Monday, October 3, 2011

Rahsia Terbongkar, Nora Bukan Zain

 

Mendengar war-war Muzikal The Secret Life Of Nora (TSLON) bakal dipentaskan kira-kira 3 bulan yang lalu, hati saya begitu teruja, lebih-lebih ia diangkat dari filem terbitan awal 50-an, Nora Zain, ejen wanita 001, lakonan Allahyarmah Seniwati Saadiah. Saya gemar versi filemnya, watak ejen perisik wanita yang bijak, bagaimana tangkas dan hebat Saadiah beraksi, begitulah juga yang saya harapkan untuk versi teaternya.

 

Mungkin di waktu kehangatan teater TSLON ini berlangsung sekarang, sesuai jika ada pihak dari stesen tv misalnya menayangkan kembali filem ini. Saya percaya ramai antara kita nak tahu siapa Nora Zain?

Diteraju 'generasi baru' perfileman dan teater berprofil tinggi seperti Datin Seri Tiara Jacquelina (Tiara), disokong pula mereka-mereka yang hebat dalam industri, saya pasti jelmaan "Nora Zain" versi teater pastinya tidak menghampakan. Itu keyakinan saya di awal-awal.

Beberapa jam sebelum teater bermula, ingatan saya tak putus mengingatkan tarian ala perisik Tiara menerusi muzik video (mv) lagu Siapa Dia yang ditonton berkali-kali menerusi internet.

Siapa Dia yang catchy, rentak yang bersahaja dan sedap didengar, segera menangkap halwa telinga saya. Merupakan sebuah lagu lama yang digubah semula, saya percaya promo mv  ini secara tak langsung telah berjaya mencuri perhatian para peminat teater tanahair. Harapan kami tinggi. Aras cemerlang dua muzikal terdahulu, Puteri Gunung Ledang dan P. Ramlee telah meletakkan Tiara dan Enfiniti Vision Media (Enfiniti) di dalam kelas yang tersendiri.

Teater bermula

Saya kejap di kerusi. Mata saya tatap ke tiap inci pentas, tak berkedip, tak sabar menunggu jelmaan "Saadiah" di depan mata. Biar terganggu dengan insiden kecil pertindihan tempat duduk di kalangan penonton, tidak sedikit pun mencuri perhatian saya kepada TSLON.


Bermula persembahan, sebaik "Nora" keluar bersama kumpulan penari-penari kabaret, hati saya berkata, "Yesss!!", kombinasi pergerakan dan dendangan Siapa Dia benar-benar mengikat saya di tempat duduk. Tiara kelihatan yakin sebagai "ratu" persembahan. Cuma lucu bila ada yang berbisik,"psstt.. tidakkah dia kelihatan sedikit tua dikelilingi penari-penari muda?". Namun bagi saya, Tiara sebagai Nora tetap hebat.


Babak demi babak berlarut, audiens mula diperkenalkan kepada seorang demi seorang karakter terlibat. Ryan Silverman, si kacak bintang Broadway yang telah banyak menjayakan pementasan yang bertaraf antarabangsa seperti The Phantom of the Opera, Mamma Mia dan West Side Story khususnya di kota raya New York dan London (terima kasih kepada Encik  Anonymous kerana telah membetulkan saya) sebagai Ejen Roger Foss barangkali penerima tepukan paling gemuruh, namun Adibah Noor (Khatijah) dan penampilan bersahaja Tony Eusoff (Ejen Farouk) paling menarik perhatian. Tarikan kimia keduanya begitu ketara, ada sesuatu yang istimewa pada gandingan ini. Tak salah jika saya katakan, Adibah-Tony adakalanya penyelamat dan penyeri utama beberapa babak dalam pementasan ini.


Saya senyum sebaik Betty lakonan cute Stephanie Van Driesen pelat menyebut,"Betul kak, betul? Bila Betty boleh nyanyi?". Satu-satunya dialog comel yang saya hafal sebaik menonton wajah gadis ini pertama kali di kaca tv.


Berehat seketika di bahagian pertama, saya keluar untuk menerima dan membuat beberapa panggilan. Kelihatan kelibat Chedd, rakan blogger saya yang juga orang kuat teater ini (Chedd adalah pembantu pengarah bagi TSLON). Sempat saya menegur beliau di luar panggung. Tak banyak yang dapat kami bualkan, Chedd yang merupakan 'orang penting' malam itu, "later we chat on bbm k!". Saya masuk untuk menghayati Nora di bahagian kedua.

Nora, Bahagian Kedua

Masih samar-samar siapa Nora sebenarnya, saya ibarat tertanya-tanya, banyak persoalan yang bermain di kepala. Sabar, babak kedua kini bermula. Saya pasti Steven Dexter, selaku pengarah tersohor bisa menjanjikan sesuatu. Saya cuba memujuk diri sendiri.


Rangkaian lagu-lagu popular Britney dan Pink menjadi pembuka pentas bahagian kedua (kenapa Pink, Britney?!). Penari-penari yang menari di set-set bertingkat, saya cuba mengingat, bukankah itu props/set yang sama seakan-akan dipakai di dalam Teater Muzikal Terima Kasih Cinta (klik untuk membaca review) awal tahun lalu? Tiara sekali lagi keluar sebagai Nora tetapi kini membuat persembahan di sebuah kabaret baru bernama New New World. Agak mengelirukan sebenarnya. Menarik kerana imej Nora kini bertukar agak "wild" dan lasak (kerana beliau kini seorang ejen perisik) namun mengekalkan ciri-ciri kejelitaan sebagai seorang primadona terkenal.

Keliru



Biar saya jelaskan di sini. Ada dua persoalan yang bermain di kepala saya, pertama- berdasarkan pemahaman saya (dari pembacaan artikel-artikel di internet), Nora yang mewarisi perniagaan kabaret kelab malam selepas kematian ayahnya, telah ditangkap dan diberi kata dua untuk menerima tawaran interpol menjadi perisik sebaik kegiatan sebenar perdagangan wanita di sebalik perusahaan kabaret kelab malamnya terbongkar. Tapi di persembahan sebenar, Nora tidak ditangkap, sebaliknya diperdaya oleh Ejen Farouk yang menyamar sebagai pengarah filem konon-kononnya Nora dikehendaki menjalani latihan untuk filem terbaru sebagai ejen perisik wanita (ala Nora Zain). Nora yang teruja pada awalnya tidak tahu dirinya telah menjalani latihan ketenteraan untuk menjadi perisik sebenar!

Di situ sekali lagi kekeliruan saya timbul, makanya filem ini bukanlah seratus-peratus adaptasi dari filem Nora Zain lakonan hebat Allahyarmah Seniwati Saadiah, ianya sekadar mengambil sedikit inspirasi dan menggunakan nama pangkal Nora sebagai tarikan. Betapa saya sangat kecewa sebaik mengetahuinya di pertengahan cerita. Graf minat saya mulai menurun.

Watak Nora di tangan Tiara kelihatan semakin kelam-kabut di mata saya. Ceritanya mula bercelaru dan merepek-repek. Semakin tidak jelas dan kebudak-budakkan. Tidak pernah sepanjang menonton kedua-dua produksi hebat
Enfiniti sebelum ini, saya begitu gelisah. Tujuan saya jelas, saya seakan 'ditipu' dan mula tidak dapat menghayati perjalanan persembahan dengan begitu selesa.

Kecuali babak Nora-Roger di atas bukit (kawasan berbatu-batu), saya beri lima bintang kerana kecemerlangan gandingan mereka. Satu-satunya babak beremosi (romantik) yang menarik perhatian saya. Saya suka adegan di mana Roger dan Nora menyanyi bersama waktu ini, diselang-seli dengan bercakap (secara bergilir-gilir), lagu
'A Twinkle in the Dark' kelihatan sangat asyik dan indah.  

Lampu dihalakan mewakili giliran mereka bernyanyi. Kelip-kelip sebagai latar? Saya anggap sebagai sesuatu yang sangat bijak, kemas dan berjaya menaikkan cantik bagi adegan ini. Antara babak yang mengagumkan saya (teringat babak air terjun dari kain renda waktu pertemuan puteri dan tuah di dalam PGL). Oh, terkenang!


Mr. J


Kemunculan Aznil sebagai Profesor Klon err... Mr. J awalnya memang antara karakter yang paling saya nanti-nantikan. Lakonan Aznil biasa-biasa sahaja namun pujian harus diberikan kepadanya, sukar untuk membayangkan jika karakter Mr. J di tangan pelakon lain. Namun Mr. J di mata saya terlalu "lembut" berbanding si Sharif (Aaron Khaled), orang kanannya sendiri. Sharif yang bersifat penggoda, pandai bermain kata-kata, lebih villain dan 'keras'.

Lucu pula bila elemen dari filem barat, The Stepford Wives 'dicedok' dan dijadikan sebahagian dari inti cerita. Saya dah mula tersenyum dan geleng kepala.

Jika Mr. J adalah dalang utama di sebalik kehilangan wanita-wanita kabaret di kelab malam Nora, jadinya ayah Nora bukanlah "orang jahat" sebenar dan kelab malam yang diwarisi Nora dari arwah ayahnya itu adalah bersih dari sindiket perdagangan wanita bukan? Aduh, pening saya sebab awal-awal sudah tersumbat dengan fakta yang salah. Itulah susahnya bila rajin membuat kajian sebelum menonton persembahan tapi hasilnya yang ditonton bercanggah. Bukan menebak kesalahan, tetapi saya suka jika sesuatu pementasan itu bisa membuatkan kita gembira dan seronok untuk menikmati (tanpa ada sebarang teka-teki).

Saya langkau saja pengakhiran teater ini. Terlalu kebudak-budakkan dan sukar untuk saya terima bagi sebuah produksi gah seperti
Enfiniti. Bukan menebak kesalahan, tetapi saya suka jika sesuatu pementasan itu bisa membuatkan kita gembira dan seronok untuk menikmati (tanpa ada sebarang teka-teki). Saya faham jika mereka mahu cepat-cepat mengejar penamat sehingga ada teman nakal berbisik, "itu set dari siri kanak-kanak Joe Jambul kah?".

Mungkin pemahaman saya teater itu lebih sesuai untuk latar klasik atau cerita dahulu-kala. Saya kagum dengan Siti Zubaidah, Puteri Gunung Ledang, Laksamana Cheng Ho, Natrah, Rubiah malahan P. Ramlee sekalipun. Saya mungkin belum bersedia untuk menerima teater-teater moden sebegini. 

Teringat pula sewaktu pementasan teater M! (Khir Rahman) dahulu. Terlalu sukar untuk dihayati sehinggakan saya angkat kaki keluar dari IB sebelum babak kedua bermula. 

Masih seronok untuk ditonton, TSLON mungkin terbaik dalam kelasnya, namun mungkin bukan untuk saya. 

Maaf jika review saya menyinggung. Buat Chedd anda tahu saya sayang anda (benar Chedd, sumpah!!). Nora bukan silap, mungkin kerana tiada "Zain" di hujung-hujung, makanya harus tonton dan hayati tanpa apa-apa pengharapan. Lihat dari mata atau gaya Broadway mungkin?
 
Syabas buat produksi terlibat. 

Lain-lain review menarik :


Stabuxguy

7 comments:

fixckqriey said...

yea.. a bit messy.. part bercinta byk lagik dari merisik kan... anyway.. i love the costume, lighting and pelakon semua... Betty sgt chanteq... hehhe

Anonymous said...

Correction: Ryan Silverman is not from Broadway New York but from West End, London. Don't you heard his English accent? Kindly noted.

stabuxguy said...

Thanks to Anonymous. Sedikit kekeliruan maklumat. :)

Anonymous said...

OMG....at first i thought you are going to praise this show to the roof...so after reading your writing til the end, I am glad that I was not the only one that was dissapointed with the show.... casting Aznil is a wrong choice and I suspected the team want to draw crowds.....I agreed with you on Tony and Adibah. They saved the show. The role of Nora should be given to Stephanie.....

Anonymous said...

Citarasa pengunjung ketara berbeda. Rata-rata, pujian media arus perdana mencecah langit ke-tujuh. Begitu juga "accolades" yang diterima menerusi laman Facebook The Secret Life of Nora. Inilah yang agak mengelirukan saya. Apakah pandangan kita semua (sekumpulan 12 penonton, some of whom are seasoned theatre-goers/lovers either here or overseas) sudah terserong? None of us liked it that much, not in its entirety, anyway. There were moments of brilliance, but these were very few (honestly, I could only recall one scene). The rest, sudah dikaburi dengan all the glitz and glamour of the costume, the set, and the "star power" of some of the cast members.

sukahati said...

saya setuju dengan Anon diatas ni :). Byk review yg memuji pementasan ini, tapi bagi saya ianya tidak begitu menarik jika dibandingkan pementasan2 Enfiniti sebelum ini. Tapi apa pun, ianya masih sebuah produksi teater muzikal yang baik jika dibandingkan dengan produksi lain. Saya tiada masalah dengan set, costume atau lagu...cuma bagi saya jalan cerita ini yang tidak kuat.

Anonymous said...

I Thought the only scene that stood out was the army practice scene. Brilliant lighting, dancing, costume and set.
The other scenes failed in comparison.
Very disappointing. Why current top 40 songs when the play was set back in time?!?
Aznil was OMG so irritatingly campy. Plugging his own tv show on set was a big turn off. He seemed liked himself in all his tv shows!
Stephanie stole the show with her acting and vocals... She should have had two solos.
I also felt that a lot of the music for scene changes were very Dreamgirls.
Poor storyline. When you set the Expectation so high with lavish promos and advertising (and with the brilliantly staged 2 previous shows), one can't help but feel disappointed with the bad (almost B-grade) storyline that has been recycled to death with the cliche jokes and love songs with corny overlapping dialogue.

Tiara set the bar so high for local staging that this was two steps back.

Featured Post

Coronavirus - Saat Getir Malaysia dan Jenaka Cik Kiah Yang Trending!

Jumaat, 27hb Feb 2020 10.25 malam Assalamualaikum... Ralit dari pagi, banyak juga hal-hal di guesthouse yang perlu saya ...