Friday, July 15, 2011
Sekolah Miring (OST Musikal Laskar Pelangi)
Gabriel Banang Harvianto :
Hari Hari Terus Berganti
Hati Ini Semakin Gelisah
Melihat Keadaan Sekolah Miring Muhammadiyah
Tak Pernah Bisa Ku Pahami
Sungguh Tinggi Semangat Muslimah
Mengajar dan Merawat Sekolah Miring Muhammadiyah
Darimana Keyakinan Mereka
Darimana Keteguhan Mereka
Tidakkah Mereka Sadari
Sia-Sia Mimpi dan Harapan
Tak Mungkin Bisa Bertahan
Sekolah Miring Muhammadiyah
Harus Ku Beranikan Diri
Bicara Sampaikan Rasa Resah dan Gundah
Sudah Waktunya Ku Pergi
Ku Harus Tinggalkan Muhammadiyah
Muslimah Berhentilah Bermimpi
Takda yang Perduli dengan Sekolah Miring Ini
Murid-Murid yang Tinggal Sepuluh Ini
Akhirnya Akan Tetap Jadi Kuli
Lea Simanjuntak :
Bakri…
Tak Pantas Kau Rendahkan Kita
Gabriel Banang Harvianto :
Aku Bicara…
Bicara Kenyataan
Iyoq Kusdini :
Pergilah Bakri…
Kalau Harapanmu Tak Ada
Sepuluh Murid yang Luar Biasa
Adalah Karunia Allah
Dan Kami Belum Putus Asa
Gabriel Banang Harvianto :
Telah Ku Beranikan Diri
Sampaikan Semua Rasa Resah dan Gundah
Kini Waktunya Ku Harus Pergi
Tinggalkan Muhammadiyah….
Tak Mungkin
Tak Mungkin Bertahan
Sekolah Miring
Muhammadiyah……….
Lirik oleh Mira Lesmana
Penata Musik oleh Erwin Gutawa
Thursday, July 7, 2011
Bahagia
#me & Jaja! *wink wink*
Saya lihat jam. Lagi tiga puluh minit ke angka lapan, saya tiba tenang di pejabat. Menarik nafas, saya senyum sendiri. Membuka muzik Bali, antara rutin yang saya buat pagi-pagi. Saya sandar kepala seketika. Aman. Momen yang penting sebelum melangkah keluar dari kereta.
Berihitam saya berkedip, tanda ada isyarat mesej yang masuk.
Seketika saya tersenyum. Membaca komen teman-teman di ruang sembang di telefon buat saya tertawa sendiri.
Terlalu banyak yang membuatkan saya gembira. Biarpun tekanan kerja bertimpa-timpa, namun hati saya tercalit bahagia.
Seorang teman lama menjemput saya ke rumahnya.
“Datanglah, I ada buat makan-makan. Kita masak ramai-ramai. Semua you kenal, datang tau!”.
Saya berkira-kira. Lama tidak berkumpul bersama buat saya terasa janggal seketika.
Hari yang dinantikan, saya tiba di rumah beliau. Kerana tak biasa, saya tersilap memasuki ke kondo sebelah.
“ No wonder I tunggu you tak sampai-sampai. Lain bangunan!”. Saya gelak sebaik seorang lagi teman (yang juga mahu ke tempat yang sama) menunggu.
Hampir setengah hari saya di sana, dari makan-makan (dimasak dan disediakan sendiri teman saya dan rakan-rakan yang lain) berselang-seli dengan gelak ketawa dan bertukar-tukar cerita.
Gembira diterima- berada bersama di kalangan teman-teman (yang menyenangi dan buat saya senang) adalah suatu perasaan yang dah lama tidak saya rasa.
Hampir beberapa lama saya menyendiri, saya sibukkan perjalanan sehari-hari dengan kerja dan rutin peribadi. Bukan niat untuk menjauhi, tapi ada beberapa faktor (yang saya sifatkan peribadi) yang mengekang saya untuk kembali mengharungi kehidupan yang pernah saya lalui.
Pelawaan teman saya itu ibarat satu peluang yang saya buka untuk diri sendiri.
Dunia ini bukan kejam. Jika "seseorang" boleh bergerak cepat dalam hidup sebaik meninggalkan mereka yang (pernah) dicintainya di belakang, mengapa tidak saya? Biarpun lambat, saya bersyukur kerana bisa bangkit dan melihat semua perkara dengan lebih positif dan gembira.
Teruja dengan suasana baru yang melingkari hidup saya sejak akhir-akhir ini, saya susun satu-persatu menjadi langkah yang lebih baik.
Oh, ya. Ada perancangan yang bermain di fikiran sebenarnya. Jika di entri sebelumnya (Saya, N dan I – Satu Harapan), pada yang masih ingat, saya mempunyai impian. Ada masa depan yang ingin saya corak dikemudian hari. Tak mustahil, tapi saya yakin bisa terjadi.
Tak mahu melatah, seperti yang saya katakan tadi, saya cuba menyusun satu persatu-persatu menjadi langkah yang lebih baik.
Saya cuba lalui kegembiraan sekarang dengan hati yang terbuka. Biarpun tanpa si dia (hanya Tuhan yang tahu sunyinya saya), saya masih mempunyai teman-teman yang sudi berkongsi susah dan suka.
Buat teman-teman yang kini hampir ke dalam hidup saya, terima kasih yang tak terhingga. Kalian membuka mata saya, betapa persahabatan itu lebih dari segalanya.
Kadang-kadang pengajaran itu bisa membuatkan kita lebih matang bukan?
Selamat kembali bercuti ke tanahair Jaja, teman saya yang menuntut di Bangkok. Ted, happy belated birthday to you. Terima kasih menjemput saya ke majlis anda di Delicious minggu lalu. Acai, terima kasih juga for the makan-makan last weekend at your place. Awesome food!!
Selamat kembali bercuti ke tanahair Jaja, teman saya yang menuntut di Bangkok. Ted, happy belated birthday to you. Terima kasih menjemput saya ke majlis anda di Delicious minggu lalu. Acai, terima kasih juga for the makan-makan last weekend at your place. Awesome food!!
Buat teman-teman saya di Jakarta, Aries, Rully, Zaky, Akmal, Adjie dan Bang Rudy- tunggu saya di sana. Kita jumpa esok ya!
Stabuxguy – Dah tak sabar nak tengok Muzikal Laskar Pelangi!
Tuesday, June 28, 2011
Saya, N dan I - Satu Harapan
Hidup ini penuh dengan kebarangkalian. Adakalanya menakutkan dan tidak adil. Saya percaya selagi kita punya opsyen, kita berhak untuk memilih. Jika beberapa minggu lalu saya mula yakin dan melihat kerjaya dari sudut yang agak positif, hari ini graf motivasi saya kembali merudum.
Awal pagi saya dipanggil masuk ke pejabat oleh I.
Mulanya saya dan I tidaklah begitu rapat. Tidak sependapat, kami lebih banyak bertelagah (baik dari segi rekaan atau idea yang mahu diketengahkan). Beberapa kali I buat saya geram dan marah. Namun kami menjadi akrab setelah melalui beberapa fasa perkerjaan. Kata orang, tak kenal maka tak cinta. Nyata I bukanlah seteruk yang saya gambarkan. Dia mula bertoleransi.
Sebenarnya tugas I dan saya saling memerlukan. I merupakan seorang penulis (bahasa Inggeris) atau dalam bahasa pengiklanan, she's a copywriter.
Pengalaman sebagai seorang copywriter dan branding manager di beberapa syarikat pengiklanan sebelumnya banyak digunakan untuk penghasilan bahan-bahan penerbitan dan pengiklanan promosi di universiti.
"I want to quit. I dah tak tahan dengan kerenah birokrasi di sini... masing-masing nak tunjuk kuasa." Itu ayat I sebaik saya memasuki ke bilik beliau.
Saya tergamam. Mata I saya pandang.
"Bukan beberapa minggu lalu, you yang bagi I motivasi, minta I jangan berhenti? Suruh I tahan dan sabar. Apa dah jadi?".
"Long story. I made a mistake dengan menerima this position. I don't want this...". Saya cuba menyelami apa sebenarnya yang ingin I sampaikan.
Sebenarnya bukan I seorang sahaja yang merasa demikian. Ada beberapa orang lagi teman-teman saya di pejabat (termasuk diri saya) juga berpendapat demikian. Sebaik pertukaran kuasa dan perubahan organisasi beberapa bulan lalu, keadaan agak menjadi 'haru-biru'. Ada yang lega menerima, tak kurang yang mula berfikir tiga empat kali untuk berhenti kerja.
"Apakata kita mulakan kerja-kerja freelance? You, me and N. We can work as a team!." Saya terbayangkan N, my photographer yang berkali-kali minta saya carikan kerja lain untuknya. N pun tak tahan dengan apa yang berlaku sekarang.
"You are not serious, aren't you?". Saya pandang lagi I dengan tidak berkedip.
"I takkan panggil you dan berbincang macam ni kalau I tak serious." I senyum. Dia kelihatan begitu optimis.
Kata-kata I buat saya yakin dia bersungguh.
"Ada few staff tak berapa suka dan senang dengan kedudukan I sekarang. You pun tahu siapa kan?". Saya cuba-cuba mengagak. Kabur-kabur beberapa nama terlintas.
Itu adalah sebahagian dari cerita yang berlaku di pejabat. Kadang buat berkobar-kobar, namun saya sedar realiti perlukan perancangan yang berhati-hati. Tidak boleh bertindak melulu. Ibarat menarik rambut di dalam tepung, jangan putus dan berterabur.
Teringat juga tawaran-tawaran lain yang datang. Saya fikir masak-masak. Tidak mahu menyesal, sebetulnya saya senang di sini. Tanpa masalah-masalah major sekarang, saya pasti saya dapat membuat lebih baik.
"You there?". Saya pandang I. Dia masih menantikan jawapan.
"I'll think about this." I senyum.
Saya langkah keluar dengan seribu satu persoalan. Teringat perjalanan ke Jakarta minggu hadapan. Peluang untuk lari seketika bagi menonton Musikal Laskar Pelangi dan bertemu Bang Rudy di sana akan saya gunakan sebaik-baiknya bagi memikirkan semua perkara.
Bang Rudy, teman yang saya anggap sudah seperti abang sendiri, dia banyak membantu dari segi emosi dan spritual. Moga hati saya masih kuat.
Saya lirik jam, hampir ke jam lima. Setengah jam saya hanya mendengar lagu dan melayan perasaan. Mujur I mengarahkan saya turun ke tingkat bawah untuk siapkan rekaan laman web baru.
"I know you need privacy." Tukas I memahami.
Saya ambil peluang untuk mengerah idea, jauh dari hiruk pikuk teman-teman sepejabat di tingkat atas.
"Jom turun minum. Kerja sampai mati pun takkan habis bro!". N tiba-tiba muncul. Saya pusing ke belakang. N hati-hati meletakkan kamera. Kagum saya dengannya. N dedikasi. Biar saya tahu hatinya tak suka.
"Kau turun dulu. Aku nak upload ni jap. Nanti aku join." N angguk.
"Jangan lambat bro. Aku orderkan kau air dulu kay!".
"Milo 'O' suam- cam biasa."
"Wokeh!".
Itulah hubungan saya dan N. Saya mula bayangkan saya, N dan I sebagai satu pasukan.
Bisakah menjadi kenyataan?
Stabuxguy.
Monday, May 16, 2011
Catatan Sebelum Bangkok (Lagi 3 Hari!)
Jarang menulis- saya tidak tahu mahu mula dr mana sebenarnya. Belek-belek kembali senarai rakan-rakan bloggers di kiri-kanan blog saya, ada antaranya yang sudah tidak aktif. Malah ada yang sudah hampir setahun tidak menulis!
Begitu cepat masa dan teknologi berlalu, Facebook (FB) nyata kini mengambil tempat. Blog masih menyeronokkan kadang-kadang, selain asah bakat dan idea menulis, blog masih merupakan medium utama untuk berkongsi cerita. Tidak sama seperti di FB, blog lebih bersifat personal, tidak kecoh, anda bisa menulis dengan tenang dan hanya pelayar-pelayar tetap (blog anda) yang berkunjung sahaja bisa membaca. Saya suka begitu. Ah, betapa saya rindu zaman-zaman awal memblog. Meriah.
Dua bulan berselang tanpa apa-apa cerita di sini, bukan bermakna hidup saya sepi. Mereka yang mengikuti saya di FB dan juga Twitter tahu betapa sibuknya rutin harian saya (ah, adakalanya status-status saya di sana agak nakal juga!).
April lalu genap setahun perkhidmatan saya di tempat kerja. Dam tak diam, dalam setahun, pelbagai perkara yang manis-manis berlaku. Mungkin saya bertuah kerana masih diperlukan. Banyak yang saya pelajari, bukan sahaja dari hal-hal kerja, malah pergaulan dan sikap manusia. Jika selama ini persekitaran kerja saya hanyalah di sekitar kelompok yang kecil, kini lebih besar- lebih banyak ragam dan kepala.
Adakalanya rutin kerja membuatkan saya putus asa. Berada di dalam minat dan kepandaian sendiri nyata tidak menyelamatkan saya. Terfikir, adakah saya mahu kekal di sini selama-lamanya?
Saya punya perancangan. Ada yang perlahan-lahan sedang saya laksanakan, selebihnya saya tentukan pada masa dan keadaan. Kita hanya mampu merancang-
Melihat adik dan sepupu saya tamat graduasi di majlis konvo mereka Sabtu lalu buat saya terdetik, ke mana langkah mereka seterusnya? Alangkah baik jika saya juga bisa bermula kembali (yang pastinya saya akan merancang semuanya dengan lebih teratur dan sempurna).
Mei hampir menginjak ke pertengahan. Beberapa hari lagi saya akan ke Bangkok. Sebuah destinasi asing yang tidak pernah ada dalam perancangan saya. Sering kali diajukan teman-teman,"Kash, kenapa selalu ke Bali? Bali bagus ya?". Saya senyum. Kali pertama menginjak ke sana, hati saya sudah terdetik, saya jatuh cinta dengan keindahan dan keramahan orang-orangnya. Lalu untuk kelainan, sementelah jemputan Jaja, teman saya (yang kini menyambung pelajaran dalam bidang masakan di sana), saya akur untuk menjengah ke- mahu tahu apa keistimewaan ibukota negara gajah putih berkenaan.
"Nanti kalau you tak datang sekarang, i dah nak habis. Tak dapat lagi nak bawak gi jalan-jalan." Ujar Jaja suatu hari menerusi BBM.
Mujur ada Fawaz, seorang lagi rakan saya yang juga beriya-iya mahu turut serta. Tidak lama merancang, kami lantas menempah tiket penerbangan. Jaja orang paling gembira.
"Akhirnya...", getus hati saya.
Ada aktiviti menarik yang saya lakukan sejak akhir-akhir ini. Gymnasium bersama Iddin, teman saya yang juga merupakan seorang pensyarah di UiTM. Iddin yang telah lama saya kenali, kini merupakan gym partner saya. Mulai serius, saya mengambil seorang personal trainer (PT).
"Mahu jadi macam you. Beri saya tiga bulan..", ujar saya kepada Iddin.
"Kena sabar, kuatkan mental dan fizikal." Iddin bermotivasi.
Tak fikir lama, saya mengambil seorang PT. Yakin dengan kemampuannya memberi saya tunjuk ajar (penggunaan machines, kaedah bersenam yang betul), kini saya secara rasminya kembali aktif.
"Mahu fit dan lean macam ni..", saya tunjukkan gambar bentuk badan yang diinginkan (yang dimuat turun dari internet). PT saya hanya tersenyum.
"Lebih dari ni pun boleh kalau you mampu..", jawabnya. Saya tambah bersemangat.
Hampir seminggu menjalani latihan agresif bersamanya, kaki dan badan saya mulai lenguh-lenguh dan sakit.
"Beb, kita sambung selepas I balik Bangkok ya. Tak larat!!". SMS saya kepada PT. Rugi pula mahu pergi bercuti kalau dah sakit-sakit tak boleh nak berjalan. Jujur saya teruja.
Sekarang saya faham perasaan kedua-dua orang nenek saya (sebelah ibu dan ayah) yang sering merungut lutut mereka sakit-sakit tak boleh nak panjat tangga kapal terbang (yang agak tinggi). Haha.
Lucu tapi benar. Antara faktor yang membuatkan saya kini kembali aktif ke gym. Gerun melihat fizikal sesetengah rakan-rakan sekerja di pejabat yang sudah 'maju' ke depan (ada di antaranya belum berkahwin dan lebih muda dari saya!). Lebih baik sakit sekarang kan :)
Tidak hairan jika dilihat pada budaya kerja di sektor kerajaan, makan-meeting, makan-meeting. Itu yang saya cuba elakkan sekarang. Jika di awal-awal tergoda juga. Masakan tidak, meeting sahaja roti jala, meeting sahaja nasi beriyani. Siapa tahan tak? Haha.
Okay mata saya dah kuyu sekarang. Kaki dan badan masih lenguh-lenguh dan sakit. Jam hampir ke pukul sebelas malam. Pada yang berkunjung ke mari dan masih ralit membaca tulisan-tulisan saya, terima kasih diucapkan. Moga jumpa lagi ya!
Selamat malam!
Stabuxguy.
Monday, March 21, 2011
Teruja Yang Sunyi
[ Bahagian 1 ]
Ada beberapa perkara yang mengujakan saya kebelakangan ini. Ya, saya menulis bila perasaan saya senang dan gembira. Seakan terselit rama-ramai yang minta ingin segera dikeluarkan, begitulah hati saya sekarang. Laju menaip papan kekunci, membuat jari saya berdetap tanpa henti. Oh, alangkah bagus jika bisa saya layangkan poskad gembira kepada semua- biar anda baca pun dengan hati yang berbunga-bunga!
Dua minggu lalu saya ke Port Dickson (PD). Lama tidak berjalan-jalan ke luar Kuala Lumpur, saya ajak beberapa orang teman. Tidak perlu beriya-iya merancang, saya dan Niza, kami bertemu di rumah Asyraf untuk bersarapan pagi di kawasan rumahnya di Ampang. Awal-awal lagi Ariff, yang datang jauh dari Kajang menunggu kami.
Jika minggu sebelumnya saya dan Niza bersarapan menu Kelantan di Pantai Dalam, kata Niza, nasi berlauk di sini paling enak. Itu paling buat saya teringin mahu mencuba.
Habis bersarapan, kami teruskan berjalanan ke PD. Macam-macam joke dan cerita kelakar yang keluar. Asyraf tak henti mengusik Arif yang selamba. Saya dan Niza cuma tukang gelak.
Dah lama saya tak ke sana sebenarnya. Sempat juga menaiki banana boat dan "airhead" yang kami gelar "donut". Memang seronok sebab masing-masing sekepala dan gila-gila.
"Kamu mahu extreme atau biasa?". Saya pandang Arif dan Asyraf sebaik diajukan soalan oleh tukang bot. Sekilas memandang juga ke arah "donut" di gigi air.
"Campur-campur boleh bang? Extreme dan biasa!". Laju Asyraf mencadang.
"Ok. Set!". Saya dan rakan-rakan dengan penuh yakin mula menaiki "donut". Awal-awalnya okay, tapi lama-kelamaan mula terasa seperti hilang kawalan dan seperti mahu tercampak keluar. Si Arif dah mula terjerit-jerit macam orang hilang arah. Antara mahu ketawa dan panik, saya cuba bertenang agar tidak tercampak ke dalam laut. Memang extreme. Nasihat saya, pada yang pertama kali mencuba, fikir berkali-kali atau minta si tukang bot bawa anda ke level "biasa-biasa" sahaja.
Hari mulai beransur ke senja. Kami mula bergegas ke satu kawasan pantai yang agak privasi dan tersorok sedikit untuk sesi "photoshoot". Sayang tak banyak foto yang boleh diambil memandangkan hari sudah hampir gelap.
"Dinner jom! Ikan bakar!". Ajak Asyraf. Kami masing-masing kelaparan.
Pertama kali sebenarnya saya mengajak mereka bertiga untuk keluar. Pertemuan di rumah Kak Long (di sesi karaoke) di Kelana Jaya tahun lalu nyata telah merapatkan kami. Saya senang dengan ketiga-tiga mereka. Niza lebih-lebih lagi, sementelah rumah kami juga berdekatan (Niza tinggal di Bukit OUG).
Hujung Februari lalu juga saya meraikan hari ulangtahun AM. Bertempat di Restoran Pampas, Jalan Bukit Bintang saya cuba mengumpul beberapa orang rakan kami yang terapat untuk sama-sama meraikan AM. Ramai juga yang hadir. Thanks to Karl kerana telah membuatkan cupcakes yang sangat cantik. Terima kasih, terima kasih.
[ Bahagian 2 ]
Sedar tak sedar, telah hampir lapan tahun saya mengenali AM. Telah banyak cerita dan kisah yang saya kongsi bersamanya- dari zaman budak-budak (waktu di kolej) hinggalah menginjak dewasa. Jujurnya, AM telah banyak membantu saya menjadi sebagaimana saya hari ini.
Sebut tentang AM, abang saya ni berada di Mekah sekarang bagi menunaikan Umrah. Doa saya sentiasa buat dia. Semoga beroleh amalan yang sejahtera.
Seminggu bersendirian di rumah, hati saya dicengkam sunyi. Terasa benar AM tiada. Benarlah kata orang, waktu depan mata, biasa-biasa, dah jauh baru terasa hilangnya. Selama seminggu juga saya menginap dan bermalam di rumah AM- jaga rumah, siram pokok. Perasaan sama yang saya lalui sewaktu di rumah sendiri, pagi-pagi bersiap ke pejabat, tanpa ada suara-suara nakal mengusik, bergurau dan mengucapkan selamat pagi- buat saya sedar, biarpun agak lama mencuba, saya masih tak betah hidup sendiri.
Pernah beberapa kali terfikir untuk mencari teman serumah. Entahlah. Saya jenis yang gemarkan privasi. Tapi mampukah saya lalui hidup yang sunyi hari-hari? Tinggal jauh dari Kuala Lumpur buat saya jarang-jarang dapat ke kota sekaligus membataskan waktu saya untuk bersama teman-teman (yang kebanyakkannya tinggal dan berkerja di KL).
Langsungnya, kesibukkan membuatkan saya terlupa, pulang lewat malam, hari minggu ke ofis- jika ada yang berkata, "Wah, Kash, rajin kamu ya?". Saya senyum pahit. Hanya Tuhan yang tahu. Cuma itu cara saya untuk "lari" dari terus merasa sunyi.
[ Bahagian 3 ]
Terfikir untuk pindah dan hidup menjadi jurugambar pelancong di Bali. Saya ingin merantau. Awal rancanganya mahu kembali ke Germany. Saya cuma mahukan kehidupan yang ringkas dan mudah. Tidak perlu bermewah-mewah. Lebih puas dari terus-terusan kena bersesak fikiran.
Oh, ya semalam hari yang sangat penting. Lewat senja, saya meredah hujan lebat menghala ke Dewan Perdana Felda di Jalan Semarak. Menyaksikan lafaz Abang Amm, "Aku terima nikahnya Sahura…" buat hati saya sebak. Kini saya 'kehilangan' salah seorang teman terbaik yang pernah saya dapat. Sahura atau saya panggil Sara adalah antara teman saya yang paling rapat. Pernah waktu hati saya hancur dan terluka, Sara ajak saya jalan-jalan di mall, kami tengok wayang dan dia menemani saya hampir sepanjang hari- kami bergurau, makan-makan. Bukan saja Sara, malah Abang Amm (kini suaminya) juga baik. Saya doakan mereka berdua bahagia- cinta itu indah dan aman bukan?
Saya tutup dengan kata-kata bahagia. Lebih banyak cerita kita untuk dikongsi lain kali- jumpa lagi!
p/s : bahagian 1, 2 dan 3 ditulis pada waktu dan hari yang berlainan. emosi dan gaya penulisan yang berbeza bukan?
K.
Wednesday, February 23, 2011
TKC... Cinta Terpaksi Di Lantai IB
Apa akan jadi bila sebuah blockbuster layar perak dipentaskan ke lantai teater?
Berjaya atau tidak tergantung kepada persembahan dan buah mulut aundiens. Namun menonton Terima Kasih Cinta (TKC), sebuah pementasan muzikal yang diadaptasi daripada filem CINTA, arahan asal Khabir Bhatia dan skrip oleh Mira Mustaffa ini, hanya kekaguman yang mampu saya ungkapkan.
Cinta, Love & Terima Kasih Cinta
Berbeza garapan tapi masih pada paksi cerita dan naratif yang sama. Saya gemar ketiga-tiganya. Menonton Cinta 5 tahun dulu pernah buat saya teruja. Tahun terakhir saya aktif dalam dunia penulisan dan membuat ulasan filem-filem Malaysia, hadir ke tayangan perdana sini sana, dan Cinta juga mempunyai sejarah yang manis buat saya.
Cinta saya bawa ke Germany. Menonton dvd bersama rakan-rakan di sana memberi persepsi berbeza. Ada yang suka, ada yang kata biasa-biasa. Saya akur. Tidak semua kita mempunyai selera yang sama bukan?
Seterusnya, hadir LOVE yang nyata buat saya tambah teruja. Love ("Cinta" versi Indonesia) biarpun berbeza pelakon dan jalan cerita (skrip) yang dirombak sedikit, masih mempunyai aura asal Cinta.
Semalam aura Cinta hadir sekali lagi dalam diri saya. Kali ini benar-benar asli dan pejal.
Menerima jemputan Sultanmuzaffar (SM) dan Ajami Hashim (Ajami), dua otai dunia blogger serta pernah menjadi teman blogger seangkatan (SM, thx for the tix ya!), saya ke Istana Budaya (IB) dengan hati yang berkobar.
Biarpun awal, tidak mudah rupanya mendapat parking di sana. Saya menyelit di celah-celah beberapa kenderaan di luar bangunan. Alhamdulillah, biarpun agak jauh sedikit, menyenangkan saya untuk keluar nanti.
Dari jauh saya melihat SM dan Ajami di kaunter media. Hampir beberapa tahun kami tidak bersua-muka. Rasanya paling akhir kami bersama sewaktu majlis berbuka puasa Tayangan Perdana Puaka Tebing Biru beberapa tahun lalu di Midvalley. *Oh, tolong maafkan saya jika tersilap!
Saya juga bertemu Budiey! Dan Chedd!! Gembira tak terkata. Kami berbual seketika di kaunter media- dari hal biasa-biasa ke soal pementasan yang bakal berlangsung.
Terima Kasih Cinta
Saya suka idea mengadakan kotak-kotak kubikal yang membeza-bezakan setiap babak. Persembahan teater muzikal yang diterbitkan oleh The Creative Partnership dan mendapat sentuhan Pat Ibrahim, seorang kareografer terkenal ini menjadi lebih indah, tidak bercelaru dan mudah difahami biarpun mungkin ini kali pertama anda menonton intipatinya. Nyata Pat bijak memancing minat dan keinginan audiens.
Pat Ibrahim bersama Tony Eusoff, Norish Karman
Susunan dan gubahan semula muzik hasil kerja kreatif Roslan Aziz bagi lagu-lagu dari era 80-an ke 90-an menjadi antara tarikan utama pementasan ini. Pastinya aundiens (termasuk saya sendiri!) terimbau dengan dendangan lagu-lagu dari nyanyian Aishah (Selanjur Bercinta), Cinta (Misha Omar/Jaclyn Victor), Kau Ilhamku (Man Bai), Belaian Jiwa (Carefree), Permata Untuk Isteri (Kopratasa), Seribu Impian (Casey), Bimbang Terluka Lagi (Noorkumalasari/Sudirman), Impian Anak Jalanan (Kembara) dan Sejati (Wings).
Turut didendangkan ialah Kalimah Cinta (Amy Search), Mata (Noorkumalasari), Janji Manismu (Aisyah), Duniaku (S Ahmad), Sekian Lama (Siti Nurhaliza), Berkorban Apa Saja (P.Ramlee), Itu Kamu (Estranged), Perpisahan (Anuar Zain), Gemilang (Sheila Majid), serta dua lagu baru, Terima Kasih dan Kuasa Cinta.
Dialog-dialog asal dari filem Cinta digunapakai menambahkan lagi rencah pementasan ini, sesekali buat saya tersenyum dan tak kurang tersentuh, lebih-lebih sebaik watak Cikgu Elyas (dibawa dengan cemerlang oleh penyanyi tersohor 70-an, Latiff Ibrahim) yang mula mengenal cucunya sendiri, Amin dari lakonan Diddy Hirdy.
TKC dimulakan dengan agak perlahan, namun tidak menunggu lama, bahangnya memuncak sebaik babak tari dan nyanyian oleh Tony Yusuff dan adik Nik Nur Amalin @ Melly menguasai pentas. Kelincahan si cilik Melly menari berjaya memukau audiens.
Lima kisah cinta, satu pentas dibintangi pelakon-pelakon baru dan lama berkebolehan, Latif Ibrahim, Safura (Cikgu Elyas & Rubiah), Diddy Hirdy (Amin), Tony Eusoff, Norish Karman (Haris & Airin), Melly (Alissa), Shajiry Damery, Farahdhiya (Azlan & Azura), Anding Indrawani, Deja Moss (Dhani & Dian), Vince Chong, Nadia Aqilah (Taufiq & Arianna).
Diterbitkan The Creative Partnership, pementasan teater muzikal Terima Kasih Cinta berlangsung di Istana Budaya dari 17 Februari hingga 6 Mac 2011.
Stabuxguy - masih terpegun dengan persembahan lagu Mata. Memukau!
Sunday, February 20, 2011
Hari Keluarga Di Pantai Melawi
Tahun berganti. Tak sedar masa berlalu.
"Ayah Shah! Ayah Shah!", antara panggilan sinonim "anak-anak buah" saya yang masih kecil. Mereka aktif. Manja sesekali mendampingi saya.
Memandu sendiri ke Kelantan bukan calang-calang. Kali pertama saya mencabar diri sendiri, jika tak sekarang bila lagi? Tambah "baby" saya belum pernah menjengah kampung halaman. Alhamdullillah, segalanya okay. Saya tiba di Tanah Merah tepat jam 5 petang. Kebetulan ada my auntie yang masakkan nasi dagang. Singgah dan makan. Enak betul.
"Shah dah balik. Wah kereta baru! Bangga auntie!", saya kejap erat Auntie Fauziah, antara auntie saya yang paling rapat.
"Mari makan. Dah ada auntie sediakan buat kamu." Saya masuk ke rumah. Dah ada ramai ahli keluarga yang berkumpul. Ada yang bercuti awal-awal lagi. Semangat mahu memeriahkan Hari Keluarga.
Saban tahun kami berkumpul, mengadakan perhimpunan keluarga. Selain Hari Raya, cuma inilah waktunya untuk kami saling bersua-muka dan bertanya khabar. Sungguh tak terasa perjalanan yang jauh, saat berhimpun, bergelak-ketawa bersama- wadah paling menggembirakan selain mengeratkan hubungan sesama sendiri.
Memilih Pantai Melawi, Bachok di Kelantan sebagai destinasi tetap, kami sama-sama mendirikan khemah dan menyediakan peralatan untuk kegunaan sepanjang hari keluarga diadakan. Ada juga beberapa chalet yang ditempah khas bagi kegunaan orang-orang tua serta ahli keluarga yang mempunyai anak-anak kecil.
Saya antara yang paling sibuk menjelang acara, persediaan bunting, banner, kertas program dan atur acara- belum campur audio visual dan klip-klip untuk persembahan multimedia lagi.
Masuk tahun ketujuh acara perhimpunan ini diadakan, pelbagai ragam dan peristiwa dapat saya rakamkan. Saya cuba yang terbaik. Kadang ada yang perlu kita korbankan. Saya pegang pada amanat arwah ayah saudara, antara pengasas terawal yang mewujudkan hari keluarga ini, keluarga adalah harta yang paling tidak ternilai harganya. Beliau banyak memberi saya dan kami generasi muda terutamanya, motivasi dan kata-kata semangat- mengajar kami menjadi orang yang berilmu dan berguna pada masyarakat.
Atur acara Malam Seribu Bintang - "Arabian Night"
Sayang beliau tidak berkesempatan untuk melihat, seterusnya melalui apa yang saya dan keluarga kecapi hari ini.
Al-Fatihah buat arwah Babalong yang saya sayangi. Semoga rohnya dicucuri rahmat oleh-Nya. Amin...
Stabuxguy.
Subscribe to:
Posts (Atom)
Featured Post
Coronavirus - Saat Getir Malaysia dan Jenaka Cik Kiah Yang Trending!
Jumaat, 27hb Feb 2020 10.25 malam Assalamualaikum... Ralit dari pagi, banyak juga hal-hal di guesthouse yang perlu saya ...
-
Assalamualaikum & apa khabar :-) Dua tahun tanpa muat-naik dan cerita-cerita terkini, saya berkira-kira, masih adakah ada di kalanga...
-
"Buat apa nak bercinta dengan orang miskin, kalau boleh bercinta dengan orang kaya?" Panasss! Oh, my Gucci- sabar, sabarr... janga...
-
"danke!" "bitte." dua istilah ringkas yang kian terlekat dibibir saya sejak akhir-akhir ni. maksudnya? hehehe... terima ...
Search This Blog |

















