[ Bahagian 1 ]
Ada beberapa perkara yang mengujakan saya kebelakangan ini. Ya, saya menulis bila perasaan saya senang dan gembira. Seakan terselit rama-ramai yang minta ingin segera dikeluarkan, begitulah hati saya sekarang. Laju menaip papan kekunci, membuat jari saya berdetap tanpa henti. Oh, alangkah bagus jika bisa saya layangkan poskad gembira kepada semua- biar anda baca pun dengan hati yang berbunga-bunga!
Dua minggu lalu saya ke Port Dickson (PD). Lama tidak berjalan-jalan ke luar Kuala Lumpur, saya ajak beberapa orang teman. Tidak perlu beriya-iya merancang, saya dan Niza, kami bertemu di rumah Asyraf untuk bersarapan pagi di kawasan rumahnya di Ampang. Awal-awal lagi Ariff, yang datang jauh dari Kajang menunggu kami.
Jika minggu sebelumnya saya dan Niza bersarapan menu Kelantan di Pantai Dalam, kata Niza, nasi berlauk di sini paling enak. Itu paling buat saya teringin mahu mencuba.
Habis bersarapan, kami teruskan berjalanan ke PD. Macam-macam joke dan cerita kelakar yang keluar. Asyraf tak henti mengusik Arif yang selamba. Saya dan Niza cuma tukang gelak.
Dah lama saya tak ke sana sebenarnya. Sempat juga menaiki banana boat dan "airhead" yang kami gelar "donut". Memang seronok sebab masing-masing sekepala dan gila-gila.
"Kamu mahu extreme atau biasa?". Saya pandang Arif dan Asyraf sebaik diajukan soalan oleh tukang bot. Sekilas memandang juga ke arah "donut" di gigi air.
"Campur-campur boleh bang? Extreme dan biasa!". Laju Asyraf mencadang.
"Ok. Set!". Saya dan rakan-rakan dengan penuh yakin mula menaiki "donut". Awal-awalnya okay, tapi lama-kelamaan mula terasa seperti hilang kawalan dan seperti mahu tercampak keluar. Si Arif dah mula terjerit-jerit macam orang hilang arah. Antara mahu ketawa dan panik, saya cuba bertenang agar tidak tercampak ke dalam laut. Memang extreme. Nasihat saya, pada yang pertama kali mencuba, fikir berkali-kali atau minta si tukang bot bawa anda ke level "biasa-biasa" sahaja.
Hari mulai beransur ke senja. Kami mula bergegas ke satu kawasan pantai yang agak privasi dan tersorok sedikit untuk sesi "photoshoot". Sayang tak banyak foto yang boleh diambil memandangkan hari sudah hampir gelap.
"Dinner jom! Ikan bakar!". Ajak Asyraf. Kami masing-masing kelaparan.
Pertama kali sebenarnya saya mengajak mereka bertiga untuk keluar. Pertemuan di rumah Kak Long (di sesi karaoke) di Kelana Jaya tahun lalu nyata telah merapatkan kami. Saya senang dengan ketiga-tiga mereka. Niza lebih-lebih lagi, sementelah rumah kami juga berdekatan (Niza tinggal di Bukit OUG).
Hujung Februari lalu juga saya meraikan hari ulangtahun AM. Bertempat di Restoran Pampas, Jalan Bukit Bintang saya cuba mengumpul beberapa orang rakan kami yang terapat untuk sama-sama meraikan AM. Ramai juga yang hadir. Thanks to Karl kerana telah membuatkan cupcakes yang sangat cantik. Terima kasih, terima kasih.
[ Bahagian 2 ]
Sedar tak sedar, telah hampir lapan tahun saya mengenali AM. Telah banyak cerita dan kisah yang saya kongsi bersamanya- dari zaman budak-budak (waktu di kolej) hinggalah menginjak dewasa. Jujurnya, AM telah banyak membantu saya menjadi sebagaimana saya hari ini.
Sebut tentang AM, abang saya ni berada di Mekah sekarang bagi menunaikan Umrah. Doa saya sentiasa buat dia. Semoga beroleh amalan yang sejahtera.
Seminggu bersendirian di rumah, hati saya dicengkam sunyi. Terasa benar AM tiada. Benarlah kata orang, waktu depan mata, biasa-biasa, dah jauh baru terasa hilangnya. Selama seminggu juga saya menginap dan bermalam di rumah AM- jaga rumah, siram pokok. Perasaan sama yang saya lalui sewaktu di rumah sendiri, pagi-pagi bersiap ke pejabat, tanpa ada suara-suara nakal mengusik, bergurau dan mengucapkan selamat pagi- buat saya sedar, biarpun agak lama mencuba, saya masih tak betah hidup sendiri.
Pernah beberapa kali terfikir untuk mencari teman serumah. Entahlah. Saya jenis yang gemarkan privasi. Tapi mampukah saya lalui hidup yang sunyi hari-hari? Tinggal jauh dari Kuala Lumpur buat saya jarang-jarang dapat ke kota sekaligus membataskan waktu saya untuk bersama teman-teman (yang kebanyakkannya tinggal dan berkerja di KL).
Langsungnya, kesibukkan membuatkan saya terlupa, pulang lewat malam, hari minggu ke ofis- jika ada yang berkata, "Wah, Kash, rajin kamu ya?". Saya senyum pahit. Hanya Tuhan yang tahu. Cuma itu cara saya untuk "lari" dari terus merasa sunyi.
[ Bahagian 3 ]
Terfikir untuk pindah dan hidup menjadi jurugambar pelancong di Bali. Saya ingin merantau. Awal rancanganya mahu kembali ke Germany. Saya cuma mahukan kehidupan yang ringkas dan mudah. Tidak perlu bermewah-mewah. Lebih puas dari terus-terusan kena bersesak fikiran.
Oh, ya semalam hari yang sangat penting. Lewat senja, saya meredah hujan lebat menghala ke Dewan Perdana Felda di Jalan Semarak. Menyaksikan lafaz Abang Amm, "Aku terima nikahnya Sahura…" buat hati saya sebak. Kini saya 'kehilangan' salah seorang teman terbaik yang pernah saya dapat. Sahura atau saya panggil Sara adalah antara teman saya yang paling rapat. Pernah waktu hati saya hancur dan terluka, Sara ajak saya jalan-jalan di mall, kami tengok wayang dan dia menemani saya hampir sepanjang hari- kami bergurau, makan-makan. Bukan saja Sara, malah Abang Amm (kini suaminya) juga baik. Saya doakan mereka berdua bahagia- cinta itu indah dan aman bukan?
Saya tutup dengan kata-kata bahagia. Lebih banyak cerita kita untuk dikongsi lain kali- jumpa lagi!
p/s : bahagian 1, 2 dan 3 ditulis pada waktu dan hari yang berlainan. emosi dan gaya penulisan yang berbeza bukan?
K.