Tuesday, February 24, 2009

Magis PGL Yang Menjadi dan Bright & Breezy AM Di PD

"Kemaskini" dan "bersarang". Dua perkataan yang acapkali saya dengar bila jarang-jarang saya menulis apa-apa yang terbaru. Sabar ya kawan-kawan. Bukan tak mahu, tapi kembali ke Kuala Lumpur banyak buat saya terkejar-kejar, lega juga sebaik semua yang dirancang menjadi, baik hal-hal peribadi, mahupun berkaitan orang-orang sekeliling.

Jujurnya kini, menulis "kemasukan" terbaru umpama merancang kenduri 40 hari, 40 malam payahnya. Buntu dan kadang-kala diperap berhari-hari lamanya. Pelik juga ya- entah kenapa, *ada kawan memberitahu, "faktor usia, barangkali?". Hahaha! Saya cuma tergelak sendiri. Enam tahun bergelar blogger masih buat saya tak serik-serik.

Blog umpama nadi. Itu jawapan saya.

Ok, ini cerita saya...

Jika ditanya perasaan, hati saya masih berbaur. Menghirup udara Kuala Lumpur, tidak sama seperti di Pulau Pinang. Kota yang membataskan peluang untuk berehat, semuanya harus dilakukan cepat-cepat. Terkedu juga tatkala memandu di jalanan, simpang-simpang yang sudah berubah tanda arah, duh, buat saya pening seketika.

"Bukit Bintang paling buat saya pening kepala. Lebih-lebih lagi jika keluar dari Terowong SMART mahu ke Paviilion."

Itu kawasan cari makan dulu-dulu katanya. Hahaha!

Apa pun semuanya okay, ya pasti okay. Itu saya katakan berkali-kali pada diri sendiri. Menjadi seorang dewasa yang harus membuat keputusan kendiri juga buat saya terasa kekok biarpun saya tahu ianya adalah suatu proses yang perlu ditangani dengan hati-hati.

Bayar bil, hutang-hutang kredit kad, tunggakan kereta, beli rumah- duh!

Persoalannya, bersediakah saya?

Puteri Gunung Ledang The Musical Musim Ke-3

Awal minggu lalu, saya berkesempatan singgah di Istana Budaya (IB) bagi menonton persembahan teater muzikal, Puteri Gunung Ledang (PGL). Terima kasih buat Zack, teman saya yang menjemput. Biarpun awal-awalnya tiada perancangan untuk menonton, namun jemputan Zack, ditambah dengan tiada apa yang ingin dibuat (tontonan di waktu siang), sekali lagi saya terhanyut di dalam cerita cinta Tuah dan Puteri. Syabas buat Tiara! Memang cinta mereka tidak pernah menjemukan saya, biarpun sudah masuk edisi ketiga.

Lebih rencah, penuh drama dan gubahan lagunya pun lebih indah. Paling saya tabik dengan nyanyian Stephen Rahman-Hughes. Lebih meremang dengan vokal ala broadwaynya. Kredit juga buat Datin Seri Tiara Jacquelina, tidak sesia ilmu yang dicedok di luar negara. Nyata memberi impak yang luarbiasa kepada persembahannya. Dikatakan edisi ini bakal mengakhirkan peran sang Puteri ditangannya, pastinya berita sedih buat pengikut setia PGL dan para peminat setia Tiara khususnya.

Biarpun harus diakui, PGL musim pertama lebih melekat di ingatan saya, namun edisi kali ini adalah terbaik. Terbaik kerana serba-serbinya lebih teliti, kemas dan aturannya lebih terperinci. Babak demi babak berjalan dengan penuh emosi. Tidak perlu saya ulas panjang-panjang. Cukup mengatakan, PGL musim ketiga berjaya mencapai visinya. Bukan kata-kata kosong sebaik Tiara dan krew produksi melaungkan frasa lebih magis, sememangnya benar, peran sang Puteri itu sendiri suatu magis; apatah lagi yang lain-lainnya.

Paling ralit menunggu babak matahari muncul. Tragis dan hati ikut sama menangis.

Pada yang sudah menonton, saya percaya anda setuju dengan kata-kata saya.

Kash, mana cerita PD? Ada.. ada...

Ambil masa untuk susun dan memilih gambar satu persatu. Sony Alpha benar-benar membuat hidup saya bahagia. Melakukan editing juga buat saya bahagia. Pendek kata, apa-apa sahaja berkaitan dengan fotografi kini, buat saya bahagia. Hahaha!

Sabar ya pada yang masih menunggu gambar-gambar dari saya. *Sila log masuk ke facebook untuk kemaskini gambar-gambar terkini.

Ucapan terima kasih harus saya tuju buat AM saya yang telah bersusah-payah menjemput kami ke Port Dickson bagi meraikan hari ulangtahun beliau yang ke-**. Jika saban tahun dibuat di rumah, sesekali apa salahnya ubah angin, jauh dari hiruk-pikuk ibukota. Pantai barangkali memberi metafora perjalanan dan usia. Ah, itu hanya definisi saya.

Bright & Breezy di PD

Saya tiba di Desa Lagoon Resort Port Dickson kira-kira hampir ke jam empat petang. Lewat kerana gegas ke beberapa tempat mengambil cupcakes dan beberapa urusan lain.

Mahu saya gambarkan suasana di sana dengan perkataan?

Penuh warna dan meriah dengan gelagat kawan-kawan. Masing-masing melaram mengikut tema, oh tak kurang juga yang macam nak masuk tidur pun ada. Awalnya, lokasi kami berBBQ adalah berhampiran pantai. Namun dek kerana hujan yang turun secara tiba-tiba, terpaksa ditukar ke kawasan bawah apartment sahaja (tepi pool) sementara sesi potong kek dan games diadakan di dalam apartment.

Ada antara muka-muka yang baru saya kenal dan jumpa, selebihnya muka-muka biasa. AM barangkali bertuah dikelilingi oleh mereka yang hebat-hebat dan antara yang terbaik dalam hidupnya. Sesekali berkumpul dan bertukar-tukar cerita, kecoh jadinya.

Lebih-lebih lagi dengan adanya Kitt, si versetail yang penuh drama (err, hanya itu gelaran yang bisa saya fikir setakat ni- hahaha!).

Buat AM- terima kasih kerana masih menjadi sebahagian dari hidup saya. Selamat hari ulangtahun. Anda antara yang bermakna.

Esok saya akan kembali ke Pulau Pinang. Membawa arus dan gelombang Kuala Lumpur yang bakal saya jengah sepenuhnya menjelang Mac nanti- kita tunggu dan saksi.

Oh, ya, pada yang bertanya, ya- saya masih mencari kerja. Ada yang sesuai di mana-mana? E-mail saya segera. Terima kasih- :)

kashatwork@gmail.com

Budak Kopi a.k.a. Stabuxguy

Featured Post

Coronavirus - Saat Getir Malaysia dan Jenaka Cik Kiah Yang Trending!

Jumaat, 27hb Feb 2020 10.25 malam Assalamualaikum... Ralit dari pagi, banyak juga hal-hal di guesthouse yang perlu saya ...