Sunday, December 28, 2008

Catatan Akhir Tahun 2008

Sepanjang minggu Crush menemani saya. Berselang-seli dengan single terbaru David Archuleta, Your Eyes Don't Lie yang agak catchy, jenuh menunggu Lentera Timur di pasaran, buat saya gelisah malam-malam.

Oh, saya junjung jari buat teman-teman yang tidak dapat saya sertai aktiviti mereka- Acai dan Sabrina ke Singapura (guys, how i wish dapat join- uh!), juga buat Abang Rudy, Toby dan Abang Nazri yang dengar-dengarnya dari Sabtu pagi telah bertolak ke Butterworth. Saja habiskan cuti akhir tahun katanya.

Ke mana saya? Sibuk, sibuk juga- ke sana-sini, hal-hal kerja, sempat saya menyelinap mencuri masa memandu ke Perlis melawat Tok Su. Kata MB, dari Aidilfitri Tok Su rindukan saya.

"Dah macam-macam projek dok tunggu you, tanam pokok, cat dinding, belum campur bertukang dan kemaskan halaman..", seloroh MB.

Saya bayangkan Tok Su yang masih aktif membuat itu-ini, rehat tak sampai lima minit, pasti ada sahaja aktiviti yang ingin dilakukannya.

"Wan, projek A- jangan lupa."

"Wan, projek B- nanti Tok Su bagi arahan-". Saya dengan rela hati mengikut tanpa membantah. Entah kenapa Tok Su mengingatkan saya kepada kedua orang nenek saya di kampung. Bezanya, Tok Su masih cergas dan ingatannya juga kuat- suka saya apabila mendengar Tok Su bercerita, dari kisah muda-muda, kadang lucu, kadang gembira, tak kurang buat saya sedih juga tiba-tiba, hinggalah ke petua-petua berguna.

"Wan, kalau nak kahwin, kena cari orang macam ni, macam tu...". Pesan Tok Su buat saya senyum sendiri.

Kembali ke Perlis ibarat sireh pulang ke gagang buat saya. Pernah dua tahun menimba ilmu di salah sebuah sekolah berasrama di sini dulu, saya tidak punya banyak peluang untuk benar-benar mengenali negeri paling utara ini sedalam-dalamnya. Saya mungkin dikira antara yang bertuah kerana dapat mengenali MB dan keluarganya di sini, memahami budaya mereka berkeluarga, buat saya kadang terkilan kerana tidak mengenali mereka sedari awalnya. Tok Su mahupun MB sendiri, biarpun mewarisi tanah bendang berelung-relung, mereka sederhana, dihormati, bukan kerana harta benda tetapi ilmu. Itu yang paling mahal saya kira.

Apa aktiviti paling menarik saya buat sepanjang ke kampung Tok Su di Perlis kali ini? Hahaha... apa lagi, macam biasa, yupp! Makan-lah! Tak sah jika tak ke Kuala Perlis, selain membeli laksa, ada dijual pasembor dan cucur udang- dua juadah popular.

Pagi-pagi pula bangun seawal boleh, snappy-snappy matahari terbit di Sungai Baharu (tepi laut) sambil membeli nasi lemak yang dijual di warung terbuka di tepi-tepi jalan. Dibungkus comel dan rasanya hmmm... memang sedap dan kalah nasi lemak Kg. Baru.

Yang pentingnya ada orang tu beli sampai penuh selori- merasa dok pulun makan nasi lemak je tiga kali sehari-

Hari kedua pula jalan-jalan ke pasar pagi atau lebih dikenali sebagai Nat di sini, selain Tok Su, MB dan KN (Kak Noya) sendiri memasak juadah makan tengahari dan malam. Belum lagi dicampur lauk-pauk yang disedia dan dibawa siap-siap oleh Mak Ngah dari Alor Setar.

Untung ada yang rajin memasak ni, sebut sahaja apa jenis makanan yang terlintas- pajeri nenas, asam pedas, ikan kicap, sambal belacan, gulai tempoyak dan macam-macam lagi.. pasti tersedia di depan mata. Duh, masakan saya tak naik berkilo-kilo jadinya!

"Kash, "shape" dah lari...". Hahaha! Arep, Ted, korang gelak ya!

Harap 2009 tahun untuk saya kembali serius berdiet dan benar-benar menjaga pemakanan. Siaappp!! *ANTMC11

Oh, cuma tinggal beberapa hari sahaja lagi 2008 bakal meninggalkan sisa-sisa memori, umur yang (kian) bertambah, pengalaman, macam-macam pengajaran- tahun yang penuh cabaran dan benar-benar menguji emosi dan kekuatan dalaman. Betapa saya bergelumang, macam-macam ujian dan halangan. Ada waktunya terasa seperti mahu berserah dan putus asa, mujur mereka yang sentiasa bersama saya, susah dan senang.

Terima kasih, terima kasih buat anda yang sentiasa menjadi nadi dan peransang.

Ada beberapa ucapan sebenarnya ingin saya tujukan buat teman-teman, baik yang sering membaca dan singgah di sini, atau yang jenguk sesekali, pertama-tama sekali, saya ingin tujukan ucapan "Selamat Hari Jadi" buat teman-teman saya yang baru, telah dan akan menyambut ulangtahun mereka sepanjang Disember- Kimie Amier, Azrin (Shell), Abang Ezra, Aidit (Dubai), Syam (MAS), Abang Zam (Walids), Acai, Abang Nan dan baru je lepas semalam, abang paling hot saya, Andre. Semoga panjang umur dan dimurahkan rezeki semuanya.

Kedua, dikesempatan ini, saya juga ingin mengucapkan selamat kembali ke tahahair buat Yang Mulia KB saya, Arep dari Ulster, UK selain ucapan selamat harijadi juga buat ulangtahun beliau yang baru sahaja beberapa hari berlalu.

Kejap je rasa, tup tup dah balik pun rupanya dia. Apalah habuan untuk saya agaknya ya? Haks.

Kahwin! Ya- minggu lalu juga saya sempat ke Majlis Perkahwinan Eija, teman saya di Cheras, Kuala Lumpur. Seronok juga setelah sekian lama tak jumpa, dah makin slim dan cung.

Saya puji make-up Amy @ Suhaimi, antara mereka yang pernah rapat dengan saya suatu ketika dulu- tak sangka dediam dia pun dah aktif jadi jurumekap dan uruskan orang kahwin sekarang. Apapun tahniah buat Eija & suami. Besar hati saya dapat memeriahkan majlis kalian.

Terakhir, tak lupa kalungan tahniah juga buat Oddy dan isteri, di atas kelahiran cahayamata pertama mereka, Akif Rushdy. Pada yang mungkin tak tau (atau terlupa), Oddy ni sepupu MB dan kami sebaya (masih ingat tulisan catatan perjalanan saya ke Langkawi?).

Memetik kata-kata MB, siapa sangka, Oddy yang dulunya agak nakal (waktu remaja) kini dah pun bergelar bapa buat saya tersenyum sendiri.

Hidup penuh kejutan bukan?

Ok kawan-kawan, tahun baru, azam baru. Selamat menempuh hari-hari cemerlang buat kalian. Selamat datang 2009- tahun penuh keazaman!

Jumpa lagi tahun depan!

Stabuxguy.

Wednesday, December 24, 2008

Crush Atau Cinta?

Hampir di mana-mana, lagu ini terdengar-dengar. Beberapa kali juga saya cuba mengingati liriknya namun sebaik beberapa ketika, terlupa begitu sahaja.

Semalam seorang teman memberitahu sebaik terdengar di kereta, "Kash, lagu you- Crush dari David Archuleta di Hitz.fm!".

Saya senyum. Murah hati juga, tiba sahaja di pejabat, beliau telah mengirimkan mp3 single ini melalui e-mail kepada saya. Terima kasih ya!

Entah kenapa saya sukakan melodi dan kata-kata yang terkandung dalam isi lagunya. Pertama kali dengar, buat saya ralit sekejap lebih-lebih rangkap yang berulang-ulang di bahagian korus.

Do you ever think when you're all alone
All that we can be, where this thing can go?
Am I crazy or falling in love?
Is it real or just another crush?

Hahaha! Jangan ada yang salah faham pula. Secara teknikalnya, Crush hanyalah sebuah lagu. Tiada kena-mengena dengan hidup saya. Cinta saya masih satu. Itu yang saya buru lebih-lebih ia memerlukan komitmen yang paling jitu akhir-akhir ini. Gagal saya, gagal juga semuanya. Apa yang saya perlu hanyalah sebuah persefahaman dan daya tahan. Itu yang paling susah sebenarnya.

Saya renung kirmizi. Sesekali terasa hembusan Selat Melaka yang mendamaikan. Anginnya tak sama sejak akhir-akhir ini. Kesan dek cuaca monsun yang tak menentu barangkali. Atau rajukkan saya yang bakal pergi?

Tidak, angin Ferenggi tidak selalunya begitu. Saban tahun tempat ini menerima kunjungan tetamu- datang dan pergi adalah perkara biasa. Saya tatap lagi si Matahari- ada takung jernih di situ.

"Kamu sedihkah?", usai saya bersoal lembut.

Matahari angguk. "Kamu mahu pergi. Baru hari ini kamu jejak ke mari. Mengapa begitu cepat?".

Saya pandang ke tingkap yang paling jauh. Terbentang sebuah jawapan yang maha dalam.

"Kamu yang berselindung. Ke mana kamu gerangan sepanjang tahun? Biarkan saya dalam kedinginan?".

Matahari datang kepada saya, memeluk dan menyinar, dalam hati, hujung rasa, membenamkan sebuah perasaan yang bingung untuk saya tafsirkan.

Stabuxguy.

Thursday, December 11, 2008

Aidiladha Yang Penuh Memori

Masih dalam mood bercuti? Macam mana balik kampung, seronok?

Baru semalam tiba dari Kota Bharu, saya langsung gegas meyambung kerja. Sempat juga sesekali menjeling facebook dan membuka blog. Kemaskini? Duh! Kena tangguhkan dulu. Biarpun hati meronta-ronta, soal kerja lebih utama.

Dari Jumaat lalu saya gagal menulis sesuatu apatah lagi melayar ke mana-mana destinasi siber gara-gara tiada akses 3G di Tanah Merah. Mati kutu saya dibuatnya.

Apapun sepanjang hampir seminggu di Kelantan, Raya Haji dan balik kampung kali ni adalah yang paling seronok. Meriah dan begitu mengujakan. Selain dapat bertemu dengan hampir kesemua ahli keluarga, pengalaman pertama kali snappy-snappy (berfoto) menggunakan SLR dan merakam detik-detik bersama sanak-saudara adalah sesuatu yang paling tak dapat saya lupakan.

Terima kasih buat sepupu saya, Zul di atas segala tips dan tunjuk-ajar yang diberikan. Zul yang juga berkerja tetap, sudah hampir tiga tahun aktif mengusahakan khidmat fotografi buat pasangan pengantin dan individu sebagai pendapatan sampingan.

Pengalaman mengorek ilmu fotografi sana-sini nyata banyak memberi impak dan mematangkan dirinya.

Lucu juga bila sepanjang petang kami ke hulu-ke hilir memegang kamera. Habis semua benda dan orang sekeliling jadi sasaran saya. Mujur juga ada "model-model terjun" yang terdiri dari sepupu dan pak cik-mak cik saya yang sporting. Empat jam benar-benar tidak terasa!

Pagi raya, sebaik habis solat Aidiladha, saya terus mengambil kamera. Mana lagi kalau tak ke tapak sembelihan. Ada empat ekor semuanya lembu-lembu yang bakal ditumbangkan. Seekor dikongsi secara beramai-ramai antara ahli keluarga termasuk bapa saya.

Namun atas sebab-sebab sensitiviti, saya tidak dapat menyiarkan foto-foto acara penyembelihan, sebaliknya diganti dengan beberapa adegan menarik di hari berkenaan.

Oh, ya ada sedikit info buat anda yang merancang atau bercadang untuk bercuti ke Kota Bharu. Saya sempat singgah ke Pelangi Mall (terletak berhampiran Tambatan DiRaja), salah satu dari tarikan terkini yang terdapat di Negeri Serambi Mekah ini.

Bakal di penuhi dengan lot-lot kedai, gedung perniagaan, restoran dan cafe serta servis apartment bagi kemudahan pelancong dan mereka yang berkungjung ke Kota Bharu. Pertama kali di Kelantan, sebuah kawasan penempatan bertaraf hotel dan kondominium mewah dan dibina di pesisir tebing Sungai Kelantan.

Apa yang menarik, anda bisa menikmati minum petang dan makan malam sambil melihat panorama menarik di sepanjang sungai dan menghisap shisya!

Tidak jauh dari sini juga, terdapat sebuah lagi penempatan baru (bersebelahan Jambatan Sultan Yahya) yang sedang giat dibangunkan. Sejak hampir setahun yang lalu, sebuah Pasaraya Tesco telah didirikan diikuti dengan beberapa deretan bangunan serta perumahan baru.

Lama saya meninggalkan Kelantan, belajar dan berhijrah di negeri luar, beberapa perubahan ini sedikit mengejutkan saya. Kelantan nyata makin maju dan kian menginjak dari apa yang kita biasa fikirkan.

Tanpa susah-payah membawa pulang dari Pulau Pinang, saya kini boleh membeli Big Apple Donuts dengan senang hati di Tesco Kota Bharu!

Sedih meninggalkan kampung halaman, hari terakhir, bergilir-gilir dari satu keluarga ke satu keluarga mula bertolak untuk kembali ke destinasi. Saya pun tak terkecuali, teringat saat-saat dari hari pertama tiba, entah kenapa Aidiladha kali ini, tidak seperti Aidilfitri yang lalu, begitu membuai emosi. Perasaan ini saya bawa hingga ke langkah terakhir di tangga pesawat, seakan begitu berat untuk meninggalkan mereka-mereka di sini.

Nenek yang sudah tua dan kadangkala mengaduh sakit. Hanya semangat yang mampu memberi kekuatan lebih-lebih bila melihat anak-cucu pulang menjenguk.

"Kamu dah makan? Ada nenek masakkan lauk kegemaran." Perlahan saya engsot menghampiri nenek, merenung ke wajah tuanya. Memang sedari kecil saya rapat dan manja dengannya.

Terkenang pula ayah saudara yang baru pulih dari strok, sukar bercakap namun wajahnya sentiasa tersenyum. Petang-petang mengayuh basikal keliling kampung.

"Untuk cergas," antara dengar dengan tidak, hanya itu patah yang bisa dituturnya.

"Ayah Shah! Ayah Shah!", kadang-kadang terdengar adik-adik sepupu yang masih kecil memanggil. Antara generasi yang bakal menyambung warisan keluarga. Comel dan keletah, bisa buat saya terhibur tiapkali melayan mereka.

"Err, encik mahu minum?". Seorang anak kapal datang kepada saya. Jauh mengelamun, tidak sedar minuman mula dihidangkan.

"Ya, ya- boleh juga. Terima kasih!".

*Lihat gambar-gambar lain. Klik di sini. (",)

Stabuxguy

Wednesday, December 3, 2008

Lagi-Lagi Fotografi, Novel Twilight & Agenda Tahun Baru

Lama juga saya tak menulis di sini (err, maksud saya benar-benar menulis). Paling akhir seminggu yang lalu (rujuk posting, klik di sini). Selain itu cuma cerita-cerita yang dimuat turun, ulasan filem dan gambar-gambar. Itu sahaja.

Padat mengejar jadual tugasan menjelang hujung tahun, selain hal-hal peribadi (turun-naik Kuala Lumpur, hal-hal kerja) membuat hidup saya sedikit kelam-kabut. Cuba untuk sesuaikan diri, saya terduduk dan fikir betul-betul, apa yang harus dilakukan seterusnya?

Ok, tenang.. tenang... ke pejabat pos misalnya? Selain mengepos kad-kad krismas dan hadiah kecil buat teman-teman di luar negara, apa lagi- oh, bayar yuran, bil-bil tertunggak. Ada lagi? Fotografi, kerja-kerja sampingan situ-sini, ya banyak memang banyak. Semua harus saya tangani satu-satu. Pening tapi seronok.

Fotografi misalnya, dari setakat minat, kini ia bercambah menjadi sesuatu yang serius. Ya, saya kini serius berfoto. Biarpun gambar-gambar yang diambil masih di tahap biasa-biasa, namun saya puas.

Terima kasih kepada Acai kerana sudi menjemput saya sebagai jurugambar di majlis perkahwinan Ayu, adiknya minggu lalu.

Ayu & Aries - pasangan raja sehari

Dari kiri (berdiri) : Nurul, Sabrina, (duduk) Azrin, Princess Dina, Acai & Yuzrul

The Febeles in da house!

Bukan setakat mengaut pengalaman baru, malah menambah kenalan juga!

Satu permulaan yang baik bagi amatur seperti saya.

Raya Haji- Kash tak balik kampung?

Pasti balik. Awal-awal lagi saya dah menempah penerbangan Firefly ke Kota Bharu. Bakal bercuti dari Jumaat hingga ke hari Rabu.

Kata orang, Raya Haji tak sah kalau tak ke Kelantan, meriah. Bagi saya, suasana di mana-mana pun sama. Balik sebab dah lama tak balik kampung. Jumpa sanak-keluarga, itu sahaja.

Rindu pada kedua-dua nenek saya- apa khabar mereka agaknya?

Buat Ted sahabatku, jangan lupa jemput saya di airport nanti ya!

Kepada Arep, selamat bermain salji di rantau orang. Dengar-dengar nak tour Europe ya? Hati-hati k. 'Bearista Bear' I jangan lupa (kena ingatkan berkali-kali nih!). Hik.

Oh, ada yang sudah menonton Twilight? Bagus! Tak sabar menunggu sekuel seterusnya, saya lantas ke Borders di Queensbay Mall minggu lalu untuk mendapatkan siri kedua bukunya, New Moon.

Hadiah Krismas untuk para pengunjung Borders, anda bisa mendapatkan dua siri Twilight sekaligus, Twilight & New Moon serta sebuah kalendar istimewa Twilight 2009 dengan harga potongan menarik.

Kalendar Twilight - muka depan

Bahagian dalam kalendar

Teringat kata-kata Wardy sebaik saya sms dia minggu lalu, "Waa.. Now memang Twilight nye fever kan. Everybody seems to be into Twilight, even my sisters."

Saya senyum sendiri.

Tunggu apa lagi? Segera ke Borders ya!

"Kash, you nak pindah ya? Bila balik KL?".

Dua baris soalan yang sering diaju kepada saya sejak akhir-akhir ini-

Saya terdiam sejenak. Untuk menjawab, kena fikir betul-betul. Banyak hati yang harus saya jaga. Paling tidak, sepanjang saya di sini, mereka yang banyak susah-senang, berkongsi momen sedih-gembira bersama saya.

"Kawan menangis, tak ramai." Itu saya pegang sejak pindah ke sini.

Apa yang pasti, penghujung Januari 2009 bakal mencatat momen terindah dalam hidup saya.

Pengalaman selama hampir setahun di sini benar-benar banyak mengajar saya.

Sudah putus mahu kerja di mana?

Saya geleng. Jujurnya, mungkin untuk awal bulan pertama, saya cuma mahu berehat sepuas-puasnya!

Punya beberapa agenda untuk dilaksana menjelang awal tahun hadapan.

Doakan saya sahaja ya!

Ada sebuah puisi istimewa yang saya petik (sebahagiannya) dari blog Mamachupan (salah seorang kakak Diva saya) hari ini. Khas buat suami tercinta katanya.

Lucu tapi mendalam.



Mamachupan & famili sewaktu open house kat umah MB raya lalu...

Thank you Pa

Tomorrow is my 10th wedding anniversary. Here's a poem as my gift to my beloved husband.

Thank you Pa for never complaining
About my waist line or sagging parts
Thank you for never objecting
To my (sometimes) no sense of dressing

Thank you Pa for driving me around
Near and far, in rain and in shine
Thank you for the curtain project
And for the other projects too

And most importantly, thank you Pa for Arif, Iman and Ehsan
They are so lovely, I cannot describe
And how much joy and love they bring
They are just everything

Thank you Pa for all the breads
You've often baked for my friends
Sometimes on a very short notice
Thank you too for all the "Nasi Maskuls"

This poem may sounds a bit silly
But it is truly
A reflection of how I feel about you
I hope there will be many more years to come
To be spent with you

Buat Mamachupan- Kak Intan dan suami, Selamat Ulangtahun Perkahwinan ke-10 dari saya di Darimejastabux dengan pesanan, "bila nak bagi saya roti air tangan suami?". Hehehe...

Jumpa lagi!

Stabuxguy - Salam Aidiladha (",)

Featured Post

Coronavirus - Saat Getir Malaysia dan Jenaka Cik Kiah Yang Trending!

Jumaat, 27hb Feb 2020 10.25 malam Assalamualaikum... Ralit dari pagi, banyak juga hal-hal di guesthouse yang perlu saya ...