Saturday, March 28, 2020

Coronavirus - Saat Getir Malaysia dan Jenaka Cik Kiah Yang Trending!


Jumaat, 27hb Feb 2020
10.25 malam

Assalamualaikum...

Ralit dari pagi, banyak juga hal-hal di guesthouse yang perlu saya selesaikan hari ini. Ada yang datang tengok bilik, ada yang nak bertanya itu-ini, tak kurang yang minta saya buatkan tempahan tiket. 

Sedari malam tadi sebenarnya saya cuba untuk kembali menulis sesuatu di sini. Platform dan ruangan yang hampir beberapa tahun saya tinggalkan. Jujurnya, agak kekok juga untuk kembali menyusun bait-bait ayat di papan kekunci. Saya padamkan telefon (bimbang terganggu), Bismillah... pejam mata rapat-rapat, cuba bayangkan saya sendirian di kawasan air terjun yang tenang! Fuuh, susah bukan?  


Hampir beberapa hari merancang, kata-kata Doris, salah seorang rakan dalam bidang pelancongan dan juga travel blogger (https://smartdory.com/), "You should start to write again. Do something yang you betul-betul suka dan minat." Itu kata-kata Doris menerusi aplikasi Whatsapp beberapa hari lalu. Saya simpan dan timbang. Agak berat dan malas juga awalnya. Berbaur - faktor usia, ketandusan idea, serta ketiadaan bahan penulisan yang sesuai, buat saya buntu - nak tulis tentang apa ya?

Saya akur. Dah lama tinggalkan dunia penulisan (saya bukan wartawan pun, atau mereka yang tauliah dalam bidang penulisan), tapi kata Doris mungkin betul, kenapa tidak saya asah kembali? Sekurang-kurangnya buat mengisi masa 14 hari terkurung di rumah sendiri. 



Oh, ya. Buat rujukan (Saya dan anda di masa hadapan), Malaysia dan seluruh dunia sekarang berada di dalam krisis dan kemelut wabak Coronavirus atau Convid-19 (asalnya dikenali dengan nama Wuhan Virus tapi ditukar secara rasmi oleh WHO), sejenis virus yang menular dan merebak dengan begitu cepat sekaligus membawa maut. Malaysia kini secara rasmi telah mencatatkan seramai 26 orang kematian *setakat posting ini dimuat-naik* (Al Fatihah).  

Negara mengisytiharkan "Partial Lockdown" atau Movement Control Order (Perintah Kawalan Pergerakan) sejak wabak berleluasa bermula pada 18hb Mac yang lalu sehingga 31hb Mac ini. Namun, arahan dan pengumuman terbaru (akibat kedegilan dan sikap tak acuh rakyat Malaysia), kerajaan terpaksa melanjutkan tempot lockdown ini sehingga 14hb April 2020. 

Saya pasti tahun ini bakal menyaksikan Ramadhan dan Aidilfitri yang paling mendukacitakan buat kita semua.

Ngeri dan takut, antara dua perasaan yang sering bermain dalam fikiran saya sejak akhir-akhir ini. Jujur, barangkali bukan sahaja saya, bahkan rakyat Malaysia lainnya, sesiapa pun barangkali tidak Coronavirus bakal menjadi senakal dan selincah ini. 

2 minggu terbelakang, Malaysia masih meraikan kenduri-kendara, masih membawa anak-anak ke mall (kebetulan jatuh juga minggu cuti persekolahan), malah ada beberapa perhimpunan dan konsert juga berjalan. Paling terkesan, perhimpunan mega seramai 14,500 orang jemaah tabligh di Masjid Sri Petaling di mana dikatakan punca utama tercetusnya wabak dan bermulanya kronologi tersebarnya Coronavirus di Malaysia. 

Saya pasti, saat ini setiap dari kita hanya mahukan keadaan cepat-cepat berlalu dan kembali seperti asal. Nyata, kesan dan akibat wabak ini tidak sekecil yang disangka. 

Siapa menduga ianya menjadi pandemik yang mencetuskan huru-hara bukan sahaja di Malaysia, malahan di seluruh dunia. Lebih teruk berbanding tsunami Aceh yang menghentam hampir sebahagian benua kira-kira 16 tahun lalu, Convid-19 ini tidak menunjukkan akan surut dalam waktu yang singkat. Hari demi hari, graf-graf kematian kian meningkat, paling mengejutkan Itali dan Amerika, masing-masing menunjukkan kenaikan angka yang mendadak setiap hari. Tak pasti nak tudingkan jari ke mana, salah siapa. Mungkin lebih baik kita renung dan cermin semula diri sendiri, apa silap kita kepada Pencipta. 

Oh, ya. Malaysia kini mempunyai Perdana Menteri (Instant) Baru -  Tan Sri Muhyiddin Yassin atau ringkasnya TSMY (ikut bahasa Netizen). Biarpun belum reda dengan berbabak drama air mata dan debaran politik tanahair bermula dari peralihan kuasa besar-besarkan satu negara dua tahun lalu, TSMY nyata memberi nyawa baru kepada rakyat Malaysia. 

TSMY


Dari baca perutusan gaya abah-abah, merayu #StayAtHome, baca doa  sendiri di skrin tv (satu negara menonton) - TSMY bakal diingati antara seorang PM yang paling dekat di hati masyarakat. 

Di saat kita getir menghadapi bahana wabak, TSMY baik hati umumkan rangsangan ekonomi itu ini, paling terkesan pastinya para Cik Kiah satu Malaysia (popular mendadak dan trending nama Cik Kiah di Twitter) *Senyum Cik Kiah nama kena petik*. 

Tak kisahlah pintu belakang ke, depan ke, saat ini, rakyat hanya mahukan dapur berasap, masing-masing kena balik rumah, kerana ada banyak mulut untuk disuap.  

Itu antara cerita Malaysia hari ini. Banyak betul beza Malaysia dulu dan sekarang kan? 

Semoga kita dapat memanfaatkan tempoh lockdown yang panjang ini - pandang cermin, renung balik diri sendiri, dengar kata pihak berkuasa - jangan keluar rumah, #StayAtHome, buatlah sesuatu yang boleh membuatkan kita happy. InsyaAllah, ada hikmah di sebalik semuanya ni.  

Jika selama ni kita leka dan asyik terkejar-kejar turun-naik LRT, now Tuhan bagi kita rehat sekejap dan banyak masa untuk muhasabah diri. Masa dengan keluarga dan anak-anak pun lebih banyak.  Nikmat bukan? 

Jumpa lagi ya di catatan akan datang. 

InsyaAllah. 

WK.

Thursday, October 27, 2016

Stabuxguy & Dua Tahun (Rehat) Yang Panjang



Assalamualaikum & apa khabar :-)

Dua tahun tanpa muat-naik dan cerita-cerita terkini, saya berkira-kira, masih adakah ada di kalangan anda yang sudi singgah dan membaca cerita-cerita dan coretan saya?

Sudah acapkali sebenarnya saya cuba untuk kembali menulis - usia meningkat, kemahuan berubah, arus hidup yang kadang-kadang antara faktor yang mengekang dan meliatkan saya.

Salahkan Facebook? Tidak juga. Baik Facebook mahupun Instagram, antara dua medium popular dan terkini untuk kita saling bertukar-tukar khabar dan memuatnaik cerita hidup masing-masing. Efisyen dan pantas, mungkin buat kita lupa, saluran blog pernah menjadi peneman utama untuk kita mencanang dan mengetahui perkembangan semasa.

Betapa cepat betul masa berlalu bukan? Jujurnya saya rindu untuk kembali di waktu di mana gajet bukanlah kepentingan utama.

Kita berbual-bual tatkala berjumpa, bertukar cerita dan bergelak ketawa. Berbanding kini, masing-masing tak lekang dengan membelek-belek apps dan telefon di tangan.

Teringat dulu sewaktu makan-makan sebaik selesai pelancaran salah satu filem terbitan Tayangan Unggul, saya duduk bersama petugas dan kru produksi. Salah seorang di kalangan mereka menegur, "Ooo- inilah rupanya Stabuxguy, penulis blog Darimejastabux tu ya? Selama ni dok baca blog you aje... tugas kami ni baca blog-blog korang lah, habis je waktu pejabat kena check review dan komen semua...".

Betapa penting review dan komen-komen para blogger waktu itu.

Saya kira ada di antara barisan kami yang masih aktif malah ada juga yang sudah menongkah arus Perdana - Budiey, SultanMuzaffar, Ajami & Klubbkidd, antara rakan blogger popular dan pernah seangkatan yang masih saya ingat.

Keputusan untuk berpindah dan berhijrah ke Langkawi enam tahun dulu mungkin antara keputusan drastik saya waktu itu. Biarpun barangkali bukan yang terbaik, sekurang-kurangnya ia beri satu perubahan dalam hidup dan membuka sisi lain yang tidak pernah saya terfikir selama ini.

Terlalu banyak yang berlaku sebenarnya, tak terkarang jika mahu saya ceritakan satu-persatu. Semua saya kumpul dan olah menjadi pegangan yang lebih mematangkan hidup.  

Jujurnya, Langkawi banyak merubah saya, memberi tunjuk-ajar, mendewasakan serta memberitahu betapa hidup ini tiada noktah, kita sentiasa terkejar dan tercari cita-cita dan halatuju hidup kita yang sebenar.

Buat rakan pembaca yang baru mengenali saya, Selamat Datang ke Darimejastabux dan selamat menyelami cerita dan hidup saya.

Buat rakan pembaca maya yang masih sudi untuk singgah, terima kasih atas sokongan. Selamat kembali berkongsi cerita-cerita saya selepas ini, jangan jemu dan oh- jangan lupa, anda juga bisa meninggalkan komen-komen bernas di ruangan yang tersedia.

Akhir kata, salam dari saya dan semoga bertemu kembali.

Stabuxguy
Darimejastabux

Sunday, February 2, 2014

Sayang (KRU)


Tak kupinta malapetaka
Yang jatuh menimpa dan menguji cinta kita
Namun daku tak sanggup lihat mu
Mengorban hidupmu semata-mata untukku

Wahai sayang
Kau sepatutnya dicinta jejaka yang lebih sempurna

Pergilah sayang
Dirimu kan tetap daku kenang
Setiap malam berlinang airmataku
Jadi perangsang merindu mu sayang

Jangan pula dikau salah sangka
Kumungkiri janji ku tak mencintai lagi
Tapi kini izin kuundur diri
Kerana ku tak mampu untuk membahagiakanmu

Memang sayang untukku melepaskanmu
Biarku tanggung deritaku

Pergilah sayang
Dirimu kan tetap daku kenang
Setiap malam berlinang airmataku
Jadi perangsang merindu mu sayang

Dakaplah daku untuk kali terakhir
Oh kasihku
Berikanku peluang ku menatapi wajahmu
Agar abadi di ingatanku

Lirik : Sayang (KRU)

Saturday, November 16, 2013

Ku Tetapkan Menunggu - Hady Mirza



















Ku tetap kan menunggu mu
Walau apa pun berlaku
Ku tetap kan bersama mu
Hanya waktu yang berlalu

Ku impikan dikau selalu
Hanya itu yang ku mampu
Masih terasa sentuhmu
Kapan lagi kan bertemu

Ku berjanji kan selalu
Di sampingmu walau jauh
Jauh ke hujung dunia ini
Ku tetap kan menunggu mu
Jangan bimbang jangan ragu
Kau tetap bintang hatiku
Kekal sehingga akhir hayatku
Ku tetapkan menunggu
Ku tetapkan menunggumu

Ku impikan dikau slalu
hanya itu yang ku mampu
Masih terasa sentuhmu
Kapan lagi kan bertemu

Petikan dari album kedua Hady Mirza - Sang Penyanyi (2009)

Saturday, September 7, 2013

Hari-Hari Yang Takkan Sama

Saat-saat kesempitan teramat dan tiada siapa pun bisa membantu... Saya redha... Mungkin Tuhan dah catatkan rezeki saya di mana2, cuma belum sampai masa....

Amin.

Melihat Tina dan Aliff, kedua-duanya yang saya anggap adik, mereka teman-teman rapat saya di sini, berjalan melepasi balai berlepas di lapangan terbang malam tadi, hati tersentuh seketika. Mereka 'pergi' demi perjuangan hidup yang masih berbaki. Longlai langkah Tina, sesekali dia toleh ke belakang, sayup-sayup dia melambai. Saya pasti dia harapkan masih cukup masa untuknya dia bersama-sama kami di sini.

Aliff dan Tina.

Keduanya masih muda. Usia yang sempurna untuk mula merancang dan mencarik kehidupan. Silap atur, pasti tersungkur. Saya pernah seusia mereka, saya arif bagaimana perasaannya mengadap buku dan menelaah pelajaran. Deadline assignment yang menggila kadang-kadang, ditambah dengan bebanan untuk menghafal topik pembelajaran. Semuanya demi segenggam kertas. Dan itu bakal merubah masa depan :) 

Aliff dan Tina.

Saya doakan yang terbaik buat mereka.

"Kalau rindu dan suka Langkawi, habis belajar, langsung kerja di sini." Tukas saya kepada Tina. Dia senyum.

"InsyaAllah, Bang Wan. Langkawi Tina semat dalam hati...".

Sedar tak sedar, kini masuk tahun ketiga saya di Langkawi, jujurnya saya gembira di sini. Teman-teman, biarpun berbeza galur dan latar-belakang, namun hubungan kami erat. Anda tidak akan dinilai di sini untuk bersahabat, itu yang paling membahagiakan.

Anda tidak perlu menyarung Prada atau membimbit Burberry di sini. Hebat bukan?

Jadi mereka yang jujur, ramah, sentiasa senyum- nah, itu jenama. Menjadi kesukaan dan disenangi adalah kunci untuk survive di Langkawi.

Ramai yang menyoal, "Kash, you menyesal pindah ke sini?".

"Um-umm." Saya yakin menggeleng.

"Kena sungguh-sungguh. Jangan main-main." AM, beliau orang paling utama yang saya sanjung dan tempat untuk saya momohon nasihat.

Barangkali tuah saya memang di sini. Berlari-lari di kirmizi, saya pandang Ash, dan Ima, dua teman saya silih berganti. Mereka antara penyebab kenapa saya masih berdiri di sini. Saya lihat Langkawi sebagai nadi untuk saya terus bertapak dan memulakan sebuah kehidupan baru di sini.

Ayda, juga antara teman rapat saya yang sentiasa memberi perangsang dan semangat untuk saya terus berdikari. Tak lupa Ereen, biarpun jarak Selat Melaka memisahkan persahabatan kami, kata-katanya tetap saya benam dalam hati. Saya tahu gunung kesedihan yang beliau tanggung sebaik saya membuat keputusan untuk berhijrah ke Langkawi.

Perasaan di mana anda kehilangan sahabat, saban hari kami bagai belangkas, dan oh! Jangan kata saya tak faham, perpisahan itu sangat-sangat menyakitkan. 

Saya percaya, setiap perjalanan manusia telah ditentukan jalannya. Samada ke kiri, ke kanan, atau pun terpesong dan ke belakang, masing-masing sudah disuratkan bagaimana pengakhirannya.

Alang-alang menyeluk pekasam, itu azimat yang saya pegang. Tak cuba, kita tak tahu kan?

K.

Wednesday, December 5, 2012

Hati Seorang Solo

Anda solo? Belum berpunya? Di usia-usia begini (saya bakal menginjak 31 awal Jan nanti) barangkali sudah ada yang menerjah ke benak kepala,"Oh, dah lambat. Dah tak laku barangkali."

Anda mungkin silap. Kita berhak memilih. Mencari yang lebih baik di kalangan yang terbaik.

Mungkin saya seorang yang ringkas, tidak terburu-buru dan cuba menggembirakan diri sendiri dengan melalui hidup seadanya.

Saya percaya, jika ditanya betul-betul pada hati, kita barangkali punya alasan dan jawapan yang tersendiri.

Banyak kali di sini, saya jumpa mereka dan org yg saya suka, baik-baik, sedap mata memandang. Ah, itu bonus bukan? :)

Ada dari Malaysia, tak kurang dari luar negara. Ramah mereka melayan saya, kami keluar, makan-makan, berhibur. Kadang jalan-jalan di pantai, menghabiskan sisa-sisa senja bersama.

Itu rutin yang paling saya suka, momen di waktu kami bertukar-tukar mengenali hati dan keinginan masing-masing.

Tapi entah di mana silapnya, selama kami cuba berkawan, saya sedar, hati seakan dah kosong, tanpa apa-apa perasaan (saya rujuk kepada hampir semua mereka yang saya jumpa). Barangkali masa dan keadaan menjadikan saya kian betah sendirian. Tanpa kekangan, tanpa apa-apa ikatan.

Datang seribu yang baik, belum tentu mampu membahagiakan. Itu yang sering bermain di fikiran.

Saya angkat contoh beberapa orang yang terdekat, mereka idola saya. Sukses dalam kerjaya, solo tapi tetap bahagia.

Ya, tak mungkin kita dapat meneka hati manusia. Mungkin ada khilaf-khilaf yang tertera dalam hidup mereka, tapi saya cuba cedok perenggan yang positif sahaja. Hitam serdak kita tapis-tapislah, ambil yang jernih-jernih sahaja.

Saya sendiri tidak tahu sampai bila saya akan terus sendiri, tapi jujurnya, saya selesa begini. Saya hormat kawan-kawan, ada yang mencuba, mengenal-ngenal saya dengan si polan-si polan, namun seperti yang saya katakan di awal-awalnya, berkawan boleh, tapi belum tentu hati saya berkenan dan melekat.

Perasaan dan hati saya sekarang di paras sifar. Dan, oh- itu amat membahayakan.

Terfikir juga, adakah saya akan terus dewasa, meningkat tua, kekal solo dan sendiri selamanya?

Stabuxguy
Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.

Sunday, October 28, 2012

Ahad Di Kuala Triang


Salam semuanya! Apa khabar? Masih dalam mood beraya? Bagaimana Ahad anda?

Terjumpa kawasan pantai baru hari ini. Terima kasih kepada Ayda, teman sekerja kerana membawa saya 'meneroka' kawasan ini di kampungnya. Kagum saya seketika. Tenang, aman - teruja melihat kawasan sekitar. Sepuluh bulan saya di Langkawi, baru kali ini Ayda membawa saya ke sini. Buat saya semakin sayang dah jatuh cinta kesekian kali dengan Langkawi :)

"Itulah you. Dah banyak kali I ajak, tapi you busy...".

Haha... saya tergelak. Ayda baik. Rajin dia menemani saya jika punya kelapangan.

Dari rumahnya, kami menaiki motor ke kawasan ini (dia berkeras meminta saya memarkir kereta di rumah).

"Naik motor lah syok! Boleh masuk kampung...".

Seakan kawasan di dalam syot-syot filem 'Ombak Rindu'- nah, saya kongsi dengan anda. Buat masa ni saya namakan dia 'Pantai German' (diambil sempena rumah pasangan dari Germany yang tinggal di hujung pantai). Saya pasti ke sini lagi. Thanks, Ayda!










Stabuxguy

Featured Post

Coronavirus - Saat Getir Malaysia dan Jenaka Cik Kiah Yang Trending!

Jumaat, 27hb Feb 2020 10.25 malam Assalamualaikum... Ralit dari pagi, banyak juga hal-hal di guesthouse yang perlu saya ...