Sunday, May 10, 2009

Hari Ibu : Dedikasi Untuk Siapa?

Lucu sebaik terjaga pagi ini, hampir semua media, baik tv mahupun radio menwar-warkan sambutan Hari Ibu. Saya hampir terlupa bila kali terakhir saya menyambutnya, lebih-lebih lagi memanggil seseorang dengan panggilan 'ibu'.

"Selamat pagi, ibu. Hari ini hari anda."

Benar. Malah saya juga hampir terlupa bagaimanakah rasanya dibelai dan dicuit, andai kita tersilap sesuatu, ditegur dengan penuh mesra dan kasih.

Saya tidak percaya dengan kata-kata kasar untuk mengajar anak-anak, apatah lagi mengeji dan memaki, itu adalah ketidakwarasan yang paling tidak normal pernah saya lalui.

Sehingga kini saya menemui begitu ramai ibu-ibu yang baik dan terbaik di dunia. Buat saya terharu, alangkah bertuahnya anak-anak mereka. Ada yang liberal, bersikap terbuka, namun dalam masa yang sama masih tegas dengan anak-anak, malah ada juga yang terlalu obses dalam menjaga anak-anak, namun dalam sesetengah perkara, kebebasan masih menjadi kepercayaan utama.

Ingat, apa yang diajar itu akan diturunkan kepada anak-anak.

Baru-baru ini saya ke Temerloh lagi, bermalam di sana sebagaimana biasa, bangun pagi sarapan sudah tersedia. Saya dan Ir makan dengan penuh selera.

Bersarapan dengan nasi lemak yang serba ringkas, namun dek kerana dimasak dengan penuh kasih-sayang, buat saya tak putus-putus memuji Ir dan ibunya. Sekali lagi saya merasakan Ir begitu bertuah. Bukan hanya itu, komunikasi keduanya juga buat saya tersipu-sipu sendiri memikirkan yang saya tidak pernah mempunyai perbualan sebegitu dengan ibu sendiri. Lihat, betapa rapat dan mesranya mereka.

Paling terharu sewaktu babak hendak pulang ke Kuala Lumpur, Ir akan memeluk ibunya erat-erat, seakan tidak mahu melepaskan. Ada air jernih yang bergenang di antara keduanya, namun diseka perlahan. Sekali lagi saya seakan terlupa perasaan itu. Atau, pernahkah saya merasakannya suatu masa dahulu?

Di Pulau Pinang, saya mengenali dua orang ibu hebat, berbeza karakter, sifat mahupun perlakuan. Kedua-duanya mempunyai ketabahan yang mendalam. Ibu satu, mempunyai sebuah perkahwinan yang hebat, suami yang pakar- dari membakar roti ke memasak pelbagai jenis nasi, tiga anak lelaki yang petah-petah dan cerdik-pandai, kuncinya? Berfikiran terbuka.

Ibu dua, biarpun menempuh perkahwinan yang gagal, namun punya dua anak comel yang kian membesar adalah hadiah yang tidak ternilai. Biarpun ke sana-sini semuanya harus melakukannya sendiri, si ibu dua tahu dia harus lebih tabah. Anak-anak adalah tunjang, barangkali itu yang sering terfikir dalam hati.

Semua-semua ini memberi saya suatu persepsi. Tidak, tidak semua wanita itu salah. Tidak semua ibu itu gagal menjalankan tanggungjawab. Namun saya memilih untuk percaya dengan apa yang saya lalui. Itu sebuah kepercayaan emosi yang tiada sesiapa pun bisa mengerti.

"Kamu anti-?". Pernah seorang teman perempuan saya menyoal suatu hari.

"Tidak, jangan salah menilai saya. Masakan saya- kamu juga wanita bukan? Masakan saya membenci?".

Namun, berbalik dengan apa yang saya lalui, saya percaya dengan emosi sendiri. Hanya itu yang saya tahu. Dan sekali lagi, sesiapa pun tak akan mengerti.

p/s : Selamat Hari Ibu buat semua. :)

1 comment:

farish izaryl @izreez said...

comeinya kash mse kecik hihi

Featured Post

Coronavirus - Saat Getir Malaysia dan Jenaka Cik Kiah Yang Trending!

Jumaat, 27hb Feb 2020 10.25 malam Assalamualaikum... Ralit dari pagi, banyak juga hal-hal di guesthouse yang perlu saya ...