Awal pagi saya dikejutkan dengan lagu "Oah" Alexander Rybak yang dipasang ulang-ulang dari tengah malam tadi. Sangat cool dan cute lagunya.
Bukan sahaja "Oah", "Fairytale" juga antara single pertama beliau yang menarik minat saya seterusnya mahu lebih "mendengar" siapa Alexander Rybak ni sebenarnya.
Berusia 24 tahun, anak muda dari Norway ini amat ringkas dan sangat menyenangkan.
Pertama kali bakatnya dicungkil menerusi pertandingan Eurovision Song Contest 2009 di Moscow, Russia (mewakili Norway), dan Rybak telah memenangi tempat pertama dengan jumlah mata tertinggi sebanyak 387- antara mata tertinggi yang pernah dicapai oleh mana-mana negara di pertandingan berkenaan.
Menariknya, Rybak telah membawakan lagu yang ditulis dan digubah sendiri di pertandingan berkenaan yang berjudul "Fairytale". Lagu ini juga antara hit yang memperkenalkan Rybak ke pentas hiburan dunia.
Selain lagu-lagu dendangan Rybak, ada satu lagi perkara yang buat saya tersenyum sepanjang malam minggu.
Laskar Pelangi.
Filem yang diangkat dari novel hebat pertama karya Andrea Hirata ini (diterbitkan pada tahun 2005) berkisarkan kehidupan 10 orang kanak-kanak (berbagai ragam) dari keluarga miskin di Pulau Belitung yang cekal hati dan bersemangat untuk menuntut ilmu.
Filem yang diangkat dari novel hebat pertama karya Andrea Hirata ini (diterbitkan pada tahun 2005) berkisarkan kehidupan 10 orang kanak-kanak (berbagai ragam) dari keluarga miskin di Pulau Belitung yang cekal hati dan bersemangat untuk menuntut ilmu.
Keterbatasan sekolah (kemudahan-kemudahan yang terhad) dan kehidupan mereka yang daif tidak sesekali mematahkan semangat mereka. Pelbagai kisah dirangkulkan menjadi satu rencah yang cukup bagi menggambarkan kehidupan dan susah-senang mereka di Pulau Belitung.
Paling menarik yang dapat saya kesan dari filemnya, bahasa yang dituturkan di Belitung agak sama dan seakan-akan Bahasa Melayu di Malaysia. Apa yang saya baca (menerusi internet), masyarakat Belitung menggunakan Bahasa Melayu dialek khas Bangka (kesan dari penjajahan lampau dan keturunan Melayu yang lahir di sini).
Terdapat satu babak nyanyian lagu "Seroja" yang cukup popular dan sinonim di dalam masyarakat Melayu di Malaysia diselitkan di dalam filem ini.
Itu antara faktor yang membuatkan saya khayal hingga ke penghujung. Memang asyik. Durasi 125 minit seakan tidak terasa. Seolah anda juga sebahagian dari Bu Muslimah dan kanak-kanak berkenaan. Cut Mini yang manis berjaya membawa Bu Muslimah, seorang guru sekolah, sebagai salah seorang peran yang akan sentiasa diingati.
Saya ralat kerana agak lewat mengenali "Laskar Pelangi". Tertarik dengan poster "Musikal Laskar Pelangi" (ya, saya terlepas pementasannya!) yang dipasang di merata-rata tempat di Kota Jakarta awal Januari lalu, saya lantas membeli dvd filemnya untuk dibawa pulang ke Malaysia. Berhari-hari saya membuat keputusan untuk menonton (tapi masih tertangguh) sambil menyoal, baguskah filemnya?
Percayalah, Laskar Pelangi hebat. Baik lakonan, skrip dan jalan ceritanya. Saya pasti kita juga sedar, produksi Indonesia juga bagus dari segi mengvisualkan seni. Keindahan Pulau Belitung dan suasana ketika zaman kekayaan hasil timah di pulau ini dicanaikan dengan begitu sekali. Syabas buat Riri Riza selaku pengarah serta barisan penulis-penulis skripnya.
Saya kira Laskar Pelangi adalah sebuah produk yang paling jujur dan luhur.
Jam di rumah hampir ke pukul sepuluh. Teringat harus ke pejabat untuk siapkan kerja. Saya ke belakang sebentar melihat laundry. Lagu-lagu Rybak dah pun saya tukar kepada alunan "Jari-Jari Cantik" dendangan Christofer Nelwan (petikan OST Musikal Laskar Pelangi). Ahad saya santai namun harus juga berkerja. Rutin yang hampir sama hujung minggu saya sejak setahun yang lalu.
Ada klip-klip yang mahu diedit dan sedikit artwork untuk persiapan hari keluarga di Melawi, Bachok minggu depan. Saya tinggal anda dengan video 'Jari-Jari Cantik".
Jumpa lagi!
Stabuxguy : Dengar-dengar juga musikal filem ini bakal dipentaskan di Malaysia nanti. Saya pasti ramai peminat Laskar Pelangi di Malaysia yang teruja untuk menonton. Kita tunggu sahaja nanti-