Ahad, 8 Ogos 2010
12.25 t/malam
"makan malam di padang strawberi dengan dia..".
"makan malam di padang strawberi dgn dia juga..".
Sama tapi tak serupa. Tersenyum saya membaca dua mesej di status FB rakan yang berbeza tapi sama maknanya. Buat saya terfikir seketika, ah alangkah indahnya tatkala dilamun cinta!
Malam tadi, berbual-bual dan makan semeja bersama Nani dan Frid, dua orang teman saya (telah lama kami tidak meluangkan masa begitu) di Paparich, Bandar Permaisuri, buat saya tersedar kembali perasaan senang bila bersama teman-teman. Biarpun tak lama, saya terfikir, kelebihan bagi orang-orang yang solo dan sendiri seperti saya, anda bebas ke mana-mana, bersama siapa dan berbuat apa sahaja!
Iya- kami berseloroh, berbual dan bertukar-tukar tentang life masing-masing, ternyata banyak yang saya tertinggal, lebih-lebih lagi memilih untuk hidup di pinggir kota (faktor tempat kerja yang jauh) menjarakkan hubungan saya dengan rakan-rakan.
Saya akui, dalam kesibukkan kerja, adakalanya hati saya sunyi. Biarpun tak begitu lama hidup sendiri, jiwa adakalanya terkenang sesuatu yang sudah tidak kita miliki. Aneh tapi benar.
bersambung....
Monday, August 9, 2010
Wednesday, June 30, 2010
Jemputan Album Terbaru Aizat...
Salam semua...Apa khabar? Hai macam menulis surat/emel pula.
Tak sangka dah lama tak update blog, mengulas apa-apa filem/album terbaru artis tempatan tanahair (mungkin ada yang mengingat dan pernah 'ter'baca ulasan-ulasan yang saya buat?), masih ada rupanya yang mengirim undangan dan jemputan ke majlis-majlis pelancaran sepertinya.
Teringat suatu ketika, dari majlis berbuka puasa hinggalah ke pelancaran filem-filem dan album terbaru, bertemu dan bersua empat mata dengan Nasha dan Vanida, berjabat dengan Ning dan Vernon (di mana anda ya sekarang, Vern?), Siti lebih-lebih lagi (ya, saya pernah menari untuknya di suatu majlis Hari Raya!)... paling utama Jee idola saya dari zaman sekolah (sekadar menyebut beberapa nama), buat saya tersenyum sendiri- indahnya kenangan itu!
Buat yang mengundang, saya dahulukan ucapan terima kasih. Namun berat hati saya untuk menghampakan jemputan, sekadar menyokong dan memberi senyuman dari jauh, kekangan dan budaya kerja tidak mengizinkan saya untuk meluangkan masa. Saya hanya bisa harapkan yang terbaik buat anda, baik media, selebriti-selebriti tanahair yang dikasihi, Aizat terutama sekali (terima kasih jika anda membaca ini)- semoga anda terus sukses dan berjaya.
Ikhlas,
Kash a.k.a. Stabuxguy (",)
p/s : Ajami, SM, Joe Lee, Juan- saya rindu anda!
Wednesday, April 7, 2010
Kemaafan Dendam Yang Terindah

7 April
4.11 petang
Ada dua kelegaan buat saya pagi ni. Pertama sekali, saya lega kerana sepupu, Khalisha telah pun selamat menjalani pembedahan ketumbuhan dalam perut malam tadi. Mengejutkan, Khalisha yang kami panggil Shasha seorang yang periang dan aktif. Melihat raut wajahnya yang merintih sewaktu di ICU petang semalam, hati saya diranggut sedih. Tidak dapat saya bayangkan kesakitannya, lebih-lebih seakan menunggu antara hidup dan mati.
Merupakan anak bongsu kedua makcik dan pakcik saya, Shasha masih menuntut di UiTM Shah Alam dalam jurusan pengurusan perniagaan (tahun akhir).
Terima kasih buat teman-teman FB dan juga rakan yang tak putus menghantar sms.
Perkara kedua, saya lega juga kerana seorang sahabat telah sudi memafkan saya. E-mail balas yang saya terima menerusi FB tengahari tadi benar-benar membuat saya kini mampu bernafas gembira. Saya sayang anda, bahkan bukan anda sahaja- sahabat-sahabat saya yang lain juga.
"Saya sudah kehilangan seseorang yg pernah saya sayang dan menjadi yg terindah dlm hidup saya. Itu lebih menyakitkan. Dan saya tak mahu lagi hilang kawan yg saya senang macam kamu. Mungkin saya tersilap, jadi perlu untuk saya meminta maaf dari kamu. Saya keliru, buntu, dikecewakan, terluka dan macam-macam lagi dan keadaan itu menjadikan saya tertekan dengan keadaan sekeliling."
Itu antara bait-bait yang saya titip di dalam e-mail pertama buat beliau.
Dan saya syukur, kerana beliau telah memberi saya peluang, sekaligus menamatkan rasa tidak senang yang saya pendam selama berminggu-minggu.
Ada airmata yang membasah, saya seka perlahan. Melihat kepayahan-kepayahan sekeliling, adakalanya buat saya hampir lelah. Biar masih mampu bertongkat, namun kadang saya juga tersungkur rebah.
Buat saya lebih faham erti kesakitan. Saya akur, tak selamanya mereka yang kita sayang akan selalu berada di sisi, masing-masing juga punya kepentingan, arah dan laluan hidup yang berbeza-beza. Satu saya belajar. Jangan jadi lemah.
Stabuxguy
Friday, April 2, 2010
Catatan Tertangguh Dari Lapangan Terbang
(ditaip Rabu lalu dari Lapangan Terbang Sultan Ismail Kota Bharu)31 Mac 2010
3.50 petang
Saya getap bibir. Sesekali mata resah melirik jam. Hampir ke pukul empat petang. Saya mengelus sekeliling. Pandangan berkalih ke papan jadual elektronik. Baru kejap kedengaran suara pengumuman dikeluarkan. Penerbangan MAS dari Kota Bharu ke Kuala Lumpur tertangguh sejam.
Saya membuka laptop. Cuba menaip-naip sesuatu sementara menunggu. Puas saya memerah, apa yang mahu ditulis? Otak saya agak infiniti. Agak bosan, saya merungut-rungut sendiri kerana tiada sambungan wi-fi di sini.
Hari terakhir di Kelantan, saya ambil kesempatan melawat saudara-mara terdekat. Ada yang sudah agak lama tidak berjumpa, "Eh eh sudah besar kamu ya? Buat apa sekarang?". Antara ayat wajib tatkala disapa oleh mereka.
Berbual dari hal lama-lama hinggalah ke perkembangan terbaru, kami bertukar-tukar cerita. Biarpun jauh di kota, dasar hati saya, keluarga masih pertama. Saya bisa emosi jika diajak berbicara mengenainya.
"Nak buat camana, tinggal yang tua-tua sahaja di kampung ni hah. Yang muda-muda semua dah hijrah ke bandar." Hati saya terusik diluah begitu. Saya pandang raut wajah ibu saudara. Nampak dia tersenyum sambil tangannya rancak mengirai roti jala yang ditempah pelanggan.
Mujur kami mempunyai hari keluarga, antara acara wajib tahunan. Berkhemah dan berkumpul beramai-ramai di pantai, bergelak-ketawa dan beraktiviti bersama, saya kira itulah momen terbaik bagi merapat dan bertukar-tukar perkembangan diri masing-masing.
Seronok juga dari setahun ke setahun melihat jumlah ahli keluarga bertambah- dari yang kecil-kecil hinggalah ke dewasa.
Paling ditunggu-tunggu sebenarnya. Selalunya akan diadakan beberapa siri mesyuarat keluarga, baik di peringkat keluarga di kampung mahupun di KL sendiri.
Tahun ini buat pertama kalinya, saya dan angkatan sepupu sama generasi bakal mengepalai, biarpun tidak secara total, namun perlahan-lahan kami mula mengambil alih tanggungjawab dari generasi lebih awal.
Dari hal merancang aktiviti hinggalah ke program sepenuhnya hari keluarga- antara sumbangan kecil kami buat keluarga.
Saya pasti ibu saudara akan terpalit gembira, ayah saudara juga akan melihat bangga- anak-anak yang dulunya kecil dan hanya tahu bermain dan bergembira kini berubah menjadi mereka yang dewasa dan bisa diharapkan.
Ah, betapa cepat benar masa berlalu bukan?
Esok hari baru bakal bermula. Saya nanti dengan penuh teruja. Tanpa kata-kata, saya hanya mahu lalui hidup ini dan hari-hari seterusnya dengan penuh gembira.
Begitu banyak perancangan, yang pasti saya akan menggalas satu lagi siri kehidupan. Biarpun kabur, saya tidak kisah jika (perlu) merangkak dari bawah.
Bukan senang menyusun kejayaan. Itu saya belajar dari beribu kegagalan.
Buat anda yang (masih) setia singgah di sini, sama-sama kita tadahkan kedatangan April dengan harapan. Lebih cerah dan penuh kemanisan.
**kemaskini : berita yang baru saya terima- takziah buat keluarga Allahyarham Din Beramboi. Moga roh arwah Din dicucuri rahmat oleh-Nya.
p/s : tak kering gusi mendengar lawak arwah Din dan Pak Nil pagi-pagi di Era.
Stabuxguy
Sunday, March 28, 2010
Terima Kasih Yang Terindah

27 Mac 2010
12.36 t/hari
Semalam merupakan hari terakhir saya di tempat kerja. Sedih meninggalkan rakan-rakan sepejabat, untung saya ada bos yang penyayang dan baik hati. Encik Hafiz yang memahami, tak putus memberi nasihat dan kata-kata peransang.
"Hang kerja elok-elok kat tempat baru. UPM tu baguih. Peluang untuk hang pergi lebih jauh. Tapi ingat, Ofis ni sentiasa terbuka untuk hang kalau nak mai balik. Just call me, anytime!", ujarnya dalam loghat utara yang pekat sambil menepuk-nepuk bahu saya. Mata kami bertindih. Ada nada sayu di situ.
Terharu saya mendengar ucapan Encik Hafiz sewaktu majlis farewell semalam.
Saya berteleku. Muzik "Already Gone" dendangan Kelly Clarkson terngiang-ngiang menerusi iPod di corong telinga. Tangan saya semakin rancak menekan keyboard. Idea mencurah.
"Pastri encik?", tegur si pramugari tiba-tiba. Saya menoleh tersenyum.
"Yes, please. Thank you."
Saat ini saya dalam perjalanan ke Pulau Pinang. Mulanya, saya rancang ke Kelantan, balik kampung, tetapi hati saya tidak cukup kuat untuk bersendiri di sana.
Merasai kesunyian kampung, membuatkan hati saya bertambah lara. Saya perlukan suasana yang lebih fleksibel untuk saya lupakan semuanya.
Episod semalam, andai diberi peluang, ingin saya buang jauh-jauh. Ia antara momen yang paling memalukan seumur hidup saya. Sungguh jika diberi pilihan, saya tidak akan sesekali memperbodohkan diri sendiri.
Cinta yang hilang, nah, biarkan sahaja ia pergi, tukas saya berkali-kali dalam hati.
"Kash, berkat hidup hang, Encik Hafiz siap buat bacaan Yassin lagi sempena 'pemergiaan' hang!", seloroh teman ofis sebaik habis majlis farewell semalam. Saya senyum. Hati berbaur. Namun tangan ralit memetik kamera sana-sini, merakam detik-detik terakhir bersama rakan-rakan.
Jujurnya, saya lebih rela mengingati hari terakhir itu, biarpun ia sebuah majlis perpisahan, namun ia lebih menggembirakan.
Buat seketika, sebaik bangun pagi, saya meratap mencari-cari, oh, di mana? Dengan siapa? Bisakah anda bayangkan setelah hampir beberapa lama, si dia telah tiada?
Namun sejurus saya akur- menghormati pendirian biarpun paling menyakitkan.
Jika si dia sudah memilih jalan hidup bagaimana yang diinginkan, apalagi yang harus saya katakan? Setiap dari kita berhak bukan?
Saya kuatkan hati.
"Teksi, hantarkan saya ke Terminal KTM lama ya. Nice please!".
Tak lama menunggu, tiket saya beli dengan harga RM75.
"Coffee or tea?". Saya toleh seorang gadis yang menyapa.
"Err, milo please. I tak minum kopi." Jawab saya selamba. Gadis itu senyum sebelum berlalu.
"Encik, kalau nak guna internet boleh ke kaunter hujung. Free access." Tingkah satu suara pula. Saya mengucapkan terima kasih.
Hmmm memang bagus layanan di sini. Lebih baik dari menaiki kapal terbang.
Hampir setengah jam bas bergerak, saya benar-benar seperti diulit.
Ruang tempat duduk yang luas dan selesa, bantal kecil, blanket, semuanya tersedia.
Dan oh, bisa menonton filem-filem pilihan juga (anda diberi sepasang headphone tiap seorang).
Serta-merta bayangan semalam hilang dari ingatan. Saya kunci dan buangkan jauh-jauh. Saya hanya fikirkan yang indah-indah.
Terbayang kari kepala ikan di Pan Mutiara, bersarapan nasi lemak 'cung' pagi-pagi di Taman Tun Sa'dun, sotong kangkung di belakang Vistana, mee goreng mamak di tepi Sri Malaysia, dan paling penting, membeli dvd di Ferenggi.
Pergilah. Saya senyum lebar-lebar. Terima kasih, terima kasih.
Terima kasih kerana pernah jadi yang terindah.
Stabuxguy
Sunday, March 21, 2010
Test Drive Neo CPS@Hicom Shah Alam
Sekian lama tertangguh, 20 Mac 2010, dapat juga saya mencuri masa untuk melakukan sesi pandu uji kereta idaman di Hicom Shah Alam. Mujur sepupu saya, Zul dapat turut serta. Berbanding saya, Zul berpengalaman dan lebih tahu selok-belok hal berkaitaan kereta.Kami tiba tepat kira-kira jam sebelas pagi. Agak ramai juga orang di Hicom hari ni lebih-lebih lagi model terbaru Proton, Persona Elegance baru sahaja beberapa hari dilancarkan.
"So macam mana?". Soal Zul sebaik selesai melakukan pandu uji.
Saya senyum memandang Zul. Sememangnya Neo sejak dulu menjadi idaman saya. Malah lebih lama lagi, model yang sama, Gti pernah membuatkan hati saya membuak-buak ingin memilikinya suatu hari nanti.
Jika ada yang bertanya, ya saya terlalu teruja!
Pengalaman pertama bakal memiliki kenderaan sendiri, dengan duit titik peluh sendiri- sedikit demi sedikit saya mula menggalas tanggungjawab. Belajar menangani hidup dengan lebih serius.
Saya anggap ianya pencapaian.
Jauh hati saya terdetik, jika tidak kerana seseorang yang sentiasa memberi saya semangat, pastinya tidak mungkin saya berada di tahap kini. Tidak boleh tidak, ini harus saya ulang berkali-kali di dalam hati, agar saya tidak lagi menjadi seorang yang lupa diri-
Kerjaya yang memuaskan, hidup yang semakin stabil. Nah, bersendiri nyata lebih mematangkan saya dalam segala hal.
Bukankah itu lebih baik?
Sama-sama doakan hidup masing-masing kita lancar dan dipermudahkan.
Oh, ya minggu hadapan saya akan mula bercuti. Berkira-kira untuk pulang ke kampung, sebelum melalui satu lagi fasa kehidupan baru, saya hitung April sebagai satu lagi sejarah peribadi yang manis untuk dikenang. Bagi mereka yang sabar (dan rajin singgah di sini), tunggu, akan saya kongsikan dengan anda nanti.
Jumpa lagi!
Stabuxguy
Wednesday, March 17, 2010
Teman Jakarta Yang Saya Senang
Jarak bukan penghalang. Memahami dan sentiasa positif. Dua kriteria utama mengapa saya begitu senang berteman dengan kedua-duanya.Zaky dan Aries, biarpun tidak mengenali secara dekat dan hanya berhubung menerusi internet, kedua-duanya sentiasa bersama saya- bertukar-tukar pendapat dan cerita, membuatkan hidup saya kembali terisi dan gembira.
Bukan tiada teman-teman di Malaysia yang saya akrab, tapi Zaky dan Aries istimewa. Bercita-cita, 'mendekati' mereka ibarat membuka mata. Berkawan baik, masih ingat kata-kata Zaky yang mahu menyertai Amazing Race Asia.
"Me and Aries akan masuk...".
Dalam hati saya berkata,"Wow!".
"Kamu serius?".
Dapat saya bayangkan Zaky mengangguk. Matanya bersinar. Tanda bersungguh.
Bersama Aries, Zaky pernah berkunjung ke Malaysia, sayang waktu itu saya tidak berkesempatan untuk menemui kedua-duanya.
"It's ok, ada waktu kita ketemu lagi ya!". Kata-kata Zaky umpama terngiang di telinga.
Aktif ke gym dan hip-hop dance, Zaky juga banyak memberi saya tips-tips berguna. Baik dari hal kesihatan, pemakanan.
Awal mengenalinya, kira-kira penghujung tahun lalu, dari hanya bertukar-tukar komen di status FB, membuatkan hubungan kami menjadi rapat dari hari ke hari.
Kini mereka adalah antara teman-teman saya yang sentiasa 'di sisi', nasihat yang tak lekang, memberi dorongan dan motivasi untuk saya meneruskan kehidupan.
Hidup tidak mudah. Saya gemarkan mereka yang tidak memandang rendah.
Buat Zaky dan Aries,
terima kasih, terima kasih. Saya senang dengan kalian.
Tunggu saya di Jakarta nanti ya!
Tuhan,
moga persahabatan kami berpanjangan.
Mudah-mudahan.
Stabuxguy.
Subscribe to:
Posts (Atom)
Featured Post
Coronavirus - Saat Getir Malaysia dan Jenaka Cik Kiah Yang Trending!
Jumaat, 27hb Feb 2020 10.25 malam Assalamualaikum... Ralit dari pagi, banyak juga hal-hal di guesthouse yang perlu saya ...
-
Assalamualaikum & apa khabar :-) Dua tahun tanpa muat-naik dan cerita-cerita terkini, saya berkira-kira, masih adakah ada di kalanga...
-
"Buat apa nak bercinta dengan orang miskin, kalau boleh bercinta dengan orang kaya?" Panasss! Oh, my Gucci- sabar, sabarr... janga...
-
"danke!" "bitte." dua istilah ringkas yang kian terlekat dibibir saya sejak akhir-akhir ni. maksudnya? hehehe... terima ...
Search This Blog |