Wednesday, February 23, 2011

TKC... Cinta Terpaksi Di Lantai IB

Apa akan jadi bila sebuah blockbuster layar perak dipentaskan ke lantai teater?

Berjaya atau tidak tergantung kepada persembahan dan buah mulut aundiens. Namun menonton Terima Kasih Cinta (TKC), sebuah pementasan muzikal yang diadaptasi daripada filem CINTA, arahan asal Khabir Bhatia dan skrip oleh Mira Mustaffa ini, hanya kekaguman yang mampu saya ungkapkan.

Cinta, Love & Terima Kasih Cinta

Berbeza garapan tapi masih pada paksi cerita dan naratif yang sama. Saya gemar ketiga-tiganya. Menonton Cinta 5 tahun dulu pernah buat saya teruja. Tahun terakhir saya aktif dalam dunia penulisan dan membuat ulasan filem-filem Malaysia, hadir ke tayangan perdana sini sana, dan Cinta juga mempunyai sejarah yang manis buat saya.

Cinta saya bawa ke Germany. Menonton dvd bersama rakan-rakan di sana memberi persepsi berbeza. Ada yang suka, ada yang kata biasa-biasa. Saya akur. Tidak semua kita mempunyai selera yang sama bukan?

Seterusnya, hadir LOVE yang nyata buat saya tambah teruja. Love ("Cinta" versi Indonesia) biarpun berbeza pelakon dan jalan cerita (skrip) yang dirombak sedikit, masih mempunyai aura asal Cinta.

Semalam aura Cinta hadir sekali lagi dalam diri saya. Kali ini benar-benar asli dan pejal.

Menerima jemputan Sultanmuzaffar (SM) dan Ajami Hashim (Ajami), dua otai dunia blogger serta pernah menjadi teman blogger seangkatan (SM, thx for the tix ya!), saya ke Istana Budaya (IB) dengan hati yang berkobar.

Biarpun awal, tidak mudah rupanya mendapat parking di sana. Saya menyelit di celah-celah beberapa kenderaan di luar bangunan. Alhamdulillah, biarpun agak jauh sedikit, menyenangkan saya untuk keluar nanti.

Dari jauh saya melihat SM dan Ajami di kaunter media. Hampir beberapa tahun kami tidak bersua-muka. Rasanya paling akhir kami bersama sewaktu majlis berbuka puasa Tayangan Perdana Puaka Tebing Biru beberapa tahun lalu di Midvalley. *Oh, tolong maafkan saya jika tersilap!

Saya juga bertemu Budiey! Dan Chedd!! Gembira tak terkata. Kami berbual seketika di kaunter media- dari hal biasa-biasa ke soal pementasan yang bakal berlangsung.

Terima Kasih Cinta



Saya suka idea mengadakan kotak-kotak kubikal yang membeza-bezakan setiap babak. Persembahan teater muzikal yang diterbitkan oleh The Creative Partnership dan mendapat sentuhan Pat Ibrahim, seorang kareografer terkenal ini menjadi lebih indah, tidak bercelaru dan mudah difahami biarpun mungkin ini kali pertama anda menonton intipatinya. Nyata Pat bijak memancing minat dan keinginan audiens.

Pat Ibrahim bersama Tony Eusoff, Norish Karman

Susunan dan gubahan semula muzik hasil kerja kreatif Roslan Aziz bagi lagu-lagu dari era 80-an ke 90-an menjadi antara tarikan utama pementasan ini. Pastinya aundiens (termasuk saya sendiri!) terimbau dengan dendangan lagu-lagu dari nyanyian Aishah (Selanjur Bercinta), Cinta (Misha Omar/Jaclyn Victor), Kau Ilhamku (Man Bai), Belaian Jiwa (Carefree), Permata Untuk Isteri (Kopratasa), Seribu Impian (Casey), Bimbang Terluka Lagi (Noorkumalasari/Sudirman), Impian Anak Jalanan (Kembara) dan Sejati (Wings).

Turut didendangkan ialah Kalimah Cinta (Amy Search), Mata (Noorkumalasari), Janji Manismu (Aisyah), Duniaku (S Ahmad), Sekian Lama (Siti Nurhaliza), Berkorban Apa Saja (P.Ramlee), Itu Kamu (Estranged), Perpisahan (Anuar Zain), Gemilang (Sheila Majid), serta dua lagu baru, Terima Kasih dan Kuasa Cinta.



Saran saya,  anda fokus betul-betul pada babak kedua (selepas waktu rehat) kerana ada kejutan pada lagu Mata yang dibawakan dengan penuh impak dan bertenaga oleh para ensemble. Tolonglah, tolonglah fokus kerana anda akan menyesal!!

Dialog 


Dialog-dialog asal dari filem Cinta digunapakai menambahkan lagi rencah pementasan ini, sesekali buat saya tersenyum dan tak kurang tersentuh, lebih-lebih sebaik watak Cikgu Elyas (dibawa dengan cemerlang oleh penyanyi tersohor 70-an, Latiff Ibrahim) yang mula mengenal cucunya sendiri, Amin dari lakonan Diddy Hirdy.

TKC dimulakan dengan agak perlahan, namun tidak menunggu lama, bahangnya memuncak sebaik babak tari dan nyanyian oleh Tony Yusuff dan adik Nik Nur Amalin @ Melly menguasai pentas. Kelincahan si cilik Melly menari berjaya memukau audiens.


Lima kisah cinta, satu pentas dibintangi pelakon-pelakon baru dan lama berkebolehan, Latif Ibrahim, Safura (Cikgu Elyas & Rubiah), Diddy Hirdy (Amin), Tony Eusoff, Norish Karman (Haris & Airin), Melly (Alissa), Shajiry Damery, Farahdhiya (Azlan & Azura), Anding Indrawani, Deja Moss (Dhani & Dian), Vince Chong, Nadia Aqilah (Taufiq & Arianna).

Diterbitkan The Creative Partnership, pementasan teater muzikal Terima Kasih Cinta berlangsung di Istana Budaya dari 17 Februari hingga 6 Mac 2011.

*kredit foto :  http://www.gua.com.my

(",) baca ulasan lain - Ajami Hashim

Stabuxguy - masih terpegun dengan persembahan lagu Mata. Memukau!

1 comment:

solomolo said...

wajib dit0nton lepas ni...

Featured Post

Coronavirus - Saat Getir Malaysia dan Jenaka Cik Kiah Yang Trending!

Jumaat, 27hb Feb 2020 10.25 malam Assalamualaikum... Ralit dari pagi, banyak juga hal-hal di guesthouse yang perlu saya ...