Dua hari yang menyeronokkan. Hujung minggu bersama Dr. Juliana (Dr. Ju) dan anak-anak, dari masak-masak di apartment barunya (saya berani cakap, Dr. Ju memang pakar masak-memasak) hinggalah berkelah di Teluk Bahang- melihat Danial yang girang bermain air, Iman yang tidak lagi malu-malu, seakan merestui rancangan saya mengajak mereka ke pantai petang Ahad yang lalu.
Sekian lama tertangguh, Dr. Ju, tanpa banyak soal menerima ajakan saya, dan MB, kami berkereta ke Teluk Bahang yang terletak hampir kira-kira tiga puluh lima minit dari rumah.
Puas berjamu nasi Bukhari di rumah, MB dan Dr. Ju membekal pula roti, kuih-muih (dibuat sendiri oleh ibu Dr. Ju di kampung) - paling suka karipapnya!
Pertama kali saya merapati Danial dan Iman, tidak seperti selalunya, kami bercakap, bergurau, dan pertama kali saya cuba mendalami diri keduanya.
Tersentuh sebaik Danial mendakap dan berkata,"Uncle Kash, kenapa baru sekarang uncle mahu take care pasal Danial? Nanti uncle dah nak tinggalkan Danial ya?".
Saya kelu melihat ke wajah mulusnya. Anak yang tidak mengerti apa-apa.
"Jom mandi. Kita lawan renang ya!". Saya tarik tangannya ke gigi air. Kami berenang sepuasnya.
Saya sukakan tempat ini. Jauh dari kesibukkan, dan berbanding dengan kawasan lain di Ferenggi, Teluk Bahang lebih privasi, dek kerana sedikit terpencil mungkin. Tidak banyak kemudahan namun sesuai untuk bersantai dan berehat-rehat di hujung minggu.
Puas bermain air, kami berfoto pula. MB tak habis-habis memetik kamera. Saya lihat Danial lari seketika ke arah anak sekumpulan kanak-kanak yang sedang bermain layang-layang. Dia ralit di situ. Saya cuma membiarkan. Menyertai Dr. Ju dan MB menikmati minum petang, kami duduk berborak.
Hampir ke lewat senja kami pulang. Tidak sedar malamnya mahu memandu ke Perlis pula. Sudah beberapa kali Tok Su menelefon. Bimbang takut terjadi apa-apa.
"Kena tiba sebelum Tok Su tidur. Kasihan dia. Tok Su pasti tunggu kita...". Ujar MB. Saya angguk. Kembali ke rumah Dr. Ju menghantar beliau dan anak-anak, saya dan MB bertumpang mandi. Hampir ke jam lapan malam, kami bergegas mula meninggalkan rumah Dr. Ju. Sempat Danial sekali lagi datang memeluk saya.
"Jangan lupa Danial ya!". Saya angguk seraya mengusap ke anak rambutnya.
Bersambung...
1 comment:
ermmm nak balik KL kan?
tinggal la i sorg kat penang ni. huk2
Post a Comment