Jumaat, 27hb Feb 2020
10.25 malam
Assalamualaikum...
Ralit dari pagi, banyak juga hal-hal di guesthouse yang perlu saya selesaikan hari ini. Ada yang datang tengok bilik, ada yang nak bertanya itu-ini, tak kurang yang minta saya buatkan tempahan tiket.
Sedari malam tadi sebenarnya saya cuba untuk kembali menulis sesuatu di sini. Platform dan ruangan yang hampir beberapa tahun saya tinggalkan. Jujurnya, agak kekok juga untuk kembali menyusun bait-bait ayat di papan kekunci. Saya padamkan telefon (bimbang terganggu), Bismillah... pejam mata rapat-rapat, cuba bayangkan saya sendirian di kawasan air terjun yang tenang! Fuuh, susah bukan?
Hampir beberapa hari merancang, kata-kata Doris, salah seorang rakan dalam bidang pelancongan dan juga travel blogger (https://smartdory.com/), "You should start to write again. Do something yang you betul-betul suka dan minat." Itu kata-kata Doris menerusi aplikasi Whatsapp beberapa hari lalu. Saya simpan dan timbang. Agak berat dan malas juga awalnya. Berbaur - faktor usia, ketandusan idea, serta ketiadaan bahan penulisan yang sesuai, buat saya buntu - nak tulis tentang apa ya?
Saya akur. Dah lama tinggalkan dunia penulisan (saya bukan wartawan pun, atau mereka yang tauliah dalam bidang penulisan), tapi kata Doris mungkin betul, kenapa tidak saya asah kembali? Sekurang-kurangnya buat mengisi masa 14 hari terkurung di rumah sendiri.
Oh, ya. Buat rujukan (Saya dan anda di masa hadapan), Malaysia dan seluruh dunia sekarang berada di dalam krisis dan kemelut wabak Coronavirus atau Convid-19 (asalnya dikenali dengan nama Wuhan Virus tapi ditukar secara rasmi oleh WHO), sejenis virus yang menular dan merebak dengan begitu cepat sekaligus membawa maut. Malaysia kini secara rasmi telah mencatatkan seramai 26 orang kematian *setakat posting ini dimuat-naik* (Al Fatihah).
Negara mengisytiharkan "Partial Lockdown" atau Movement Control Order (Perintah Kawalan Pergerakan) sejak wabak berleluasa bermula pada 18hb Mac yang lalu sehingga 31hb Mac ini. Namun, arahan dan pengumuman terbaru (akibat kedegilan dan sikap tak acuh rakyat Malaysia), kerajaan terpaksa melanjutkan tempot lockdown ini sehingga 14hb April 2020.
Saya pasti tahun ini bakal menyaksikan Ramadhan dan Aidilfitri yang paling mendukacitakan buat kita semua.
Ngeri dan takut, antara dua perasaan yang sering bermain dalam fikiran saya sejak akhir-akhir ini. Jujur, barangkali bukan sahaja saya, bahkan rakyat Malaysia lainnya, sesiapa pun barangkali tidak Coronavirus bakal menjadi senakal dan selincah ini.
2 minggu terbelakang, Malaysia masih meraikan kenduri-kendara, masih membawa anak-anak ke mall (kebetulan jatuh juga minggu cuti persekolahan), malah ada beberapa perhimpunan dan konsert juga berjalan. Paling terkesan, perhimpunan mega seramai 14,500 orang jemaah tabligh di Masjid Sri Petaling di mana dikatakan punca utama tercetusnya wabak dan bermulanya kronologi tersebarnya Coronavirus di Malaysia.
Saya pasti, saat ini setiap dari kita hanya mahukan keadaan cepat-cepat berlalu dan kembali seperti asal. Nyata, kesan dan akibat wabak ini tidak sekecil yang disangka.
Siapa menduga ianya menjadi pandemik yang mencetuskan huru-hara bukan sahaja di Malaysia, malahan di seluruh dunia. Lebih teruk berbanding tsunami Aceh yang menghentam hampir sebahagian benua kira-kira 16 tahun lalu, Convid-19 ini tidak menunjukkan akan surut dalam waktu yang singkat. Hari demi hari, graf-graf kematian kian meningkat, paling mengejutkan Itali dan Amerika, masing-masing menunjukkan kenaikan angka yang mendadak setiap hari. Tak pasti nak tudingkan jari ke mana, salah siapa. Mungkin lebih baik kita renung dan cermin semula diri sendiri, apa silap kita kepada Pencipta.
Oh, ya. Malaysia kini mempunyai Perdana Menteri (Instant) Baru - Tan Sri Muhyiddin Yassin atau ringkasnya TSMY (ikut bahasa Netizen). Biarpun belum reda dengan berbabak drama air mata dan debaran politik tanahair bermula dari peralihan kuasa besar-besarkan satu negara dua tahun lalu, TSMY nyata memberi nyawa baru kepada rakyat Malaysia.
TSMY
Dari baca perutusan gaya abah-abah, merayu #StayAtHome, baca doa sendiri di skrin tv (satu negara menonton) - TSMY bakal diingati antara seorang PM yang paling dekat di hati masyarakat.
Di saat kita getir menghadapi bahana wabak, TSMY baik hati umumkan rangsangan ekonomi itu ini, paling terkesan pastinya para Cik Kiah satu Malaysia (popular mendadak dan trending nama Cik Kiah di Twitter) *Senyum Cik Kiah nama kena petik*.
Tak kisahlah pintu belakang ke, depan ke, saat ini, rakyat hanya mahukan dapur berasap, masing-masing kena balik rumah, kerana ada banyak mulut untuk disuap.
Itu antara cerita Malaysia hari ini. Banyak betul beza Malaysia dulu dan sekarang kan?
Semoga kita dapat memanfaatkan tempoh lockdown yang panjang ini - pandang cermin, renung balik diri sendiri, dengar kata pihak berkuasa - jangan keluar rumah, #StayAtHome, buatlah sesuatu yang boleh membuatkan kita happy. InsyaAllah, ada hikmah di sebalik semuanya ni.
Jika selama ni kita leka dan asyik terkejar-kejar turun-naik LRT, now Tuhan bagi kita rehat sekejap dan banyak masa untuk muhasabah diri. Masa dengan keluarga dan anak-anak pun lebih banyak. Nikmat bukan?
Jumpa lagi ya di catatan akan datang.
InsyaAllah.
WK.