Pages

Monday, December 7, 2009

Rezeki

Pagi yang penuh dengan senyuman. Saya kocoh milo di dapur. Teringat dua e-mail yang diterima, buat hati saya menguntum gembira. Eh tambah gula- ya kasi manis. Saya suka. Usik rakan, saya orang Kelantan, memang suka makan dan minum manis-manis. Saya tergelak. Kole diangkat. Saya hirup perlahan. Panas tapi nikmat. Rutin pagi hari-hari sepanjang tidak berkerja.

Ada dua berita gembira. Girang dan tidak sabar. Hampir saya melonjak.

Sabar.

Mengadap di beranda, memerhati setiap inci pelosok Kuala Lumpur, buat saya bersyukur kerana masih dapat menghidup udaranya. Biar tak sempurna, saya juga wajar diberi peluang bukan?

Masih merancang kehidupan, hidup yang kian tersusun (dan menampakkan jalan), saya biar semuanya berjalan mengikut perancangan. Kole milo saya letakkan. Wajah Kuala Lumpur saya tatap lagi, ralit dan penuh minat.

Ada sesuatu yang istimewa tentang kota ini. Kota seribu satu pengajaran yang 'membesarkan' saya. Pernah mencuba di beberapa tempat asing, saya kira Kuala Lumpur (meski bukan yang terbaik) masih sayangkan saya. Biarpun hidup dengan kelemahan, saya cuba belajar dari kesilapan. Tidak semua manusia itu sempurna bukan?

Hampir setahun liku-liku yang saya lalui penuh tengkujuh. Saya pandang matahari, biarpun warnanya hampir kelam- saya gagahkan diri. Berkali-kali saya tersungkur, hampir-hampir buat saya jadi pasif dan berputusa asa.

Hidup tak selalunya indah. Saya cuba berpegang pada setiap kata-kata yang ditabur. Biar saya tahu, peluang saya semakin kabur.

Berita gembira. Saya baca lagi e-mail berkali-kali. Tidak percaya. Saya anggap sebagai rezeki. Ternyata hidup saya kian dipermudahkan. Kata teman, Tuhan itu Maha Pemurah. Saya tunduk, akur.

Ralit melihat bintang yang berpagar di langit, bumi terpijak- terlupa rumput di halaman sendiri.

Namun, ada beberapa perkara yang mahu saya kongsikan. Beberapa keputusan yang harus saya buat. Diluah mati mak, ditelan mati bapak.

Ibarat menarik rambut di dalam tepung, begitu susah untuk menjaga hati, lebih-lebih mereka yang anda (pernah) sayangi.

AM saya sering berpesan, jangan terlalu menerima 'pemberian'. Ingatan yang kadang-kadang sipi-sipi saya pegang. Memikirkan, "Ah, tak apalah, mungkin si dia ikhlas."

Setiap orang bisa menawarkan ikhlas, tapi sejauh mana keikhlasan itu bisa bertahan? Sanggupkah jika si polan-si polan terus-terusan mengganggu dan mengongkong hidup anda? Mungkin agak klise, tapi tanpa sedar, setiap pemberian mungkin bersifat 'mengikat' seseorang. Perasaan 'memiliki' (biarpun dinafi berkali-kali), secara tak langsung wujud dalam diri si pemberi lebih-lebih lagi jika beliau telah melaburkan sejumlah peruntukkan yang banyak.

Maaf. Saya bercakap secara umum. Tidak bermaksud menuju kepada siapa-siapa. Jangan ada yang makan cili pula ya!

Cuma tinggal beberapa langkah sahaja lagi, Januari berganti, usia bertambah, dan pastinya saya mahu menjadi seseorang yang bebas. Tinggalkan segala masalah. Buang segala kerapah-kerapah. Cukup-cukuplah. Teringat patah-patah lirik lagu Iklim, "Bukannya aku tak tega... bukan pula aku tak cinta, kerana orang tua, yang tak merestui cinta kita...". Haha. Antara lirik popular zaman sekolah-sekolah dulu. Bezanya tiada halangan orang tua dalam cerita saya. Mungkin bisa ditafsirkan berbeza. Tepuk dada saja ya.

Malam ini saya akan menonton Natrah. Pada yang ikut serta, kita jumpa sahaja di Istana Budaya nanti ya. Jangan lupa menyapa saya. Oh-oh, Tahun Baru juga saya akan ke Langkawi. Berlibur bersama si cantik Sara dan teman-teman rapat di sana. Semoga ketegangan sepanjang tahun dapat saya buang jauh-jauh!

Stabuxguy - Doakan hidup saya dipermudahkan. Doakan Januari bakal memberi cerita-cerita yang lebih indah. Doakan... :)