"Yes or no?". Saya garu kepala. Tidak tahu bagaimana mahu memberi jawapan.
"Saya beri awak tempoh seminggu. Nanti datang balik ke bilik saya." Saya hampa. Pelik bagaimana saya bisa kaku sebaik disoal 'orang atas' tadi. Mungkin saya juga keliru dengan keputusan yang saya buat.
"Awak pasti?". Dia, teman rapat saya pula menyoal. Saya tunduk. Tangan menguis-nguis roti di pinggan.
"Kalau tak pasti jangan pergi dulu. Sabar, bertahan...". Ringkas Dia menasihat. Saya senyum. Memang Dia teman yang baik.
"Jom, naik! Dah setengah jam kita turun. Kang cari pula bos-bos di atas tu." Terkocoh-kocoh Dia menghabiskan minum.
Bukan mudah membuat keputusan sebenarnya. Ikut hati, mahu saja saya pergi. Melaksanakan apa yang sekian lama terbuku di hati. Jika tiga, empat tahun lalu, barangkali saya tidak serasional ini. Pantas sahaja membuat apa-apa keputusan (tanpa pertimbangan). Saya untung kerana ada Dia dan teman-teman lain menasihati.
"Banyak kemungkinan- harus memikirkan banyak perkara", ujar Dia berkali-kali buat saya terfikir sendiri.
Ah, komitmen buat kaki saya terpasak di bumi. Tak bisa lari!
Protes.
Saya sebenarnya percaya pada sebuah kehidupan yang mempunyai pilihan. Hidup tidak perlu terlalu lurus dan berada di garis yang betul.
Pelik bila kita tegar menyesakkan fikiran. Membayar bil-bil contohnya, saban bulan harus menyediakan sekian-sekian peruntukan. Ibarat hidup adalah sebuah kelangsungan- lebih tepat sekadar untuk membayar hutang.
Bukankah hutang tercipta kerana setiap dari kita mahu menonjolkan kesempurnaan?
Salahkah?
Tidak.
Tapi saya hanya mimpikan sebuah kehidupan yang mudah dan ringkas.
Alangkah baiknya jika itu pilihan yang mampu dilaksanakan!
Mungkin saya tidak akan menjadi kaya dan begitu berharta, namun saya bisa bahagia dengan pilihan yang saya buat. Mengembara, mengenal dunia, bertemu si dia dan si dia, mereka dan mereka, sekurang-kurangnya itu adalah mimpi saya.
Membuka pilihan dan meneroka peluang-peluang baru (yang mungkin tak terfikir), saya percaya itu bisa membawa kepada kehidupan yang lebih baik.
Setiap dari kita berhak untuk bermimpi bukan?
Stabuxguy
No comments:
Post a Comment