Sunday, January 23, 2011

Fairytale Alexander Rybak Ke Cerita Laskar Pelangi


Awal pagi saya dikejutkan dengan lagu "Oah" Alexander Rybak yang dipasang ulang-ulang dari tengah malam tadi. Sangat cool dan cute lagunya.

Bukan sahaja "Oah", "Fairytale" juga antara single pertama beliau yang menarik minat saya seterusnya mahu lebih "mendengar" siapa Alexander Rybak ni sebenarnya.

Berusia 24 tahun, anak muda dari Norway ini amat ringkas dan sangat menyenangkan. 


Pertama kali bakatnya dicungkil menerusi pertandingan Eurovision Song Contest 2009 di Moscow, Russia (mewakili Norway), dan Rybak telah memenangi tempat pertama dengan jumlah mata tertinggi sebanyak 387- antara mata tertinggi yang pernah dicapai oleh mana-mana negara di pertandingan berkenaan.

Menariknya, Rybak telah membawakan lagu yang ditulis dan digubah sendiri di pertandingan berkenaan yang berjudul "Fairytale". Lagu ini juga antara hit yang memperkenalkan Rybak ke  pentas hiburan dunia.

Selain lagu-lagu dendangan Rybak, ada satu lagi perkara yang buat saya tersenyum sepanjang malam minggu.

Laskar Pelangi.

Filem yang diangkat dari novel hebat pertama karya Andrea Hirata ini (diterbitkan pada tahun 2005) berkisarkan kehidupan 10 orang kanak-kanak (berbagai ragam) dari keluarga miskin di Pulau Belitung yang cekal hati dan bersemangat untuk menuntut ilmu.

Keterbatasan sekolah (kemudahan-kemudahan yang terhad) dan kehidupan mereka yang daif tidak sesekali mematahkan semangat mereka. Pelbagai kisah dirangkulkan menjadi satu rencah yang cukup bagi menggambarkan kehidupan dan susah-senang mereka di Pulau Belitung.




Paling menarik yang dapat saya kesan dari filemnya, bahasa yang dituturkan di Belitung agak sama dan seakan-akan Bahasa Melayu di Malaysia. Apa yang saya baca (menerusi internet), masyarakat Belitung menggunakan Bahasa Melayu dialek khas Bangka (kesan dari penjajahan lampau dan keturunan Melayu yang lahir di sini).

Terdapat satu babak nyanyian lagu "Seroja" yang cukup popular dan sinonim di dalam masyarakat Melayu di Malaysia diselitkan di dalam filem ini.

Itu antara faktor yang membuatkan saya khayal hingga ke penghujung. Memang asyik. Durasi 125 minit seakan tidak terasa. Seolah anda juga sebahagian dari Bu Muslimah dan kanak-kanak berkenaan. Cut Mini yang manis berjaya membawa Bu Muslimah, seorang guru sekolah, sebagai salah seorang peran yang akan sentiasa diingati.


Saya ralat kerana agak lewat mengenali "Laskar Pelangi". Tertarik dengan poster "Musikal Laskar Pelangi" (ya, saya terlepas pementasannya!) yang dipasang di merata-rata tempat di Kota Jakarta awal Januari lalu, saya lantas membeli dvd filemnya untuk dibawa pulang ke Malaysia. Berhari-hari saya membuat keputusan untuk menonton (tapi masih tertangguh) sambil menyoal, baguskah filemnya?

Percayalah, Laskar Pelangi hebat. Baik lakonan, skrip dan jalan ceritanya. Saya pasti kita juga sedar, produksi Indonesia juga bagus dari segi mengvisualkan seni. Keindahan Pulau Belitung dan suasana ketika zaman kekayaan hasil timah di pulau ini dicanaikan dengan begitu sekali. Syabas buat Riri Riza selaku pengarah serta barisan penulis-penulis skripnya.

Saya kira Laskar Pelangi adalah sebuah produk yang paling jujur dan luhur.

Jam di rumah hampir ke pukul sepuluh. Teringat harus ke pejabat untuk siapkan kerja. Saya ke belakang sebentar melihat laundry. Lagu-lagu Rybak dah pun saya tukar kepada alunan "Jari-Jari Cantik" dendangan Christofer Nelwan (petikan OST Musikal Laskar Pelangi). Ahad saya santai namun harus juga berkerja. Rutin yang hampir sama hujung minggu saya sejak setahun yang lalu.

Ada klip-klip yang mahu diedit dan sedikit artwork untuk persiapan hari keluarga di Melawi, Bachok minggu depan. Saya tinggal anda dengan video 'Jari-Jari Cantik".

Jumpa lagi!


Stabuxguy : Dengar-dengar juga musikal filem ini bakal dipentaskan di Malaysia nanti. Saya pasti ramai peminat Laskar Pelangi di Malaysia yang teruja untuk menonton. Kita tunggu sahaja nanti-

Saturday, January 8, 2011

Jakarta Dan Tahun Baru Yang Lebih Bermakna


Hari ke lapan di tahun baru, belum terlambat rasanya melantunkan ucapan- semoga tahun baru lebih membawa harapan, dan kuntum-kuntum baru berbunga lebih ranum pastinya.

2011

Jatuh beberapa hari lalu genap usia saya ke 29 (Jan 4). Bakal menginjak ke angka 30 tahun hadapan, sudah berbaris perancangan yang ingin saya lakukan. Gusar? Saya senyum sebaik diajukan soalan. Sentiasa merasakan diri masih muda, opss itu rahsia saya. :)   


Ditemani alunan Obsession dari album terbaru Shayne Ward yang di beli di Jakarta minggu lalu (bagus-bagus lagunya), pagi saya saya catat di sini dengan sebuah kesimpulan, saya cuma ingin bahagia. Ya, hanya itu doa saya.

Genap setahun saya sendiri, 2010 mengajar saya erti sebuah kematangan sebenarnya. Saya mula belajar merancang dan merencana hidup. Kadang tersungkur, namun saya atur kembali menjadi persegi yang lama-kelamaan buat saya kuat dan bisa berteleku sendiri. Untung saya sahabat ada di mana-mana. Biarpun tak ramai, namun mereka kekuatan saya.

"Pertama kali ke Jakarta?". Saya angguk sebaik soalan diaju teman dua minggu lalu.

"Bola kita menang. Emosi penyokong tak menentu. Kamu hati-hati di sana." Saya senyum. Jujurnya saya tidak menonton dan mengikuti sebarang perlawanan. Bukan tidak patriotik cuma bola memang bukan minat saya.

Berjalan di terminal, terlihat begitu ramai para penyokong menyambut ketibaan skuad negara. Saya bisik Nani sambil berseloroh, "Please don't tell them that we're going to Jakarta. Mati kita..". Haha...

Jika Bali sering menjadi destinasi kesukaan saya, ajakan Nani buat saya tergerak untuk beralih angin. Jakarta sering buat saya tertanya-tanya, - oh apa yang istimewa di sana ya?

Jakarta

Jujurnya, Jakarta memberi saya satu persepsi baru. Saya sering bayangkan Jakarta sebuah kota yang sesak dan padat, itu antara fakta yang masih benar.

Namun Jakarta juga punya cerita dan kehidupan yang unik. Di balik hiruk-pikuk dan kepayahan hidup, terselit manifestasi seni yang sukar diperolehi di mana-mana. Seni wujud di mana-mana di sini. Suka saya melihat penduduknya yang kreatif dan menjadikan seni itu satu budaya. Buat saya terinspirasi.

#makan malam di hari pertama di Hotel Mulia, Jakarta 

Bertemu Zaky, Aries dan Rully, tiga orang sahabat saya di sana menambah rencah untuk saya lebih mengagumi orang-orang Indonesia. Mungkin kerana serumpun, jadinya sikap saling menghormati dan menerima tetamu dengan hati terbuka itu saling tak tumpah dengan masyarakat Melayu di Malaysia juga. Untung saya berjumpa dan berkawan dengan orang baik-baik.

 
#dari kiri : Rully, Aries dan Zaky (kredit foto : FB Rully)  

Saya di bawa berjalan dan melihat-lihat, putar-putar kata orang sana. Banyak plaza ya di sini, tukas saya. Plazanya (gedung membeli-belah) ada lebih dari lima di sana, semuanya gede-gede (besar-besar) dan seakan Pavillion di Kuala Lumpur. Syurga bagi yang gila shopping, kata Nani. Saya cuma tergelak. "Ya, gila shopping, macam you!". Kami sama-sama tertawa.

 
#bergambar di hadapan pintu masuk Plaza Grand Indonesia (dari kiri : Nani, Rully dan Zaky)  

Dari satu gedung ke satu gedung kami jelajah, Plaza Indonesia, Grand Indonesia, Pacific Place- buat mata saya melilau. Kagum dan terkedu. Macam-macam ada di sini. Dari Ted Baker hinggalah ke Zara dan Burberry. Kehidupannya moden dan lebih sophisticated. Saya akui kata-kata Nani, memang syurga tempat berbelanja (bagi yang mampu) tapi adakalanya terdetik di sudut hati, kasihan melihat mereka yang miskin dan tidak punya wang. 

Jangan terkejut jika anda diserbu di tengah-tengah trafik oleh anak-anak kecil atau sekumpulan 'pemuzik jalanan'. Itu fenomena biasa di sini. Bisa lihat di merata-rata. 

 #makan malam salah sebuah restoran di Plaza Grand Indonesia sebelum sambutan tahun baru

 
#hidangan makan malam 

"Mahu tahun baru di mana? Makan malam bersama?", soal Rully buat khayal saya pecah.

"Oh, di mana-mana aja. Di luar nonton *kembang api juga bisa." Jawab saya teruja.

*kembang api = bunga api

"Duh sesak banget di sana. Macet nanti kamu. Ramai orang. Bahaya. Nonton di hotel aja. Aku sudah booking kamarnya yuk!". Begitulah baiknya Rully, awalnya yang saya kenali melalui Zaky tapi kini sudah mesra bergaul dengan kami. 

Tahun baru cuma kami berempat. Aries bersama keluarga ke Puncak, sebuah tempat peranginan (seakan Cameron Highlands) di Bandung. 

#selamat tahun baru 2011!! 

 
#muka-muka gembira dapat minum green tea di tahun baru.. haha!

 #hidangan supper selepas sambutan tahun baru di hotel

Dari tingkap kaca InterContinental Hotel, melihat ke lautan manusia dan kereta di Bundaran HI*, buat pertama kalinya saya dapat menghayati makna peralihan tahun. Sukar untuk diterjemahkan, tapi perasaan saya berbaur. Terasa benar bezanya dan sayu, memberi saya kesempatan untuk berfikir dan merencana hidup yang lebih bermakna.

*Bundaran HI (Hotel Indonesia) = bulatan di tengah-tengah kota, dikelilingi hotel-hotel mewah di Jakarta

"Kamu nangis ya, Kash?". Saya seka mata perlahan. Malu Zaky merapati.

 "Gak, cuma sedih aja. Tahun 2010 dah berlalu...".

"Yuk, kok nangis. Happy donk. Semoga tahun baru lebih sukses!", laung Zaky sambil menghulurkan minuman.

"Ya, lebih sukses dan ganteng!", balas Rully.

"Ganteng dan fabulous!", tambah saya. Hahaha.. di sambut dengan derai tawa kami berempat.

Terima kasih Jakarta kerana beri saya peluang untuk mengenali dan menyambut tahun baru buat pertama kali di sini.  

#kawan-kawan Jakarta saya di Plaza Ambassador (seakan Sg. Wang Di KL) dari kiri : Ade, Nani, Adjie dan Adam

Terima kasih teman-teman- buat Zaky, Rully, Nani, Aries, Adam dan Adjie, juga di Malaysia, abang angkat saya, Abang Man (yang tak henti melayan karenah saya dari dulu hingga kini), Sara (yang bakal melangsungkan perkahwinan Mac nanti), Karl (sahabat saya yang paling memahami), Kak Wan @ MB (yang banyak mengajar dan membawa saya ke tahap hari ini) dan mereka yang tak bisa saya nyatakan di sini semuanya (terlalu ramai kalian-), terima kasih, terima kasih kerana telah menjadi antara yang terbaik dalam hidup saya.

Selamat tahun baru dan semoga perancangan anda berjalan lancar semuanya.

Semoga hidup lebih sukses dan gembira!

#link : Teman Jakarta Yang Saya Senang

Budak Kopi @ Stabuxguy

Friday, December 17, 2010

Bercuti Dan Perancangan (Hidup Lebih Bahagia)


Tak pasti apa yg membuatkan saya begitu gembira hari ni. Jumaat hari yang agak santai. Seawal jam lapan saya sudah terpacak di ofis, seperti biasa, punch masuk, buka radio di internet, baca suratkhabar, tengok apa isu menarik atau berita hari ni sebelum memulakan kerja. Facebook? Oh, ya- antara perkara-wajib-buat saya pagi-pagi. Biarpun sudah boleh mobile dan update di mana-mana, namun menatap Facebook secara 'tradisional' di skrin komputer lebih puas.

Hidup lebih bahagia dan mudah. Itu saya kira dua faktor yang paling buat saya semakin sukses. Biar tanpa sesiapa, saya gembira kerana sahabat-teman rapat sentiasa berada di mana-mana di saat saya memerlukan. Terima kasih juga kepada encik kereta a.k.a. Baby saya yang banyak membantu. Saya benar-benar sayang anda!!

Hujung tahun kian sampai ke penghujung. Hmm, terlalu awal untuk bercakap soal azam. Baik saya war-warkan perancangan (azam dan perancangan, itu beza bukan?). Berazam mahu ke Jakarta- antara perancangan yang saya rangka untuk dimuatkan dalam sesi diari tahun ini. Itu azam saya yang (hampir) tercapai.

"You mahu ke Jakarta? I mahu book untuk Disember nanti..". Saya laju mengangguk sebaik disoal Nani lima bulan lalu. Tentu sahaja saya mahu!

Percaya atau tidak, jika Bali menjadi destinasi wajib saya saban tahun, tentu ada yang terkejut jika saya katakan belum pernah jejakkan kaki ke Jakarta. Haha- jawab saya mudah, berbanding Jakarta, Bali tenang. Tidak bingit dan sesak. Saya sukakan suasananya. *baca saya : Penggemar pantai tegar :)

Ikutkan saya memang gemar bercuti. Melancong dan melihat-lihat tempat orang adalah sebahagian dari semangat saya. Mungkin percutian seterusnya saya patut rancang ke Bangkok pula. Tertangguh gara-gara rusuhan dulu, saya masih berkira-kira ke Bangkok lagi tahun depan. InsyaAllah.

Check kamera, passport, topi, seluar mandi, baju-baju cukup- Kash, duit dah tukar? Err, ada sesiapa yang mahu ikut?

Stabuxguy a.k.a. Kash the 'Budak Kopi'

Tuesday, December 7, 2010

Cerita Baru Kash... Catatan Bulan Akhir

Hari pertama Hijrah, ah awal-awal lagi saya berniat mahu tidur puas-puas. Balik dari menonton wayang bersama Nani, teman rapat saya malam tadi (kami menonton Rapunzel di MBO berhampiran), saya langsung singgah bermalam di rumah AM.

Lama tak jumpa AM. Sejak berpindah ke Serdang, saya tekad untuk belajar hidup sendiri (antara perkara yang sudah sekian lama saya impi untuk lakukan).

Lain padang, lain belalang kata orang. 

Perlahan-lahan saya cuba membeli itu ini (setakat yang termampu dan keperluan), menghias dan memenuhkan ruang kediaman.

Biarpun tidak mewah namun buat saya biasa tersenyum puas. Sekurang-kurangnya ianya hasil dari titik peluh sendiri. Dan, Alhamdulillah rumah kecil saya kini sudah agak selesa untuk didiami.

"Bang, parking visitor ada?". Sejurus pengawal mengangguk, saya dibenarkan masuk.

Enjin kereta dimatikan. Saya bernafas lega. Siapa duga saya mampu memiliki "bayi putih" secepat ini. Dari hanya berkira-kira membeli Neo (ramai rakan-rakan dan famili tidak bersetuju), saya akur, "bayi putih" ini lebih ekonomi dan selesa berbanding Neo- antara model idaman saya sebenarnya.

Masih ingat lagi, kali pertama memandu Vios sewaktu di Langkawi dua tahun lalu, dek kerana penerbangan kami tertangguh, saya dan MB menyewa kereta untuk mengelilingi pulau (bagi menghabiskan masa). Untung kami ditawarkan Vios dengan harga yang agak murah. Antara kenangan saya dan MB yang paling menarik sewaktu bercuti.

"Dah tidur? Maaf lambat. Tengok wayang dengan Nani tadi." Saya lihat AM, abang angkat saya masih berjaga menunggu saya. Kami duduk berbual-bual seketika. AM kelihatan agak susut kebelakangan ini.

"Macam orang sakit…", tukas saya. AM senyum sambil matanya kembali menjeling tv.

[ Beb, jangan lupa masak-masak esok. Datang awal tau! ]

Sms dari Yuzz mengingatkan saya. Saya minta diri dengan AM. Mandi dan berehat. Jam sudah menunjukkan hampir ke jam satu pagi. Satu malam yang panjang.

[ Pukul berapa nak datang? Kami nak ke pasar dulu. ]

Sms dari Yuzz lagi pagi-pagi mengejutkan saya. Saya bingkas mandi dan bersiap. Yuzz, yang pernah menjadi teman sepejabat saya sewaktu di firma arkitek dulu, kini adalah teman rapat saya. Dia dan Peyo, serta Khai, mereka tinggal serumah di Kelana Jaya, saya kini banyak menghabiskan masa bersama mereka bertiga. Kami ke gym hampir setiap minggu, menonton wayang dan sebagainya.

Saya memandu melalui NPE ke Kelana Jaya. Jalan agak lengang. Hari cuti, ramai yang berehat atau balik kampung.

Masak-masak kami menjadi. Masing-masing gilir memasak (kecuali saya). "Kau tak yah buat pape, beli air je cukup!". Pesan Yuzz sewaktu perjalanan. Saya capai sebotol oren Twister, sekotak besar Peel Fresh Mangga Tropika berserta empat kon Cornetto di 7E berdekatan.

Memang rutin saya di Kelana Jaya jika tidak bersengkang di pejabat.

Baru-baru ini Martin dan Frank ke Malaysia, saya singgah bertemu dan membawa mereka jalan-jalan di sekitar ibukota. Betapa saya rindukan mereka. Martin dan Frank sahabat yang saya kenali sewaktu di Germany, masih kuat bergurau dan mengusik saya.

"Any plan to come visit us in Germany soon, Kash?". Saya senyum ceria. Perancangan tu ada. InsyaAllah pertengahan tahun depan, berkobar-kobar hati saya. Pertanyaan Martin memberi saya idea. Tahu apa saya buat?

Balik rumah, saya cari kotak kasut yang masih elok tersusun. Ah, jumpa! Saya letak sekeping not RM100. Buat permulaan- nah, sekarang saya dah mulakan "tabung travel" saya sendiri. Masuk ke minggu kedua, saya memasukkan RM5 setiap hari (atau setiap kali mempunyai not RM5 di dalam wallet). Nampak lekeh tapi saya pesimis ianya akan berjaya. Menarik bukan?

Stabuxguy.

Wednesday, August 11, 2010

Tulisan Pertama Ramadhan


Rabu, 11 Ogos 2010
8.25 pagi

Niat saya mahu menyambung penulisan lalu, namun saya biarkan sahaja kemaskini itu terhenti- bukan malas, tapi rasanya semacam mahu mencipta trend atau gaya penulisan baru, setiap posting akan saya sambung ke satu posting yang lain, dan begitulah seterusnya.

Hari pertama berpuasa, tiada apa yang berbeza, lainnya kali ini saya sendiri. Ya, buat pertama kali saya melalui Ramadhan kali ini bersendirian.

Awal pagi tersedar, saya penuhi dengan menonton dvd "Bila Cinta Bertasbih" sementara menantikan waktu sahur berakhir. Beberapa kiriman sms "selamat bersahur" dari teman-teman di awal pagi membuatkan hati terdetik, oh masih ada (sekurang-kurangnya) mereka yang "peduli" tentang saya. Nah, itu sudah cukup membahagiakan.

Terlalu banyak sebenarnya untuk ditulis, juga terlalu lama dan banyak yang telah saya tinggal untuk dicatatkan di sini. Meskipun terkekang, saya cuba mencari ruang. Maaf - pada yang mengikuti, saya mungkin tidak serancak mahupun aktif seperti dulu.

Masa berlalu bukan?

Sedikit perkembangan terkini untuk dikongsi, saya kini secara rasminya merupakan penjawat awam di salah sebuah institusi pengajian tinggi berhampiran ibukota. Hampir lima bulan berkhidmat, itu antara berita gembira yang sekian lama ingin saya war-warkan buat semua.

Gembira dengan kerjaya sekarang, saya cuba berikan 200% komitmen (yang tidak berbelah bahagi). Mungkin ada yang mengatakan saya "gila kerja", saya senyum sendiri. Selain ingin melupakan beberapa episod luka, saya anggap itu sebahagian dari terapi. Hidup harus positif. Itu saya pegang sejak memulakan kehidupan baru di sini.

Sekian dulu untuk kali ini, semoga kita sama-sama menjadi orang yang lebih tabah. Pada yang mengenali (peribadi atau sekadar nukilan di sini), saya pohon ampun dan susun sepuluh jari. Selamat berpuasa, selamat menyambut kedatangan Ramadhan Al-Mubarrak 1413H.

Jumpa lagi~!

Monday, August 9, 2010

Perasaan Yang Terlupa

Ahad, 8 Ogos 2010
12.25 t/malam

"makan malam di padang strawberi dengan dia..".
"makan malam di padang strawberi dgn dia juga..".

Sama tapi tak serupa. Tersenyum saya membaca dua mesej di status FB rakan yang berbeza tapi sama maknanya. Buat saya terfikir seketika, ah alangkah indahnya tatkala dilamun cinta!

Malam tadi, berbual-bual dan makan semeja bersama Nani dan Frid, dua orang teman saya (telah lama kami tidak meluangkan masa begitu) di Paparich, Bandar Permaisuri, buat saya tersedar kembali perasaan senang bila bersama teman-teman. Biarpun tak lama, saya terfikir, kelebihan bagi orang-orang yang solo dan sendiri seperti saya, anda bebas ke mana-mana, bersama siapa dan berbuat apa sahaja!

Iya- kami berseloroh, berbual dan bertukar-tukar tentang life masing-masing, ternyata banyak yang saya tertinggal, lebih-lebih lagi memilih untuk hidup di pinggir kota (faktor tempat kerja yang jauh) menjarakkan hubungan saya dengan rakan-rakan.

Saya akui, dalam kesibukkan kerja, adakalanya hati saya sunyi. Biarpun tak begitu lama hidup sendiri, jiwa adakalanya terkenang sesuatu yang sudah tidak kita miliki. Aneh tapi benar.

bersambung....

Featured Post

Coronavirus - Saat Getir Malaysia dan Jenaka Cik Kiah Yang Trending!

Jumaat, 27hb Feb 2020 10.25 malam Assalamualaikum... Ralit dari pagi, banyak juga hal-hal di guesthouse yang perlu saya ...