Sunday, July 26, 2009

Dilema Hari Minggu

Ahad datang lagi. Hening pagi yang mengusam, buat saya terjaga. Terkedip-kedip, baru saya teringat yang malam saya sendirian. Capai telefon, oh dah hampir ke jam sembilan rupanya. Bangun, gosok gigi dan terkocoh-kocoh membancuh milo di dapur. Antara minuman kegemaran saya pagi-pagi.

Seketika saya ke bilik belakang, melihat muat turun bahan-bahan dari internet malam tadi. W1max benar-benar buat saya kagum. Bukan sahaja memuat turun, menonton Youtube pun sudah tidak perlu tertunggu-tunggu seperti selalu, berbanding broadband, semua kerja jadi sepuluh kali lebih mudah dan cepat- tidak perlu telefon, tidak perlu proses pendaftaran yang (me)rumitkan.

Bayar, bawa balik modem dan pasang. Itu sahaja!

Tunggu, ada berita yang mengejutkan saya pagi-pagi. Saya tenung beberapa akhbar di internet. Tak puas hati, saya cuba Google satu persatu. Tidak mahu pisang berbuah dua kali, jika Khamis lalu saya ada meletakkan status,"Yasmin Ahmad meninggal?" di laman Facebook, ada rakan-rakan yang bertanya, antara sahih dan ragu-ragu, saya sekadar membatu.

"Innalillah...". Saya tunduk terkedu di meja komputer. Biarpun saya tidak mengenali beliau secara peribadi, kali pertama bersua pun cuma sekali sewaktu menghadiri Shorties BMW tiga tahun lalu. Berbaju kurung, wanita yang digelar "Kak Min" ini ternyata ramah dan kaya dengan senyuman dan gelak ketawa. Tidak seperti pengarah tersohor, buat lidah saya kelu untuk mewawancara beliau.

Buat Kak Min atau Yasmin Ahmad, semoga rohnya dicucuri rahmat. Amin.

Ada beberapa filem baru yang bakal ditayangkan menjelang akhir tahun nanti. Paling buat saya ternanti-nanti ialah filem 2012. Pertama kali menonton trailer di Youtube dari minggu lalu (setelah membaca di akhbar) benar-benar buat saya teruja untuk menonton keseluruhan isi filem. Kemusnahan bumi secara besar-besaran, hasil garapan pengarah Roland Emmerich yang telah banyak mengarah filem-filem hebat, antaranya The Day After Tomorrow (2004), Godzilla (1998) dan Independence Day (1996).

Selain 2012, antara filem hebat lain yang menunggu tayangan ialah The Twilight Saga: New Moon serta The Final Destination, francais keeempat filem Final Destination.

Saya kaki wayang? Hah tidak juga. Suka mengambil tahu mungkin. Saya teruja selagi ianya bukanlah termasuk dalam filem-filem komedi sampah.

Selain filem, muzik juga kegemaran saya, gemar memuat turun dari membeli (tengok album dan kualiti penyanyi)- ah, zaman siber ni semua kuasa di hujung jari, hanya klik sahaja.

Menempah tiket, carian tempat dan lokasi menarik- di mana-mana, di Starbucks, di rumah, mahupun di tempat kerja (saya menggunakan dua hub komputer) segala-galanya menjadi mudah dan cepat.

Habis sekole milo, saya menerima sms dari Abang Nazri. "Report location. Jom pi lunch memana...". Saya senyum. Lama kami tidah melepak bersama. Belum pun sempat membalas, Ir pula sms. "Mahu makan? I on the way balik...".

Ahad selalunya begitulah. Ramai teman-teman mengajak keluar, makan-makan. Hari untuk bersenggang.

Saya buat keputusan ke Pantai Dalam. Ada restoran makanan Kelantan yang bagus di sana. Segera sms Ir dan Abang Nazri, serentak.

Balik dari makan tengahari, saya kembali memeriksa laptop, mahu tahu kalau-kalau muat turun saya sudah berhasil. Saya senyum sebaik melihat 'dua bahan' sudah masuk ke folder. Tak sia-sia saya melanggan W1max.

Dah berkira-kira untuk perancangan seterusnya. Tidak sabar menunggu minggu hadapan. Dah banyak 'pungut suara' yang saya buat; bukan meminta pilihan, sekadar bertanyakan sokongan. Patut atau tidak patut? Jika A, bagaimana? Jika B, apa risikonya?

Barangkali ada yang memintas saya,"Kash, jangan lari dari masalah. Berani hadapi cabaran. Dunia ini tidak mudah."

Sayang saya tidak begitu. Tak guna jika keadaan tidak menyebelahi saya. Hidup dalam sesebuah komuniti, anda tentunya mahukan sesuatu yang aman dan membahagiakan bukan?

Saya kira pilihan saya betul. Meninggalkan sesuatu yang anda suka dan minat, punya masa depan yang cerah, bukan bermakna rezeki anda putus. Saya tidak percaya digelar gagal.

Peluang ada di mana-mana jika anda yakin dan usaha. Saya bukan bercakap untuk meggembirakan hati sendiri, tapi sebagai motivasi, ya- tanpa sesiapa pun yang bisa memahami, saya terpaksa kuatkan hati sendiri.

Ya, semoga pilihan saya betul.

Minggu hadapan saya akan pejam mata sepuas-puasnya!

3 comments:

Ajami Hashim said...

BMW Shorties tu hampir2 kita tak jadi pergi kan?

takecare bro! ;-)

solo molo said...

yg penting setiap pilihan yg dibuat, harus ada keyakinan...
C.H.A.I.Y.O.K !!~

;)

alieya akasha said...

Datanglah ke festival tari...sudah bermula 28-31 julai 09 di auditorium DBKL jam 8.30 malam....dan juga persembahan teater di aswara pada 30 dan 31 julai 2009 jam 8.30 juga.sekiranya berminat.