Thursday, June 4, 2009

Teknologi, Oh! Teknologi, Balik Kampung & Dunia Baru Kash

Anda mahu diri sentiasa terkedepan? dengan kata lain sentiasa mengetahui tentang gajet-gajet terkini di pasaran, mahupun perkembangan teknologi?

Saya sarankan anda rajin-rajinkan lah diri ke Plaza Low Yat. Perkembangan IT begitu pesat di sana. Jika waktu di kolej dulu, Plaza Low Yat adalah antara destinasi wajib hujung minggu saya, baiki komputer, update software, beli cd dan macam-macam lagi, namun sejak beberapa tahun kebelakangan ini, jangankan ke Low Yat, ke Bukit Bintang pun saya berfikir hampir berpuluh kali untuk jejakkan kaki. Trafik yang sesak dan orang ramai yang bertali-arus, sering membantutkan niat saya untuk ke sana.

Minggu lalu, balik sahaja dari Sabah, cakera keras luaran saya (Maxtor berkapasiti 500GB) tiba-tiba buat hal. Gagal berfungsi, buat saya buntu dan tidak senang duduk beberapa hari. Ibarat 'separuh hidup' saya di dalamnya, dari koleksi gambar-gambar, segala hasil kerja grafik dan video, tidak termasuk koleksi lagu-lagu dan DVD berharga, semuanya di dalam satu simpanan.

Hari keluarga yang makin mendekat, habislah segala video-video dan persembahan multimedia, berkali-kali saya salahkan diri sendiri kerana tidak membuat simpanan sokongan lain.

Habis sahaja waktu kerja, saya tuju ke Plaza Low Yat, satu-satunya harapan saya untuk membaik pulih kembali cakera keras. Dari satu kedai ke satu kedai saya bertanya, namun jawapannya hampa. Rata-rata memberi jawapan yang serupa, "Kami hanya terima jika anda mempunyai kad jaminan."

"Duh, masakan! Saya membelinya hampir dua tahun lalu di Germany-", saya tergaru-garu sendiri kepala yang tidak gatal.

Mujur juga ada satu kedai menyarankan saya ke tingkat empat, "Ada kedai yang boleh membaik pulih kembali data yang hilang/rosak."

Saya gegas ke tingkat atas.

"Maaf, cakera luar saya rosak. Bisa baiki?".

"Boleh, tapi kami hanya dapat menyelamatkan datanya sahaja sementara cakera luarnya tidak boleh digunapakai lagi."

"Oh... harga?".

"Berapa bilangan memori?".

"Err.. 500GB."

"RM1000. 1GB berharga RM2." Gulp! Saya terkedu seketika.

"Jadi anda bisa menyelamatkan data-data saya?".

"50-50. Jika gagal, tiada bayaran dikenakan."

Saya berlalu sejurus mengucapkan terima kasih. RM1000 untuk pindahan data. Berbaloi, tapi hmmm... agak mahal juga. Untuk waktu-waktu 'terdesak' macam ni, saya perlu berfikiran waras. Simpanan untuk bayar rumah bulan-bulan, kenderaan, bil itu ini, duh, data tu pun penting. Hmm... bagaimana ya?

Saya berkira-kira sendiri. Masuk ke sebuah kedai (yang lain), saya melihat-lihat cakera keras luaran yang baru.

Macam-macam jenis. Ada dari sekecil-kecil pendrive (4GB) hinggalah ke beratus-ratus GB.

"Ini apa?". Tanya saya kepada pekedai. Saya mengangkat satu kotak cakera keras yang bertulis 1TB. Tertarik dengan harga, RM400.

"Terabait. Satu terabait." Saya mengerutkan dahi.

"Lebih banyak dari 500GB?". Pekedai itu tersenyum seraya mengangguk perlahan. Saya termalu sendiri. Betapa saya benar-benar ketinggalan sekarang.

"Yang 500GB ada?".

"Ada, sana-" seraya menujukkan ke arah deretan cakera keras luaran yang tersusun di rak. Saya terkedu melihat harga Maxtor 500GB (jenama dan kapasiti yang sama yang saya miliki) jauh lebih murah dan bersaiz kompak. RM345 untuk nilai 500GB. Lebih menarik, hanya menggunakan USB, tanpa sokongan wayar seperti saya punya- cucuk dan bebas dibawa ke mana-mana.

Saya ke kereta. Dalam hati memujuk diri sendiri, teknologi, teknologi.

Saya lihat jam. Harus gegas balik ke rumah, siap-siap dan mandi, then keluar semula untuk menonton wayang. Dalam hati berkobar-kobar dari minggu lalu untuk menonton filem 'Push' di pawagam Pavillion sebaik terbaca Siti dan anak-anak juga turut menonton filem yang sama di akhbar. Sementelah filem lakonan Chris Evans, yang juga memegang peran sebagai Johnny Storm a.k.a. Human Touch di dalam filem Fantastic Four ini juga mengujakan saya.

Lama juga saya tertinggal untuk keluar menonton. Tidak ingat filem terakhir yang saya tonton (sambil menepuk dahi).

Agak malang bagi saya, sudahlah penat balik dari kerja, filem yang diharap-harapkan memberi impak, (ter)amatlah membosankan rupanya. Hampir beberapa kali saya 'terbabas' tertidur di dalam panggung. Mungkin feel-nya berbeza jika anda menonton diwaktu siang dan santai.

Tips saya, elakkan menonton filem yang anda tidak begitu pasti jalan ceritanya. Dapatkan info tambahan, paling penting jangan terpedaya dengan posternya.

Kata Ir, "Takpelah, at least kita tahu kan.. filem tu pun not bad.". Ir memujuk saya. Saya suka Ir yang sentiasa positif.

Sebut pasal filem dan poster, oh ya hampir terlupa saya. Masuk minggu ini sudah minggu kedua saya memulakan kerjaya baru di salah sebuah produksi filem tempatan. Bukan! Bukan sebagai pelakon- hahaha, jangan ada yang salah faham.

Menjadi sebahagian dari bahagian produksi filem dan industri benar-benar buat saya gembira. Sudah tentu! Bidang yang memang kena dan menjadi impian saya selama ini. Berbeza dengan dunia hiburan yang penuh glamor dan sensasi, saya senang dengan kerja-kerja 'di belakang tabir'.

Biarpun agak asing pada awalnya, saya cuba sesuaikan diri. Kata orang, alah bisa, tegal biasa.

Minggu hadapan, minggu yang paling ditunggu-tunggu. Setelah hampir beberapa bulan berhempas-pulas menyiapkan segala kelengkapan, saya akan bercuti (mulai esok) selama beberapa hari. Mungkin ada yang tahu atau masih ingat tentang war-war Hari Keluarga saya yang akan diadakan di Pantai Melawi, Bachok, Kelantan awal Jun ini?

Segala persiapan telah diatur. Tidak sabar mahu balik kampung. Berkali-kali saya menilik tarikh penerbangan di kertas tiket sambil tersenyum sendiri.

Pakaian yang disewa untuk dipakai pada Malam Seribu Bintang di Hari Keluarga nanti.
Tema : Pirate Of Melawi

Antara barangan cenderamata yang bakal dijual

T-shirt & cap Hari Keluarga 'edisi terhad' untuk dijual kepada ahli keluarga Membunga
Model "terjun" : Ir


Jumpa lagi!!

No comments:

Featured Post

Coronavirus - Saat Getir Malaysia dan Jenaka Cik Kiah Yang Trending!

Jumaat, 27hb Feb 2020 10.25 malam Assalamualaikum... Ralit dari pagi, banyak juga hal-hal di guesthouse yang perlu saya ...