Wednesday, April 9, 2008

Menjejak Epal Di Ba' Kelalan Bahagian 2

Buduk Nur, Ba' kelalan.
Hari kedua. 27 Mac 2008

Masing-masing bangun agak lambat hari ini. Masih kepenatan barangkali akibat bertrekking petang semalam.

Saya melihat jadual. Hari pertama bertugas. Sebaik ketibaan YB Nelson Balang Rining, ADUN Ba' Kelalan dan wakil dari MASWings, upacara pertama, iaitu pelancaran laluan baru MASWings dari Miri ke Ba' Kelalan akan dilangsungkan.

Laluan MASWings Miri-Ba' Kelalan ini adalah merupakan antara laluan udara utama yang menghubungkan Ba' Kelalan dengan pusat bandar berdekatan (selain daerah Lawas).

Pelancaran laluan baru ini diharapkan akan menggalakkan lagi sektor pelancongan selain memberi lebih kemudahan kepada para pelancong serta penduduk Ba' Kelalan ini sendiri untuk berulang-alik bagi melaksanakan urusan harian.

Selesai acara pelancaran di sebelah pagi, kami dijamu pula dengan hidangan makanan tengahari istimewa ala Ba' kelalan oleh pihak Apple Lodge. Antara menu yang paling saya suka ialah rendang daging Ba' Kelalan. Hampir semangkuk saya ambil dan kongsi beramai-ramai dengan wakil media yang lain.

"How's the food guys? Kerbau okay?", tegur Sandra. Saya pandang Liza, Aishah, Bao Lian dan Zahir bergilir-gilir. Muka masing-masing berubah tiba-tiba.

Terus-terang, itulah kali pertama saya menjamah hidangan daging kerbau. Aishah sampai nekad selepas ini hanya mahu menyentuh ikan sahaja. Hahaha! Zahir orang yang paling kuat ketawakan kami.

Petangnya, acara lawatan ke Sekolah Rendah Ba' kelalan dan Rumah Panjang Long Langai bersama YB Nelson. Kami masing-masing dikehendaki memakai t'shirt seragam kuning tajaan Tourism Malaysia. Masing-masing teruja. Meriah juga dengan t-shirt baru nih.

Sepanjang perjalanan ke sekolah dan rumah panjang, saya dapat melihat suasana dan kehidupan sebenar perkampungan Ba' kelalan ini. Jika sedari semalam, tanggapan saya, Ba' Kelalan hanyalah sebuah landasan lama dan penginapan Apple Lodge, nyata ianya meleset sama-sekali. Ba' Kelalan lebih dari apa yang saya jangkakan.

Sebuah pemandangan kampung (yang hanya wujud barangkali di zaman mak-bapak kita), lupakan soal pembangunan, tunggu! Jangan terkejut kerana masyarakat di sini tidaklah sedaif yang dibayangkan, malah ada sesetengah perkara, mereka juga maju dari segi pengetahuan dan teknologi.

Apa yang saya maksudkan dengan zaman mak-bapak kita tadi ialah sungai-sungainya yang masih jernih dan terpelihara, bukit-bukaunya yang luas terbentang, sawah-sawahnya yang masih menggunakan kerbau sebagai jentera utama, ah apa lagi ya, hmm... orang-orangnya, ya yang paling penting orang-orangnya.

Kehidupan di sini bagaikan satu mitos di dalam buku-buku dan filem fantasi. Sebuah kehidupan yang unik dan tersendiri. Belum seratus-peratus dicemari dengan budaya dan pemikiran luar.

Mengenali antara satu sama lain, hidup saling tolong-menolong, malah lebih istimewa lagi kehidupan mereka penuh dengan seni tradisi dan gubahan lagu-lagu indah. Tak percaya?

Anda baca lirik ini.

Bang Nupi ku
Uwi Nepapu' nemu
Lun buduk pegkung batu
Luk medita' tu

Bulan me-cang
Pegkung beken melagan
Uwi niyer ce' bawang
Yeh ineh Ba' Kelalan

yang bermaksud :

I met you in my dreams
On a hilltop so.. so high
Under the moonlight

I can see moolight hills
From where i stand
And a village is in sight
It is called Ba' Kelalan

Indah bukan? Sebuah lirik yang hampir sayu dan amat puitis saya kira.

Sekolah dan Rumah Panjang Long Langai.

Memasuki ke setiap ruang pembelajaran di satu-satunya sekolah rendah di sini memberi saya suatu persepsi yang baru tentang betapa seronoknya ke sekolah. Benar! Dengan jumlah kelasnya yang terhad, para penduduk kampung turut memainkan peranan dengan membangunkan pondok-pondok mini pelbagai rupa dan bentuk dan dihias dengan penuh kreatif sesuai dengan suasana pembelajaran. Sesuatu yang tiada saya kira terdapat di mana-mana sekolah di Semenanjung.

Menarik juga, kebanyakkan murid-murid di sekolah ini tinggal di asrama, baik seawal darjah satu hinggalah ke darjah enam. Mereka telah diajar untuk berdikari dan tinggal berjauhan dari keluarga.

Mungkin disebabkan faktor tempat tinggal yang jauh dan menyenangkan mereka untuk ke sekolah.

Bagi murid yang mempunyai pertalian, abang-adik misalnya, mereka akan ditempatkan di satu ruangan tempat tidur agar si abang dapat menjaga dan mengawal perlakuan adiknya. Ini menunjukkan betapa mereka begitu mementingkan pembelajaran dan secara tak langsung juga turut menjaga ikatan perhubungan dan kasih-sayang antara keluarga.

Oh, Anda silap jika menganggap penduduk di sini daif, malas dan tidak berjaya. Sila buangkan jauh-jauh tanggapan anda itu. Berdasarkan pemerhatian dan temubual saya, kebanyakkan anak-anak muda yang berasal dari Ba' Kelalan ini berjawatan hebat dan menjadi orang penting baik di dalam dan luar negeri. Contoh terbaik ialah Pak Tagal sendiri, selain menjadi pengusaha kebun epal dan penginapan Apple Lodge, anaknya juga merupakan seorang peguam yang dikenali di bandar sementara cucunya pula seorang graduan perubatan dari salah sebuah universiti tempatan.

Hebat bukan?

Tak lama kami di sekolah, rombongan di bawa pula ke Rumah Panjang Long Langai. Selain dihidangkan dengan minum petang yang enak-enak, kopi beras dan aneka kuih-muih tradisi (berasaskan beras) - Ruti Benak, Kerupuk Bera, Tinape', Pelupis dan Nune (antara nama-nama yang saya ingat - terima kasih kepada Amanda dari BJS kerana memberi saya info), kami juga disajikan persembahan dua tarian istimewa, Busak Bakui dan Alai Ngerang (Warrior Dance) oleh penduduk tempatan.

Ada juga rakan-rakan media termasuk YB Nelson sendiri yang mencuba-cuba untuk turut sama menari dan mengambil bahagian. Seronok!

Malamnya, selain makan malam yang lazat (ayam panggang, sup tulang, ikan masak merah), sekali lagi kami disajikan dengan persembahan mini hiburan oleh penduduk setempat. Dengan iringan lagu-lagu country (jiwa cowboy terlalu menebal di daerah ini), juga sekali lagi, nyanyian beramai-ramai serta persembahan beberapa rentak tari. Biarpun agak kepenatan dek pelbagai aktiviti di siang hari, namun saya tetap cuba untuk turut sama-sama memahami budaya masayarakat di sini.

Terdengar juga cakap-cakap nakal mengusik yang singgah di telinga saya,"asyik nyanyi lagu yang sama aje, sampai i pun dah boleh hafal lirik lagu tema Ba' Kelalan ni." Hahaha! Mati la terngiang-ngiang tak boleh tidur katanya.

bersambung...

stabuxguy

2 comments:

Anonymous said...

Wa..guys. Congrate to tis article. I'm from Bakelalan myself, vy thankful n proud of what u wrote. Congrate 1 more time...

stabuxguy said...

thank you, thank you. Ba' Kelalan is the best. you're most welcome!! XOXO :)

K.

Featured Post

Coronavirus - Saat Getir Malaysia dan Jenaka Cik Kiah Yang Trending!

Jumaat, 27hb Feb 2020 10.25 malam Assalamualaikum... Ralit dari pagi, banyak juga hal-hal di guesthouse yang perlu saya ...