Bergambar kenangan di pagi raya bersama Mama Sheela.
Lokasi : Sheela's Restaurant, Pantai Tengah, Langkawi
Selasa, 21 Ogos 2012
Beberapa hari sebelum Aidilfitri, Mama Sheela ajak saya,"Kamu raya dengan Mama aja ya? Usah sedih-sedih. Kita buka sama, I'll cook some dishes and we eat together with Uncle Willi."
Saya senyum. Tak tergambar terharunya perasaan saya waktu itu. Mama Sheela sangat baik. Di sini, dialah 'kawan' saya, tempat saya meluah susah-gembira.
Saya balas,"Ok. Ini dah lebih dari baik."
Malam Raya, meski cuma kami bertiga, buat pertama kali Uncle Willi makan bersama-sama, kami berbual dan bercerita. Banyak yang saya kagum. Mendengar dari kisah-kisah zaman remaja, kepayahan waktu awal-awal tiba di Langkawi dan membuka restoran, buat saya terasa semakin dekat dengan mereka.
Jujurnya, jika punya kudrat, saya ingin membukukan kisah mereka. Biar semua dapat berkongsi dan merasai warna-warna sketsa yang dilalui keduanya.
Raya saya biasa-biasa sahaja. Ringkas dan sederhana. Biar tak tertahan sebak di pagi lebaran (hanya Dia yang tahu perasaan saya), saya gagahkan diri, bersiap dan memakai baju Melayu- saya langkah ke masjid di mukim berdekatan, sayup takbir semakin menggetarkan perasaan.
Mahu telefon papa dan mama di kampung? Saya berkira-kira sendiri.
Nanti-nantilah. Saya pejam mata. Cuba kumpulkan sebesar boleh kekuatan.
Selepas solat nanti saya hubungi kalian, ma, pa.
"Kash, you raya kat mana? Jangan lupa datang rumah ya." Ayda, teman sekerja memberi pesan.
"Kash, datang rumah juga! I masakkan your favourite laksa Kelantan!" Mariko, gadis Jepun berkali-kali mengingatkan.
Lucu waktu kali pertama mengenali Mariko, dari tersasul menyebut bebetapa perkataan Kelantan, saya pandang dia dengan rasa hairan.
"Maaf, suami sayo oghe Kelate. Ambo tahu demo pung oghe Kelate-". Kagum dan lucu berbaur. Sudah 5 tahun Mariko di Malaysia. Pelat Kelantannya boleh tahan.
Sejak itu kami berkawan rapat.
Habis solat, saya ke rumah Ayda di Teriang.
"Jemput makan, Kash. Jangan malu-malu. I masak sedap tau!". Ujar Ayda berseloroh. Saya jamah semua- dari berbalang-balang kuih raya yang ada hinggalah ke roti jala, ketupat dan rendang, memang Ayda pandai masak! Haha....
"Kash mahu ikut aunty dan family ke kubur arwah abang Ayda? Ikut ya. Kita ke sana sama-sama." Tiba-tiba ibu Ayda mempelawa. Saya pandang Ayda. Dia buat isyarat suruh mengangguk.
"Boleh aunty...". Teragak-agak saya menjawab. Bukan apa, segan.
Kali pertama saya raya di sini, kali pertama juga saya "raya" dan ikut keluarga orang menziarah ke kubur ahli keluarga mereka.
"Jangan malu-malu. Buat macam biasa je. My mom suka you. I banyak cerita pasal you kat dia n my dad." Saya kaget. Terharu pula mendengar kata-kata Ayda. Siapa sangka, dari perkenalan waktu annual dinner resort beberapa bulan lalu, saya kini boleh menyertai keluarganya beraya. Terasa sayu pula. How I wish saya kini bersama keluarga sendiri.
"Kat sini kena bukak kasut kalau nak masuk." Terang Ayda sebaik kami tiba.
Pelik juga. Pertama kali saya ke kubur harus tanggalkan sepatu. Tapi okey, tanahnya berpasir dan bersih. Saya suka di sini, berlatarkan gunung Raya dan Mat Chincang, sawah padi terbentang, saya kira orang-orang yang meninggal di sini sangat tenang dan gembira. Lama saya memandang sekeliling. Tenang, sangat tenang.
Al-Fatihah buat mereka.
Dari kubur, saya bawa Ayda dan adiknya ke rumah Mariko, makan laksa pula. Mariko hebat! Pertama kali saya berbual dengan Abang Din, suaminya, peramah sementelah kami senegeri.
"Cemana laksa Kelantan orang Jepun buat?". Kami sama-sama tergelak mendegar usikan Abang Din.
Tak lama di rumah Mariko, "Maaf Mariko, harus gerak. I got lunch in Pantai Tengah." Teringat yang Mama Sheela dah berpesan, jam 1 harus ada di garden.
"It's okay. Thanks for coming ya. Terimo kaseh lah deh...".
Pantai Tengah.
Saya tiba lewat sedikit. Kelihatan Mama Sheela dan Uncle Willi sudah sedia menunggu saya bersama jemputan. Dari jauh mereka tersenyum.
Hah, ada Bill dan Angelika juga! Kami bersalam-salaman.
"Come, jemput, kita ke garden. Lunch time!". Saya bantu Mama Sheela membawa hidangan dari bar restoran ke garden.
Tercium bau ayam panggang bersama kentang yang dimasak Uncle Willi, perut saya kembali berselera. Haha lucu bukan, kalau Hari Raya mesti makan banyak. Saya lihat-lihat lagi, ada rendang juga- oh, no ketupat lagi, dan lemang!! Oh, saya suka Raya di sini!!
"Kamu okay? How's your Raya?", Mama Sheela dan Uncle Willi soal saya serentak. Keduanya tersenyum memandang saya.
"It's a perfect day for me! Thanks, Ma, uncle!" Saya senyum gembira. Berada bersama-sama mereka, biarpun tak ramai dan meriah semacam di kampung, tapi cukup membuat Hari Raya saya terasa lengkap.
Penutup raya yang sempurna buat saya. Terima kasih buat semua. Mama Sheela, Uncle Willi, Ayda dan Mariko. Sekurang-kurangnya saya dapat merasai sedikit kemeriahan berhari Raya di sini.
P/s : Raya ketiga! Catatan ini saya tulis sewaktu dalam perjalanan feri ke Kuala Kedah. Tak sabar bertemu Nabil, Inas dan Naim. Adik-adik sepupu yang keletah dan manja! Nanti saya cerita ya. Jumpa lagi!
Stabuxguy
No comments:
Post a Comment