Sunday, March 28, 2010

Terima Kasih Yang Terindah


27 Mac 2010
12.36 t/hari

Semalam merupakan hari terakhir saya di tempat kerja. Sedih meninggalkan rakan-rakan sepejabat, untung saya ada bos yang penyayang dan baik hati. Encik Hafiz yang memahami, tak putus memberi nasihat dan kata-kata peransang.

"Hang kerja elok-elok kat tempat baru. UPM tu baguih. Peluang untuk hang pergi lebih jauh. Tapi ingat, Ofis ni sentiasa terbuka untuk hang kalau nak mai balik. Just call me, anytime!", ujarnya dalam loghat utara yang pekat sambil menepuk-nepuk bahu saya. Mata kami bertindih. Ada nada sayu di situ.

Terharu saya mendengar ucapan Encik Hafiz sewaktu majlis farewell semalam.

Saya berteleku. Muzik "Already Gone" dendangan Kelly Clarkson terngiang-ngiang menerusi iPod di corong telinga. Tangan saya semakin rancak menekan keyboard. Idea mencurah.

"Pastri encik?", tegur si pramugari tiba-tiba. Saya menoleh tersenyum.

"Yes, please. Thank you."

Saat ini saya dalam perjalanan ke Pulau Pinang. Mulanya, saya rancang ke Kelantan, balik kampung, tetapi hati saya tidak cukup kuat untuk bersendiri di sana.

Merasai kesunyian kampung, membuatkan hati saya bertambah lara. Saya perlukan suasana yang lebih fleksibel untuk saya lupakan semuanya.

Episod semalam, andai diberi peluang, ingin saya buang jauh-jauh. Ia antara momen yang paling memalukan seumur hidup saya. Sungguh jika diberi pilihan, saya tidak akan sesekali memperbodohkan diri sendiri.

Cinta yang hilang, nah, biarkan sahaja ia pergi, tukas saya berkali-kali dalam hati.

"Kash, berkat hidup hang, Encik Hafiz siap buat bacaan Yassin lagi sempena 'pemergiaan' hang!", seloroh teman ofis sebaik habis majlis farewell semalam. Saya senyum. Hati berbaur. Namun tangan ralit memetik kamera sana-sini, merakam detik-detik terakhir bersama rakan-rakan.

Jujurnya, saya lebih rela mengingati hari terakhir itu, biarpun ia sebuah majlis perpisahan, namun ia lebih menggembirakan.

Buat seketika, sebaik bangun pagi, saya meratap mencari-cari, oh, di mana? Dengan siapa? Bisakah anda bayangkan setelah hampir beberapa lama, si dia telah tiada?

Namun sejurus saya akur- menghormati pendirian biarpun paling menyakitkan.

Jika si dia sudah memilih jalan hidup bagaimana yang diinginkan, apalagi yang harus saya katakan? Setiap dari kita berhak bukan?

Saya kuatkan hati.

"Teksi, hantarkan saya ke Terminal KTM lama ya. Nice please!".

Tak lama menunggu, tiket saya beli dengan harga RM75.

"Coffee or tea?". Saya toleh seorang gadis yang menyapa.

"Err, milo please. I tak minum kopi." Jawab saya selamba. Gadis itu senyum sebelum berlalu.

"Encik, kalau nak guna internet boleh ke kaunter hujung. Free access." Tingkah satu suara pula. Saya mengucapkan terima kasih.

Hmmm memang bagus layanan di sini. Lebih baik dari menaiki kapal terbang.

Hampir setengah jam bas bergerak, saya benar-benar seperti diulit.

Ruang tempat duduk yang luas dan selesa, bantal kecil, blanket, semuanya tersedia.

Dan oh, bisa menonton filem-filem pilihan juga (anda diberi sepasang headphone tiap seorang).

Serta-merta bayangan semalam hilang dari ingatan. Saya kunci dan buangkan jauh-jauh. Saya hanya fikirkan yang indah-indah.

Terbayang kari kepala ikan di Pan Mutiara, bersarapan nasi lemak 'cung' pagi-pagi di Taman Tun Sa'dun, sotong kangkung di belakang Vistana, mee goreng mamak di tepi Sri Malaysia, dan paling penting, membeli dvd di Ferenggi.

Pergilah. Saya senyum lebar-lebar. Terima kasih, terima kasih.

Terima kasih kerana pernah jadi yang terindah.

Stabuxguy

1 comment:

samantha said...

hidup memang begini...terindah tidak semestinya terbaik...woootttsssss....:)

Featured Post

Coronavirus - Saat Getir Malaysia dan Jenaka Cik Kiah Yang Trending!

Jumaat, 27hb Feb 2020 10.25 malam Assalamualaikum... Ralit dari pagi, banyak juga hal-hal di guesthouse yang perlu saya ...