Tuesday, August 23, 2011

Kad Raya Kash & Cerita Hujung Ramadhan


Salam Lebaran. Teruja memiliki kad raya sendiri, saya hadiahkan khas buat anda rakan pembaca yang singgah di sini. Ringkas, tapi ikhlas dan tulus dari hati. :)

Menjelang Aidilfitri, jujurnya tak banyak persiapan saya kali ini, baju pun tak terbeli. Semalam jalan-jalan di Midvalley, sementara menunggukan berbuka dengan Nani, teman saya, sempat juga menjamu mata. Macam-macam warna ada. Tak perlu susah-susah ke Jalan Masjid India. Berkenan, saya capai sepasang dua untuk mencuba. Boleh tahan. Berkira-kira seketika. Saya buat keputusan untuk berbuka dulu. Saya gemar begitu. Lebih-lebih di saat sukar membuat pilihan.

Turun ke Chili's, Nani telah sedia menunggu. Lama saya tidak bertemu Nani, macam-macam topik yang kami bualkan. Nani seperti biasa, ceria dan happy go lucky. Antara yang buat saya senang dengannya.

"I baru ganti phone. My old one hilang." Saya ambil belek-belek X2 Nokia yang baru dibeli Nani. Lama tak pakai Nokia. Saya sudah hilang mengingati turutan sirinya.

Habis berbuka, saya terus pulang. Kepenatan seharian di pejabat (bulan puasa kepenatan saya berganda), memaksa badan saya untuk segera balik berehat.

"Sorry ye Nani, tak dapat nak teman you jalan-jalan."

"It's okay yang., Next time je. Thanks berbuka!".

"No prob!".

Hari ini saya jemput Sara, Karl dan AM, antara mereka yang paling rapat, datang berbuka di rumah. Lama tidak bertemu mereka, Sara lebih-lebih lagi. Seingat saya sejak Sara mendirikan rumahtangga Mei lalu, kami dah jarang keluar bersama. Goshh, I miss herr!!

"What time should I be there?". Karl, teman saya menelefon.

"Datang la awal. Kita ke Bazar Ramadhan di Sri Serdang dulu. Banyak pilihan situ."

Saya tak sabar. Harap-harap Karl muncul kali ni. Saya rindu nak berbual-bual dengannya. Teringat yang Karl rajin membuat biskut raya. Saya paling suka 'Rihanna' dan 'Britney' dari air tangannya. Entah apa pula nama jenama biskut rayanya tahun ni.

Kash, you tak balik kampung?

Saya senyum. Masakan tidak! Biarpun tidak begitu ghairah menyambut raya kali ni, tapi balik kampung seakan sudah wajib. Seperti tahun-tahun sebelumnya, saya menumpang AM pulang ke Kota Bharu. Selalunya kami akan pulang melalui jalan KL-Simpang Pulai. Selain kurang kenderaan dan agak lengang, AM mahu singgah membeli sayuran segar di Cameron Highlands. Cuma berdua, kami akan bertolak (awal) pagi Sabtu. Mungkin ada yang nak berkonvoi, boleh menyertai kami nanti ya.

Sementara menantikan Sabtu, Ramadhan saya habiskan memenuhi undangan berbuka dan sahur bersama teman-teman. Seronok bila dapat bersama, lebih-lebih lagi mereka yang jarang-jarang kita dapat jumpa. Nikmat yang hanya setahun sekali saya kira. Percaya atau tidak, itu antara kelebihan Ramadhan. Feel-nya lain macam.

Saya harapkan kita semua telah dapat menjalani puasa dengan sebaiknya. Buat yang memandu, hati-hati bila pulang ke kampung, rancang perjalanan, insyaAllah semua ok dan selamat.

Oh, tak sabar- tunggu cerita suasana raya di kampung pula ya!

"SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI- Maaf Zahir & Batin."

Stabuxguy

Monday, August 8, 2011

Kita Masih Ada Kenangan

Minggu kedua, hari kelapan Ramadhan. Terasa cepat benar masa berlalu. Mungkin ada yang sudah memikir-mikir persiapan raya- oh, warna apa baju Melayu? corak langsir yang mahu diganti baru?

Tidak terlalu teruja, saya masih berkira-kira ke mana hala tuju saya seterusnya. Tidak di atas, tidak di bawah, saya di tengah-tengah. Turun ke bilik S, teman sepejabat, S ralit membuat kerja.

"Kau okey?". Saya dengus, tangan meraup. S tersenyum menyambut kedatangan.

"Tak." Sepatah saya jawab. Saya jengah ke luar, seronok jadi pokok, bergoyang-goyang bebas di tiup angin. S kembali menaip, biarkan saya menerawang sendirian.

"Jangan jauh sangat 'berjalan'. Kadang kena tahu macam mana untuk 'lepaskan'." S berkias tiba-tiba. Saya tenung wajahnya. Tak sangka pujangga S boleh tahan juga.

Saya senyum menatapnya. "Hey, sejak bila hah?". Kami sama-sama tergelak.

Seronok berbuka bersama keluarga MB semalam di Kajang belum hilang. Buat pertama kalinya menu buka puasa saya begitu meriah, melihat anggota keluarga yang sama-sama menyediakan juadah, ada Tok Su (sudah sebulan beliau di KL), Mak Ngah, Kak Long, Iskandar dan paling best sudah tentulah MB, kakak angkat saya yang paling vogue di muka bumi. 

Bertemu MB dan keluarga buat saya 'lenyap' di dalam dunia mereka. MB lebih-lebih lagi, walau kadang kompas kami berlainan, tetapi semacam ada magnet untuk kami terus terlekat antara satu sama lain. Kimia yang susah untuk saya terangkan. 

Jika bisa diputar waktu (ini telah saya ucap berkali-kali), mahu saja saya terus tinggal di Pulau Pinang. Pulang ke Kuala Lumpur (mungkin) bukanlah satu kesilapan, banyak yang saya kutip dan belajar. Namun hidup di pulau lebih memberi saya ketenangan. Hidup yang ringkas, tidak terkejar ke sana sini- serius, saya rasi di sana. 

Rindukan keluarga Dr. Juliana (apa khabar Daniel dan Iman?), keluarga Kak Intan (suami dan anak-anak), Kak Ida & hubby juga (oh, i miss your bluberry cheesecake even saya tak makan cheese hehe...).

Jujur, mereka adalah teman dan keluarga saya. Saya harap mereka juga (masih) mengingati saya, sebagaimana saya mengingati mereka. :)

Mungkin esok, mungkin lusa, saya pasti akan tinggalkan KL. Mencari sesuatu yang baru dan rasi dengan jiwa kita itu perlukan perubahan bukan? 

Stabuxguy

Tuesday, August 2, 2011

Catatan Hari Kedua Ramadhan

Sebetulnya saya ingin memulakan penulisan semalam, dek keletihan, saya menangguhkannya ke hari ini. Memulakan pertama Ramadhan, syukur saya tidak sendiri. Berbuka bersama dua orang sahabat saya, Arep dan Feroz di kediaman mereka di Putrajaya, sementelah Feroz yang kurang sihat, saya berniat untuk turut menziarahinya. Feroz mujur kerana mempunyai teman serumah yang baik menjaganya, buat saya senang jika berkunjung ke sana.

“Mana you?”. Arep menelefon.

“Parkir. Baru nak kuar keta…”.

“Ok, ok I saw you. Come, wait you kat gerai-gerai ni.”

Buka puasa saya ringkas. Berjalan-jalan bersama Arep di Pasar Ramadhan di Presint 15, tiada apa yang menarik perhatian. Mungkin kesan keletihan di hari pertama mematahkan selera saya untuk membeli juadah macam-macam.

Teringat jika di kampung, waktu-waktu begini saya dan keluarga akan berkumpul, baik beli mahupun masak, sama-sama akan menyediakan hidangan untuk berbuka.

Mama saya paling sibuk. Betapa dia tegar melayan kehendak papa dan kami adik-beradik.

“Boy nak apa? Nanti mama masakkan?”.

“Err, nasi ayam ma. Boy suka nasi ayam!”.

Masing-masing teruja menunggu di depan meja.

“Mahu ke pasar Ramadhan, beli kuih!”. Laung saya. Teringin makan “bunga tanjung” tiba-tiba.

“Jangan banyak-banyak, nanti bazir.” Pesan mama.

“Papa nak apa? Air tuak ya?”. Saya tahu itu minuman kegemaran papa saya. Hanya di bulan puasa, air tuak cukup popular di Kelantan. Tak pasti sekarang masih dijual atau tidak.

“RM11.30 dik…”. 

"dikk...".

“Hah?”, terpinga-pinga saya.

“RM11.30. Jumlah semua…”, senyum si jurujual. Saya tersipu-sipu. Sempat menerawang.

Saya mengeluarkan dua keping not sepuluh ringgit.

Apa saya beli untuk hari ni? Sebungkus nasi minyak berserta tiga ketul daging kurma (buat sahur sekali). Oh, dan sedikit sayur acar.

Jauh benar puasa saya dulu dan sekarang- beli dan bungkus sahaja.

Saya rindu nak makan masakan mama. Rindu nak duduk-duduk bersila atau mengadap meja makan, menanti-nanti waktu berbuka bersama keluarga.

Saya pandang Arep. Terima kasih kerana menerima saya hari ini untuk berbuka sama. Terubat juga, mungkin kerana saya dan Arep senegeri, dia bisa faham perasaan saya.

Hari ini.

Izzu, seorang lagi teman saya berkali-kali mengingatkan saya di FB, jangan lupa berbuka sama di Vista Amani kediamannya pula. Tak sangka hari kedua Ramadhan saya juga ada yang sudi menjemput.

“You tak payah bawa apa-apa Kash, datang makan je. Nama pun jemput kan?”, ujar Izzu berlucu. Saya senyum dalam hati.

“InsyaAllah, kalau dapat keluar awal hari ini sampailah I ke Amani.”

Saya senang bergaul dengan Izzu dan rakan-rakan. Gila-gila, namun mereka semua bijak-pandai. Kalau berbincang, banyak info dan fakta yang boleh dipakai. Tertanya, kenapa agaknya saya tidak bercampur dengan mereka sejak dulu?

Saya tutup buku. Habis mesyuarat, saya gegas kembali ke meja. Banyak juga kerja-kerja harus diselesaikan.

Saya kerling jam, duh, setengah lagi nak ke empat setengah. Bulan puasa, cepat pula masa berlalu.

Saya pejam mata. Terbayang perancangan akan datang. Kira campur-tolak-bahagi semuanya, tak sampai setahun sahaja lagi. Sabarrr, ya tak lama je lagi, setahun.

Bersediakah saya?

Stabuxguy.

Thursday, July 28, 2011

Bermimpi, Bertahan Dan Terus Bertahan


"Yes or no?". Saya garu kepala. Tidak tahu bagaimana mahu memberi jawapan. 

"Saya beri awak tempoh seminggu. Nanti datang balik ke bilik saya." Saya hampa. Pelik bagaimana saya bisa kaku sebaik disoal 'orang atas' tadi. Mungkin saya juga keliru dengan keputusan yang saya buat.

"Awak pasti?". Dia, teman rapat saya pula menyoal. Saya tunduk. Tangan menguis-nguis roti di pinggan.

"Kalau tak pasti jangan pergi dulu. Sabar, bertahan...". Ringkas Dia menasihat. Saya senyum. Memang Dia teman yang baik. 

"Jom, naik! Dah setengah jam kita turun. Kang cari pula bos-bos di atas tu." Terkocoh-kocoh Dia menghabiskan minum.

Bukan mudah membuat keputusan sebenarnya. Ikut hati, mahu saja saya pergi. Melaksanakan apa yang sekian lama terbuku di hati. Jika tiga, empat tahun lalu, barangkali saya tidak serasional ini. Pantas sahaja membuat apa-apa keputusan (tanpa pertimbangan). Saya untung kerana ada Dia dan teman-teman lain menasihati.

"Banyak kemungkinan- harus memikirkan banyak perkara", ujar Dia berkali-kali buat saya terfikir sendiri.

Ah, komitmen buat kaki saya terpasak di bumi. Tak bisa lari!

Protes.

Saya sebenarnya percaya pada sebuah kehidupan yang mempunyai pilihan. Hidup tidak perlu terlalu lurus dan berada di garis yang betul. 

Pelik bila kita tegar menyesakkan fikiran. Membayar bil-bil contohnya, saban bulan harus menyediakan sekian-sekian peruntukan. Ibarat hidup adalah sebuah kelangsungan- lebih tepat sekadar untuk membayar hutang. 

Bukankah hutang tercipta kerana setiap dari kita mahu menonjolkan kesempurnaan?

Salahkah?

Tidak.

Tapi saya hanya mimpikan sebuah kehidupan yang mudah dan ringkas.

Alangkah baiknya jika itu pilihan yang mampu dilaksanakan!

Mungkin saya tidak akan menjadi kaya dan begitu berharta, namun saya bisa bahagia dengan pilihan yang saya buat. Mengembara, mengenal dunia, bertemu si dia dan si dia, mereka dan mereka, sekurang-kurangnya itu adalah mimpi saya. 

Membuka pilihan dan meneroka peluang-peluang baru (yang mungkin tak terfikir), saya percaya itu bisa membawa kepada kehidupan yang lebih baik. 

Setiap dari kita berhak untuk bermimpi bukan?

Stabuxguy

Monday, July 18, 2011

Kembara Laskar Pelangi, Mimpi Terlakar Di Teater Jakarta


Musikal Laskar Pelangi (MLP)

Panggung sesak. Audiens yang kelibut di dalamnya gamat menunggu lampu dipadamkan, tidak sabar menunggu cilik-cilik dan gerombolan peran musikal beraksi. Saya paling teruja. Tiada kata-kata yang bisa saya huraikan, tak sangka mimpi-mimpi yang diralit sejak dari awal Januari lalu (saya terlepas menonton pementasan pertama musikal ini dulu), kini terlakar di depan mata.

"Namaku Ikal. Aku orang asli Belitong." Tutur "Ikal" memintal semangat saya.

Turun dari van (kenderaan sebenar) ke tengah-tengah pentas, Ikal memulakan monolog pertama pembukaan dengan begitu meyakinkan.

Babak berganti, graf emosi mula meninggi sebaik sekumpulan peran Kuli-Kuli menyinggah lantai teater, mengalunkan lagu dan babak seterusnya, air mata saya berderai.


Bagai diperah-perah keluar, saya tidak peduli. Melihat kelibat peran Kuli-Kulinya sahaja sudah cukup menggambarkan kehebatan cerita, buat saya tidak sabar menunggukan babak demi babak.

Saya barangkali beruntung kerana ditemani oleh saudara Rudy Bluehikari, yang juga merupakan teman rapat saya (beliau kini berkerja di Jakarta). Bang Rudy (saya memanggilnya abang tanda hormat) turut mengenalkan saya dengan beberapa pelakon terlibat.

“Kenalkan teman abang, Febri. Febri.. ini Kash, dari Malaysia. Dia datang ke Jakarta semata-mata mahu menonton Laskar.” Ada riak gembira di wajah Febri. Terharu barangkali. Saya dan Febri berjabat salam.

“Febri juga berlakon dalam teater ini.” Nyata mimpi ini menjadi semakin luar biasa. Hanya Tuhan tahu betapa terujanya saya!

Diangkat dari novel pertama karya Andrea Hirata (karya terbaik beliau) yang diterbitkan oleh BENTANG Pustaka pada tahun 2005.

Mengisahkan kehidupan 10 anak dari keluarga miskin di Pulau Belitung yang berupaya menuntut ilmu di sebuah sekolah daif meskipun terbatas dari segi kemudahan.

Kecekalan guru-guru serta kerajinan murid-muridnya yang luarbiasa, merupakan jalan cerita yang menjadi latar utama Laskar Pelangi.

Kini dipersembahkan ke skala teater, yang pastinya menjanjikan impak yang lebih besar dan dekat di hati para pengikut setia novel ini.

Babak Kesukaan

Ada banyak namun saya cuma mahu ringkaskan beberapa-

Satu di mana Pak Bakri (Cikgu) melagukan ‘Sekolah Miring’ dengan penuh syahdu dan bertenaga.


Biarpun di sesi saya (pementasan siang) bukan dinyanyikan oleh pemegang asal Pak Bakri (Gabriel Harvianto), namun kemampuan saudara Muhammad Bakhesty juga tak bisa dipertikai. Emosi Pak Bakri di tangan Bakhesty tercampur di antara konflik masa depan sendiri dan kasihankan Pak Harfan (Guru Besar) dan Bu Muslimah dalam menyekolahkan anak-anak murid yang lain di SD Muhammadiyah.

Saya gemarkan lagu ini kerana ianya merupakan ‘pertikaian’ dua jiwa antara Pak Bakri dan Bu Muslimah.


Baris Pak Harfan, “Pergilah Bakri… Kalau Harapanmu Tak Ada… Sepuluh Murid yang Luar Biasa… Adalah Karunia Allah. Dan Kami Belum Putus Asa…” amat menyentuh rasa. Tanda dia rela melepaskan kepergian Bakri yang sudah mahu meninggalkan.

Pak Harfan Meninggal

Babak kematian Pak Harfan (masih ingat tangannya terkulai di meja di bilik guru di versi filem?) paling menyentuh perasaan. Saya seolah-olah dapat merasai keperitan hati Muslimah yang terpaksa menanggung kesepuluhan anak-anak Laskar Pelangi seorang diri sepeninggalan Pak Bakri.

Jeritan dan suara hati Muslimah dilontarkan dengan penuh perasaan di dalam lagu “Hilangnya Harapan”.

Emosi terus direntap bersama-sama dengan pemergian Pak Harfan sebaik lagu "Blues Nasib Tak Akan Berubah" menyembah lantai teater. Merupakan kesinambungan dari pembukaan lagu "Nasib Tak Akan Berubah" di awal teater, versi kedua ini lebih perlahan.

Biarpun di pentas yang agak kecil dan tidak segah IB (Istana Budaya) di Kuala Lumpur, impak emosi mengatasi segala-galanya. Lupakan gerakan hidraulik set pentas yang bertukar-tukar mengikut babak, cukup dengan set rumput hijau bertingkat (digunakan hampir pada keseluruhan babak sebagai latar), MLP sudah cukup rempah ratusnya.


Nyanyian para pendukung yang memukau (saya kira Malaysia belum cukup dari segi yang satu ini), MLP hampi cukup serba-serbi. Penghargaan utama seharusnya menjadi milik Erwin Gutawa buat penghasilan lagu-lagu yang merdu serta susunan muziknya yang cemerlang.


Tiada kesan khas yang melebih-lebih di sini. Sekadar paparan "imej bergerak" yang terhasil di kain rentang telus pandang (diletakkan antara penonton dan para pelakon), babak di kelas Pak Harfan yang sedang menceritakan perihal bahtera Nabi Nuh terpancar di "skrin" berkenaan.

Seakan magis (imej berasap seperti di dalam filem Harry Potter), saya kira itu suatu idea yang hebat dan telah mampu memberikan kelainan yang tersendiri.


Idea ini sekali lagi digunakan sewaktu adegan "penjelasan" Lintang mengenai jawapannya di pertandingan kuiz antara sekolah.

Perkataan-perkataan serta angka-angka matematik yang timbul memperjelaskan lagi kepada audiens tentang kebijaksanaan anak pesisir ini.


Babak nyanyian dalam hujan (deruan air turun dari atas ke lantai pentas!) juga saya kira antara yang terbaik dihasilkan. Kali pertama adegan sebegini dizahirkan di dalam teater dan tampak realisitik.

Babak Paling Ditunggu


Babak paling ditunggu (antara penyebab utama saya kemari), nyanyian solo lagu "Jari-Jari Cantik" dari Ikal, si pemuja A Ling.

Tertawan sebaik melihat jari-jemari A Ling yang menghulurkan kotak kapur (babak di Toko Sinar Harapan), ekspresi Ikal, biarpun agak lucu namun diterjemahkan dengan begitu baik sekali.

Meskipun sedikit kecewa kerana bukan dilagukan sendiri oleh pelantun asal, si cilik Christoffer Nelwan, namun Jari-Jari Cantik versi Kelvin J. Sugiharto juga tidak menghampakan. Saya terbuai dalam menghayati bait demi bait liriknya- indah!


Simbolik susuk A Ling yang ditampilkan secara bayangan menerusi kanvas putih sewaktu kotak kapur bertukar tangan mendapat tepukan audiens, yang mana saya kira Riri Riza, selaku pengarah berjaya mencuit perhatian, menterjemahkan babak filem ke pentas teater.

Koreografi

Gerakan-gerakan tarian dan koreografi dalam MLP adalah terbaik, lebih-lebih sewaktu Kuli-Kuli mengambil tempat menyampaikan beberapa lagu. Tidak salah jika saya katakan, Kuli-Kuli adalah antara barisan hadapan penghidup teater ini.

Konflik, suka dan tawa, emosi melayang-layang berbaur pada yang bisa larut bersama teater ini. Saya sebati sepanjang durasi tiga jam persembahan berlangsung.


MLP bukan kisah yang divisualkan semata-mata, ia menterjemah seribu satu kehidupan terpinggir yang unik. Pada yang bijak menghalusi, MLP mampu memberi kesan emosi yang tersendiri.


Habis persembahan, saya sekali lagi dibawa bertemu dengan Febri. Lebih menarik, kali ini turut terlihat kelibat Gabriel Harvianto (Pak Bakri) dan juga Ferry Feliepo (Lintang dewasa). Saya tidak segan-segan menegur. Nyata keramahan mereka buat kami seakan sudah lama saling mengenali.

"Yuk, kita makan sama-sama di luar? Sementara menunggukan pementasan seterusnya bermula?".

Mata saya tak putus memandang ketiga-tiganya- tidak percaya!

Buat MLP dan sekalian yang terlibat, sutradara, Pak Riri hinggalah ke pelakon-pelakonnya, tahniah dari saya- anda terhebat dan teruskan lahir dengan karya-karya yang lebih hebat selepas ini.

Oh, ya! Pada yang terlepas menonton musim kedua, lebih-lebih peminat MLP di Malaysia, ada berita baik buat anda. MLP bakal dipentaskan sekali lagi di Kota Singa pada Oktober ini. Untuk maklumat lanjut sila layari atau klik di sini ya!

Moga MLP bisa ke Malaysia pula selepas ini. Saya tunggu kalian!

*kredit foto : www.musikallaskarpelangi.com

Stabuxguy

Sunday, July 17, 2011

Sepanjang Hidup (The Rest Of My Life - Versi Indonesia) - Maher Zain


Aku bersyukur kau di sini, kasih
Di kalbuku, mengiringi
Dan padamu
Ingin kusampaikan
Kau cahaya hati
Dulu kupalingkan diri dari cinta
Hingga kau hadir ubah segalanya
Oooo
Inilah janjiku kepadamu

Chorus:
Sepanjang hidup
Bersamamu
Kesetiaanku tulus untukmu
Hingga akhir waktu
Kaulah cintaku, cintaku

Sepanjang hidup
Seiring waktu
Aku bersyukur atas hadirmu
Kini dan s'lamanya
Aku milikmu

Yakini hatiku
Kau anugerah sang Maha Rahim
Semoga Allah berkahi kita
Kekasih, penguat jiwa
Kuberdoa, kau dan aku di Jannah
Kutemukan kekuatanku di sisimu
Kau hadir sempurnakan s'luruh hidupku
Oooo
Inilah janjiku kepadamu

*Repeat Chorus
Yakini hatiku
Bersamamu, kusadari inilah cinta
Tiada ragu,
Dengarkanlah kidung cintaku yang abadi

Featured Post

Coronavirus - Saat Getir Malaysia dan Jenaka Cik Kiah Yang Trending!

Jumaat, 27hb Feb 2020 10.25 malam Assalamualaikum... Ralit dari pagi, banyak juga hal-hal di guesthouse yang perlu saya ...