Friday, July 10, 2009

Andai Saya Punya Sayap

Andai saya punya sayap yang panjang dan kuat, akan saya lebarkan seluas-luasnya merentasi ke tiap muka benua, menongkah arus di tiap pelosok laut yang bergelora, akan saya tebar melalui api-api yang berbara. Itu perasaan saya (tika ini).

Wahai emosi, berhentilah- ianya sungguh tidak menguntungkan saya. Dari jauh nampak berbalam-balam. Biarpun saya cuba menelah, namun masih kelam.

Benarkah ianya benar-benar buat saya?

Kadang terfikir, apa yang paling saya rindui sebenarnya?

Saat-saat tidak berkerja, punya lebih kebebasan (untuk menentukan kehidupan), mungkin ada pro dan kontranya. Saya cuba ambil dari sudut-sudut yang positif, tiada tekanan, tiada marah-marah, hidup sentiasa dalam kegembiraan dan punya masa senggang yang tiada sempadan. Berbanding sekarang, tolak dari segi fasa kehidupan yang lebih teratur dan terancang, saya sebenarnya tidak begitu gembira. Ambil sahaja jari, bisa dihitung hanya beberapa yang positif, selebihnya memberi impak yang tidak (begitu) sihat terhadap emosi. Ketakutan mengheret saya menjadi seorang yang pasif. Sibuk berkerja dengan susunan waktu yang menggila, dicampak dan dilambung- barangkali ada yang bisa terjun gaung jika anda berada di tempat saya.

Saat-saat begini, terbayang waktu membonceng RD di lorong-lorong di Gelugor dan Georgetown. Menikmati pasembor petang-petang di Padang Kota, ataupun sarapan pagi setiap Sabtu dan Ahad di kawasan berhampiran Kompleks Bukit Jambul. Yup- semuanya berkait soal makan, tapi saya gembira.

"Kash, berat you dah naik ya?". Saya tidak menghirau, senang sambil menikmati kopi dan ais coklat di Starbucks Egate (berehat, tenangkan fikiran melihat laut dan pemandangan jambatan), malam-malam makan makanan laut di gerai Pok Cik (berdekatan Queensbay Mall) ataupun di Teluk Tempoyak. Puas!

Benar kata orang, dekat-dekat tak nampak, dah jauh baru nak rindu-rindu. Jika dulu hati saya meronta-ronta mahu kembali ke Kuala Lumpur. Mahu cepat-cepat cari kerja, bina kehidupan (kononnya)- ah, macam-macam yang saya rindu- naik lrt, malam minggu, kawan-kawan, KLCC.

Hampir lima bulan saya di Kuala Lumpur, ada sesetengah yang (masih) bertanya, "Eh, Kash, bila you balik? Dah kerja di KL ya sekarang?", saya tersenyum geli hati. Paling lucu, ada juga kalangan teman-teman (yang saya anggap sahabat karib) hingga kini belum saya temui. Katalah apa sahaja, saya tetap percaya kepada cara tradisional, tidak sama rasanya kuasa teknologi berfacebook mahupun YM, tidak, itu tidak cukup. Makan-makan, bersosial, paling tidak pun bertanya khabar. Itu saya kira cara paling ideal untuk kekalkan hubungan.

Dalam dunia ni, macam-macam yang kita mahukan, tidak semestinya semua yang kita impikan itu biasa kita perolehi secara total bukan?

Saya ambil itu sebagai iktibar ataupun pengajaran.

Kuala Lumpur terlalu mengekang saya, bukan saya tidak tahu. Bertahun-tahun mengadap bumi konkrit ini, hampir ke segenap inci dan ragam dah saya jelajah, mungkin sepertiga (atau separuh) darinya telah berubah, namun Kuala Lumpur tetap sama. Buat saya (sering) tersedar, oh Pulau Pinang jauh lebih baik sebenarnya. Ada laut, ketenangan, mungkin sedikit sunyi, tapi itulah yang terbaik.

Hujung minggu boleh memandu ke Perlis, selain dari bertemu Tok Su, bisa ke Kangar ataupun singgah ke Padang Besar- makan pulut ayam, window shopping-lah apa lagi!

Saya rindu bermesyuarat di meja makan bersama KN, MB, Tok Su, Mak Ngah dan juga Sam. Sama-sama masak, nah sebut apa sahaja, pajeri nenas, masak kicap, taucu, pasti ada yang ringan tangan menyediakan- sama-sama makan dan berborak. Ada kalanya hingga ke pagi (dengan tangan yang masih belum berbasuh!). Kalau parti, biarpun kami-kami sahaja, namun meriah.

Teringat juga Juliana dan anak-anak, apa khabar Iman dan Danial. Teringat Danial yang merengek, "Uncle Kash, Uncle Kash, jangan lupa Danial nanti ya-", buat hati saya terusik. Teringat juga 'Blueberry Cheesecake' pertama dan terakhir hasil air tangan Kak Ida, teringat juga waktu melawat Abang Hensem dan rumah baru keduanya, berbuka puasa bersama-sama keluarga Kak Intan (meriah!), dan Mr.Just-right-for-her, suami Kak Intan yang berbakat memasak- goshhh, saya rindu semua-semuanya-

Andai saya punya sayap yang panjang dan kuat...

p/s : Masa, bawa saya pulang.

Featured Post

Coronavirus - Saat Getir Malaysia dan Jenaka Cik Kiah Yang Trending!

Jumaat, 27hb Feb 2020 10.25 malam Assalamualaikum... Ralit dari pagi, banyak juga hal-hal di guesthouse yang perlu saya ...