Hari ketiga. 28 Mac 2008
Lawatan ke Kebun Epal Ba' Kelalan.
Sebaik selesai bersarapan, rombongan media dibawa ke kebun epal yang letaknya tidak jauh dari tempat penginapan kami. Hanya kira-kira 500 meter, inilah saat yang ditunggu-tunggu sebenarnya. Antara agenda utama yang membawa kami ke sini, menikmati dan melihat sendiri pokok-pokok epal yang ditanam.
Satu pengalaman yang menarik saya kira.
Menurut Pak Tagal, ladangnya yang seluas kira-kira 10 hektar ini menampung sebanyak 2,000 pokok epal.
Terdapat empat jenis epal yang ditanam di sini iaitu Rome Beauty, Manalagi, Anna dan Granny Smith. Antara keempat-empatnya, Manalagi adalah baka tempatan (benih asal Manalagi dibawa dari Batu Malang, Indonesia).
Warna Manalagi kuning kehijauan dan baunya harum jika sudah cukup tua manakala Rome Beauty pula sesuai untuk dibuat pai atau aneka jenis masakan.
Kenapa epal?
Jujur Pak Tagal menjawab- ianya sesuai dengan iklim di Ba' Kelalan selain mudah dan senang untuk ditanam. Percaya atau tidak, epal telah menjadi antara punca rezeki dan tarikan utama penduduk di sini. Tak salah jika dikatakan epal merupakan ikon Ba' Kelalan. Ramai telah mengetahui Ba' Kelalan merupakan satu-satunya daerah pengeluaran epal di Malaysia.
Menurut Pak Tagal lagi, asalnya, pokok-pokok ini adalah dari spesis liar yang dibawa masuk dari Kalimantan, Indonesia lalu ditanam di sini secara kecil-kecilan. Melihatkan hasil yang menguntungkan, Pak Tagal mulai serius dan telah berusaha untuk memperkembangkan lagi penanaman epal ini secara komersil dan membawa masuk beberapa orang pekerja dari Kalimantan (pekerja asal kebun epal di sana).
Epal-epal di sini dipetik sebanyak dua kali setahun, iaitu sekitar Mac dan Jun, dan hasilnya banyak di hantar dan dijual di Lawas dan Limbang, dua daerah berdekatan selain Miri, Kuching dan di Semenanjung sendiri.
Penduduk setempat merupakan pembeli terbesar epal-epal Ba' Kelalan. Teringat yang saya pernah terlihat beberapa orang kanak-kanak di sini membawa epal-epal ke sekolah. Malah ada yang tidah habis dimakan disimpan kembali di dalam beg sekolah mereka.
Menarik. Senario yang jarang saya lihat jika di Semenanjung.
Dari kebun epal, kami dibawa pula ke pusat penjualan barangan kraftangan tempatan. Pelbagai jenis tandamata dan hasil-hasil hutan di jual di sini. Zahir sempat menyuakan kepada saya sepotong kayu 'tongkat ali'.
"Kamu serius mahu?". Berkali-kali Zahir angguk. Saya cuma tergelak.
Apa saya beli?
Cuma sebuah raga buluh seakan-akan bubu ikan kecil. Saya sukakan bentuknya. Unik. Harganya pun tak mahal, cuma RM15 sahaja. Cepat-cepat saya masukkan beberapa biji epal (yang baru dipetik tadi) dan menayangkannya pada rakan-rakan.
"Kash, mana dapat? Cantik!". Beberapa orang teman media bertanya. Saya tunjuk ke salah satu gerai.
"Maaf ya! Yang itu cuma satunya yang tinggal." Tampak mereka hampa.
Memang itu satu-satunya 'bubu' yang dijual. Maka ramailah yang nak 'pinjam' untuk bergambar. Tepat jam satu tengahari, kami kembali ke Apple Lodge untuk makan tengahari. Masing-masing riuh bercakap tentang kebun epal dan barang-barang kraftangan yang dibeli.
Oh, untuk pengetahuan semua, di sini tiada signal untuk handphone. Jika mahu membuat panggilan, anda harus ke booth telefon awam bersebelahan perpustakaan awam berhampiran (tidak jauh dari tempat penginapan). Dan, hanya kad diterima.
Kash, internet? Boleh akses?
Yup! dapat. Juga anda harus ke perpustakaan awam. Di sana ada disediakan perkhidmatan untuk melayar internet. Di Sekolah Rendah Ba' Kelalan juga disediakan kemudahan internet bagi kegunaan murid-murid dan guru.
Petangnya, kami dibawa pula ke "tapak seni" yang dibina khas untuk persembahan muzikal dan kebudayaan. Saya sukakan kawasan ini. Teringat yang kami sudahpun melepasi tempat ini sewaktu perjalanan ke Long Langai tadi.
Dibina berhampiran anak sungai yang amat jernih airnya, serta dilatari dengan pemandangan bukit-bukau yang saujana mata memandang. Tiada kata-kata untuk menggambarkan suasana indah di sini. Sayang juga persembahan muzikal dan kebudayaan tidak dapat diteruskan disebabkan hujan lebat yang turun secara tiba-tiba.
Saya, Zahir, Liza dan Aishah sempat berlari ke salah sebuah rumah penduduk tempatan untuk berteduh. Di sana kami bertemu dengan sekumpulan penari dan penyanyi lagu-lagu tradisi dari dari Daerah Lawas.
Santi, Susanti, Ella, Ariel, Holin. Kesemuanya masih muda dan berusia dalam lingkungan 16-21 tahun. Masing-masing ramah melayan kami. Kami bernyanyi dan menari bersama sementara menunggu hujan reda.
"Lagu peterpan! Bisa? Mungkin nanti...", tukas saya.
Ella dengan pantas memetik gitar. "Dan mungkin bila nantii... kita kan bertemu nantiii...". Kumpulan ini buat saya kagum. Beri apa juga lagu dan judulnya, mereka begitu sporting dan tak bosan melayan kami.
Malam terakhir di Ba' Kelalan.
Garden Party - Wild-Wild Ba' Kelalan.
Jujurnya, sepanjang tiga hari kami di sini, pelbagai pengalaman baru yang kami peroleh. Penat memang penat. Namun tiap inci pengalaman yang kami kutip, selain dari untuk memenuhi tuntutan kerja dan bahan berita, merupakan satu memori yang sukar untuk saya lupa sampai bila-bila.
"Kash, kamu bisa nyanyi kan? Malam ini nyanyi ya! Nah, lirik. Lagu tema Ba' kelalan!", sua Loney kepada saya. Terpinga-pinga saya seketika. Nyanyi? Lagu Ba' Kelalan?
Saya tengok lirik. Duh, ada few rangkap saya yang kena nyanyi malam ni termasuk versi Bahasa Inggeris.
"Jom praktis. Saya tahu kamu boleh buat!". Loney dah tarik saya. Loney amat terkenal di sini. Semua orang tahu dia boleh menggubah lagu dan mencipta lirik.
Kebanyakkan lagu-lagu tradisi dan rakyat di sini dihasilkan Loney. Nak tak nak, terpaksa la saya nyanyi juga. Saya tarik Aishah dan Liza.
"Jadi pengkritikku!". Tegas saya.
Dan malam itu kami nyanyi ramai-ramai. Yazit yang sporting dan gila-gila, jurufoto dari Berita Harian juga nyanyi serangkap. Memang kami all out malam itu.
Habis sahaja lagu, kumpulan kami mendapat tepukan paling gemuruh. Saya gembira. Semua gembira.Hilang gemuruh tak semena-mena.
Thanks, guys!
Lain-lain persembahan lebih kurang sama dengan show semalam, hanya ditambah beberapa tarian, nyanyian lain. Apa pun kami tetap terhibur malah ada yang turut join menari dan menyanyi. Encik Ritz, wakil dari Tourism Malaysia serta YB Nelson sendiri juga ikut sama menari dan bernyanyi bersama kami. Malam yang terindah saya kira.
Buduk Nur, Ba' Kelalan.
Hari terakhir.
29 mac 2008
Awal-awal pagi lagi Sandra dan Amelia, masing-masing sibuk mengumum dan menguruskan penerbangan pulang kumpulan media dan jemputan.
Kami telah dibahagi kepada 2 trip bagi mengelakkan terlebih muatan. Trip pertama akan berlepas pada pukul 8.50 pagi, manakala saya (diletak dalam trip kedua) akan berlepas pada pukul 9 pagi.
Waktu inilah wajah masing-masing berbaur. Ada yang tak sabar nak pulang, ada yang sugul dan sedikit-sebanyak terpalit rasa sedih. Sukar untuk gambarkan betapa kami gembira dan puas di sini. Sebuah daerah yang amat sederhana namun sarat dengan kasih-sayang.
Saya tatap wajah Ba' kelalan puas-puas. Sememangnya jika boleh, saya tak mahu lepaskan daerah ini walau seinci pun. Hidup tanpa handphone di tangan, tiada sms mahupun panggilan dari sesiapa, dunia saya hanyalah bersama teman-teman media- Zahir, Liza, Aishah, Bao Lian, Ezanie, Yazit.
Terima kasih kalian. Peluang mengenali dan mengharungi sepanjang beberapa hari di Ba' Kelalan tak mungkin saya lupakan.
"Nanti kita buat reunion di kedai mamak ya!". Hahaha! Seakan terngiang-ngiang di telinga saya kata-kata terakhir di aiport Miri sebelum berpisah pada petang itu.
Perjalanan Pulang
Dari Miri, kami menaiki penerbangan MAS ke Kuala Lumpur tepat pada jam 4.30 petang. Masing-masing kepenatan. Saya, Aishah dan Bao Lian sempat berbual dan membuat lawak di dalam penerbangan sebelum masing-masing terlelap.
Ba' kelalan.
Pada anda yang ingin berkunjung ke mari, boleh lah menghubungi agensi pelancongan Borneo Jungle Safari yang beralamat di Kuala Lumpur :
Kuala Lumpur Representative Borneo Jungle Safari Sdn Bhd
130-2A, Jalan Tun Sambanthan
50470 Kuala Lumpur, Malaysia
Tel: +6 03 2260 4981
Fax: +6 03 2274 2930
Email: sales@borneojunglesafari.com
atau
Miri Main Office Borneo Jungle Safari Sdn Bhd (KKKPL 2346)
Lot 1396, 1st Floor, Jalan Kubu, Centre Point Commercial Ccentre II
98000 Miri, Sarawak, Malaysia
Tel: +6 085 435 736 / 419737
Fax: +6 085 417 984 / 418737
Email: sales@borneojunglesafari.com
Sila layari http://www.borneojunglesafari.com/ untuk maklumat lanjut.
Terima kasih saya kepada pihak Tourism Malaysia, Tourism Sarawak, Borneo Jungle Safari, Pak Tagal, Apple Lodge, MASWings dan para penduduk Buduk Nur keseluruhannya kerana di atas kesungguhan layanan dan menjemput.
Ba' Kelalan. Pastinya tak terlupa dek ingatan.
Stabuxguy
1 comment:
Post a Comment