Wednesday, April 7, 2010

Kemaafan Dendam Yang Terindah


7 April
4.11 petang

Ada dua kelegaan buat saya pagi ni. Pertama sekali, saya lega kerana sepupu, Khalisha telah pun selamat menjalani pembedahan ketumbuhan dalam perut malam tadi. Mengejutkan, Khalisha yang kami panggil Shasha seorang yang periang dan aktif. Melihat raut wajahnya yang merintih sewaktu di ICU petang semalam, hati saya diranggut sedih. Tidak dapat saya bayangkan kesakitannya, lebih-lebih seakan menunggu antara hidup dan mati.

Merupakan anak bongsu kedua makcik dan pakcik saya, Shasha masih menuntut di UiTM Shah Alam dalam jurusan pengurusan perniagaan (tahun akhir).

Terima kasih buat teman-teman FB dan juga rakan yang tak putus menghantar sms.

Perkara kedua, saya lega juga kerana seorang sahabat telah sudi memafkan saya. E-mail balas yang saya terima menerusi FB tengahari tadi benar-benar membuat saya kini mampu bernafas gembira. Saya sayang anda, bahkan bukan anda sahaja- sahabat-sahabat saya yang lain juga.

"Saya sudah kehilangan seseorang yg pernah saya sayang dan menjadi yg terindah dlm hidup saya. Itu lebih menyakitkan. Dan saya tak mahu lagi hilang kawan yg saya senang macam kamu. Mungkin saya tersilap, jadi perlu untuk saya meminta maaf dari kamu. Saya keliru, buntu, dikecewakan, terluka dan macam-macam lagi dan keadaan itu menjadikan saya tertekan dengan keadaan sekeliling."

Itu antara bait-bait yang saya titip di dalam e-mail pertama buat beliau.

Dan saya syukur, kerana beliau telah memberi saya peluang, sekaligus menamatkan rasa tidak senang yang saya pendam selama berminggu-minggu.

Ada airmata yang membasah, saya seka perlahan. Melihat kepayahan-kepayahan sekeliling, adakalanya buat saya hampir lelah. Biar masih mampu bertongkat, namun kadang saya juga tersungkur rebah.

Buat saya lebih faham erti kesakitan. Saya akur, tak selamanya mereka yang kita sayang akan selalu berada di sisi, masing-masing juga punya kepentingan, arah dan laluan hidup yang berbeza-beza. Satu saya belajar. Jangan jadi lemah.

Stabuxguy

Friday, April 2, 2010

Catatan Tertangguh Dari Lapangan Terbang

(ditaip Rabu lalu dari Lapangan Terbang Sultan Ismail Kota Bharu)

31 Mac 2010
3.50 petang

Saya getap bibir. Sesekali mata resah melirik jam. Hampir ke pukul empat petang. Saya mengelus sekeliling. Pandangan berkalih ke papan jadual elektronik. Baru kejap kedengaran suara pengumuman dikeluarkan. Penerbangan MAS dari Kota Bharu ke Kuala Lumpur tertangguh sejam.

Saya membuka laptop. Cuba menaip-naip sesuatu sementara menunggu. Puas saya memerah, apa yang mahu ditulis? Otak saya agak infiniti. Agak bosan, saya merungut-rungut sendiri kerana tiada sambungan wi-fi di sini.

Hari terakhir di Kelantan, saya ambil kesempatan melawat saudara-mara terdekat. Ada yang sudah agak lama tidak berjumpa, "Eh eh sudah besar kamu ya? Buat apa sekarang?". Antara ayat wajib tatkala disapa oleh mereka.

Berbual dari hal lama-lama hinggalah ke perkembangan terbaru, kami bertukar-tukar cerita. Biarpun jauh di kota, dasar hati saya, keluarga masih pertama. Saya bisa emosi jika diajak berbicara mengenainya.

"Nak buat camana, tinggal yang tua-tua sahaja di kampung ni hah. Yang muda-muda semua dah hijrah ke bandar." Hati saya terusik diluah begitu. Saya pandang raut wajah ibu saudara. Nampak dia tersenyum sambil tangannya rancak mengirai roti jala yang ditempah pelanggan.

Mujur kami mempunyai hari keluarga, antara acara wajib tahunan. Berkhemah dan berkumpul beramai-ramai di pantai, bergelak-ketawa dan beraktiviti bersama, saya kira itulah momen terbaik bagi merapat dan bertukar-tukar perkembangan diri masing-masing.

Seronok juga dari setahun ke setahun melihat jumlah ahli keluarga bertambah- dari yang kecil-kecil hinggalah ke dewasa.

Paling ditunggu-tunggu sebenarnya. Selalunya akan diadakan beberapa siri mesyuarat keluarga, baik di peringkat keluarga di kampung mahupun di KL sendiri.

Tahun ini buat pertama kalinya, saya dan angkatan sepupu sama generasi bakal mengepalai, biarpun tidak secara total, namun perlahan-lahan kami mula mengambil alih tanggungjawab dari generasi lebih awal.

Dari hal merancang aktiviti hinggalah ke program sepenuhnya hari keluarga- antara sumbangan kecil kami buat keluarga.

Saya pasti ibu saudara akan terpalit gembira, ayah saudara juga akan melihat bangga- anak-anak yang dulunya kecil dan hanya tahu bermain dan bergembira kini berubah menjadi mereka yang dewasa dan bisa diharapkan.

Ah, betapa cepat benar masa berlalu bukan?

Esok hari baru bakal bermula. Saya nanti dengan penuh teruja. Tanpa kata-kata, saya hanya mahu lalui hidup ini dan hari-hari seterusnya dengan penuh gembira.

Begitu banyak perancangan, yang pasti saya akan menggalas satu lagi siri kehidupan. Biarpun kabur, saya tidak kisah jika (perlu) merangkak dari bawah.

Bukan senang menyusun kejayaan. Itu saya belajar dari beribu kegagalan.

Buat anda yang (masih) setia singgah di sini, sama-sama kita tadahkan kedatangan April dengan harapan. Lebih cerah dan penuh kemanisan.

**kemaskini : berita yang baru saya terima- takziah buat keluarga Allahyarham Din Beramboi. Moga roh arwah Din dicucuri rahmat oleh-Nya.

p/s : tak kering gusi mendengar lawak arwah Din dan Pak Nil pagi-pagi di Era.

Stabuxguy

Featured Post

Coronavirus - Saat Getir Malaysia dan Jenaka Cik Kiah Yang Trending!

Jumaat, 27hb Feb 2020 10.25 malam Assalamualaikum... Ralit dari pagi, banyak juga hal-hal di guesthouse yang perlu saya ...