Friday, March 12, 2010

Perjalanan ke Utara Dan Khabar Bahagia

saya dan Tok Su...

Seorang teman di FB ada meletakkan pautan Youtube lirik lagu "I'm Done" (dari nyanyian kumpulan Pussycat Dolls) hari ini - pantas menangkap halwa saya. Lebih-lebih liriknya, bukan puitis, tapi terus mengena dengan apa yang saya lalui sekarang.

Teringat tagline terbaru MB, "Hidup memang begini...". Saya barangkali bertuah kerana ada ramai yang menyokong di belakang saya, kawan-kawan terutama. Terima kasih kerana (ada yang) masih bersama-sama saya.

Jauh sekali untuk menyalahkan sesiapa, saya anggap masa dan keadaan tidak menyebelahi kami. Awal yang indah, kini "status bersendiri" membawa saya ke mana-mana. Jauh di sudut hati, saya lebih mengerti. Orang bisa bertanya, dan berkata- biarlah. Saya tahu saya gembira sekarang. Dengan rezeki yang (kian) tak putus-putus. Dia Maha mendengar (tentunya!). Amin.

Kash ke Utara!


Minggu lalu saya ke utara. Lama tidak melawat Tok Su di Perlis, sesudah turun pula ke Alor Star bermalam di rumah Mak Ngah. Mak Ngah adalah anak kepada Tok Su. Masih baik melayan saya, Mak Ngah bawa saya dan Tok Su ke Kuala Perlis menikmati laksa. Paginya juga saya dan Mak Ngah ke pasar pagi (Nat) untuk membeli "nasi ganja" dan nasi lemak ikan masin (dibungkus comel).

Puas!

Tok Su adalah orang yang paling gembira. Jika boleh saya mahu selalu ingin melawatnya. Sebaik bertemu, saya peluk kejap. Melepas rindu.

Perjalanan yang tidak dirancang sebenarnya. Dari Kuala Lumpur, saya menaiki bas petang ke Alor Star (bas ke Kangar agak lewat). Tergaru-garu juga sebaik tiba di Pudu. Tak tahu mana satu bas untuk dinaiki. Jika waktu belajar di Beseri dulu, hanya Ekspress Zuco yang menjadi pilihan saya. Tapi itu cerita 12 tahun lalu.

Perjalanan yang agak jauh tapi memberikan saya banyak masa untuk berfikir dan menenangkan diri. Banyak keputusan hidup yang bisa saya simpul.

Dah jauh malam, pesan Mak Ngah, ambil sahaja teksi ke Kangar. Sebaik membayar tambang, teksi membawa saya ke Perlis. Tak jauh, cuma kira-kira empat puluh minit lagi perjalanan dari Alor Star.

Semalam di Perlis, esoknya kami ke Alor Star rumah Mak Ngah. Terasa sekejap sahaja. Sekurang-kurangnya rindu saya untuk bertemu Tok Su terubat. Sempat juga kami singgah di Jitra rumah Kak Noya untuk minum petang.

Ahad tengahari, Mak Ngah menghantar saya ke terminal bas Alor Star. Perjalanan saya bersambung ke Butterworth sebelum mengambil feri ke jeti seberang.

Dari jeti saya mengambil teksi sekali lagi ke Queensbay Mall. Memasuki Borders di Queensbay, buat hati saya tersenyum sendiri. Antara tempat menghabiskan waktu yang paling saya gemari sewaktu di sini dulu. Memandang Pulau Jerejak di sebalik tirai cafe di Starbucks, goshhh saya betul-betul rindukan momen ini dulu (antara sebab mengapa saya menulis semua ini secara terperinci).

Hampir ke jam lima setengah petang, saya ke tingkat bawah utnuk mengambil teksi ke lapangan terbang. Lagi dua jam penerbangan saya ke Kuala Lumpur. Mahu check-in dan menunggu MB di sana.

Terima kasih kepada MB yang bergegas datang ke lapangan terbang semata-mata untuk menemui saya biarpun masih kepenatan usai dari aktiviti universiti di Taman Negara Pulau Pinang.

Banyak yang kami bualkan. Momen yang paling saya rindukan. Biarpun kadang kami sering bersalah pendapat, namun harus saya akui, hubungan kami istimewa. Tiada kata-kata.

MB pendengar saya yang setia. MB juga membawa saya kepada Tok Su, Mak Ngah dan mereka-mereka yang (significant dalam hidupnya) lain. Paling penting MB juga pernah memberikan saya harapan. Dan MB juga memberi saya sebuah kehidupan (baru) yang tidak terjangkau untuk saya gambarkan.

Saya pernah bercita-cita untuk menjadi sepertinya. Di usia yang masih relevan (wooots!), MB bukan sahaja berdiri sendiri, dia punya kebahagiaan dan kesempurnaan yang tidak mampu dimiliki oleh orang lain. Berkongsi laluan hidup yang hampir sama, buat MB cekal hati dan bervisi.

Kadang saya bersyukur di kelilingi orang-orang sepertinya. Dalam hidup saya begitu banyak mereka yang berjaya. AM juga antara mereka yang banyak memberi pengaruh (kami juga amat rapat).

Saya letak titik sebenarnya untuk perjalanan saya kali ini. Titik ke arah sebuah perjalanan (hidup) yang baru. Sedikit pun saya tidak menangis lagi. Terima kasih buat sesiapa yang pernah menjadikan saya bahagia. Juga pernah menjadi yang terindah dalam hidup saya- terima kasih.

Saya akur. Ok, I'm done.

p/s : kaki saya kini selangkah ke arah apa yang dicita-citakan. Syukur kepada perkhabaran baru yang diterima kira-kira dua hari lalu. Terima kasih buat Abang Rudy @ Hideaki di atas bantuan anda. Semoga musim bunga terus mengembang- nah, bawakan saya tona-tona bahagia!

Stabuxguy.

New Hope...

(Kredit foto : MB)

I wasn’t looking for this
What is this?
I don’t know
You know I was doing just fine
By myself
On my own
Tell me how to
Stop this feeling

I don’t wanna fall in love
Just wanna have a little fun
Then you came and swept me up
And now I’m done, so done
Fallen madly deeply I
Surprised myself enough to find
That what’s begun
Is love
And now I’m done, so done
I’m done
Yeah

I can’t imagine right now
Standing here
Without you
To think that I tried to ignore
What I felt
What I knew
I could never
Stop this feeling

I don’t wanna fall in love
Just wanna have a little fun
Then you came and swept me up
And now I’m done, so done
Fallen madly deeply I
Surprised myself enough to find
That what’s begun
Is love
And now I’m done, so done
I’m done
Yeah

Thank you for not letting go
When I said let me go
Thank you for timing
Thank your finding
Thank you for not believing me
Baby when I said

I don’t wanna fall in love
Just wanna have a little fun
Then you came and swept me up
And now I’m done, so done
Fallen madly deeply I
Surprised myself enough to find
That what’s begun
Is love
And now I’m done, so done
I’m done
Yeah

I wasn’t looking for this
And now I’m done
I’m done

I'm Done - Pussycat Dolls (thanks, Bren!)

Friday, February 26, 2010

Kash Dan 5 Parti Harijadi

Wooops!! Mana saya menghilang? Haha jangan terkejut jika masa saya benar-benar dihabiskan di Facebook (FB). Pagi, petang, siang, malam mengemaskini status- penangan yang sering buat saya hilang mood untuk menulis apa-apa yang terbaru di sini.

FB lebih pantas, terkini dan lebih 'in' (kata orang sekarang).

Apa pun saya berbalik juga kepada menulis di blog, biarpun digelar klasik, tetapi saya sedar, pengaruh dan perasaan tatkala kita menulis di sini tidak sama seperti di FB.

Blog lebih tulus dan bersifat peribadi.

Bagi yang sudah mula menulis blog sejak bertahun-tahun seperti saya, mungkin faham apa yang saya maksudkan.

Jan-Feb. Banyak yang berlaku dalam hidup saya. Barangkali bagi mereka yang mengikuti saya di FB, anda tahu cerita dan perkembangan saya, mana saya pergi, apa saya buat.

Oh- sedikit makluman buat anda, tidak semua permintaan untuk berkawan akan saya terima. Maaf, tapi jujurnya, saya lebih selesa menjadikan FB sebagai mangkin untuk berhubung dengan mereka yang terapat serta kenalan yang benar-benar dikenali sahaja. Mungkin saya akan wujudkan FB khas untuk Darimejastabux. Siapa tahu? Ada yang berminat? LOL

Sebut pasal mereka yang terapat, belum terlewat rasanya untuk saya ucapkan selamat Hari Ulangtahun buat beberapa orang teman yang menyambut hari jadi sepanjang Januari dan Februari.

Karl, Andre, MB (Kak Wan), Abang Mer, Abang Man (AM), Zarif, Abang Shah, Wardy dan hey termasuk juga saya sendiri (Oh, ada yang tak tahu ya? Saya juga January baby!! Hehe..).

Bermula dengan makan-makan di malam pra-hari jadi saya di Kokopelli Travellers Bistro, Petaling Jaya awal bulan lalu- thanks to AM saya kerana telah mengaturkan makan malam yang sungguh bermakna. Juga mereka yang telah sudi datang- Abang Shah, Sara, Abang Mer, Irwan Anuar, Kak Saleha- terima kasih!

Teringat yang tahun lalu waktu di Penang, MB juga ada membuat sambutan hari jadi yang sama buat saya. :)

Juga tak lupa terima kasih buat Syafiq, Yues dan Andy kerana telah mengadakan majlis kejutan di Red Box Sogo keesokkan harinya.

Terasa bertuah juga sentiasa di kelilingi mereka yang rapat dan berharga dalam hidup kita.

Benar. Bertukar kepada status sebagai seorang yang (kembali) single tidak menjadikan anda bersendirian di dunia ni.

Dari majlis hari jadi saya, beralih ke parti Karl, antara teman saya yang paling rapat di The Zon, KLCC. Diadakan pada akhir Januari lalu, kini Karl genap 25 tahun. Mula mengenalinya kira-kira lima tahun lalu, kini menjadi antara sahabat saya yang paling memahami. Antara satu-satunya teman saya yang menelefon siang malam bertanyakan khabar, "Are you okay ke tak?".

Biarkan Karl lebih muda dari saya, namun dia agak matang (dalam memberi nasihat). Antara faktor yang membuatkan saya senang berkawan dengannya (biarpun adakalanya dia membuatkan saya geramm!!).

Oh, saya juga telah merekakan untuknya cd cover lagu-lagu pilihan untuk diberi kepada para tetamu sebagai cenderamata.

Parti yang hebat. Saya gembira melihat anda. Tahniah, Karl. :)

Febuari juga saya dijemput ke majlis harijadi si cilik Zarif, satu-satunya si tunggal Abang Shah, teman rapat AM di Hotel Westin, Kuala Lumpur.

Sebuah parti tertutup namun meriah, dihadiri oleh kawan-kawan dan keluarga terdekat, saya kira itu sebuah pertemuan yang bukan sahaja merapatkan lagi kami, malah berjaya membuka sisi kecil zaman kanak-kanak terutama buat saya, Sara dan Abang Mer. Masakan tidak, kami pula yang terlebih bermain dan bergembira mengalahkan kanak-kanak yang dijemput.

Sebuah parti yang sangat-sangat FUN!

Petang di Westin yang meriangkan- Terima kasih buat Abang Shah kerana menjemput. Jangan serik pula ya!

Dari majlis harijadi Zarif di Westin, saya bawa pula anda ke Palate Palette Restaurant & Bar. Terletak di kawasan Bukit Bintang (berhampiran Hotel Istana), kali pertama saya jejakkan kaki di sini. Jemputan Wardy, antara teman rapat saya juga (kami dah kenal hampir 11 tahun) bersempena dengan harijadinya yang ke _ _ (Opss rahsia!).

Berkonsepkan santai (dengan tema Red & Bold), saya kira ini adalah sebuah parti 'trend orang muda' sekarang yang paling sesuai untuk diadakan. Tidak perlu penat-penat nak mengemas rumah atau menyediakan masakan (yang enak-enak), semuanya telah tersedia. Paling bagus, keseluruhan ruang atas restoran berkenaan adalah milik kami pada malam itu (jemputan melebihi 20 orang dan ke atas).


Malam yang meriah dan masing-masing ada yang baru berkenalan (dan bertukar-tukar nombor!).

Saya seperti biasa akan bertindak sebagai jurufoto (tidak rasmi).

Thanks Ward for inviting me ya! What a fabulous parteee :)

Akhir sekali, satu-satunya majlis harijadi/sambutan ulangtahun paling jauh pernah saya hadiri untuk tahun ini (setakat ini)- rombongan "The Many Facets of Love" AM dan kawan-kawan ke Cameron Highlands.

Biarpun agak ralat kerana ada di kalangan teman-teman rapatnya tidak dapat ikut serta, namun saya lihat AM gembira kerana semuanya berjalan sebagaimana dirancangkan. Sedaya mungkin, saya cuba menolong apa yang perlu. I just want to see him happy on his birthday. AM telah banyak berbuat untuk saya, jadi tak salah saya membantunya pula.

Biarpun agak penat memandu bersama Wardy dan Tasya dari Kuala Lumpur (kami antara yang terlewat tiba) namun we had fun sepanjang di Cameron.

Paling best sebab dah ada Starbucks di tempat kami menginap tu. Jalan sikit je dah sampai. Tq Wardy sebab bagitau. Hehe...

Febuari bakal melabuhkan tirai. Sedar tak sedar sudah hampir dua bulan meninggalkan kita. Mac menjelang. Saya cuma harapkan kebahagiaan. Tak banyak pun sikit.

Bersendiri bukanlah bermakna saya sepi. Sendiri juga bukan alasan untuk saya terus meratapi. Saya bahagia masih punya kawan-kawan, susah dan senang, biarpun kami jarang-jarang meluangkan masa, majlis-majlis ini antara yang tambah mengeratkan kami.

Pelbagai rancangan- akan saya umumkan perlahan-lahan. Terima kasih kerana anda masih sudi meluangkan masa di sini, membaca tulisan saya yang tidak seberapa.

Buat dia yang pernah hadir dan membahagiakan saya, saya doakan perjalanan anda juga menemui sesuatu yang dicari-cari selama ini.

Tanpa dendam di hati, saya melepaskan anda pergi dengan harapan, semoga suatu hari nanti kita masing-masing bisa tersenyum dan menghargai tiap inci kenangan yang pernah dilalui.

Berat mata memandang, namun saya akur. Cinta itu tidak boleh dipaksa bukan?

Salam Maulidur Rasul dari saya. Selamat bercuti dan berhujung minggu. Moga kita lebih tabah.

Kash a.k.a. Stabuxguy

Wednesday, January 20, 2010

Cerita Tahun Baru Yang Aman

Tahun baru, serba-serbi baru. Ada yang berazam, ada yang merangka-rangka rancangan- mahu lebih slim, tampil kacak bagi jejaka, oh dan lebih banyak simpanan juga ya? Ada yang mahu kahwin, jalan-jalan?

Hampir ke hujung bulan, ada yang sudah tertunai? Belum? Oh, injak ke bulan depan- Iya, iya. Ok.

Saya juga tidak terkecuali sebenarnya. Mula membuat kira-kira (cuba berjinak-jinak menggunakan planner yang baru dibeli), hampir sarat ke penghujung Mei agenda saya, buat saya tergaru-garu seketika. Dah separuh tahun tu. Duh, memang tak cukup waktu sebenarnya kita ni kan. Terasa sekejap sahaja masa berjalan.

Ke mana saya? Apa yang baru?

Bali dan Bangkok- dua destinasi utama saya untuk tahun ini. Mula merancang sedari tahun lalu, atas jemputan seorang kenalan, saya akan ke Bali Mei nanti bagi menghadiri perkahwinan beliau.

Entah kenapa sebenarnya, saya cukup sukakan Bali. Saban tahun ke sana, belum pernah sekalipun Bali menghampakan saya.

Bangkok pula antara destinasi yang belum pernah saya kunjungi. Dari bual kosong antara saya dan Sara, teman rapat saya beberapa minggu lalu, kami mula merancang percutian.

Sara yang saya kenali lebih setahun yang lalu melalui AM, kini menjadi antara mereka yang terapat dengan saya. Percutian ke Langkawi penghujung Disember lalu tambah mengikat lagi tali persahabatan kami.

Tahun baru juga tahun rezeki buat saya. Di samping kerja-kerja freelance yang berganda, tawaran kerja baru juga mencurah-curah. Bukan selektif, tetapi kesan dari beberapa peristiwa, saya cuba mencari yang terbaik.

Ada sesuatu yang saya ingin cuba. Sesuatu yang berkaitan dengan dunia belakang tabir sebuah industri. Nak tahu apa dia? Haha- nanti akan saya war-warkan kemudian.

Januari adalah permulaan yang baik untuk saya sebenarnya- memulakan tugas sebagai pereka grafik dan multimedia di salah sebuah firma kejuruteraan di Subang, saya anggap ini sebagai tanggungjawab baru untuk menjadi lebih serius dan mula memikirkan tentang komitmen-komitmen hidup. Antara cabaran yang perlu saya pikul- perlu lebih memikirkan soal diri sendiri. Sediakan payung sebelum hujan kata orang. Pengalaman benar-benar mengajar saya.

Hidup yang lebih tenang dan aman- tanpa gangguan atau perlu memikirkan kesesakkan, itu antara harapan saya untuk tahun baru. Saya berpegang pada prinsip, "Setiap orang bisa menggapai impian, cepat atau lambat- sabar. Itu kunci utama."

Itu kata-kata yang sering diucapkan kepada saya sewaktu kecewa. Saya biarkan mereka dengan kejayaan-kejayaan sendiri, terlalu suntuk untuk saya menoleh ke belakang.

Beberapa minggu kebelakangan ini adalah minggu-minggu yang begitu menyeronokkan. Masa yang terluang, setelah hampir dua tahun, saya cuba isikan dengan menghabiskan masa bersama teman-teman.

Pelbagai agenda, menonton wayang misalnya, buat saya lebih menghargai mereka. Saya tidak seharusnya menjadi seorang yang begitu pesimis seperti sebelumnya. Keluar dari kepompong yang saya sendiri tanam sejak bertahun-tahun.

Saya kira, itu adalah antara kesilapan kecil yang tidak saya sedari selama ini. Teman-teman adalah nadi saya. Kenapa agak lama saya memecilkan mereka?

Saya biarkan soalan itu bermain di fikiran.

Hidup yang mudah, pertambahan umur menjadikan saya (kian) matang. Saya cuba menari di laluan sendiri- pada yg sudi menerima, sayalah SAHABAT anda.

Mungkin ada yg membenci- Ah, saya tak mampu untuk penuhi kehendak semua orang. Tepuk dada, tanya selera. Saya bukan sempurna.

Kita masing-masih punya cerita bukan?

Nah, tahun baru yang aman- saya genggam dengan penuh harapan!

Stabuxguy.

Tuesday, January 5, 2010

CTKD : Canda, Tangis, Ketawa & Duka 2 Diva

Hampir sekian lama ternanti-nanti.

“Album ini bukanlah bertujuan untuk menonjolkan vokal siapa yang lebih hebat atau sebaliknya. Tetapi duet ini adalah sekadar melengkapi antara satu sama lain," - Siti Nurhaliza

Jika ada yang masih ingat tulisan saya minggu lalu- secebis tentang album terbaru duet dua diva tersohor, Dato' Siti Nurhaliza-Kris Dayanti, album masih panas di tangan, saya bawa ke dalam pemain mp3 ke Langkawi. Baik di dalam penerbangan, ke pantai, mahupun hanya bersantai di balkoni apartment Marina, saya ralit mendengar trek demi trek.

Mengambil tema ungu- suatu warna yang garang dan penuh kewanitaan, CTKD hadir dengan pakej yang hampir lengkap. Biarpun hanya mengandungi enam lagu duet (terbaru), namun diselitkan juga empat minus one, 'Tanpamu", "Amarah", "Hanya Dia" serta "Dalam Diamku" buat mereka yang gemar bernyanyi ataupun mahu melayan muzik instrunmental.

Mendengarkan keseluruhan album ini, ada yang meruntun, ada yang bisa buat hati saya berlagu, lebih-lebih gemersik paduan suara keduanya begitu buat saya melekat dan leka untuk terus mendengar bait-bait seterusnya.

Bukan bias, tapi album ini saya kira tepat pada masanya. Pada yang ditinggalkan cinta di tahun baru, nah, album ini untuk anda!

Saya mulakan dengan trek paling awal- Jika Kau Tak Datang.

Lagu : Audi Mok
Lirik : Krisdayanti & Riznadianka

Awas! Trek yang garang dan rancak. Buat saya jadi teruja sebaik cd terpasang. Mendengar bisikan Siti-Kris menyebut nama satu sama lain- seolah tanda amaran dan bersedia untuk trek-trek seterusnya.

Lirik yang ringkas namun catchy (jika didengar berkali-kali)- sesuatu yang jelas menangkap halwa saya di sini perkataan "gejolak" yang agak kerap disebut.

Menyala-nyala, berkobar-kobar di mana berkait dengan rasa atau perasaan yang membara keduanya.

Berikan masa- "Jika Kau Tak Datang" pasti menjadi siulan sebagaimana "Drama" dan juga "Ku Mahu", (keduanya ciptaan Audi Mok) sedikit masa lagi.

Oh, dan saya telahpun menetapkan "Jika Kau Tak Datang" sebagai nada dering terbaru di telefon bimbit!

Penilaian : 4/5

Sebagai Teman

Lagu : Sharon Paul
Lirik : Lew Mable

Anda percaya lirik yang bercakap?

Sebuah duet balada yang hebat (Siti sudah lama tidak mempunyai balada yang benar-benar bagus seperti ini)- dengarkan "Sebagai Teman". Ia seolah-olah perbualan dua sahabat, Siti dan Kris- luahan dan curahan emosi yang dicurahkan di dalam "Sebagai Teman" cukup meruntun. Kita seolah dapat menyelami isi hati KD dan juga Siti yang turut merasai 'kesengsaraan' sahabatnya.

"Sejak hari itu hatiku terluka
Namun ku sembunyi
Ku juga mengerti
Walaupun terselindung
Kau teman...
Aku fahami..."

Antara bait-bait yang dikarang Lew Mable (Siti Sound) ini ternyata begitu menyentuh. Jujur dan luhur. "Sebagai Teman" turut menjadi 'lagu kekuatan' saya saat ini.

"Oh Tuhan...
Tunjukkanlah jalanMu
Padaku untuk bahagia
Selamanya... oh..."

Penilaian : 4/5

Tanpamu

Lagu : Charly ST12
Lirik : Charly ST12

Sebuah lagi gubahan hebat hasil ciptaan Charly ST12, komposer dan juga vokalis kumpulan dari Indonesia. Merupakan satu-satunya karya luar tunggal di dalam album ini, "Tanpamu" mempunyai sedikit lenggok kemelayuan. Seakan menjadi trademark Charly, "Tanpamu" hadir sebagai antara duet terbaik di dalam album ini.

Menampilkan sekali lagi luahan hati Kris terhadap kisah kehancuran rumahtangganya, mungkin kebetulan, tapi dengar-dengarnya Charly sendiri menangis tatkala mendengar kedua pelantun hebat ini mengalunkan "Tanpamu" di studio. Gesekan biola oleh Hendri Lamiri menambahkan lagi emosi pada lagu ini.

"Sayang kuingatkan dirimu
Bahwaku tak bisa hidup tanpamu..."

Penilaian : 5/5

Amarah

Lagu : Audi Mok
Lirik : Dato' Siti Nurhaliza

Irama yang sedikit mengelirukan pada mulanya, seperti berlumba-lumba dan agak kelam-kabut namun lama-kelamaan sebaik anda mula menyelami bait-bait liriknya, anda pasti dapat mengikuti 'feel' lagu ini.

"Amarah" pada saya sebuah trek yang unik. Diperkuatkan dengan bunyi live strings dan rentak ala "Drama" memperkukuhkan lagi "Amarah" sebagai sebuah trek rancak yang mencabar vokal Siti-Kris.

Pesan saya, perlu dengar berkali-kali untuk dapatkan mood lagi ini.

Penilaian : 3/5

Hanya Dia

Lagu : Aubrey Suwito
Lirik : Pacha Andrian @ Fasha Osman

Sudah tiga orang teman saya menggemari lagu ini.

"Kalian dilamun cinta ya?", usik saya.

Satu-satunya trek jiwang untuk mereka yang asyik-masyuk bercinta. Permulaan yang bisa buat anda cepat-cepat menukar mood sambil tersenyum sendiri.

"Kuakui aku menggilainya
Kuakui aku menyintainya
Kisahku kisah dia
Cerita yang sama
Setiap detik hanya... dia..."

Balada yang seakan-akan lagu "Cintamu" dari album Hadiah Daripada Hati Siti ini, juga sebuah gubahan yang indah, lebih-lebih lagi jika anda dengar versi minus onenya, Oh- pada mereka yang perasan, "Hanya Dia" (versi minus one) telahpun saya jadikan lagu latar untuk blog ini sedari minggu lalu.

Penilaian : 3/5

Dalam Diamku

Lagu : Audi Mok
Lirik : Krisdayanti & Riznadianka

Awalan lagu (intro) yang dipetik dari "Für Elise", hasil gubahan Beethoven, komposer hebat dan tersohor dari German, menjadikan "Dalam Diamku" agak unik dan lari dari kebiasaan lagu Siti. Seingat saya, petikan sebegini pernah dimasukkan di dalam lagu Whitney Houston - Same Script, Different Cast (Duet with Deborah Cox) beberapa tahun dulu. Google dan cari nanti ya.

"Dalam Diamku" lebih bersifat 'melepaskan' berbanding "Tanpamu" dan "Sebagai Teman" lebih menjurus ke arah emosi yang menyesali ataupun kecewa.

"Telah ku pilih jalan ini
Meski kini ku sendiri
Renungi erti sepi
Tak lagi ada satu kata
Satu jiwa dalam cinta
Yang ada hanya hampa..."

Ia alunan mereka yang pasrah dengan keadaan dan bersedia untuk bergerak ke hadapan. Mungkin saya perlu lebih mendengar lagu ini bagi merawat perasaan sendiri berbanding 'Tanpamu".

Biarpun saya turut menyukai "Dalam Diamku", namun masih perlu masa untuk sama-sama merasai melodi dan 'rasa'nya. Mungkin jiwa saya lebih gemar melayan "Tanpamu" buat masa ini. Mungkin juga saya belum benar-benar bersedia untuk melepaskan?

"Yang hilang biarlah menjadi kenangan
Biarkanlah... lepaskanlah..."

Saya berikan CTKD 4.8/5 bintang. Jangan lupa dapatkan yang original di kedai-kedai muzik berhampiran anda ya!

Baca lain-lain ulasan (klik link) :

Anuar Kamaruddin
Fairuz Selamat
Pangeranz's
Chaq Zulfazli
Juayu

Terima kasih!

Stabuxguy

Thursday, December 31, 2009

Muallaf Yang Bijak Ditonton

Tidak banyak masa yang saya ada sebenarnya. Bangun awal pagi, telinga masih disumbat wayar pemain mp3, menyambung dengar rentetan kisah suka-duka dan perjalanan hidup KD atau Kris Dayanti menerusi duet terbaru beliau bersama diva tersohor negara, Dato' Siti Nurhaliza membuat saya hanyut terbuai.

Nukilan dan buah tangan terbaru dari keduanya ini baru sahaja dibeli malam tadi di salah sebuah kedai muzik di Sunway Pyramid. Gagal mendapatkannya dari beberapa buah kedai sejak Isnin lalu, saya dan Syafique, kami optimis meredah beberapa lagi kedai-kedai cd di keseluruhan mall.

Okay, saya tangguhkan dulu review albumnya ya- kita bercerita tentang Muallaf dahulu. Memang saya mengejar masa sekarang. Fikirkan barang-barang yang masih belum dimasukkan ke beg, mengingatkan penerbangan Langkawi petang ini buat saya sedikit kelam-kabut. Ok, saya cuba tarik nafas perlahan-lahan.

Satu-persatu.

Sebelum tu...

Al-Fatihah buah Yasmin Ahmad.

Muallaf

Perancangan asal ke Sunway Pyramid semalam untuk menonton Sherlocks Homes bersama teman-teman, Syafique dan Nadzri namun dek kehabisan tiket, kami menukar kepada Muallaf.

Jujur, hampir saya terlupa tentang kewujudan Muallaf. Bukan tidak tergerak untuk menonton, barangkali dibeku tanggapan yang sama- ah, filem-filem Yasmin, dari awal saya mengikuti Sepet hinggalah ke Talentime- sinikal, ringkas namun sarat dengan pemikiran dan falsafahnya yang luar biasa buat saya lali dan tidak bersedia. Skeptikal sangat.

Tukas saya, "Hari ni cuma nak enjoy, lepak-lepak tengok cerita dan plot-plot yang "bergerak"!".

Cerita Yasmin tidak bergerak? Haha! Bukan, bukan itu maksud saya. Naratifnya, filem-filem Yasmin terlingkung dalam komposisi yang sama, cuma diulang-ulang dan dikembangkan sedikit sahaja watak-wataknya untuk kita merasai auranya yang luarbiasa.

Lihat sahaja berapa banyak kudos yang telah kita berikan kepada Sepet, Gubra, Mukhsin selain beberapa naskah hebat Yasmin yang lain di atas pandangan dan sisi berbeza yang dipaparkan.

Muallaf bukanlah cerita seorang Cina atau bangsa asing yang memeluk Islam. Pengertian Muallaf diperluaskan lagi oleh Yasmin menjadi lebih terbuka dan universal. Ia penceritaan tentang hati dalam pencarian mencari kesempurnaan hidup (berlandaskan agama).

Tidak kira apa agama itu, pokok pangkalnya kesemuanya menjurus ke arah kesempurnaan dan kebaikan. Ia juga boleh didefinasikan sebagai mencari ketenangan.

Hati-hati jika anda mahu ke panggung. Saya saran anda buka minda luas-luas. Jangan cepat melatah dan menghukum. Nilai dan selami apa yang ingin diluahkan. Ingat, jangan nilai buku dari muka depan (haha!).

Ada waktu saya tergelak, tersenyum sinis- buat saya tidak kesal memilih Muallaf sebagai tontonan malam bersama teman-teman. Yasmin ternyata pandai bermain dengan emosi audiens, tidak mengharap babak kepala botak Amani sahaja (yag punya rasional sendiri), secara peribadi, saya fikir Muallaf sebuah filem yang bijak. Malah lebih bijak dari filem-filem Yasmin yang lain.

Bukan senang menjadikan pertembungan budaya dan agama sebagai latar filem. Berat namun mampu diringankan dengan baik oleh Yasmin.

Lakonan para pelakonnya yang bersahaja dan tampak semulajadi- lebih-lebih lagi lakonan Amani-Alesya, yang masing-masing memegang teraju utama sebagai pasangan adik-beradik yang "lari" dari rumah menambahkan lagi "seri" dan kekuatan filem ini.

Saya tertarik dengan lakonan Alesya, biarpun baru dan pertama kali menonton aksinya di layar, Alesya tidak kaku dan pandai menghayati watak. Kudos juga harus diberikan kepada Cindy (Yeo Yann Yann), biarpun kemunculannya sekejap, namun impak lakonannya buat saya begitu menyukainya.

Terfikir, dari mana Yasmin mendapat pelakon yang hebat-hebat ini?

Banyak adegan-adegan yang bisa membuat anda terkedu dan teruja, sekaligus memerah otak, berfikir dengan ringkas, mengapa demikian?

Babak Dato' Rahim Razali dan Ning Baizura (isteri Dato') sedang duduk di sofa dan meminum bir, di samping kelibat seeokor anjing di depan sebagai contoh.

Dato' seorang yang gemar meminum arak tetapi takut dan "jijik" untuk memegang anjing?

Ah, kehidupan- terlalu banyak realiti yang dinafikan bukan?

Maaf, sebenarnya saya bukanlah seorang layak untuk membincangkan apa yang dipaparkan Yasmin. Lebih banyak menjana sendiri dan tersenyum. Saya saran anda ke panggung dan menilai sendiri. Pesan saya cuma satu, Muallaf adalah tipikal Yasmin. Jangan merungut jika anda anda terasa seperti ada babak yang diulang dari filem-filemnya yang lepas.

Selamat menonton!!

p/s : Selamat Tahun Baru 2010 kepada teman-teman dan mereka yang sering singgah ke Darimejastabux. Terima kasih kerana masih bersama-sama saya sedari awal tahun hingga kini. Moga kita berubah menjadi yang lebih baik. Selamat datang tahun baru 2010!!

Kash a.k.a. Stabuxguy

Monday, December 7, 2009

Rezeki

Pagi yang penuh dengan senyuman. Saya kocoh milo di dapur. Teringat dua e-mail yang diterima, buat hati saya menguntum gembira. Eh tambah gula- ya kasi manis. Saya suka. Usik rakan, saya orang Kelantan, memang suka makan dan minum manis-manis. Saya tergelak. Kole diangkat. Saya hirup perlahan. Panas tapi nikmat. Rutin pagi hari-hari sepanjang tidak berkerja.

Ada dua berita gembira. Girang dan tidak sabar. Hampir saya melonjak.

Sabar.

Mengadap di beranda, memerhati setiap inci pelosok Kuala Lumpur, buat saya bersyukur kerana masih dapat menghidup udaranya. Biar tak sempurna, saya juga wajar diberi peluang bukan?

Masih merancang kehidupan, hidup yang kian tersusun (dan menampakkan jalan), saya biar semuanya berjalan mengikut perancangan. Kole milo saya letakkan. Wajah Kuala Lumpur saya tatap lagi, ralit dan penuh minat.

Ada sesuatu yang istimewa tentang kota ini. Kota seribu satu pengajaran yang 'membesarkan' saya. Pernah mencuba di beberapa tempat asing, saya kira Kuala Lumpur (meski bukan yang terbaik) masih sayangkan saya. Biarpun hidup dengan kelemahan, saya cuba belajar dari kesilapan. Tidak semua manusia itu sempurna bukan?

Hampir setahun liku-liku yang saya lalui penuh tengkujuh. Saya pandang matahari, biarpun warnanya hampir kelam- saya gagahkan diri. Berkali-kali saya tersungkur, hampir-hampir buat saya jadi pasif dan berputusa asa.

Hidup tak selalunya indah. Saya cuba berpegang pada setiap kata-kata yang ditabur. Biar saya tahu, peluang saya semakin kabur.

Berita gembira. Saya baca lagi e-mail berkali-kali. Tidak percaya. Saya anggap sebagai rezeki. Ternyata hidup saya kian dipermudahkan. Kata teman, Tuhan itu Maha Pemurah. Saya tunduk, akur.

Ralit melihat bintang yang berpagar di langit, bumi terpijak- terlupa rumput di halaman sendiri.

Namun, ada beberapa perkara yang mahu saya kongsikan. Beberapa keputusan yang harus saya buat. Diluah mati mak, ditelan mati bapak.

Ibarat menarik rambut di dalam tepung, begitu susah untuk menjaga hati, lebih-lebih mereka yang anda (pernah) sayangi.

AM saya sering berpesan, jangan terlalu menerima 'pemberian'. Ingatan yang kadang-kadang sipi-sipi saya pegang. Memikirkan, "Ah, tak apalah, mungkin si dia ikhlas."

Setiap orang bisa menawarkan ikhlas, tapi sejauh mana keikhlasan itu bisa bertahan? Sanggupkah jika si polan-si polan terus-terusan mengganggu dan mengongkong hidup anda? Mungkin agak klise, tapi tanpa sedar, setiap pemberian mungkin bersifat 'mengikat' seseorang. Perasaan 'memiliki' (biarpun dinafi berkali-kali), secara tak langsung wujud dalam diri si pemberi lebih-lebih lagi jika beliau telah melaburkan sejumlah peruntukkan yang banyak.

Maaf. Saya bercakap secara umum. Tidak bermaksud menuju kepada siapa-siapa. Jangan ada yang makan cili pula ya!

Cuma tinggal beberapa langkah sahaja lagi, Januari berganti, usia bertambah, dan pastinya saya mahu menjadi seseorang yang bebas. Tinggalkan segala masalah. Buang segala kerapah-kerapah. Cukup-cukuplah. Teringat patah-patah lirik lagu Iklim, "Bukannya aku tak tega... bukan pula aku tak cinta, kerana orang tua, yang tak merestui cinta kita...". Haha. Antara lirik popular zaman sekolah-sekolah dulu. Bezanya tiada halangan orang tua dalam cerita saya. Mungkin bisa ditafsirkan berbeza. Tepuk dada saja ya.

Malam ini saya akan menonton Natrah. Pada yang ikut serta, kita jumpa sahaja di Istana Budaya nanti ya. Jangan lupa menyapa saya. Oh-oh, Tahun Baru juga saya akan ke Langkawi. Berlibur bersama si cantik Sara dan teman-teman rapat di sana. Semoga ketegangan sepanjang tahun dapat saya buang jauh-jauh!

Stabuxguy - Doakan hidup saya dipermudahkan. Doakan Januari bakal memberi cerita-cerita yang lebih indah. Doakan... :)

Featured Post

Coronavirus - Saat Getir Malaysia dan Jenaka Cik Kiah Yang Trending!

Jumaat, 27hb Feb 2020 10.25 malam Assalamualaikum... Ralit dari pagi, banyak juga hal-hal di guesthouse yang perlu saya ...