Wednesday, February 23, 2011

TKC... Cinta Terpaksi Di Lantai IB

Apa akan jadi bila sebuah blockbuster layar perak dipentaskan ke lantai teater?

Berjaya atau tidak tergantung kepada persembahan dan buah mulut aundiens. Namun menonton Terima Kasih Cinta (TKC), sebuah pementasan muzikal yang diadaptasi daripada filem CINTA, arahan asal Khabir Bhatia dan skrip oleh Mira Mustaffa ini, hanya kekaguman yang mampu saya ungkapkan.

Cinta, Love & Terima Kasih Cinta

Berbeza garapan tapi masih pada paksi cerita dan naratif yang sama. Saya gemar ketiga-tiganya. Menonton Cinta 5 tahun dulu pernah buat saya teruja. Tahun terakhir saya aktif dalam dunia penulisan dan membuat ulasan filem-filem Malaysia, hadir ke tayangan perdana sini sana, dan Cinta juga mempunyai sejarah yang manis buat saya.

Cinta saya bawa ke Germany. Menonton dvd bersama rakan-rakan di sana memberi persepsi berbeza. Ada yang suka, ada yang kata biasa-biasa. Saya akur. Tidak semua kita mempunyai selera yang sama bukan?

Seterusnya, hadir LOVE yang nyata buat saya tambah teruja. Love ("Cinta" versi Indonesia) biarpun berbeza pelakon dan jalan cerita (skrip) yang dirombak sedikit, masih mempunyai aura asal Cinta.

Semalam aura Cinta hadir sekali lagi dalam diri saya. Kali ini benar-benar asli dan pejal.

Menerima jemputan Sultanmuzaffar (SM) dan Ajami Hashim (Ajami), dua otai dunia blogger serta pernah menjadi teman blogger seangkatan (SM, thx for the tix ya!), saya ke Istana Budaya (IB) dengan hati yang berkobar.

Biarpun awal, tidak mudah rupanya mendapat parking di sana. Saya menyelit di celah-celah beberapa kenderaan di luar bangunan. Alhamdulillah, biarpun agak jauh sedikit, menyenangkan saya untuk keluar nanti.

Dari jauh saya melihat SM dan Ajami di kaunter media. Hampir beberapa tahun kami tidak bersua-muka. Rasanya paling akhir kami bersama sewaktu majlis berbuka puasa Tayangan Perdana Puaka Tebing Biru beberapa tahun lalu di Midvalley. *Oh, tolong maafkan saya jika tersilap!

Saya juga bertemu Budiey! Dan Chedd!! Gembira tak terkata. Kami berbual seketika di kaunter media- dari hal biasa-biasa ke soal pementasan yang bakal berlangsung.

Terima Kasih Cinta



Saya suka idea mengadakan kotak-kotak kubikal yang membeza-bezakan setiap babak. Persembahan teater muzikal yang diterbitkan oleh The Creative Partnership dan mendapat sentuhan Pat Ibrahim, seorang kareografer terkenal ini menjadi lebih indah, tidak bercelaru dan mudah difahami biarpun mungkin ini kali pertama anda menonton intipatinya. Nyata Pat bijak memancing minat dan keinginan audiens.

Pat Ibrahim bersama Tony Eusoff, Norish Karman

Susunan dan gubahan semula muzik hasil kerja kreatif Roslan Aziz bagi lagu-lagu dari era 80-an ke 90-an menjadi antara tarikan utama pementasan ini. Pastinya aundiens (termasuk saya sendiri!) terimbau dengan dendangan lagu-lagu dari nyanyian Aishah (Selanjur Bercinta), Cinta (Misha Omar/Jaclyn Victor), Kau Ilhamku (Man Bai), Belaian Jiwa (Carefree), Permata Untuk Isteri (Kopratasa), Seribu Impian (Casey), Bimbang Terluka Lagi (Noorkumalasari/Sudirman), Impian Anak Jalanan (Kembara) dan Sejati (Wings).

Turut didendangkan ialah Kalimah Cinta (Amy Search), Mata (Noorkumalasari), Janji Manismu (Aisyah), Duniaku (S Ahmad), Sekian Lama (Siti Nurhaliza), Berkorban Apa Saja (P.Ramlee), Itu Kamu (Estranged), Perpisahan (Anuar Zain), Gemilang (Sheila Majid), serta dua lagu baru, Terima Kasih dan Kuasa Cinta.



Saran saya,  anda fokus betul-betul pada babak kedua (selepas waktu rehat) kerana ada kejutan pada lagu Mata yang dibawakan dengan penuh impak dan bertenaga oleh para ensemble. Tolonglah, tolonglah fokus kerana anda akan menyesal!!

Dialog 


Dialog-dialog asal dari filem Cinta digunapakai menambahkan lagi rencah pementasan ini, sesekali buat saya tersenyum dan tak kurang tersentuh, lebih-lebih sebaik watak Cikgu Elyas (dibawa dengan cemerlang oleh penyanyi tersohor 70-an, Latiff Ibrahim) yang mula mengenal cucunya sendiri, Amin dari lakonan Diddy Hirdy.

TKC dimulakan dengan agak perlahan, namun tidak menunggu lama, bahangnya memuncak sebaik babak tari dan nyanyian oleh Tony Yusuff dan adik Nik Nur Amalin @ Melly menguasai pentas. Kelincahan si cilik Melly menari berjaya memukau audiens.


Lima kisah cinta, satu pentas dibintangi pelakon-pelakon baru dan lama berkebolehan, Latif Ibrahim, Safura (Cikgu Elyas & Rubiah), Diddy Hirdy (Amin), Tony Eusoff, Norish Karman (Haris & Airin), Melly (Alissa), Shajiry Damery, Farahdhiya (Azlan & Azura), Anding Indrawani, Deja Moss (Dhani & Dian), Vince Chong, Nadia Aqilah (Taufiq & Arianna).

Diterbitkan The Creative Partnership, pementasan teater muzikal Terima Kasih Cinta berlangsung di Istana Budaya dari 17 Februari hingga 6 Mac 2011.

*kredit foto :  http://www.gua.com.my

(",) baca ulasan lain - Ajami Hashim

Stabuxguy - masih terpegun dengan persembahan lagu Mata. Memukau!

Sunday, February 20, 2011

Hari Keluarga Di Pantai Melawi

Tahun berganti. Tak sedar masa berlalu. 
 
"Ayah Shah! Ayah Shah!", antara panggilan sinonim "anak-anak buah" saya yang masih kecil. Mereka aktif. Manja sesekali mendampingi saya. 

Memandu sendiri ke Kelantan bukan calang-calang. Kali pertama saya mencabar diri sendiri, jika tak sekarang bila lagi? Tambah "baby" saya belum pernah menjengah kampung halaman. Alhamdullillah, segalanya okay. Saya tiba di Tanah Merah tepat jam 5 petang. Kebetulan ada my auntie yang masakkan nasi dagang. Singgah dan makan. Enak betul. 

"Shah dah balik. Wah kereta baru! Bangga auntie!", saya kejap erat Auntie Fauziah, antara auntie saya yang paling rapat.

"Mari makan. Dah ada auntie sediakan buat kamu." Saya masuk ke rumah. Dah ada ramai ahli keluarga yang berkumpul. Ada yang bercuti awal-awal lagi. Semangat mahu memeriahkan Hari Keluarga.


Saban tahun kami berkumpul, mengadakan perhimpunan keluarga. Selain Hari Raya, cuma inilah waktunya untuk kami saling bersua-muka dan bertanya khabar. Sungguh tak terasa perjalanan yang jauh, saat berhimpun, bergelak-ketawa bersama- wadah paling menggembirakan selain mengeratkan hubungan sesama sendiri.

Memilih Pantai Melawi, Bachok di Kelantan sebagai destinasi tetap, kami sama-sama mendirikan khemah dan menyediakan peralatan untuk kegunaan sepanjang hari keluarga diadakan. Ada juga beberapa chalet yang ditempah khas bagi kegunaan orang-orang tua serta ahli keluarga yang mempunyai anak-anak kecil.


Saya antara yang paling sibuk menjelang acara, persediaan bunting, banner, kertas program dan atur acara- belum campur audio visual dan klip-klip untuk persembahan multimedia lagi. 

Masuk tahun ketujuh acara perhimpunan ini diadakan, pelbagai ragam dan peristiwa dapat saya rakamkan. Saya cuba yang terbaik. Kadang ada yang perlu kita korbankan. Saya pegang pada amanat arwah ayah saudara, antara pengasas terawal yang mewujudkan hari keluarga ini, keluarga adalah harta yang paling tidak ternilai harganya. Beliau banyak memberi saya dan kami generasi muda terutamanya, motivasi dan kata-kata semangat- mengajar kami menjadi orang yang berilmu dan berguna pada masyarakat.

Atur acara Malam Seribu Bintang - "Arabian Night"

Sayang beliau tidak berkesempatan untuk melihat, seterusnya melalui apa yang saya dan keluarga kecapi hari ini.

Al-Fatihah buat arwah Babalong yang saya sayangi. Semoga rohnya dicucuri rahmat oleh-Nya. Amin...

Stabuxguy.

Saturday, February 19, 2011

Terima Kasih, Cinta! : Intro (Promo)


Tonton sekarang di Istana Budaya, 17 Februari-6 Mac 2011.

Ulasan preview, malam esok! Terima kasih kepada Ajami Hashim Dan Sultanmuzaffar kerana menjemput! :-)

Featured Post

Coronavirus - Saat Getir Malaysia dan Jenaka Cik Kiah Yang Trending!

Jumaat, 27hb Feb 2020 10.25 malam Assalamualaikum... Ralit dari pagi, banyak juga hal-hal di guesthouse yang perlu saya ...