Wednesday, June 30, 2010

Jemputan Album Terbaru Aizat...

Salam semua...

Apa khabar? Hai macam menulis surat/emel pula.

Tak sangka dah lama tak update blog, mengulas apa-apa filem/album terbaru artis tempatan tanahair (mungkin ada yang mengingat dan pernah 'ter'baca ulasan-ulasan yang saya buat?), masih ada rupanya yang mengirim undangan dan jemputan ke majlis-majlis pelancaran sepertinya.

Teringat suatu ketika, dari majlis berbuka puasa hinggalah ke pelancaran filem-filem dan album terbaru, bertemu dan bersua empat mata dengan Nasha dan Vanida, berjabat dengan Ning dan Vernon (di mana anda ya sekarang, Vern?), Siti lebih-lebih lagi (ya, saya pernah menari untuknya di suatu majlis Hari Raya!)... paling utama Jee idola saya dari zaman sekolah (sekadar menyebut beberapa nama), buat saya tersenyum sendiri- indahnya kenangan itu!

Buat yang mengundang, saya dahulukan ucapan terima kasih. Namun berat hati saya untuk menghampakan jemputan, sekadar menyokong dan memberi senyuman dari jauh, kekangan dan budaya kerja tidak mengizinkan saya untuk meluangkan masa. Saya hanya bisa harapkan yang terbaik buat anda, baik media, selebriti-selebriti tanahair yang dikasihi, Aizat terutama sekali (terima kasih jika anda membaca ini)- semoga anda terus sukses dan berjaya.

Ikhlas,
Kash a.k.a. Stabuxguy (",)

p/s : Ajami, SM, Joe Lee, Juan- saya rindu anda!

Wednesday, April 7, 2010

Kemaafan Dendam Yang Terindah


7 April
4.11 petang

Ada dua kelegaan buat saya pagi ni. Pertama sekali, saya lega kerana sepupu, Khalisha telah pun selamat menjalani pembedahan ketumbuhan dalam perut malam tadi. Mengejutkan, Khalisha yang kami panggil Shasha seorang yang periang dan aktif. Melihat raut wajahnya yang merintih sewaktu di ICU petang semalam, hati saya diranggut sedih. Tidak dapat saya bayangkan kesakitannya, lebih-lebih seakan menunggu antara hidup dan mati.

Merupakan anak bongsu kedua makcik dan pakcik saya, Shasha masih menuntut di UiTM Shah Alam dalam jurusan pengurusan perniagaan (tahun akhir).

Terima kasih buat teman-teman FB dan juga rakan yang tak putus menghantar sms.

Perkara kedua, saya lega juga kerana seorang sahabat telah sudi memafkan saya. E-mail balas yang saya terima menerusi FB tengahari tadi benar-benar membuat saya kini mampu bernafas gembira. Saya sayang anda, bahkan bukan anda sahaja- sahabat-sahabat saya yang lain juga.

"Saya sudah kehilangan seseorang yg pernah saya sayang dan menjadi yg terindah dlm hidup saya. Itu lebih menyakitkan. Dan saya tak mahu lagi hilang kawan yg saya senang macam kamu. Mungkin saya tersilap, jadi perlu untuk saya meminta maaf dari kamu. Saya keliru, buntu, dikecewakan, terluka dan macam-macam lagi dan keadaan itu menjadikan saya tertekan dengan keadaan sekeliling."

Itu antara bait-bait yang saya titip di dalam e-mail pertama buat beliau.

Dan saya syukur, kerana beliau telah memberi saya peluang, sekaligus menamatkan rasa tidak senang yang saya pendam selama berminggu-minggu.

Ada airmata yang membasah, saya seka perlahan. Melihat kepayahan-kepayahan sekeliling, adakalanya buat saya hampir lelah. Biar masih mampu bertongkat, namun kadang saya juga tersungkur rebah.

Buat saya lebih faham erti kesakitan. Saya akur, tak selamanya mereka yang kita sayang akan selalu berada di sisi, masing-masing juga punya kepentingan, arah dan laluan hidup yang berbeza-beza. Satu saya belajar. Jangan jadi lemah.

Stabuxguy

Friday, April 2, 2010

Catatan Tertangguh Dari Lapangan Terbang

(ditaip Rabu lalu dari Lapangan Terbang Sultan Ismail Kota Bharu)

31 Mac 2010
3.50 petang

Saya getap bibir. Sesekali mata resah melirik jam. Hampir ke pukul empat petang. Saya mengelus sekeliling. Pandangan berkalih ke papan jadual elektronik. Baru kejap kedengaran suara pengumuman dikeluarkan. Penerbangan MAS dari Kota Bharu ke Kuala Lumpur tertangguh sejam.

Saya membuka laptop. Cuba menaip-naip sesuatu sementara menunggu. Puas saya memerah, apa yang mahu ditulis? Otak saya agak infiniti. Agak bosan, saya merungut-rungut sendiri kerana tiada sambungan wi-fi di sini.

Hari terakhir di Kelantan, saya ambil kesempatan melawat saudara-mara terdekat. Ada yang sudah agak lama tidak berjumpa, "Eh eh sudah besar kamu ya? Buat apa sekarang?". Antara ayat wajib tatkala disapa oleh mereka.

Berbual dari hal lama-lama hinggalah ke perkembangan terbaru, kami bertukar-tukar cerita. Biarpun jauh di kota, dasar hati saya, keluarga masih pertama. Saya bisa emosi jika diajak berbicara mengenainya.

"Nak buat camana, tinggal yang tua-tua sahaja di kampung ni hah. Yang muda-muda semua dah hijrah ke bandar." Hati saya terusik diluah begitu. Saya pandang raut wajah ibu saudara. Nampak dia tersenyum sambil tangannya rancak mengirai roti jala yang ditempah pelanggan.

Mujur kami mempunyai hari keluarga, antara acara wajib tahunan. Berkhemah dan berkumpul beramai-ramai di pantai, bergelak-ketawa dan beraktiviti bersama, saya kira itulah momen terbaik bagi merapat dan bertukar-tukar perkembangan diri masing-masing.

Seronok juga dari setahun ke setahun melihat jumlah ahli keluarga bertambah- dari yang kecil-kecil hinggalah ke dewasa.

Paling ditunggu-tunggu sebenarnya. Selalunya akan diadakan beberapa siri mesyuarat keluarga, baik di peringkat keluarga di kampung mahupun di KL sendiri.

Tahun ini buat pertama kalinya, saya dan angkatan sepupu sama generasi bakal mengepalai, biarpun tidak secara total, namun perlahan-lahan kami mula mengambil alih tanggungjawab dari generasi lebih awal.

Dari hal merancang aktiviti hinggalah ke program sepenuhnya hari keluarga- antara sumbangan kecil kami buat keluarga.

Saya pasti ibu saudara akan terpalit gembira, ayah saudara juga akan melihat bangga- anak-anak yang dulunya kecil dan hanya tahu bermain dan bergembira kini berubah menjadi mereka yang dewasa dan bisa diharapkan.

Ah, betapa cepat benar masa berlalu bukan?

Esok hari baru bakal bermula. Saya nanti dengan penuh teruja. Tanpa kata-kata, saya hanya mahu lalui hidup ini dan hari-hari seterusnya dengan penuh gembira.

Begitu banyak perancangan, yang pasti saya akan menggalas satu lagi siri kehidupan. Biarpun kabur, saya tidak kisah jika (perlu) merangkak dari bawah.

Bukan senang menyusun kejayaan. Itu saya belajar dari beribu kegagalan.

Buat anda yang (masih) setia singgah di sini, sama-sama kita tadahkan kedatangan April dengan harapan. Lebih cerah dan penuh kemanisan.

**kemaskini : berita yang baru saya terima- takziah buat keluarga Allahyarham Din Beramboi. Moga roh arwah Din dicucuri rahmat oleh-Nya.

p/s : tak kering gusi mendengar lawak arwah Din dan Pak Nil pagi-pagi di Era.

Stabuxguy

Sunday, March 28, 2010

Terima Kasih Yang Terindah


27 Mac 2010
12.36 t/hari

Semalam merupakan hari terakhir saya di tempat kerja. Sedih meninggalkan rakan-rakan sepejabat, untung saya ada bos yang penyayang dan baik hati. Encik Hafiz yang memahami, tak putus memberi nasihat dan kata-kata peransang.

"Hang kerja elok-elok kat tempat baru. UPM tu baguih. Peluang untuk hang pergi lebih jauh. Tapi ingat, Ofis ni sentiasa terbuka untuk hang kalau nak mai balik. Just call me, anytime!", ujarnya dalam loghat utara yang pekat sambil menepuk-nepuk bahu saya. Mata kami bertindih. Ada nada sayu di situ.

Terharu saya mendengar ucapan Encik Hafiz sewaktu majlis farewell semalam.

Saya berteleku. Muzik "Already Gone" dendangan Kelly Clarkson terngiang-ngiang menerusi iPod di corong telinga. Tangan saya semakin rancak menekan keyboard. Idea mencurah.

"Pastri encik?", tegur si pramugari tiba-tiba. Saya menoleh tersenyum.

"Yes, please. Thank you."

Saat ini saya dalam perjalanan ke Pulau Pinang. Mulanya, saya rancang ke Kelantan, balik kampung, tetapi hati saya tidak cukup kuat untuk bersendiri di sana.

Merasai kesunyian kampung, membuatkan hati saya bertambah lara. Saya perlukan suasana yang lebih fleksibel untuk saya lupakan semuanya.

Episod semalam, andai diberi peluang, ingin saya buang jauh-jauh. Ia antara momen yang paling memalukan seumur hidup saya. Sungguh jika diberi pilihan, saya tidak akan sesekali memperbodohkan diri sendiri.

Cinta yang hilang, nah, biarkan sahaja ia pergi, tukas saya berkali-kali dalam hati.

"Kash, berkat hidup hang, Encik Hafiz siap buat bacaan Yassin lagi sempena 'pemergiaan' hang!", seloroh teman ofis sebaik habis majlis farewell semalam. Saya senyum. Hati berbaur. Namun tangan ralit memetik kamera sana-sini, merakam detik-detik terakhir bersama rakan-rakan.

Jujurnya, saya lebih rela mengingati hari terakhir itu, biarpun ia sebuah majlis perpisahan, namun ia lebih menggembirakan.

Buat seketika, sebaik bangun pagi, saya meratap mencari-cari, oh, di mana? Dengan siapa? Bisakah anda bayangkan setelah hampir beberapa lama, si dia telah tiada?

Namun sejurus saya akur- menghormati pendirian biarpun paling menyakitkan.

Jika si dia sudah memilih jalan hidup bagaimana yang diinginkan, apalagi yang harus saya katakan? Setiap dari kita berhak bukan?

Saya kuatkan hati.

"Teksi, hantarkan saya ke Terminal KTM lama ya. Nice please!".

Tak lama menunggu, tiket saya beli dengan harga RM75.

"Coffee or tea?". Saya toleh seorang gadis yang menyapa.

"Err, milo please. I tak minum kopi." Jawab saya selamba. Gadis itu senyum sebelum berlalu.

"Encik, kalau nak guna internet boleh ke kaunter hujung. Free access." Tingkah satu suara pula. Saya mengucapkan terima kasih.

Hmmm memang bagus layanan di sini. Lebih baik dari menaiki kapal terbang.

Hampir setengah jam bas bergerak, saya benar-benar seperti diulit.

Ruang tempat duduk yang luas dan selesa, bantal kecil, blanket, semuanya tersedia.

Dan oh, bisa menonton filem-filem pilihan juga (anda diberi sepasang headphone tiap seorang).

Serta-merta bayangan semalam hilang dari ingatan. Saya kunci dan buangkan jauh-jauh. Saya hanya fikirkan yang indah-indah.

Terbayang kari kepala ikan di Pan Mutiara, bersarapan nasi lemak 'cung' pagi-pagi di Taman Tun Sa'dun, sotong kangkung di belakang Vistana, mee goreng mamak di tepi Sri Malaysia, dan paling penting, membeli dvd di Ferenggi.

Pergilah. Saya senyum lebar-lebar. Terima kasih, terima kasih.

Terima kasih kerana pernah jadi yang terindah.

Stabuxguy

Sunday, March 21, 2010

Test Drive Neo CPS@Hicom Shah Alam

Sekian lama tertangguh, 20 Mac 2010, dapat juga saya mencuri masa untuk melakukan sesi pandu uji kereta idaman di Hicom Shah Alam. Mujur sepupu saya, Zul dapat turut serta. Berbanding saya, Zul berpengalaman dan lebih tahu selok-belok hal berkaitaan kereta.

Kami tiba tepat kira-kira jam sebelas pagi. Agak ramai juga orang di Hicom hari ni lebih-lebih lagi model terbaru Proton, Persona Elegance baru sahaja beberapa hari dilancarkan.

"So macam mana?". Soal Zul sebaik selesai melakukan pandu uji.

Saya senyum memandang Zul. Sememangnya Neo sejak dulu menjadi idaman saya. Malah lebih lama lagi, model yang sama, Gti pernah membuatkan hati saya membuak-buak ingin memilikinya suatu hari nanti.

Jika ada yang bertanya, ya saya terlalu teruja!

Pengalaman pertama bakal memiliki kenderaan sendiri, dengan duit titik peluh sendiri- sedikit demi sedikit saya mula menggalas tanggungjawab. Belajar menangani hidup dengan lebih serius.

Saya anggap ianya pencapaian.

Jauh hati saya terdetik, jika tidak kerana seseorang yang sentiasa memberi saya semangat, pastinya tidak mungkin saya berada di tahap kini. Tidak boleh tidak, ini harus saya ulang berkali-kali di dalam hati, agar saya tidak lagi menjadi seorang yang lupa diri-

Kerjaya yang memuaskan, hidup yang semakin stabil. Nah, bersendiri nyata lebih mematangkan saya dalam segala hal.

Bukankah itu lebih baik?

Sama-sama doakan hidup masing-masing kita lancar dan dipermudahkan.

Oh, ya minggu hadapan saya akan mula bercuti. Berkira-kira untuk pulang ke kampung, sebelum melalui satu lagi fasa kehidupan baru, saya hitung April sebagai satu lagi sejarah peribadi yang manis untuk dikenang. Bagi mereka yang sabar (dan rajin singgah di sini), tunggu, akan saya kongsikan dengan anda nanti.

Jumpa lagi!

Stabuxguy

Wednesday, March 17, 2010

Teman Jakarta Yang Saya Senang

Jarak bukan penghalang. Memahami dan sentiasa positif. Dua kriteria utama mengapa saya begitu senang berteman dengan kedua-duanya.

Zaky dan Aries, biarpun tidak mengenali secara dekat dan hanya berhubung menerusi internet, kedua-duanya sentiasa bersama saya- bertukar-tukar pendapat dan cerita, membuatkan hidup saya kembali terisi dan gembira.

Bukan tiada teman-teman di Malaysia yang saya akrab, tapi Zaky dan Aries istimewa. Bercita-cita, 'mendekati' mereka ibarat membuka mata. Berkawan baik, masih ingat kata-kata Zaky yang mahu menyertai Amazing Race Asia.

"Me and Aries akan masuk...".

Dalam hati saya berkata,"Wow!".

"Kamu serius?".

Dapat saya bayangkan Zaky mengangguk. Matanya bersinar. Tanda bersungguh.

Bersama Aries, Zaky pernah berkunjung ke Malaysia, sayang waktu itu saya tidak berkesempatan untuk menemui kedua-duanya.

"It's ok, ada waktu kita ketemu lagi ya!". Kata-kata Zaky umpama terngiang di telinga.

Aktif ke gym dan hip-hop dance, Zaky juga banyak memberi saya tips-tips berguna. Baik dari hal kesihatan, pemakanan.

Awal mengenalinya, kira-kira penghujung tahun lalu, dari hanya bertukar-tukar komen di status FB, membuatkan hubungan kami menjadi rapat dari hari ke hari.

Kini mereka adalah antara teman-teman saya yang sentiasa 'di sisi', nasihat yang tak lekang, memberi dorongan dan motivasi untuk saya meneruskan kehidupan.

Hidup tidak mudah. Saya gemarkan mereka yang tidak memandang rendah.

Buat Zaky dan Aries,

terima kasih, terima kasih. Saya senang dengan kalian.

Tunggu saya di Jakarta nanti ya!

Tuhan,

moga persahabatan kami berpanjangan.

Mudah-mudahan.

Stabuxguy.

Friday, March 12, 2010

Perjalanan ke Utara Dan Khabar Bahagia

saya dan Tok Su...

Seorang teman di FB ada meletakkan pautan Youtube lirik lagu "I'm Done" (dari nyanyian kumpulan Pussycat Dolls) hari ini - pantas menangkap halwa saya. Lebih-lebih liriknya, bukan puitis, tapi terus mengena dengan apa yang saya lalui sekarang.

Teringat tagline terbaru MB, "Hidup memang begini...". Saya barangkali bertuah kerana ada ramai yang menyokong di belakang saya, kawan-kawan terutama. Terima kasih kerana (ada yang) masih bersama-sama saya.

Jauh sekali untuk menyalahkan sesiapa, saya anggap masa dan keadaan tidak menyebelahi kami. Awal yang indah, kini "status bersendiri" membawa saya ke mana-mana. Jauh di sudut hati, saya lebih mengerti. Orang bisa bertanya, dan berkata- biarlah. Saya tahu saya gembira sekarang. Dengan rezeki yang (kian) tak putus-putus. Dia Maha mendengar (tentunya!). Amin.

Kash ke Utara!


Minggu lalu saya ke utara. Lama tidak melawat Tok Su di Perlis, sesudah turun pula ke Alor Star bermalam di rumah Mak Ngah. Mak Ngah adalah anak kepada Tok Su. Masih baik melayan saya, Mak Ngah bawa saya dan Tok Su ke Kuala Perlis menikmati laksa. Paginya juga saya dan Mak Ngah ke pasar pagi (Nat) untuk membeli "nasi ganja" dan nasi lemak ikan masin (dibungkus comel).

Puas!

Tok Su adalah orang yang paling gembira. Jika boleh saya mahu selalu ingin melawatnya. Sebaik bertemu, saya peluk kejap. Melepas rindu.

Perjalanan yang tidak dirancang sebenarnya. Dari Kuala Lumpur, saya menaiki bas petang ke Alor Star (bas ke Kangar agak lewat). Tergaru-garu juga sebaik tiba di Pudu. Tak tahu mana satu bas untuk dinaiki. Jika waktu belajar di Beseri dulu, hanya Ekspress Zuco yang menjadi pilihan saya. Tapi itu cerita 12 tahun lalu.

Perjalanan yang agak jauh tapi memberikan saya banyak masa untuk berfikir dan menenangkan diri. Banyak keputusan hidup yang bisa saya simpul.

Dah jauh malam, pesan Mak Ngah, ambil sahaja teksi ke Kangar. Sebaik membayar tambang, teksi membawa saya ke Perlis. Tak jauh, cuma kira-kira empat puluh minit lagi perjalanan dari Alor Star.

Semalam di Perlis, esoknya kami ke Alor Star rumah Mak Ngah. Terasa sekejap sahaja. Sekurang-kurangnya rindu saya untuk bertemu Tok Su terubat. Sempat juga kami singgah di Jitra rumah Kak Noya untuk minum petang.

Ahad tengahari, Mak Ngah menghantar saya ke terminal bas Alor Star. Perjalanan saya bersambung ke Butterworth sebelum mengambil feri ke jeti seberang.

Dari jeti saya mengambil teksi sekali lagi ke Queensbay Mall. Memasuki Borders di Queensbay, buat hati saya tersenyum sendiri. Antara tempat menghabiskan waktu yang paling saya gemari sewaktu di sini dulu. Memandang Pulau Jerejak di sebalik tirai cafe di Starbucks, goshhh saya betul-betul rindukan momen ini dulu (antara sebab mengapa saya menulis semua ini secara terperinci).

Hampir ke jam lima setengah petang, saya ke tingkat bawah utnuk mengambil teksi ke lapangan terbang. Lagi dua jam penerbangan saya ke Kuala Lumpur. Mahu check-in dan menunggu MB di sana.

Terima kasih kepada MB yang bergegas datang ke lapangan terbang semata-mata untuk menemui saya biarpun masih kepenatan usai dari aktiviti universiti di Taman Negara Pulau Pinang.

Banyak yang kami bualkan. Momen yang paling saya rindukan. Biarpun kadang kami sering bersalah pendapat, namun harus saya akui, hubungan kami istimewa. Tiada kata-kata.

MB pendengar saya yang setia. MB juga membawa saya kepada Tok Su, Mak Ngah dan mereka-mereka yang (significant dalam hidupnya) lain. Paling penting MB juga pernah memberikan saya harapan. Dan MB juga memberi saya sebuah kehidupan (baru) yang tidak terjangkau untuk saya gambarkan.

Saya pernah bercita-cita untuk menjadi sepertinya. Di usia yang masih relevan (wooots!), MB bukan sahaja berdiri sendiri, dia punya kebahagiaan dan kesempurnaan yang tidak mampu dimiliki oleh orang lain. Berkongsi laluan hidup yang hampir sama, buat MB cekal hati dan bervisi.

Kadang saya bersyukur di kelilingi orang-orang sepertinya. Dalam hidup saya begitu banyak mereka yang berjaya. AM juga antara mereka yang banyak memberi pengaruh (kami juga amat rapat).

Saya letak titik sebenarnya untuk perjalanan saya kali ini. Titik ke arah sebuah perjalanan (hidup) yang baru. Sedikit pun saya tidak menangis lagi. Terima kasih buat sesiapa yang pernah menjadikan saya bahagia. Juga pernah menjadi yang terindah dalam hidup saya- terima kasih.

Saya akur. Ok, I'm done.

p/s : kaki saya kini selangkah ke arah apa yang dicita-citakan. Syukur kepada perkhabaran baru yang diterima kira-kira dua hari lalu. Terima kasih buat Abang Rudy @ Hideaki di atas bantuan anda. Semoga musim bunga terus mengembang- nah, bawakan saya tona-tona bahagia!

Stabuxguy.

Featured Post

Coronavirus - Saat Getir Malaysia dan Jenaka Cik Kiah Yang Trending!

Jumaat, 27hb Feb 2020 10.25 malam Assalamualaikum... Ralit dari pagi, banyak juga hal-hal di guesthouse yang perlu saya ...