Musikal Laskar Pelangi (MLP)
Panggung sesak. Audiens yang kelibut di dalamnya gamat menunggu lampu dipadamkan, tidak sabar menunggu cilik-cilik dan gerombolan peran musikal beraksi. Saya paling teruja. Tiada kata-kata yang bisa saya huraikan, tak sangka mimpi-mimpi yang diralit sejak dari awal Januari lalu (saya terlepas menonton pementasan pertama musikal ini dulu), kini terlakar di depan mata.
"Namaku Ikal. Aku orang asli Belitong." Tutur "Ikal" memintal semangat saya.
Turun dari van (kenderaan sebenar) ke tengah-tengah pentas, Ikal memulakan monolog pertama pembukaan dengan begitu meyakinkan.
Babak berganti, graf emosi mula meninggi sebaik sekumpulan peran Kuli-Kuli menyinggah lantai teater, mengalunkan lagu dan babak seterusnya, air mata saya berderai.
Bagai diperah-perah keluar, saya tidak peduli. Melihat kelibat peran Kuli-Kulinya sahaja sudah cukup menggambarkan kehebatan cerita, buat saya tidak sabar menunggukan babak demi babak.
Saya barangkali beruntung kerana ditemani oleh saudara R
udy Bluehikari, yang juga merupakan teman rapat saya (beliau kini berkerja di Jakarta). Bang Rudy (saya memanggilnya
abang tanda hormat) turut mengenalkan saya dengan beberapa pelakon terlibat.
“Kenalkan teman abang, Febri. Febri.. ini Kash, dari Malaysia. Dia datang ke Jakarta semata-mata mahu menonton Laskar.” Ada riak gembira di wajah Febri. Terharu barangkali. Saya dan Febri berjabat salam.
“Febri juga berlakon dalam teater ini.” Nyata mimpi ini menjadi semakin luar biasa. Hanya Tuhan tahu betapa terujanya saya!
Diangkat dari novel pertama karya Andrea Hirata (karya terbaik beliau) yang diterbitkan oleh BENTANG Pustaka pada tahun 2005.
Mengisahkan kehidupan 10 anak dari keluarga miskin di Pulau Belitung yang berupaya menuntut ilmu di sebuah sekolah daif meskipun terbatas dari segi kemudahan.
Kecekalan guru-guru serta kerajinan murid-muridnya yang luarbiasa, merupakan jalan cerita yang menjadi latar utama Laskar Pelangi.
Kini dipersembahkan ke skala teater, yang pastinya menjanjikan impak yang lebih besar dan dekat di hati para pengikut setia novel ini.
Babak Kesukaan
Ada banyak namun saya cuma mahu ringkaskan beberapa-
Satu di mana Pak Bakri (Cikgu) melagukan ‘Sekolah Miring’ dengan penuh syahdu dan bertenaga.
Biarpun di sesi saya (pementasan siang) bukan dinyanyikan oleh pemegang asal Pak Bakri (Gabriel Harvianto), namun kemampuan saudara Muhammad Bakhesty juga tak bisa dipertikai. Emosi Pak Bakri di tangan Bakhesty tercampur di antara konflik masa depan sendiri dan kasihankan Pak Harfan (Guru Besar) dan Bu Muslimah dalam menyekolahkan anak-anak murid yang lain di SD Muhammadiyah.
Saya gemarkan lagu ini kerana ianya merupakan ‘pertikaian’ dua jiwa antara Pak Bakri dan Bu Muslimah.
Baris Pak Harfan, “Pergilah Bakri… Kalau Harapanmu Tak Ada… Sepuluh Murid yang Luar Biasa… Adalah Karunia Allah. Dan Kami Belum Putus Asa…” amat menyentuh rasa. Tanda dia rela melepaskan kepergian Bakri yang sudah mahu meninggalkan.
Pak Harfan Meninggal
Babak kematian Pak Harfan (masih ingat tangannya terkulai di meja di bilik guru di versi filem?) paling menyentuh perasaan. Saya seolah-olah dapat merasai keperitan hati Muslimah yang terpaksa menanggung kesepuluhan anak-anak Laskar Pelangi seorang diri sepeninggalan Pak Bakri.
Jeritan dan suara hati Muslimah dilontarkan dengan penuh perasaan di dalam lagu “Hilangnya Harapan”.
Emosi terus direntap bersama-sama dengan pemergian Pak Harfan sebaik lagu "Blues Nasib Tak Akan Berubah" menyembah lantai teater. Merupakan kesinambungan dari pembukaan lagu "Nasib Tak Akan Berubah" di awal teater, versi kedua ini lebih perlahan.
Biarpun di pentas yang agak kecil dan tidak segah IB (Istana Budaya) di Kuala Lumpur, impak emosi mengatasi segala-galanya. Lupakan gerakan hidraulik set pentas yang bertukar-tukar mengikut babak, cukup dengan set rumput hijau bertingkat (digunakan hampir pada keseluruhan babak sebagai latar), MLP sudah cukup rempah ratusnya.
Nyanyian para pendukung yang memukau (saya kira Malaysia belum cukup dari segi yang satu ini), MLP hampi cukup serba-serbi. Penghargaan utama seharusnya menjadi milik
Erwin Gutawa buat penghasilan lagu-lagu yang merdu serta susunan muziknya yang cemerlang.
Tiada kesan khas yang melebih-lebih di sini. Sekadar paparan "imej bergerak" yang terhasil di kain rentang telus pandang (diletakkan antara penonton dan para pelakon), babak di kelas Pak Harfan yang sedang menceritakan perihal bahtera Nabi Nuh terpancar di "skrin" berkenaan.
Seakan magis (imej berasap seperti di dalam filem Harry Potter), saya kira itu suatu idea yang hebat dan telah mampu memberikan kelainan yang tersendiri.
Idea ini sekali lagi digunakan sewaktu adegan "penjelasan" Lintang mengenai jawapannya di pertandingan kuiz antara sekolah.
Perkataan-perkataan serta angka-angka matematik yang timbul memperjelaskan lagi kepada audiens tentang kebijaksanaan anak pesisir ini.
Babak nyanyian dalam hujan (deruan air turun dari atas ke lantai pentas!) juga saya kira antara yang terbaik dihasilkan. Kali pertama adegan sebegini dizahirkan di dalam teater dan tampak realisitik.
Babak Paling Ditunggu
Babak paling ditunggu (antara penyebab utama saya kemari), nyanyian solo lagu "Jari-Jari Cantik" dari Ikal, si pemuja A Ling.
Tertawan sebaik melihat jari-jemari A Ling yang menghulurkan kotak kapur (babak di Toko Sinar Harapan), ekspresi Ikal, biarpun agak lucu namun diterjemahkan dengan begitu baik sekali.
Meskipun sedikit kecewa kerana bukan dilagukan sendiri oleh pelantun asal, si cilik Christoffer Nelwan, namun Jari-Jari Cantik versi Kelvin J. Sugiharto juga tidak menghampakan. Saya terbuai dalam menghayati bait demi bait liriknya- indah!
Simbolik susuk A Ling yang ditampilkan secara bayangan menerusi kanvas putih sewaktu kotak kapur bertukar tangan mendapat tepukan audiens, yang mana saya kira Riri Riza, selaku pengarah berjaya mencuit perhatian, menterjemahkan babak filem ke pentas teater.
Koreografi
Gerakan-gerakan tarian dan koreografi dalam MLP adalah terbaik, lebih-lebih sewaktu Kuli-Kuli mengambil tempat menyampaikan beberapa lagu. Tidak salah jika saya katakan, Kuli-Kuli adalah antara barisan hadapan penghidup teater ini.
Konflik, suka dan tawa, emosi melayang-layang berbaur pada yang bisa larut bersama teater ini. Saya sebati sepanjang durasi tiga jam persembahan berlangsung.
MLP bukan kisah yang divisualkan semata-mata, ia menterjemah seribu satu kehidupan terpinggir yang unik. Pada yang bijak menghalusi, MLP mampu memberi kesan emosi yang tersendiri.
Habis persembahan, saya sekali lagi dibawa bertemu dengan Febri. Lebih menarik, kali ini turut terlihat kelibat Gabriel Harvianto (Pak Bakri) dan juga Ferry Feliepo (Lintang dewasa). Saya tidak segan-segan menegur. Nyata keramahan mereka buat kami seakan sudah lama saling mengenali.
"Yuk, kita makan sama-sama di luar? Sementara menunggukan pementasan seterusnya bermula?".
Mata saya tak putus memandang ketiga-tiganya- tidak percaya!
Buat MLP dan sekalian yang terlibat, sutradara, Pak Riri hinggalah ke pelakon-pelakonnya, tahniah dari saya- anda terhebat dan teruskan lahir dengan karya-karya yang lebih hebat selepas ini.
Oh, ya! Pada yang terlepas menonton musim kedua, lebih-lebih peminat MLP di Malaysia, ada berita baik buat anda. MLP bakal dipentaskan sekali lagi di
Kota Singa pada Oktober ini. Untuk maklumat lanjut sila layari atau
klik di sini ya!
Stabuxguy