pakar bius dan seorang lagi doktor yang bakal menjalankan GA ke atas saya.

Saya diminta menandatangani beberapa helai dokumen sebagai akuan bersetuju untuk melakukan pembedahkan. Perasaan? Hanya Tuhan yang tahu perasaan saya. Macam-macam persoalan. Pertama kali melalui semua-semua ini, bagaimana perasaan anda jika di tempat saya?

Saya cuba mengawal perasaan sebaik mungkin. Mujur Ir ada menemani saya sepanjang pagi. Demi Tuhan, saya tidak fikir saya bisa menjadi kuat tanpa kehadirannya.

Biarpun hanya menjalani GA bagi membedah dan mencabut tiga batang gigi, tanpa kehadiran ahli keluarga sendiri, terasa anda benar-benar kesepian di dunia ini.

Perasaan sama yang saya lalui sewaktu menerima scroll di majlis graduasi tidak lama dulu. Anda berjubah, memandang kiri-kanan tanpa kehadiran mana-mana ahli keluarga- apa pun itu pilihan. Dan saya terpaksa cuba melalui semua-semua itu dengan hati yang kuat. Memikirkan dalam meniti hidup, ini adalah antara ketentuan-ketentuan yang perlu saya lalui. Suka atau tidak, kena hadapi, kata saya berkali-kali kepada diri sendiri.

Saya cuba bergurau melihat Ir, dia tabah, masakan tidak saya. Meskipun diheret pelbagai asakan, saya cuba menjadi sekuat dirinya. Menerima saya menjadi seorang yang penting dalam hidupnya dan keluarga adalah antara anugerah terhebat yang pernah saya dapat.

Terbayang wajah Puan Ainon dan Encik Zulkefli, kedua ibu bapa Ir yang menerima saya ibarat anak sendiri.

"Kalau datang ke Temerloh, beritahu ibu ya, jangan segan-segan, nanti ibu masakkan gulai tempoyak ikan patin."

"Nanti selalu-selalu lah jenguk abah dan ibu di sini, kamu dah kami anggap macam anak sendiri."

Mungkin saya sedikit beremosi, namun saya fikir Ir antara manusia bertuah yang masih bisa mendapat kasih-sayang dua orang manusia terhebat dalam hidupnya.

"Encik Wan, kami akan mula meletakkan sesalur udara ini di mulut encik. Encik akan mula rasa mengantuk dan tidak sedar. Sila tarik nafas perlahan-lahan ya...". Itu kata-kata terakhir yang saya dengar dari seorang nurse terlibat.

Hampir dua jam GA dijalankan. Saya sedar sebaik mendengar suara beberapa orang nurse sedang bercakap-cakap.

"Encik ok? Mahu apa-apa?".

"Sa... saa- kitt...".

"Encik rehat dulu ya. Nanti saya panggilkan rakan encik tadi...".

Itu antara momen yang masih saya ingat.

Dari hari ke hari, alhamdulillah, kesihatan saya semakin baik namun masih bergantung kepada ubat dan painkiller sementara menunggukan luka dan kesan pembedahan pulih sepenuhnya.

Ah, terlantar di rumah, hanya melakukan kerja-kerja ringan bisa buat saya cepat bosan. Rindu mahu ke gym, jalan-jalan, menonton wayang.

"Rehat dulu. Gigi tu belum cukup baik lagi tu. Dah betul-betul baik esok, baru ke gym." Itu antara 'nasihat' yang harus saya dengar hari-hari.

Tarikh hari keluarga yang makin mendekat, menuntut saya untuk melakukan macam-macam.

"Shah, progress video macam mana? Dah siap edit? Design banner dah buat? Streamer? Oh, tag nama jangan lupa!".

Sekurang-kurangnya saya tak buang masa. Kembali mengadap kedua-dua pc dan laptop, ya, saya teruja untuk kembali menyiapkan semuanya.

Buat Ir, yang saban hari sabar menjaga dan menemani saya, terima kasih yang tidak terhingga. Pada teman-teman yang sms, telefon bertanyakan khabar, tak kurang yang datang menjenguk, juga terima kasih saya tujukan buat anda semua.

Saya sayang kalian.

Stabuxguy.

Monday, April 20, 2009

Perlu Ke Tak Perlu?

Perasaan berbaur. Perlu ke tak perlu? Esok adalah hari yang sedikit 'menakutkan'. Sakit gigi. Beberapa minggu lalu ada saya siarkan di sini tentang perihal gigi bongsu saya yang sakit dan bakal dibuat pembedahan kecil untuk mencabut kedua-duanya (kiri dan kanan).

[ Klik di sini untuk rujuk posting sebelumnya. ]

Balik dari membeli dvd installer software InDesign CS4 di Low Yat pagi tadi, saya menelefon Dxoul, teman saya yang juga merupakan seorang doktor gigi. Kata beliau, pembedahan perlu kalau masih terasa sakit. Jujurnya dari hari geraham atas saya dicabut hujung bulan lalu, hingga ke hari ini, kesakitan langsung hilang. Buat saya merasa teragak-agak untuk melakukan pembedahan esok.

Kata Dxoul juga, saya akan alami kemungkinan bengkak pada gigi dan kesukaran untuk makan selama hampir seminggu. Duh! Bagaimana ya? Perlu atau tak perlu?

"Kalau you jadi I?".

"I tak cabutt... sakittt... hahaha!", gelak Dxoul. Bagus. Langsung tak membantu.

Saya tergaru-garu sendiri. Awal-awal pagi lagi kakak misi dah telefon untuk memastikan tarikh kehadiran esok.

"Ya Encik Kash, jadi ya untuk pembedahan esok?".

"Ya, jadi.. jadii....". Dalam hati mengetuk-ngetuk kepala sendiri kerana laju memberi jawapan.

"Nanti awak kena puasa, tak leh merokok, minum setitis pun tak boleh dari jam dua belas tengah malam sampai la ke waktu pembedahan dijalankan." Gulp! Saya telan liur. Mati la. Terus rasa nak pengsan sorang-sorang kat umah.

Terus saya ambil kunci kereta dan pandu ke Leisure Mall, Cheras. Ok, harus ke gym dan tonton movie. Untuk waktu-waktu macam ni, itu terapi saya.

Stabuxguy - Tahniah buat sepupu saya, Fadzli dan isterinya, Maria di atas kelahiran baby girl pertama mereka pagi ini. Terasa bertambah lagi usia saya.

Sunday, April 19, 2009

Lagu Gym Baru Dan Cerita Tengok Wayang

Saya dah ada lagu baru!

Ya, ya! Sekian lama berlari-lari di treadmill gym hanya ditemani Mulan Jameela (single Mahkluk Tuhan Paling Seksi yang saya pasang ulang-ulang), kini saya berkalih kepada lagu-lagu dari album Little Buddha- Buddha Bar Clubbing Collection, antara koleksi Buddha Bar terbaru yang saya miliki. Pada yang mengikuti koleksi lagu-lagu yang saya pilih di Trek Stabux, sekarang anda tahu saya penggemar world music.

Muat turun sahaja ke iPod, antara trek yang paling mengujakan saya (untuk berlari tanpa henti) ialah Luca Ricci pres. Ventunesimo Secolo - Tribute to San Francesco D'Assisi (Sultan Remix) dari trek pertama. Trek pembuka yang begitu energetik selain mempunyai (sedikit) unsur-unsur lagu tema dari drama siri Heroes. Saya suka!

Jujurnya saya serius bersenam sekarang. Pantang ada masa terluang, masa saya banyak dihabiskan di gym. Samada di KLCC, Leisure Mall mahu pun (sesekali jika rajin) ke The Curve di Kota Damansara. Tidak lama, paling kurang sejam, berbekalkan jadual senam untuk saya catat aktiviti, tiga empat kali seminggu pasti saya di gym. Bukan kerana cakap-cakap orang, untuk kesihatan dan kepuasan sendiri. Itu kata saya berkali-kali.

Oh, ya- sudah menonton He's Just Not That Into You? Adaptasi dari sebuah novel popular (judul yang sama) hasil garapan Greg Behrendt dan Liz Tuccillo. Sebuah filem adaptasi yang berjaya saya kira (selepas Confessions of a Shopaholic yang mengujakan).

Saya sukakan semua karakter di dalamnya- Scarlett Johansson, Justin Long, Ben Affleck, Drew Barrymore (antara beberapa). Lucu, sedih, drama, direncam dalam situasi perhubungan yang berbeza namun berkait.

Ditulis berdasarkan salah satu episod dalam siri popular Sex And The City, "Pick-A-Little, Talk-A-Little," di mana seorang lelaki menolak pelawaan karakter Miranda
untuk naik ke apartmentnya selepas keluar bersama, dengan membuat alasan beliau mempunyai hal yang lain, teman Carrie memberitahu, "He's just not that into you", sambil menambah, "When a guy's really into you, he's coming upstairs, meeting or no meeting."

Menarik dan mampu buat anda terhibur, dua frasa yang saya kira cukup untuk menarik anda ke panggung, oh lupakan soal-soal etika yang tidak sesuai dengan cara hidup kita di Malaysia. Banyak lagi fokus-fokus utama dan sudut positif dalam perhubungan yang boleh dinilai. Saya letak contoh, perempuan perlu kuat, tidak perlu menunggu atau terhegeh-hegeh terhadap seorang lelaki. Itu fakta. Juga tak mustahil, wanita yang kita perlekeh dan menjadi teman bual hari-hari bisa menjadi orang yang paling kita rindui dalam kehidupan sehari-hari!

Ah, cinta itu universal!

Lama tidak bertemu Aidit (sejak kembali beliau kembali dari Dubai), menonton He's Just Not That Into You? baru-baru ini adalah 'date' pertama kami. Ampun ya Dit, bukan sengaja jauhkan diri, cuma kondisi masa yang kurang sesuai.

Saya mengambil peluang ini untuk berbual-bual dan menjejak kembali apa yang kami tertinggal. Aidit yang masih lucu, namun kadang serius perwatakkannya, saya anggap lebih sekadar teman. Hampir lima tahun mengenalinya, dia antara yang saya anggap 'senior' dan sahabat paling rapat- adakalanya pesannya pedas, namun terkesan.

Bersama Aidit, Irwan dan Wardy juga menyertai saya, dua teman wajib yang saban setia menemani saya sedari dari hari pertama kembali ke Kuala Lumpur.

"Sorry, Kash. I cuma dapat teman you guys tengok wayang. Tak dapat nak join ke gym."

Saya baca sms Wardy antara sedih dan simpati.

Jejaka yang saya gelar lelaki paling sibuk ke sana-ke mari. Kadang saya kasihan melihatnya. Hal-hal rumah, perniagaan, macam-macam perlu ditanganinya. Sejak kembali dari Dublin, keluarga di tangga paling pertama. Hanya sepicing masa untuk keluar bersama teman-teman, dan itu yang digunakan sebaiknya.

"Anak sulung, haruslah." Pendek jawapan si empunya tubuh acapkali saya mengutarakan persoalan. Saya angguk. Begitulah kehidupan.

Saya juga tidak utuh sebenarnya sejak kembali ke sini. Hati harus kuat. Mujur tatkala saya serasa seperti dicampak, masih ada yang memberi saya segenggam harapan.

Silap jika orang masih menganggap diri anda hebat. Si polan A setelah beberapa tahun pastinya berubah. Hidupnya berubah. Orang-orang di sekelilingnya berubah. Rakan-rakannya berubah. Situasi berubah. Kita harus bisa menyerap dan menyesuaikan diri, antara nasihat yang masih saya pegang.

Hidup saya mudah? Tidak juga. Setiap kita ada kelebihan bukan? Jalan manusia itu bercabang-cabang, kena bijak merencana. Guna sebaiknya. Itu kata hati saya.

Oh, pada anda yang mencari pereka poster, kad perniagaan, flyers, bunting atau apa sahaja yang berunsurkan grafik- e-mailkan pertanyaan/sebarang detail kepada kashatwork@gmail.com. Terima kasih.

Stabuxguy - Ada sesuatu yang menunggu di hadapan. Doakan laluan saya cerah.

Wednesday, April 15, 2009

Tribute To Aritha!

Menemani Ir balik ke kampungnya di Temerloh isnin lalu memberi saya idea untuk membuat entry ini, khas buat Aritha, sahabat saya di Amerika. Beliau yang juga orang Temerloh (yang juga teman rapat Ir) kini menetap di sana kerana mengikut suami tercinta.

Menjawab soalan Aritha di ruangan komen pada entry sebelumnya, sign 'Temerloh' yang ala Hollywood tu baru aje diletakkan. Kami pun baru tahu. Menurut kata abah Ir, baru je dua bulan. Sebab tu kami excited mengambil gambar. Dalam kepala dah terbayang-bayang, kalau la Aritha nampak gambar-gambar ni, mesti dia suka. At least bleh jugak hilangkan rindu you kat hometown sendiri ye tak? Hahaha...

Dan menyambung gambar-gambar entry di bawah tu juga, ni lagi dua keping (sorry gelap, diambil dengan handphone kamera N95 je) gambar kitorang (me ngan Ir) waktu makan-makan kat restoran favourite you all berdua kat bandar Temerloh (waktu belajar dulu). Memang best food dia. Pertama kali I makan chicken chop yang tak 'plastik' rasa dia. Sweet sour chicken yang Ir order pun best. Too bad, I lupa apa nama restoran dia. Nanti later dah ingat I tulis kat sini ya.

To Aritha, enjoy those pics!

Snappy-Snappy@Temerloh

Stesen keretapi Mentakab... next time bleh naik keretapi dari sini je ke Tanah Merah. Lebih cepat, tambang pun lagi murah... cuma RM18 je (sehala)...

Esplanade Temerloh... best untuk ambil angin pepetang...

Ir dengan ibu tercinta...

Sign ala Hollywood di tebing sungai Bandar Temerloh... :)

Tuesday, April 7, 2009

Masa Terindah

Gembira. Ada beberapa sebab. Sekadar ingin berkongsi- hayati masa-masa terindah dalam hidup saya sepanjang minggu lalu.

Tak terkata, terima kasih (tak terhingga) buat dua individu yang begitu intim dalam hidup saya sepanjang lima tahun lalu.

Entry ini khas untuk anda.

Terima kasih, terima kasih.

Wednesday, April 1, 2009

Talentime Dan Tulisan Dunia Hiburan

Samada minat saya terhadap saya makin tersasar ataupun faktor lama tidak menulis (mengulas) tentang rencah dunia hiburan tanahair - baik filem atau album baru di pasaran, acara-acara karpet merah, mahupun AF sendirinya (jujurnya saya tidak begitu mengikuti AF musim kali ini).

Sepeninggalan ke Germany dulu, membawa saya jauh dari semua-semuanya, hanya sesekali bertanya khabar, pernah Vernon (Mr. Manager) menegur, kenapa lama tidak menulis sewaktu di Germany, Ajami juga tertanya-tanya. Saya masih ingat, waktu itu kemaruk Syawal dan Dafi baru sahaja keluar dari AF dan menjalani hidup sebagai selebriti.

Dari jauh, saya hanya mengikuti perkembangan dan cerita yang ditulis oleh teman-teman, seronok membaca buat saya terlupa, oh saya juga pernah menjadi sebahagian mereka.

Beberapa kali juga Adila dari TV3 menjemput saya- dan masih setia mengundang ke tayangan-tayangan perdana filem-filem baru untuk blogger di Malaysia. Kembali dari Germany, saya hijrah pula ke Pulau Pinang. Satu lagi kembara yang mengekang saya untuk menerima tiap jemputan. Sabar, kata hati saya. Cuma setahun sahaja. Tak lama.

Tapi kita tak tahu apa kemungkinan yang bakal berlaku bukan?

Jemputan ke Talentime baru-baru ini sekali lagi terpaksa saya tolak. Terfikir, adakah saya sudah benar-benar bersedia? Jika awal-awalnya, saya anggap tugas ini cukup mudah- pergi, tunjuk muka, tonton, balik dan tulis. Itu sahaja. Namun, ianya lebih dari itu. Saya tidak bisa (dan tak mungkin) menjadi Budiey. Hanya ada seorang Budiey di Malaysia. Begitu juga SM (Sultanmuzaffar). Lihat di mana dia bertapak sekarang. Tinggal saya yang masih mencari-cari arah.

Kata seorang teman, saya memilih untuk menjadi seseorang yang lebih baik di dalam sebuah 'dunia' yang lain. Biarkan SM, Budiey mahupun sesiapa dalam dunia dan 'kepakaran' mereka masing-masing.

Saya tidak boleh menjadi mereka. Biarpun terdetik rasa rindu untuk kembali bersama dan bertemu di majlis-majlis seumpama, namun harus saya akui, cuaca hidup kami tidak sama. Entahlah. Jujurnya saya kekok bila bertemu dan berbicara tentang dunia artis. Lebih sedap jika menonton filem-filem lakonan mereka dari jauh, atau mendengar lagu-lagu dendangan mereka tanpa mengetahui kehidupan sebenar mereka, bagaimana, macam mana, dengan siapa.

Untung saya cuma satu (waktu itu), tidak perlu membeli majalah-majalah hiburan- segalanya dalam tangan!

Terlepas tayangan perdana Talentime baru-baru ini, tidak bermakna saya dingin terhadap filem terbaru Yasmin Ahmad ini. Biarpun saya mengharap untuk tidak menonton sebuah lagi Sepet, namun harus saya akui, Yasmin tetap Yasmin. Seakan menjadi trademark beliau, hubungan cinta yang melangkaui fahaman agama, budaya dan bangsa (rujuk Sepet, Gubra) di samping perjalanan cerita yang selari dengan kisah-kisah lain namun berkait (samada berbaur sinikal atau berunsur pengajaran), Talentime pastinya sebuah skrip segar yang (barangkali) tidak terfikir oleh mana-mana sutradara di Malaysia untuk menghasilkannya.

Yasmin bukan hebat. Namun dia kreatif dengan cara dan adunannya sendiri. Setiap perjalanan filem-filemnya tidak dibiarkan sepi dan terhimpit dengan persoalan-persoalan, buat penonton seperti saya gelisah dan tergaru-garu kepala sendiri setiap lima minit, menyoal, "duh, siapa si polan-si polan ni, dari mana dia datang, apa kaitan?", dan lima minit sejurus jugalah kami mendapat jawapan. Buat penonton tersenyum dalam hati.

Terpesong dengan dadah, hantu (yang tak berapa hantu), kisah rempit dan drift yang dikomersilkan tak habis-habis (maaf, bukan saya anti ya) saya kira Talentime muncul tepat pada waktunya. Filem yang sederhana, namun penuh dengan warna. Paling saya suka- antara yang terbaik saya kira di kalangan deretan filem-filem arahannya.

Talentime

Watak bisu si Mahesh (Mahesh Jugal Kishor), bermain cinta dengan 'gadis Melayu' bernama Melur (cantik namanya selepas Orkid) diperan sebaiknya oleh Pamela Chong.

Terngiang-ngiang lagu 'O Re Piya' sewaktu babak keduanya bersilang (ter)tidur di ruang tamu, juga buat airmata saya (hampir) menitis sewaktu Mahesh berlutut memohon maaf terhadap ibunya di bawah rumah. Dengan hanya berbahasa isyarat, Mahesh berjaya menterjemahkan emosinya dengan begitu baik sekali. Karakter Mahesh seakan hidup, dan babak ini segera teringatkan saya kepada tipikal filem-filem Hindustan (paling dekat Kabhi Khushi Kabhie Gham).

Namun paling buat saya terfikir (dan tersenyum juga) respon sinis salah seorang adik-beradik Melur kepada Ida Nerina (Cameo- Datin Kalsom) sewaktu dalam perjalanan ke Cameron Highlands, "Mei Ling itu masuk Islam, bukan masuk melayu... masuk arab...". Tajam tapi tepat. Fikir-fikirlah.

Err, Yasmin. Anda sebenarnya hebat.

Lain-lain ulasan :

Ajami Hashim

Akan Datang :

Merah-Putih
[klik untuk info]

Ulasan 'Matahari'
Drama Bersiri terbaru di slot Akasia, TV3

Stabuxguy- dah jumpa cinta sejati.

Featured Post

Coronavirus - Saat Getir Malaysia dan Jenaka Cik Kiah Yang Trending!

Jumaat, 27hb Feb 2020 10.25 malam Assalamualaikum... Ralit dari pagi, banyak juga hal-hal di guesthouse yang perlu saya ...