Monday, June 25, 2012

Down




Jujurnya, saya tidak begitu menggemari Isnin, bagaikan musuh mingguan, pagi saya bangun dengan perasaan yang sangat down. Menetap sendirian menambah-nambah perasaan down saya- tiada orang untuk saya menegur atau berkata "hai!"- ah, sekadar membuka dan mendengar radio tidak cukup. 

Tiba di pejabat, perasaan down saya berganda-ganda. Terasa berat mahu melangkah ke tempat kerja- teringat betapa saya kekurangan masa dan tidak banyak perkara dapat dilakukan sepanjang hujung minggu- menikmati malam dan muzik di tepi pantai Babylon, makan-makan dan bersantai bersama teman-teman di Orchid Ria atau Beach Garden, aktiviti kelab dan dansa di Sunba Bar- oh! cuti saya hanyalah Ahad, ditambah separuh pada Sabtu- masih tak cukup.

Sering saya tertanya, normalkah perasaan ini? Saban minggu saya berteleku. Hmm esok saya mempunya jadual aktiviti yang agak padat di tempat kerja. Diharapkan kesibukkan menguruskan beach wedding akan membuatkan perasaan saya kembali okay.

Rugi jika perasaan ini berterusan- anda akan terasa rugi berada di Langkawi jika membiarkan tekanan atau rasa sedih mengawal fikiran. Ini saya kata berkali-kali pada diri sendiri dan orang sekeliling.

Tolong pergi- saya berhak melalui hari yang lebih baik. Bukankah begitu?

Stabuxguy

Friday, June 15, 2012

Sahabat Itu Terindah!



Jumaat
15 Jun 2012

Hmmmm... dari mana harus saya bermula ya? Kekok. Saya buntu mengadap skrin. Lama tidak menulis di sini buat saya tergaru-garu seketika. Menulis tidak perlukan paksaan, jika dulu idea saya mencurah-curah, apa terlintas, nah saya lancarkan di papan kekunci. 

Bagai deras air, saya taip sampai berbelas-belas perenggan. Itu dulu, tiga empat tahun lalu, awal-awal sewaktu saya mula menulis. Zaman blog tengah rancak. 

Masa berubah. Bukan malas, tapi lebih banyak media sosial yang mengambil alih. Ada macam-macam. Semuanya mudah dan ringkas. Kemaskini menjadi sepantas kilat. 

Jika dulu kita harus bersengkang membaca blog kawan-kawan untuk mengetahui perkembangan seharian, kini dengan hanya di hujung jari, boleh 'check-in', boleh tulis mana-apa anda buat, makan apa (dengan gambarnya sekali) dan paling penting mendapat respon/komen waktu itu juga. 

Blog lebih perlahan, rasa tak popular jika tiada yang masuk membaca- silap tu. Menulis sebenarnya untuk kepuasan, selain mengasah skill. Tulislah apa-apa sahaja, janji niatnya bukan untuk menunjuk-nunjuk. Saya lebih gemar berkongsi- apa-apa yang saya rasa, apa-apa yang saya suka, ke tempat-tempat yang saya selesa. Itu lebih menenangkan jiwa sebenarnya.

Kembali menulis, beberapa bulan saya mencuba di Tumblr (fungsi seakan blogspot cuma lebih interaktif dan urban). 

Namun dek kerana terbiasa, saya kembali ke sini, ke blogspot. Biarpun sukar untuk diakses dan tidak begitu friendly buat telefon genggam Blackberry saya, namun okey, sesekali menaip secara manual lebih memberi kepuasan. Duduk, berteleku, memikir-mikir ayat (dan perenggan). Cara yang minimal tapi klasik.

Teringat di zaman awal saya sering berkunjung ke Starbucks di KL Sentral, nah bagi yang tidak tahu, dari situ blog ini mendapat nama (Darimejastabux). 

Waktu itu saya tiada kemudahan internet di rumah, mahupun broadband (yang kini bisa diperolehi dengan mudah dan murah dipasaran). 

Paling lucu bila barista di situ pasti akan menyediakan soket/kabel khas buat saya tiap kali berkunjung ke sana. 

Kenangan bukan? Buat saya tesenyum sesekali. 

Kini saya di Langkawi. Masuk bulan ke enam saya di sini, saya akui, biarpun terdetik rasa sunyi di hati, namun saya bahagia. 

Ini pilihan, saya sesekali tidak menyesal. Sudah acapkali saya ulang, Langkawi membuat saya gembira. Saya sukakan pantai-pantainya, saya ralit dengan keindahan suasananya senjanya, buat saya jatuh cinta berkali-kali tiap hari di sini. 

Memulakan pagi adalah waktu yang paling saya tidak sabar setiap hari. Memandu ke pejabat yang terletak di kawasan resort, tanpa hiruk-pikuk tanpa kesesakan, perjalanan saya cuma disapa riuh-rendah monyet-monyet yang berderet di sepanjang jalan setiap pagi- menunggu dihulurkan makan, sebahagian dari kehidupan di Langkawi yang membuat saya merasa (lebih) tenang. 

Saya percaya satu perkara, dalam hidup, jika kita dianugerahkan dengan suatu kelebihan, dalam waktu yang sama, kita juga harus membayar harga kelebihan itu dengan mengorbankan sesuatu (perkara berharga) yang telah kita sedia dimiliki. 

Saya mungkin bahagia di sini, namun saya sunyi. Nah, itu sebagai contoh nyata yang harus saya hadapi. 

Saya cuba untuk tidak tamak. Saya yakin, setiap pilihan itu sudah ditentukan jalan mana yang harus dilalui. Masing-masing sudah punya laluan atau destinasi untuk dituju. 

Turun ke Kuala Lumpur dua minggu lalu, saya sempat jejakkan kaki pusat membeli-belah Pavillion. Bertemu kawan-kawan, kami duduk berbual-bual dan berkongsi cerita di Ben's yang terletak di tingkat enam. 

Terdetik seketika, alangkah indah dan nikmat jika dapat melalui semua ini hari-hari. 

Saya pandang kiri, dari atas cafe, jelas bunyi hon kenderaan bertali-arus, berselang dengan bunyi cerucuk yang dibenam membina bangunan. Bingit. 

Mata terkalih. Dari jauh dia tersenyum. Lama saya tunggu. Wajah itu menyinggah. 

"Sorry, I terlambat sikit. Ada customer tadi." Saya senyum pandang dia tak berkedip. 

"It's okay. You datang ni pun dah cukup baik." Namun kata-kata itu saya telan di rongga. 

Terasa cepat masa berjalan. Saya kerling jam.

"Kash, cepat sangat you nak dah balik. Lainkali datanglah KL lama sikit," rengek Shy, teman saya. 

"Yalah Kash. Kejap you datang. Tak puas lepak ngan kitorang." Saya pandang Ted pula sebelum memandang wajah si dia di sebelah. Mata kami bertentangan. Saya cuba mencari gelodak di situ. 

Langkah ke ERL, Ereen, sahabat saya menghantar. Dia antara yang paling akrab. Teman susah dan senang. 

Itu harga yang perlu saya bayar. 

Persahabatan. 

Stabuxguy.

Featured Post

Coronavirus - Saat Getir Malaysia dan Jenaka Cik Kiah Yang Trending!

Jumaat, 27hb Feb 2020 10.25 malam Assalamualaikum... Ralit dari pagi, banyak juga hal-hal di guesthouse yang perlu saya ...